Pages

Saturday 31 December 2011

Mengapa aku harus bergembira?

Usia meningkat
Kubur kian merapat
Saat kematian sudah dekat
Sakaratul maut akan dirasai juga
Ini hakikat.

Saturday 3 December 2011

Hikmah di sebalik musibah

(Musibah banjir : Untuk pelajaran pendidikan seni, darjah 5)
Cerita Satu
Ada seorang wanita beranak lima telah kematian suami. Wanita ini wanita biasa. Tiada pendidikan tinggi dan umur sudah memasuki usia tua.  Kelima-lima anaknya masih bersekolah. Kematian suami menjadi musibah besar dalam hidupnya. Hilang tempat bergantung hidup, hilang sumber rezeki. Betul-betul tak tahu bagaimana nak meneruskan hidup, menyekolahkan anak, menyediakan tambang bas, pakaian, makanan dan segala keperluan kehidupan tanpa suami di sisi.

Saturday 19 November 2011

Fizikal membesar, sikap mengecil.

Dalam sebuah kelas matematik, cikgu Mariam bertanya kepada murid-murid, “Ada tujuh ekor burung. Seorang pemburu telah menembak lima ekor burung. Berapa yang tinggal?”

Belum sempat soalan itu habis dibaca, Aiman bingkas bangun dan mengangkat tangan sambil berkata “Saya tahu! Sayu tahu!” Matanya berkaca-kaca meminta namanya dipanggil.

“Saya, saya!” Jerit Marisah dihujung kelas. Dalam sekelip mata, kelas darjah 1M jadi riuh rendah kerana hampir semua murid menjerit sambil mengangkat tangan mahu menjawab soalan. Semua mata menumpu kepada cikgu Fara dengan penuh harapan agar nama mereka dipanggil. Semua berebut mahu menjawab .
Oleh kerana Aiman orang pertama yang mengangkat tangan, cikgu Mariam menujukan jari kepadanya dan berkata,“ Aiman, apa jawapannya?”

Sambil membilang jari, Aiman pun berkata“ Nanti jap cikgu, nak kira.” Jelas, Aiman masih belum menyediakan jawapan sewaktu tangan diangkat.


Wednesday 9 November 2011

Kesan sebuah perhatian

Semasa zaman kanak-kanak, aku banyak mendapat perhatian, menerima pujian dan penghargaan dari guru-guru. . Antaranya ialah anugerah dan hadiah kerana menang pertandingan. Pertandingan bercerita kisah nabi, wakili sekolah dalam pertandingan genderang, menjadi ketua baca iqrar masa hari sukan dan waktu perbarisan, hadiah kecemerlangan dalam peperiksaan, dan lain-lain Aku rasa, zaman kanak-kanakku adalah zaman yang aku memiliki motivasi yang tinggi, keyakinan diri yang tinggi, terkenal atau dikenali ramai, dan rasa dihargai.

Semua ini berkurang atau semasa aku di sekolah menengah. Memandangkan aku masuk sekolah berasrama penuh, ramai budak-budak lebih bijak daripadaku. Aku ingat karangan ku semasa sekolah rendah telah diherdik guru di hadapan rakan-rakan sekelas. Hati ku terguris, justeru aku ingat peristiwa itu. 
(Intro lagu Hotel California)

Sunday 30 October 2011

Melatih anak berfikir

Pagi itu, seperti biasa saya dalam perjalanan menghantar Mus’ab dan Khadijah ke sekolah. Perjalanan dari rumah ke sekolah mengambil masa sekitar 20 minit. Bagi saya, masa 20 minit di dalam kereta itu adalah ‘golden time’ untuk anak-anak. Itulah kesempatan yang terbaik untuk ‘berusrah’ dengan mereka. Kalau di rumah, terlalu banyak gangguan yang mengalih tumpuan. Tetapi apabila masuk kereta, mereka sudah ‘terkurung’ bersama kita. Mereka tidak ada pilihan lain selain mendengar celoteh kita.


Tuesday 25 October 2011

Renungan buat orang yang menyesali dosa

“Dosaku terlalu banyak. Layakkah aku diampuni?”
“Setiap kali aku bertaubat, setiap kali itu juga aku kembali melakukan dosa yang sama. Aku sudah tidak tahan!”
“Barangkali dosa ini hukuman dan siksaan Tuhan kepadaku...”

Kata-kata di atas adalah tanda tersiksanya jiwa hamba yang melakukan dosa. Jika ianya berterusan dan tidak nampak jalan keluar, dibimbangi akan membawa putus asa. Maka, dari saat inilah seorang hamba perlu menukar paradigmanya terhadap dosa agar ia boleh berubah menjadi harapan dan memotivasikan dirinya untuk terus berubah.

Saturday 22 October 2011

Perisitiwa Subuh

                                             (Gambar hiasan)

Semasa memujuk anak-anaknya, Ahmad dan Mawaddah untuk solat subuh, si bapa berkata “Wahai anak-anakku, bangunlah solat Subuh. Bukankah dalam lagu nasyid yang engkau persembahkan di sekolah dulu mengajak orang mengerjakan solat Subuh?”

Kemudian, si ayah pun menyanyikan sebahagian rangkap lagu nasyid itu yang berbunyi;

Azan Subuh berkumandang
Marilah bersembahyang
Bila hati dah tenang
Hidup kan senang

Friday 21 October 2011

Visi hidup saya


    Dalam pengurusan strategik, sesuatu organisasi yang terurus dan berstrategi mesti memiliki visi. Visi disampaikan dalam bentuk penyataan yang menjawab mengapa sesuatu organisasi itu wujud. Oleh itu, visi hidup bermakna pernyataan yang menjawab persoalan mengapa saya perlu wujud.

     Apa pula visi hidup saya? Untuk mencari jawapannya, saya tidak boleh berdasarkan kemahuan diri sendiri semata-mata. Bagi saya, pihak yang paling berautoriti untuk menjawab persoalan ini ialah pihak yang menghidupkan saya, iaitu Allah. Ini adalah amat logik. Pencipta lebih berhak menetapkan tujuan ia mencipta sesuatu. Adalah amat mustahil Tuhan Yang Maha Bijaksana mencipta saya dan alam ini tanpa tujuan. Hanya orang tidak siuman sahaja yang mencipta sesuatu tanpa tujuan.

Alhamdulillah, Allah yang Maha Penyayang telah menurunkan jawapannya di dalam Al-Quran;
"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku."
(QS az-Zariyat: ayat 56)

Tuesday 27 September 2011

Apa itu kehidupan

Semasa di zaman kanak-kanak, sama seperti kanak-kanak lain, saya amat suka bermain. Bagi saya pada waktu itu, bermain itulah kerja dan kerja itu bermain. Apabila saya main pasir di halaman rumah, maka bagi saya aktiviti main pasir itu adalah satu bentuk kerja yang perlu dilakukan. Apabila ke sekolah sekali pun, saya anggap ia adalah satu bentuk permainan yang perlu dikerjakan. Cuma kali ini melibatkan orang dewasa, tidak seperti ketika bermain cikgu-cikgu dengan kawan-kawan sebaya. Saya tidak tahu membezakan antara kerja dan main. Seperti bermain, semua kerja dilakukan dengan sepenuh hati asalkan ia menyeronokkan dan jika tidak seronok, saya akan berhenti seketika hingga keseronokan itu datang kembali. Segala homework yang cikgu berikan, peperiksaan tahunan hinggalah ke UPSR semuanya satu bentuk permainan dan pekerjaan bagi saya. Oleh itu alam kanak-kanak saya dipenuhi dengan bermacam-macam bentuk permainan dan pekerjaan. Saya seronok melakukannya. Pada masa itu, tiada erti kejayaan bagi saya.  Yang ada hanyalah kesoronokan.

Monday 26 September 2011

'Macho' dan 'cool'


Kisah Nabi Musa adalah cerita kegemaran saya selepas Kisah Nabi Yusuf. Terlalu banyak babak yang menarik dalam kisah Musa. 

Antara babak yang menyentuh hati saya ialah babak dimana apabila para ‘professor’ dalam bidang sihir yang dibiayai oleh Firaun tewas dengan mukjizat Nabi Musa.  Mereka telah mengungkapkan ayat yang sungguh ‘macho’ dan ‘cool’ iaitu,

“ Kami beriman kepada Tuhan semesta alam, Tuhan Musa dan Harun”.

Lihatlah betapa tingginya tahap profesionalisma para 'professor' ini.

Bagi saya, babak ini memberi kita seribu harapan. Tidak kira bagaimana ‘buruk’ sekalipun kisah silam kita, hatta pengamal sihir sekali pun, peluang untuk kembali kepadaNya tetap terbuka luas.

Saya seorang blogger

Blogger bermakna 'orang yang memiliki blog'. Hari ini, gelaran blogger sudah tidak memberi apa-apa makna kerana ramai orang sudah jadi blogger. Samalah seperti gelaran Datuk yang semakin susut nilai kerana sudah makin ramai orang mendapat gelaran tersebut.

Mungkin suatu hari , istilah 'blogger' akan hilang apabila semua orang memilki blog sebagai mana semua orang memiliki kad pengenalan. Sebab itu, tidak ada orang yang digelar 'kad pengenalanner'.

Untuk posting yang pertama ini, saya ingin membuat pengakuan. Sebenarnya ini bukanlah blog pertama. Ini adalah blog kedua. Semasa membuat blog pertama, saya berimpian yang ia akan jadi blog yang aktif, akan mencatat view yang tinggi, saya akan menjadi terkenal sebagai blogger yang hebat, tulisan saya dibukukan, dari buku akan difilemkan, dan saya akan jadi lebih terkenal daripada Siti Nurhaliza!

Namun, apa yang terjadi, selepas posting ketiga blog itu ditinggalkan sepi.

Ini adalah percubaan kedua. Kali ini. saya tidak mahu meletakkan sebarang expectation. Biarlah ia jadi sepertimana ia mahu jadi.