Pages

Showing posts with label sifat manusia. Show all posts
Showing posts with label sifat manusia. Show all posts

Friday, 14 March 2014

Huraian Surah Al-Hadiid ayat 22-23 dari kitab Tafsir Al-Azhar



Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
(Al-Hadiid 57:22)


(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
(Al-Hadiid 57:23)


Berikut adalah petikan dari tafsir Al-Azhar*:

Saturday, 12 January 2013

Berlumba jangan sampai lalai



Tujuan hidup kita adalah menghambakan diri kepada Allah. Namun, kita telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan sebanyak-banyaknya habuan dunia. Kita berlumba mengumpul harta benda, kita berlumba merebut pangkat, kita berlumba menjadi pelajar paling baik keputusan peperiksaan, kita berlumba mendapat pengaruh, kita berlumba berebut kuasa. 

Semua perkara itu asalnya tidak salah. Tetapi yang salah ialah LALAI. 

Kelalaian ini berlarutan hinggalah kita masuk ke kubur.

Nauzubillah.

Janganlah kita bersikap begitu. Kita akan benar-benar mengetahui akibatnya semasa hendak mati nanti.

Sekali lagi diingatkan, janganlah bersikap begitu. Kita akan benar-benar mengetahui akibatnya di akhirat nanti.

Kalaulah kita mengetahui dengan sebenar-benar yakin,
Orang yang derhaka akan benar-benar melihat neraka yang marak menjulang,
Mereka akan dapat melihat dengan mata sendiri dengan penglihatan yang amat meyakinkan.

Kita juga akan ditanya tentang segala nikmat yang telah kita nikmati semasa hidup.

Oleh itu, janganlah biarkan hidup kita dilalaikan dengan urusan dunia yang sementara.

Rujukan: Al-Quran [102:1-8]

Tuesday, 8 January 2013

Rajin


Mustahil bagi seorang muslim, seorang hamba Allah, yang mengucap dua kalimah syahadah, yang memahami tuntutan kalimah itu, yang redha Islam sebagai agama anutannya, akan berkata ,

 “ Bosan. Tak tahu nak buat apa”.

Apabila sudah faham dengan Islam, faham dengan tuntutan menegakkan agama Allah ini dalam diri, keluarga masyarakat dan dunia, maka hidup ini dirasakan cukup penuh dan sarat dengan agenda. Agenda untuk menegakkan agama Allah di muka bumi ini adalah agenda yang besar. Terlalu banyak yang perlu dilakukan oleh seorang muslim. Sehinggakan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyebut,

“ Tanggungjawab kita lebih banyak dari masa yang ada”.


Oleh itu, jika seorang muslim yang memahami agenda seorang muslim itu terasa ‘kekosongan’ dalam diri pada sesuatu masa, sebenarnya apa yang dialami bukan kerana tidak ada agenda.

“Sebenarnya dia bukan kekosongan agenda, tetapi kekosongan semangat.” Itulah andaian ringkas saya.

Dia mempunyai banyak homework, tetapi terasa malas.

Dia mempunyai banyak buku yang hendak dia baca, tetapi terasa malas.

Dia mempunyai banyak idea hendak ditulis, tetapi terasa malas.

Dia perlu menghadiri program-program yang telah diatur, tetapi terasa malas.

Kemalasannya itu menyebabkan dirinya "tak tahu nak buat apa". 

Dirinya terasa lesu. Ibarat kereta yang kehabisan petrol. Tidak bergerak. Semua yang hendak dilaksanakan terasa berat untuk dilaksanakan. Sangat berat. Atau dalam bahasa mudah, kekosongan yang dialami adalah datang dari sifat malas.

Kenapa orang mukmin itu merasa malas? Mana perginya motivasi diri?  

Sedangkan dia yakin adanya syurga dan neraka. Dia yakin akan janji Tuhan yang akan membalas perbuatan buruk dengan azab, dan perbuatan kebaikan dengan pahala dan syurga.  Dia yakin akan ajal yang bakal menjemput. Dia yakin bahawa dia wajib menjalankan agenda-agenda yang kian terbengkalai. Dia yakin yang dia tidak boleh berlengah, tidak boleh culas.

Tapi, kenapa masih malas?

Maaf, saya tidak ada jawapannya.

Namun, sifat malas atau merasa berat untuk berjuang ini telah ditegur dalam Al-Quran;

Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: “Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah” kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan akhirat) di akhirat hanyalah sedikit. [9:38]

Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. [9:41]

Barangkali ini adalah ujian Allah untuk menguji sejauh mana keyakinan dan keimanan kita;

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.[3:142]

Diri yang dhaif ini ingin mensarankan sesuatu kepada dirimu yang malas.

1. Doa
Amalkan doa dari mathurat ini:


Di saat dirimu dirundung malas, bacalah doa ini sebanyak-banyaknya. Sebaiknya amalkan secara konsisten setiap pagi dan petang bersama bacaan mathurat. Saya sarankan download software mathurat di Play Store. Antara perisian yang saya syorkan ialah M-Mathurat.

Allah yang turunkan sifat malas, resah dan gelisah ini. Maka, jika Allah menghendaki, akan dihilangkanNya.

Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesutu.[6:17]

Allah boleh menghilangkan kemudaratan kepada kita, maka berdoalah kepadaNya.

Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu....”[40:60]

2.  Solat dan sabar

 Janganlah harapkan pertolongan Allah datang secara tiba-tiba.  Mungkin ia akan datang lambat. Waktu ini, hanya perlu yakin Allah sedang mendengar permintaan kita. Tetap berdoa, mengerjakan solat dan sabar sebagai satu elemen penting dalam memohon pertolongan darinya.

Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’. (iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahwa mereka akan kembali kepada-Nya. [2:45]

3. Berimanlah kepada Allah

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.[64:11]

4. Bertakwalah kepada Allah.

…..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.[65:2-3]

Dengan sabar yang diadun takwa, apapun musibah yang melanda, pasti akhirnya ‘happy ending’.

..... Maka bersabarlah; sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. [11:49]

5. Mujahadah melawan sifat malas

Tiada jalan lain selain dari lawan, lawan dan lawan. Anggaplah ini sebahagian dari jihad menentang nafsu malasmu.

Garanglah dengan diri sendiri, kerana engkau sedang berperang!


Maaf andai jawapan ini 'membosan'kan.

Semoga Allah membantu kita.

Wallahualam.

Tuesday, 11 December 2012

Penantian penuh debaran


21 tahun yang lalu

Cikgu Hasan masuk ke kelas. Wajahnya kelihatan ceria. Beliau mengetahui apa yang sedang kami nantikan. Hari itu adalah hari keputusan UPSR dikeluarkan. Semua orang berdebar. Kelas sepi. Semua mata tertumpu kepada cikgu Hasan.

Cikgu Hasan memanggil nama saya. Sambil menepuk bahu saya, beliau berkata,“Tahniah, kamu mendapat 4A”.

Saya tersengih puas. Saya termasuk antara lapan orang yang mendapat straight A di sekolah kami.
Suasana dalam kelas berubah sama sekali. Dari senyap kepada riuh rendah. Ada yang gembira. Ada yang menangis. Suasana yang paling sayu ialah ketika melihat tangisan ‘pelajar terbaik’ sessi kami. Beliau sentiasa cemerlang dalam peperiksaan penggal, akhir tahun dan percubaan. Tapi kali ini nasibnya kurang baik.Air matanya jatuh bercucuran. Saya hanya mampu bersimpati. Kadang-kadang saya merasakan peperiksaan ini kejam. Ia mendera perasaan sesiapa sahaja yang melaluinya. 

Masa berlalu, debaran menanti keputusan UPSR telah berakhir.

Tetapi, ia hanyalah permulaan kepada debaran seterusnya.

----------

8 Disember 2012


Saya sedang menemani Mus'ab menanti giliran berkhatan di klinik Rasa Sayang. Mus'ab telah memilih untuk dikhatankan hari ini.

"Tak payah takutlah Mus'ab, sakit macam kena gigit semut je", saya cuba memberi gambaran betapa tidak sakitnya dikhatan.

Mus'ab menjawab, "Alamak, saya pernah kena gigit semut. Sakit sangat." Saya hampir lupa, anakku ini 'orang bandar'. Gambaran seperti itu hanya lebih menakutkannya.

"Rilekslah Mus'ab. Sunat ni sekali je seumur hidup. Kita mesti selesaikan hari ini. Lepas tu, tak payah risau fikir sunat lagi." Saya dan isteri mengubah teknik memujuk.

Pembantu klinik membuka pintu yang dilabel 'treatment room', lalu memanggil, "Ahmad Mus'ab bin Basri!" Suaranya separuh menjerit kerana terpaksa melawan kebisingan kanak-kanak lain yang menanti giliran.

Mus'ab semakin resah. Sebaik masuk ke bilik rawatan, beliau ternampak gunting dan penyepit telah tersedia.

"Tak nak sunat, tak nak sunat, tak nak sunat!" Perasaan takut sudah menyelebungi dirnya. Kata-kata pujukan telah diberi, tapi ternyata akal rasionalnya telah dikuasai rasa takut.

"Doktor, saya cuba tenteramkan dulu anak saya. Beri dulu giliran ini kepada kanak-kanak lain. Bila bersedia nanti, saya beritahu". Seboleh mungkin, saya mahu Mus'ab kembali rasional. Saya mahu dia bersunat atas kemahuan sendiri, bukan atas paksaaan. Saya mahu dia mengatasi perasaan takut itu.

Saya biarkan dia menyendiri. Saya mahu dia berfikir sendiri, dan buat keputusan samada mahu meneruskan atau tidak. Saya yakin dalam keadaan tenteram, Mus'ab boleh berfikir dengan baik.

Selepas kira-kira 20 minit menanti, akhirnya Mus'ab berkata, "Oklah, saya nak sunat sekarang". Suaranya tekad.

Alhamdulillah, penantian yang berbaloi.

Mus'ab masuk ke treatment room kali ke dua. Kali ini dia lebih bersedia.

Namun, sebaik sahaja diberi suntikan bius, beliau menjerit. " Sakit, sakit, sakit!" Dia mula meronta. Saya tidak ada pilihan lain. Tidak patut berhenti separuh jalan kerana ia akan lebih menyusahkan Mus'ab. Oleh itu, saya terpaksa juga menggunakan strategi 'paksaan' sebagai langkah terakhir.

"Jangan pegang!"

"Nanti dulu! Jangan potong!"

"Kalau potong, dosa!"

Itu antara kata-kata Mus'ab yang sudah hilang rasional sepanjang proses berkhatan dilakukan.

"Ok, dah siap" kata doktor.

Mus'ab tiba-tiba kembali senyum. Ternyata, jeritannya bukan hanya kerana sakit, tetapi kerana takut. Alhamdulillah, semuanya telah berjalan lancar. Setelah mengucapkan terima kasih dan meminta maaf, Mus'ab keluar dari bilik itu dengan penuh senyuman, seolah-olah dia tidak pernah menjerit dan meronta ketakutan sebelum ini.

Penantian sudah berakhir.

Debaran sudah berakhir.

Untuk setakat ini.

----------------------

Debaran dalam kehidupan

Banyak lagi pengalaman melalui debaran demi debaran dalam kehidupan ini. Samada telah, sedang atau bakal kita lalui;

Bagi pelajar, berdebar menunggu keputusan peperiksaan.
Penganggur, berdebar menunggu keputusan temuduga kekosangan jawatan.
Orang yang sedang dilamun cinta, berdebar menanti keputusan dari orang yang dicintainya. Samada cinta ditolak atau diterima.
Pasangan suami isteri, berdebar menanti kelahiran anak.
Ibu bapa, berdebar melihat perkembangan anak. Samada anak itu soleh, atau derhaka.
Kontraktor, berdebar menanti keputusan tender yang dibida. Kalau dapat, “aku kaya”, kalau gagal, “frust menonggeng”.
Pelabur, berdebar melihat jatuh naik saham.
Ahli akademik, berdebar menanti keputusan dari reviwer tentang paper yang dihantar ke jurnal. Samada accepted atau rejected.
Ahli politik, berdebar menanti keputusan undian pilihanraya.

Namun, samada kita sedar atau tidak, ada satu debaran yang sangat dasyat yang bakal kita tempuh. Ia adalah ibu kepada segala debaran, kerana ujian yang dilalui adalah ibu segala ujian.  

Jika kita lulus ujian ini, akan hilanglah segala kekecewaan atas kegagalan yang lain.
Jika kita gagal, kejayaan yang lain sudah tidak bermakna.

Itulah debaran ketika menerima catatan amal setelah melalui ujian hidup.  Samada catatan itu diterima dengan tangan kanan, atau tangan kiri.

Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).
Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, -
Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.
Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,
Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya,
Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.
Al-Quran [84:6-12]

Apakah ada yang lebih mendebarkan?

Friday, 7 December 2012

Gelisah ketika susah, kedekut ketika senang



Manusia ini ada berperangai hodoh. Apabila ditimpa kesusahan, dia resah gelisah. Apabila dapat kesenangan, dia lupa diri dan jadi sangat kedekut.

Tapi, tidak semua manusia begitu. Ada pengecualiannya, iaitu orang yang mempunyai ciri-ciri berikut;
1.  Melakukan solat.
2. Istiqamah atau tetap melakukan solat dalam sebarang keadaan, ketika lapang mahupun sibuk.
3. Memperuntukkan sebahagian hartanya untuk orang miskin. Bukan sahaja kepada orang miskin yang meminta, orang miskin yang tidak meminta pun diberinya.
4. Yakin dengan hari pembalasan, iaitu akhirat.
5. Cemas dan takut daripada ditimpa azab dari Allah. Kerana, tiada siapa pun yang patut rasa aman dengan azab Allah.
6. Menjaga kehormatan/kemaluan kecuali kepada isteri. Orang yang memenuhi keperluan seksualnya dengan cara yang lain, mereka ini telah melampaui batas.
7. Menjaga amanah dan janji.
8. Apabila memberi kesaksian,  mereka berlaku adil.
9. Tetap memelihara solat. Bukan dikerjakan “seperti melepaskan batok ditepi tangga”, tapi dilakukan dengan sebaik mungkin dengan jaga waktu, jaga syarat sah, jaga kyusuk.

Orang yang mempunyai sembilan ciri ini,  akan bebas dari sifat resah gelisah semasa susah, dan bakhil kedekut ketika senang.

Apabila sudah bebas dari sifat hodoh ini, itulah nikmat hidup di dunia.

Akhirat pula, mereka akan ditempatkan di syurga dengan diberikan penghormatan.

Rujukan: Al Quran [70:19-35]