Semasa zaman kanak-kanak, sama seperti kanak-kanak lain, saya amat suka bermain. Bagi saya pada waktu itu, bermain itulah kerja dan kerja itu bermain. Apabila saya main pasir di halaman rumah, maka bagi saya aktiviti main pasir itu adalah satu bentuk kerja yang perlu dilakukan. Apabila ke sekolah sekali pun, saya anggap ia adalah satu bentuk permainan yang perlu dikerjakan. Cuma kali ini melibatkan orang dewasa, tidak seperti ketika bermain cikgu-cikgu dengan kawan-kawan sebaya. Saya tidak tahu membezakan antara kerja dan main. Seperti bermain, semua kerja dilakukan dengan sepenuh hati asalkan ia menyeronokkan. Jika tidak seronok, saya akan berhenti hinggalah keseronokan itu datang kembali. Segala homework yang cikgu berikan, peperiksaan semester hinggalah ke UPSR semuanya satu bentuk permainan bagi saya. Oleh itu alam kanak-kanak saya dipenuhi dengan bermacam-macam bentuk permainan. Saya seronok melakukannya. Pada masa itu, tiada erti kejayaan bagi saya. Yang ada hanyalah keseronokan.
(Zaman kanak-kanak. Inilah satu-satunya gambar yang jelas menunjukkan saya sedang bermain yang ada dalam simpanan)








