Pages

Friday, 6 June 2014

Dari Senpai Untuk Kohai (Siri 8) - Khas untuk pelajar persediaan ke Jepun: Panduan Memilih daigaku (universiti)


“Sensei,saya nak duduk dekat dengan Fuji-san, sebab gunung tu cantik. Boleh cadangkan universiti yang berdekatan?”

“Sensei, saya nak duduk dekat dengan bandar Tokyo, nanti mudah saya nak pergi shopping. Tapi tak nak dalam Tokyo  sebab di sana kos hidup mahal. Boleh cadangkan universiti yang sesuai?”

Begitulah lebih kurang maksud soalan saya kepada guru kelas G1, Haraguchi-sensei. Dialog ini berlaku kira-kira pada tahun 1998, iaitu 16 tahun yang lalu. Saya dan rakan-rakan perlu mengisi borang pilihan daigaku.  Kami diberikan senarai kira-kira 100 univerisiti di Jepun. Maklumat lain kami perlu cari sendiri. Kami tidak tahu pilihan yang baik bagi kami. Apa kriteria yang perlu kami cari. Pada waktu itu, penggunaan internet masih belum berkembang seperti sekarang. Tiada forum atau website yang boleh dirujuk. Sumber rujukan kami pada waktu itu adalah dari sensei dan senpaitachi yang sekali–sekala datang menjenguk kami di AAJ. Maklumat terhad. Maka, tidak sedikit juga yang membuat pilihan daigaku berdasarkan kriteria “senpai kata best”. Sedangkan apa yang disampaikan oleh senpai itu hanya terhad pada perspektif mereka. 


(Kenangan nyuugakushiki. Saya memilih Tsukuba-Dai kerana faktor dekat dengan Tokyo. Alahai... naifnya... Sedangkan banyak lagi kriteria yang baik yang ada pada daigaku itu)



Perlukah bersungguh-sungguh  dalam memilih daigaku?

Semasa saya di AAJ dulu, saya berpandangan,

“ Ala.. universiti mana-mana pun sama je... yang penting dapat pergi nihon!”

Justeru itu, saya tidak begitu bersungguh dalam membuat pilihan. Namun, setelah melalui sendiri kehidupan di dua buah universiti di Jepun, paradigma itu sedikit sebanyak telah berubah. (Saya berada di Tsukuba-daigaku selama empat tahun, dan sambung ke peringkat master selama dua tahun di Kitami-Kyougyou-Daigaku).

Saya dapati ada perbezaan ketara antara dua universiti ini dari segi suasana pembelajaran, suasana kehidupan, budaya masyarakat setempat, cuaca dan lain-lain. Suasana ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada diri saya hingga ke hari ini.  Semasa berada di dua tempat yang berbeza ini, saya memerlukan ‘skill’ atau ‘kekuatan’ yang berbeza untuk menyesuaikan diri.

 Setelah pulang ke Malaysia, saya bertambah yakin pemilihan daigaku sedikit sebanyak memberi kesan dalam perjalanan kerjaya dan kehidupan saya.

Apatah lagi, Islam menggalakkan umatnya berusaha dengan tekun. Dalam hal ini, saya teringat satu hadith;

"Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan dengan tekun." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Dengan mengambil ‘spirit’ dari hadith ini, saya ingin katakan pada adik-adik yang bakal memilih daigaku,

“apabila anda memilih daigaku, maka pilihlah dengan tekun”.  

Lima kriteria memilih daigaku


Semasa mengisi borang pemilihan daigaku, saya telah letakkan Tsukuba-daigaku sebagai pilihan pertama. Shizuoka-daigaku pula (kalau tak silap) sebagai pilihan kedua. Rasanya ada lagi pilihan ketiga, tapi saya tidak ingat. Maklumlah, sudah terlalu lama ia berlalu. Pilihan yang dibuat juga secara ‘sewenang-wenangnya’. Keputusannya, saya ditempatkan di universiti pilihan pertama, iaitu Tsukuba-Daigaku. Tsukuba-dai antara dai yang ‘dekat’ dengan Tokyo iaitu kira-kira 100 km.  Setelah lalui sendiri kehidupan di Tsukuba, saya dapati kriteria itu bukanlah kriteria yang penting. Tetapi banyak kriteria lain yang lebih penting menyebabkan saya bersyukur dengan pilihan yang dibuat. Dalam hal ini,  saya telah membuat pilihan yang baik, tetapi dengan jalan yang tidak matang.

Melalui pengalaman rakan-rakan, saya dapati ada banyak kriteria atau faktor mereka memilih daigaku tertentu. Ada yang nak ikut senpai, ikut awek atau tak nak tempat sejuk seperti hokkaido. Ada pula yang pilih kerana faktor salji.  Semuanya bergantung kepada tahap ‘kematangan’ masing-masing dan sistem nilai (value system) yang mereka pegang.  Ada orang letakkan nilai yang paling tinggi pada ‘faktor salji’. Maka, pilihannya pada tempat yang ada salji. Ada orang yang letakkan nilai yang tinggi pada survival agamanya, lalu memilih tempat pengajian yang ada masjid atau kumpulan usrah. Ada pula yang letakkan nilai yang tinggi pada ‘cari duit’, lalu memilih tempat yang ada baito (kerja part-time) dengan gaji yang lumayan.

Setelah pulang ke Malaysia, barulah saya sedar ada beberapa kriteria tertentu yang perlu diambil kira.  Di sini, saya ingin kongsikan 5 kriteria. Iaitu;

1.  Faktor ‘agama’.


Saya teringat kisah seorang yang telah membunuh 100 orang. Dia berjumpa dengan seorang alim untuk mendapat nasihat bagaimana mahu bertaubat. Lalu si alim itu menyuruhnya berpindah ke negeri lain. Ini kerana negeri lain itu lebih baik untuk si pembunuh untuk bertaubat. Ini menunjukkan faktor suasana itu boleh mempengaruhi ‘agama’ seseorang.

Pengaruh kawan-kawan juga memberi kesan kepada 'agama' kita. Ini mengingatkan saya kepada hadith yang bermaksud;

"Perumpamaan teman yg baik & teman yang tidak baik ialah umpama wangi-wangian dan tukang besi. Adapun pembawa wangi-wangian, sama ada dia memberinya sedikit ataupun anda membeli daripadanya sedikit ataupun kamu dapat mencium dprdnya bau yang wangi. Manakala tukang besi, sama ada dia membakar bajunya ataupun kamu akan mencium dairpadanya bau-bauan yang busuk." (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)


Bagi saya, minimum requirement untuk pilih sesuatu daigaku itu adalah sekurang-kurangnya ada didirikan solat Jumaat secara konsisten. Ini tanda tempat ini mempunyai orang Islam yang cukup dan aktif. Biasanya, tempat sebegini akan ada juga solat berjemaah dan ada fasiliti seperti surau.  Selain itu, suasana ‘agama’ yang baik adalah kumpulan usrah, atau banyak aktiviti keagamaan.

Walaubagaimanapun, faktor ‘agama’ ini agak sukar diukur. Ada keadaan yang mana pelajar ini dihantar di tempat yang pada asalnya tiada didirikan solat jumaat. Tetapi dengan kesedaran dan ikhtiar beliau, solat jumaat dapat dilaksanakan dan aktiviti agama dapat berkembang. Orang yang datang kemudian darinya, meneruskan amalan baik yang beliau tinggalkan. Pahala terus berjalan walaupun telah kembali ke tanahair. Di sinilah letaknya keunikan hidup seorang mukmin. Ia mampu mampu mengambil manfaat atas sebarang suasana yang datang kepadanya.  Ini mengingatkan saya kepada satu hadith;

“Amat ajaib keadaan seorang mukmin, sesungguhnya semua keadaannya adalah baik belaka. Ini tidak berlaku kecuali kepada seorang mukmin. Sekiranya dia dikurniakan kesenangan dia akan bersyukur dan ini baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan pula dia akan bersabar dan ini juga baik untuknya.” (Hadis riwayat al-Imam Muslim, No. 5318)

Dibuang ke laut menjadi pulau, dicampak ke hutan menjadi gunung, ditebar ke langit menjadi bintang.




(Apartment ini disewa untuk dijadikan surau di Tsukuba pada tahun sekitar 2000. Alhamdulillah, sekarang Tsukuba telah memiliki masjid sendiri di tanah yang dibeli sendiri.)

2.  Faktor bidang pengajian.


Sebaiknya, kita pilih bidang pengajian yang sesuai dengan kita berdasarkan minat, bakat, keperluan dan peluang yang ada. (Hal ini saya bercadang untuk tulis dalam artikel berasingan insyaAllah).  Selepas memilih bidang pengajian, barulah kita pilih universiti yang ada menawarkan bidang yang kita mahukan.

3. Universiti dan bidang diiktiraf kerajaan Malaysia


Masa saya di AAJ pada tahun 1998, kerajaan turut hantar kami ke universiti yang tidak diiktiraf oleh kerajaan sendiri. Nampak pelik, sehingga ramai kawan saya yang merungut, “kalau kerajaan sendiri tak iktiraf, kenapa hantar?”. Tapi, itulah yang berlaku. Kalau kita balik bekerja di syarikat swasta, hal pengiktirafan ini tidak menjadi isu. Kekeliruan timbul jika kita mahu bekerja dengan kerajaan seperti PTD., JKR dan lain-lain yang menetapkan syarat kelayakan perlu dari bidang/universiti yang diiktiraf kerajaan Malaysia. Namun begitu, ada juga mereka yang dari bidang tidak diiktiraf tapi dapat bekerja dalam kerajaan. Nampaknya, ada sedikit kelonggaran bagi graduan bidang kejuruteraan dalam hal pengiktirafan ini. Masalah lebih parah berlaku pada kawan-kawan saya yang buat medic. Mereka ni bila pulang wajib kerja dengan kerajaan. Tetapi kerajaan tidak mengiktiraf mereka. Akibatnya mereka terpaksa pula sambung lagi belajar di Malaysia dan menduduki semula peperiksaan sehingga lulus. Kesian....

Saya harap sekarang sudah berubah. Saya harap kerajaan telah semak semula. Saya harap senarai universiti dan bidang telah ditapis terlebih dahulu sebelum disenaraikan dan diedarkan kepada pelajar. Walaubagaimana pun, saya sarankan adik-adik untuk double-check  bidang dan universiti yang adik-adik pilih supaya benar-benar diiktiraf kerajaan.

Berikut adalah website untuk buat semakan;


Mungkin ada yang berkata, “ Ala... saya memang tak minat kerja kerajaan..”

Saya jawab, “nanti dulu dik. Kita tak tahu masa depan. Mungkin sekarang tidak minat, tapi bila suatu hari nanti kita beralih minat, bagaimana?”

Jangan sempitkan peluang dan kebarangkalian yang ada.


(Di Tsukuba-Dai, hanya tiga kelayakan ini sahaja yang diiktiraf oleh JPA. Nampaknya “Bachelor of Engineering” tidak ada dalam senarai???....)

4.  Ranking universiti


Kebiasaannya, universiti yang berada di ranking yang tinggi, mempunyai ‘budaya akademik’ yang lebih baik berbanding ranking rendah. Dengan bahasa mudah, pelajar di sana lebih rajin, dan sensei di sana lebih berdedikasi, kelengkapaan alat penyelidikan di sana lebih banyak dan berkualiti. Dengan melihat ranking universiti, kita boleh dapat gambaran kasar (walaupun ada kalanya tidak tepat) tentang suasana pembelajaran di sana.

Kebiasaannya juga, universiti yang berada di ranking tinggi, tahap lulus juga tinggi. Anda perlu berusaha lebih keras. Jadi, bergantung pada diri sendiri. Jika anda antara top-student, sukakan cabaran, mahu membudayakan suasana akademik yang kompetetif, mahu menyertai penyelidikan yang berkualiti, maka pilihlah universiti yang berada di ranking tinggi.Tetapi, jika anda mahu ‘bersantai’, belajar asal lulus, mungkin universiti ranking rendah lebih baik.Tetapi sekali lagi saya ingatkan, ia tidak semestinya tepat. Kadang-kadang ia bergantung pada fakulti mana anda berada. Dengan adanya ranking ini cukup sebagai gambaran kasar sahaja tentang suasana pembelajaran di universiti pilihan.

Ada banyak pihak yang menganalisa dan menyusun ranking universiti ini. Antara yang terkenal ialah QS World University Rankings;

Universiti Malaya banyak merujuk sistem ranking yang dibuat oleh QS ini untuk menetapkan KPI mereka. Nampaknya QS ini boleh dikatakan sudah ‘established’. Masalahnya, tidak semua universiti disenaraikan. 

Sebagai alternatif, boleh juga rujuk analisa oleh CSIC di link berikut;


Masalahnya, SCIC ini tidak begitu dikenali (bagi saya) dan saya tidak pasti sejauh mana ia boleh diyakini. Namun, untuk sekadar mendapat gambaran kasar, saya rasa ia sudah memadai.


(Ini adalah universiti top-10 di Jepun menurut QS World University Rankings 2013. Angka pada kiri sekali menunjukkan ranking di peringkat dunia. Universiti Malaya berada di ranking ke 167, mengatasi Universiti kesayangan-ku iaitu Tsukuba-Dai yang berada di ranking ke 210.)

5. Bilangan pelajar Malaysia


Saya dapati kawasan yang pelajar Malaysia ramai (lebih 100 orang), pelajar di sana agak susah untuk bergaul dengan kawan-kawan Jepun.  Mereka lebih selesa berada dalam ‘kampung’ mereka sendiri.  Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang sedikit orang Malaysia, (ada yang memang dialah satu-satunya rakyat Malaysia di kawasannya), masalah kesunyian akan muncul. Namun, jika mampu sesuaikan diri, bahasa Jepun mereka akan lebih cepat ‘pera-pera’.  Bagi mereka yang jenis kurang bergaul,  mungkin agak mencabar untuk tinggal di tempat yang tiada pelajar Malaysia. Orang seperti ini mungkin lebih sesuai berada di tempat yang ramai rakyat Malaysia. Bagi saya, bilangan antara 15 orang hingga ke 30 orang adalah yang terbaik. Tidak terlalu ramai dan tidak terlalu sedikit.  Apapun, ini bergantung kepada karakter masing-masing. Kriteria ini tidaklah sepenting kriteria lain yang dinyatakan di atas.

Itulah antara faktor atau kriteria penting bagi perspektif saya. Lain orang, lain keperluan.  Apapun, pastikan anda tahu kriteria apa yang anda perlukan.


Bersambung......

(InsyaAllah siri seterusnya saya berkongsi idea bagaimana kita boleh mengukur sejauh mana sesuatu universiti itu memenuhi kriteria yang kita tetapkan)

6 comments:

  1. assalamualaikum,sye nk tnye,apa kelebihan belajar di jepun?? sye di bwh tajaan jpa mara..dulu sye ltk jepun sbg first choice ..skrg ni bile dgr susah blaja bahasa jepun,sye dh mula tawar hati..takut x blh bwk..n sye amik kos sains sosial..tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Uwaah! Bertuahnya!
      Banyak kelebihannya.

      Sy plan nak apply nxt yr. Apakah syarat minimum utk apply JPA Mara scholarship ni to Jpn under social science? Kena score subjek apa?

      Tak pe... Akak boleh bawak punya la! Ganbatte! Datte... u chose JP in d first place bcoz u like smtg about it . rite? Nurture it. Like if ur an otaku, watch lotsa anime. U'll improve.

      PS Akak, blajar bidang apa ya dlm sosial sains? Psikologi? Akak, bajar kat IBT eh skarang?

      Delete
  2. Asalamualaikum... Bang, saya nk tanya... Dkt jepun ada kolej komuniti x

    ReplyDelete
  3. Cara terbaru pelajar boleh jana pendapatan hanya melalui aplikasi :) sila baca di Buat Duit Dengan ReadWard

    ReplyDelete
  4. Sorry saya nak tanya dekat jepun ditawarkan course engineering apa ye? And kita boleh pilih course yang kita nak?

    ReplyDelete
  5. Sorry saya nak tanya dekat jepun ditawarkan course engineering apa ye? And kita boleh pilih course yang kita nak?

    ReplyDelete