Pages

Wednesday 29 June 2016

KOLEKSI CATATAN (9) - BASUH HATI (bhgn. 1)

Sekarang!

Mati itu pasti. Alam kubur itu pasti. Syurga dan neraka itu pasti. Hari pembalasan itu pasti. Hari itu tidak berguna lagi harta dan anak pinak. Waktu itu, pahala menjadi ‘matawang’ yang sangat bernilai walaupun hanya sebesar zarah. Malangnya waktu itu bukanlah masa untuk bekerja mencari pahala.

Sekaranglah masanya!  Sementara masih hidup di dunia ini.
…………………………..

Sunday 26 June 2016

ISU RAKYAT: Apa sebenarnya Masalah Kita?


Ada sahabat yang prihatin berkata, “Masalah asas Malaysia ini adalah pemimpin yang korup, dengan isu 1MDB, isu penyalahgunaan harta rakyat, rasuah, kebajikan rakyat tidak terjaga, harga barang naik, GST dan lain-lain. Ini sebenarnya masalah yang menggusarkan rakyat Malaysia. Ini sebenarnya ISU RAKYAT.  Isu agama hanyalah isu yang dimanipulasikan untuk melindungi masalah sebenar!”

Maka ini respon saya;

Thursday 23 June 2016

KOLEKSI CATATAN (8) - POLITIK, PEMERINTAHAN DAN PAS (bhgn. 3/3)

Landasan yang benar?

PAS berusaha untuk memastikan gerakan mereka sentiasa di landasan yang betul sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran dan Sunnah. Antara usaha mereka;

1. Dalam perlembagaan PAS secara jelas menyebut Al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan tertinggi.

2. Majlis syura ulama (MSU) diwujudkan untuk pastikan PAS tidak tergelincir dari landasan syarak.

3. Tidak cukup dengan itu, Dewan Ulama pula diwujudkan bagi menghimpunkan ribuan ahli yang berlatar belakang pengajian Islam.

4. PAS juga membina networking dengan gerakan Islam lain di seluruh dunia. Mereka merujuk antara satu sama lain untuk memastikan gerakan mereka benar-benar bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah.

Barangkali ini semua belum cukup untuk memastikan PAS 100% berada di landasan yang benar.

Sekarang, bagaimana pula usaha UMNO untuk memastikan organisasi mereka di landasan yang benar seperti dinyatakan dalam Quran dan Sunnah?

Soalan ini, biarlah orang-orang UMNO yang jawab.

………………………….

Tuesday 21 June 2016

KOLEKSI CATATAN (7) - POLITIK, PEMERINTAHAN DAN PAS (bhgn. 2/3)

Kebatilan tersusun vs kebenaran berterabur


Sebenarnya sang penguasa zalim tidak ramai dan tidaklah sekuat mana. Tetapi mereka buat kerja secara tersusun dan 'berjemaah'.

Mereka menguasai posisi-posisi penting dalam pemerintahan, sistem pendidikan, badan kehakiman, pembuat undang-undang,  polis dan media massa.

Mereka menggunakan segala instrumen ini untuk melindungi kebobrokan mereka.

Mereka begitu bersatu padu merentas sempadan kaum dan agama atas 'aqidah' 'pembolotan kekayaan maksima'.

Manusia baik pula sebenarnya ramai...

Tetapi yang ramai ini tidak berbuat apa-apa. Mereka hidup berpecah belah dan pengecut.
Kata Saidina Ali, “ Kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun”.

Nak tegur kesilapan bini pun takut malam nanti tak 'dapat'... Nak tegur kesilapan rakan pun takut kononnya akan disisihkan... Apalagi nak diharapkan pada jiwa begini untuk tegur kesilapan pemerintah zalim?!

Akhirnya mereka hidup dalam keadaan diperalatkan oleh sang penguasa zalim sehingga tidak mampu lagi berfikir lurus. Ketika itulah penguasa zalim bertambah kuat dan ramai pengikut!

Untuk tutup sifat pengecut itu, mereka berselindung di sebalik ungkapan 'sabar', 'ada hikmah disebaliknya' dan 'takdir'... Betapa kalimah yang mulia ini telah disalahgunakan!

Benarlah maksud hadith yang menyatakan umat Islam akhir zaman ini ramai, tetapi mereka umpama buih di lautan. Mereka ditimpa penyakit wahn, iaitu cintakan dunia dan takutkan mati...

Tiada cara lain untuk elakkan penyakit wahn ini, selain kembali berpegang teguh dengan ajaran agama yang diajar di dalam Al-Quran dan Sunnah.

Peringatan untuk diriku juga...

(Semasa menulis catatan ini, saya terkenang kepada gambar lelaki yang berdiri tegak bersenjata itu. Gambar lelaki yang berdiri tegak itu lebih 'menggerunkan' saya berbanding gambar mayat yang digantung songsang disebelahnya. Pengajarannya; Bebaskan pemikiran dan jiwa dari belenggu pemikiran asing dengan kembali kepada ajaran Al-Quran seutuh-utuhnya.)

…………………..

Monday 20 June 2016

KOLEKSI CATATAN (6) - POLITIK, PEMERINTAHAN DAN PAS (bhgn. 1/3)

Menilai

Sekarang adalah masa terbaik untuk mengkaji dan menilai kumpulan pemimpin atau parti politik mana yang layak diangkat jadi pemimpin.

Pastikan sistem nilai kita betul. Kita mahukan pemimpin yang bukan setakat dapat memenuhi tuntutan perut dan apa yang dibawah perut semata-mata.

Kita mahu pemimpin yang boleh membawa keselamatan dunia dan akhirat.  Pastikan penilaian kita berdasarkan iman dan berpandukan Quran dan Sunnah.

Ingatlah, di akhirat nanti, pengikut akan bersama pemimpin mereka. Jika pemimpin ke neraka, pengikut pun ikut serta. Bukankah firaun dicampakkan ke neraka bersama bersama bala tentera yang menjadi pengikutnya?

Menjelang pilihanraya nanti, semua parti politik akan buat-buat baik. Masing-masing pakai make-up tebal-tebal sehingga tidak tahu mana satu kecantikan asli, mana satu yang sorok jerawat batu. Slogan yang lunak-lunak sahaja dimainkan. Sentimen dimainkan sehingga hilang segala rasional. 

Waktu itu, mungkin menonton bola lebih afdal dari menonton berita politik.

…………………..

Sunday 19 June 2016

KOLEKSI CATATAN HARIAN (5) - TEMA: DAKWAH

Fitrah

Kalau kita jumpa restoran yang makanannya sedap, servis bagus dan harga pun murah, kita akan cenderung untuk cerita pada orang lain terutama yang rapat dengan kita. Lagi besar impak positif restoran itu pada diri kita, lagi kuatlah kecenderungan kita untuk sebarkan pada orang lain. Ini sifat semula jadi manusia. Ini fitrah.

Begitulah juga perihal Islam. Lebih 'sedap' kita merasai nikmat Islam, dan lebih besar Islam itu memberi impak kepada diri kita, makin kuatlah dorongan dalam diri untuk sebarkan pada orang lain. Ini namanya dakwah.

Dakwah ini sifat semula jadi. Dakwah ini fitrah. Dalam masa yang sama ia diwajibkan lagi oleh agama.

Kerja dakwah bukan kerja ulama tertentu atau kumpulan tertentu. Ia bukan kerja set masjid atau mereka yang 'perasan bagus' semata-mata.

Tetapi ia kerja sesiapa sahaja yang merasai nikmat Islam.

…………………….

Friday 17 June 2016

KOLEKSI CATATAN HARIAN (4) - TEMA: AL-QURAN


Takwa

Firman Allah s.w.t yang bermaksud,

" (Al-Quran) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, hidayah dan pengajaran bagi orang-orang bertakwa". (3:138)

Manusia itu jarang tidak dapat bezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Tabiat kebenaran itu amat jelas hingga tidak memerlukan penjelasan yang panjang lebar.

Tapi manusia biasanya kurang cenderung kepada kebenaran dan kurang kekuatan untuk memilih jalan kebenaran. Mereka samada tunduk kepada tekanan hawa nafsu atau takut kepada ancaman penindasan terhadap perjuangan menegakkan kebenaran.

Kecenderungan kepada kebenaran dan daya kekuatan untuk terus berpegang kepada kebenaran ini hanya dapat diwujudkan oleh iman dan takwa.

Dengan sebab itulah, walaupun Al-Quran menjadi penerangan bagi seluruh manusia, hanya yang bertakwa sahaja yang mendapat hidayah dan pengajaran darinya.

(Disunting dari Fi zilalil Quran)

…………………

Thursday 16 June 2016

KOLEKSI CATATAN HARIAN (3) - TEMA: ARAH HIDUP

Tujuan hidup

 Apa yang manusia mahu capai dalam hidup ini? Apa tujuan hidup ini?

Jika tujuan hidup untuk kekal sihat, kita pasti gagal kerana lambat laun akan sakit dan mati juga.

Jika tujuan hidup untuk banyak harta, kita pasti gagal kerana harta kita akan diagihkan kepada orang lain juga.

Jika tujuan hidup kita untuk berpangkat tinggi dan berkuasa, kita pasti gagal kerana lambat laun akan ‘pencen’ juga.

Satu-satunya tujuan hidup yang realistik ialah tujuan hidup yang berorientasikan akhirat. Kerana akhirat itulah yang kekal.

Topik akhirat bukan topik di masjid, oleh manusia masjid semata-mata. Topik akhirat adalah topik manusia realistik.

……………………………..

Wednesday 15 June 2016

KOLEKSI CATATAN HARIAN (2) - TEMA: KEBENARAN

Kebenaran bukan dari majoriti


Nabi Noh a.s. berdakwah selama 950 tahun. Pengikut baginda hanya 80 orang. Kalau masuk pilihanraya, hilang wang deposit!

Nabi Noh tetap dipuji sebagai pemimpin/rasul yang mulia.

Kemuliaan dan kehebatan seorang pemimpin bukanlah dilihat pada bilangan pengaruh dan sokongan, tetapi dilihat dari keteguhannya berpegang pada kebenaran.

Kebenaran itu pula bukanlah datang dari majoriti.

Kebenaran itu datang dari Tuhan.

…………………………….

Tuesday 14 June 2016

KOLEKSI CATATAN HARIAN (1) - TEMA: KEBENARAN

Tongkat dan bayang


Sementara kita mengkaji  sesuatu isu atau mana-mana parti politik/gerakan/pertubuhan/ perkumpulan untuk kita tentukan sikap (samada untuk disokong, diundi,  dibantu, dilawan), perkara utama yang perlu kita buat ialah 'kaji' diri sendiri juga.

Adakah sudah jelas apa itu kebenaran dan apa itu kebatilan? Adakah kita dapat bezakannya sebagaimana kita dapat bezakan antara cahaya dan kegelapan?

Bagaimana seseorang itu dapat membuat penilaian yang benar jika dia sendiri tidak tahu 'benar' itu apa?

Tongkat yang bengkok tidak akan dapat menghasilkan bayang yang lurus.

…………………………