Punca asas kepada kebanyakan konflik termasuk konflik antara PAS dan Parti Amanah Negara adalah
“perbezaan kecenderungan”. Dari perbezaan inilah membawa kepada perbezaan
perspektif dan pendapat. Hal ini saya telah ulas dalam entri yang lalu. (Rujuk http://basridk.blogspot.my/2017/05/mencari-punca-asas-kepada-konflik.html )
Mampukah kita melihat sesuatu perkara
secara keseluruhan?
Ada yang bertanya, “tidak bolehkah
kita melihat sesuatu isu itu secara keseluruhan? Atau pun lihat sebagaimana
adanya (as it is). Dengan itu tidak
perlulah kita terikat dengan perspektif tertentu”.
Jawapan itu betul, tetapi terlalu idealistik.
Dalam contoh ilusi perspektif “wanita muda atau tua” yang saya telah
tunjukkan dalam entri yang lepas, mungkin idea itu boleh diterima. Kita mungkin
boleh berjumpa sendiri wanita dalam gambar itu. Kita boleh melihat wajah wanita
itu secara ‘keseluruhan’. Dengan itu, kita tidak akan terperangkap dengan ilusi
perspektif tersebut.
Namun, dalam konflik antara PAS dan Parti Amanah Negara, atau
konflik-konflik lain secara umum, realitinya tidak semudah itu.
Sebagai contoh, dalam konflik RUU355, untuk melihat isu ini secara
keseluruhan, maka kita perlu ‘lihat’ sendiri adakah DSNR (Najib Tun Razak)
benar-benar mahu memperdaya PAS. Dalam hal ini, kita tidak boleh bergantung
pada jawapan lisan atau perbuatan zahir semata-mata. Lisan dan zahir boleh
menipu. Kita mungkin boleh buat statistik dan analisa berdasarkan ‘trend’
pembohongan UMNO dan BN. Dari data-data itu, kita boleh membuat unjuran atau
jangkaan samada DSNR mahu menipu atau tidak.
Tetapi, itu belum dinamakan ‘keseluruhan’. Unjuran mahupun jangkaan
bukan kepastian. Jika kita mahu melihat secara ‘keseluruhan’, maka kita
perlukan melihat apa yang disembunyikan.
Iaitulah isi hati beliau. Apa
yang terkandung dalam isi hati itulah maklumat yang sebenar dan penting. Namun,
kita tidak ada ‘alat’ untuk melihat isi hati manusia.
Selain itu, kita juga perlu menyiasat apakah agenda ‘tersembunyi’ disebalik
persetujuan TGHH untuk menyambut tawaran UMNO untuk menyokong RUU355. Mungkin TGHH
termakan dedak. Jika begitu, kita perlu
lihat sendiri dedak RM90juta itu. Kita tidak boleh bergantung kepada laporan
media. Ini kerana media terikat dengan kecenderungan tertentu. Oleh itu, kita
perlu lihat sendiri transaksi itu berlaku. Selagi kita bergantung kepada
laporan media, selagi itulah kita tidak dapat melihat sesuatu isu/konflik
secara keseluruhan. Selagi ada agenda ‘tersembunyi’, selagi itulah kita tidak
dapat melihat konflik itu secara keseluruhan.
Dari sudut lain, mungkin juga TGHH dapat melihat peluang disebalik tipu
daya UMNO terhadapnya. Mungkin TGHH cukup ‘genius’ sehingga dapat lihat sesuatu
yang ‘orang biasa’ tidak dapat lihat. Albert
Einstein mampu perkenalkan konsep ruang-masa (spacetime) dalam teori relativiti yang bercanggah dengan sistem
kepercayaan ‘mainstream’ pada waktu
itu yang menggangap ruang dan masa bersifat malar. Barangkali TGHH adalah genius dalam bidang
politik Islam sebagaimana Albert Einstein genius dalam bidang fizik. Sebagaimana teori Einstein pada mulanya
dianggap nonsense (mengarut) oleh
kalangan ahli sains sendiri, begitulah juga PAS dan TGHH dilihat ‘tidak bijak
politik’ oleh ‘mainstream’ yang
anti-UMNO pada hari ini. Jika begitu keadaannya, kita memerlukan akal yang sama atau mengatasi kegeniusan akal
TGHH.
Realitinya, kita tidak mampu berbuat begitu. Kita tidak mampu mendapat
maklumat secara telus dan lurus dari pimpinan yang berkonflik. Kita bergantung
kepada laporan media yang pastinya bias terhadap sesuatu pihak. Bermakna, sudah
terlalu banyak maklumat penting yang kita tidak dapat lihat. Realitinya, kita
mengambil keputusan dan sikap berdasarkan kepada ‘secebis maklumat’ yang sudah
bercampur aduk dengan persepsi yang boleh dimanipulasi bila-bila masa.
Dalam keadaan untuk mendapat maklumat ‘zahir’ pun kita tidak mampu lihat
secara keseluruhan, apatah lagi mahu melihat perkara yang tersirat seperti isi
hati manusia. Sedangkan apa yang
tersirat dalam hati sendiri pun kita tidak dapat fahami, inikan pula isi hati
orang lain. Contohnya, kita mungkin pernah mendengar ada orang berkata “aku takde selera nak makan tengahari ni”.
Tetapi bila sesuatu makanan itu
dihidangkan, orang itulah yang paling berselera! Dalam soal “selera makan” pun
kita tidak tahu apa yang dimahukan oleh selera kita sendiri.
Firman Allah S.W.T (yang bermaksud);
“Dan (kerana gemarkan pahala berjuang
menegakkan Islam) orang-orang yang beriman berkata: "Alangkah baiknya sekiranya
diturunkan satu surah (dari Al-Quran, yang memerintahkan kami berjuang)?"
Maka apabila diturunkan satu surah (dari Al-Quran) yang tegas keterangannya dan
tersebut padanya hukum-hukum yang mewajibkan perang Jihad (menentang
pencerobohan musuh), sudah tentu engkau akan melihat orang-orang yang ada
penyakit (kufur) dalam hatinya memandang kepadamu dengan terbeliak matanya
kerana gerun takut menghadapi mati;
dengan yang demikian, maka kebinasaanlah lebih hampir kepada mereka”. (Muhammad 47:20)
Ayat di atas menunjukkan ada manusia yang menyangka dirinya sanggup
berjihad, tetapi apabila perintah jihad itu sampai, barulah timbul apa yang
tersirat di hati iaitu perasaan takut menghadapi mati.
Oleh itu, kita terpaksa akur bahawa kita tidak akan mampu melihat konflik
antara dua parti ini secara keseluruhan atau ‘as it is’(sebagaimana adanya). Seruan sebegini adalah terlalu
idealistik. Ia adalah mustahil untuk direalisasikan oleh manusia biasa. Kita tetap akan tertakluk kepada perspektif
yang kita mahu lihat sahaja. Perspektif
itu pula bergantung kepada kecenderungan kita.
Satu-satunya pihak yang dapat melihat secara keseluruhan adalah Allah S.W.T!
………………………………..
Mampukah kita tidak mahu cenderung kepada apa-apa?
Ada yang berkata, “Untuk elak
bersikap bias, kita patut baca semua media massa. Kita baca Harakahdaily yang
pro-PAS dan baca media yang pro kepada parti lawannya. Dari situ kita buat
penilaian”.
Persoalannya, apakah asas kepada penilaian itu? Bagaimana kita hendak menentukan sesuatu
laporan media atau maklumat itu betul atau salah? Akhirnya kita akan bergantung
kepada logik akal kita sendiri. Sesuatu
laporan yang salah, jika dimanipulasi secara ‘bijaksana’, disusun dengan cara
yang rapi dan menarik perhatian, dibentangkan berkali-kali, diviralkan
seluas-seluasnya, akhirnya ia akan
dianggap betul. Atau pun,
setidak-tidaknya, “if you can’t convice
them, confuse them”.
Seperti kata Saidina Ali (dengan maksud lebih kurang), “Kebatilan yang terancang akan dapat mengalahkan kebenaran yang tidak terancang” .
Sesuatu yang nonsense akan menjadi make
sense jika ia dimake sensekan. Begitulah ‘flexible’nya
akal manusia sehingga ia boleh ‘mengikut’ apa sahaja kecenderungan manusia.
Sebab itu kita jangan pelik jika melihat
golongan atheist ‘mampu’
merasionalkan idea bahawa Tuhan tidak wujud.
Akal ‘terlajak bijak’ sebegini, jika mereka mahu merasionalkan bahawa
matahari tidak wujud pun mereka ‘mampu'. (Penonton filem The Matrix dan pembaca Simulation
Theory/Hyphotesis tentu faham apa yang saya maksudkan). Jadi, apalah sangat jika sekadar mahu
merasionalkan penubuhan parti Islam baru untuk menentang parti Islam yang asal.
Oleh itu, janganlah kita sangka kebijaksanaan kita sahaja sudah cukup untuk
mengelak menjadi mangsa manipulasi maklumat dan fakta. Malah, antara tanda ‘kubra’
seseorang itu menjadi mangsa manipulasi ialah ia menyangka ia tidak
dimanipulasi.
Ada yang berkata, “nasib baik aku
non-partisan. Aku dapat lihat mana-mana isu politik secara objektif tanpa perlu
cenderung kepada mana-mana parti politik”.
Tanpa sedar, sebenarnya beliau telah cenderung kepada ‘non-partisan’!
Kecenderungan itu ibarat “the law of
gravity”. Kita tidak dapat lari
daripada tarikan kecenderungan sebagaimana kita tidak dapat lari dari tarikan
graviti. Itulah “the law of attraction”.
Jika kita tidak mahu berpihak kepada mana-mana pihak, sebenarnya kita
sedang berpihak kepada pandangan diri sendiri.
Yang mana lebih baik; pandangan bersifat peribadi, atau pandangan yang
telah dikumpul, dibahas, dan disatukan secara kolektif? Bukankah parti-parti
politik itu mengumpul, membahas dan menyatukan pandangan-pandangan secara
kolektif?
……………….
Mari kita insafi......
Mari kita insafi bahawa manusia tidak akan mampu melihat konflik ini secara
keseluruhan. Kumpulkanlah seribu orang
segenius Einstein sekalipun, pandangan dan kebijakan manusia tetap terbatas.
Mari kita insafi bahawa bacalah
sebanyak mana suratkhabar sekalipun, pandangan kita tetap tertakluk kepada perspektif
tertentu.
Mari kita insafi bahawa walau sekuat mana pun kita cuba untuk tidak
cenderung pada mana-mana, kita tetap tidak akan berjaya. Kita hanya boleh
keluar dari satu bentuk kecenderungan, kemudian beralih pula kepada
kecenderungan yang lain. Kecenderungan
inilah yang menentukan perspektif, pendapat, penilaian dan tindakan kita.
Yang penting sekali, mari kita insafi bahawa kita amat berhajat kepada pertolongan dan belas kasihan dari Tuhan!
"Demi sesungguhnya, jika aku tidak
diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat". (Al-An'aam 6:77)
Apabila kita mampu mengungkapkan perkataan ini yang terbit dari keinsafan bahawa
kita manusia yang lemah, bermakna (mudah-mudahan) kita sudah kembali kepada
kecenderungan ‘fitrah’ manusia sejak hari pertama ia dilahirkan iaitu
kencederungan “mengharapkan petunjuk Tuhan”.
Jika kita dapat kembali serta ber‘istiqamah’ dengan kecenderungan ini,
bermakna kita sudah berada pada landasan yang betul ke arah penyelesaian sebarang konflik. Mudah-mudahan.
Wallahu’alam. (Allah jualah yang lebih mengetahui).
Basri DK
basridk.blogspot.my
7 Mei 2017
11 Syaaban 1438
No comments:
Post a Comment