Aura solat
Seluruh pergerakan dan bacaan dalam solat
merupakan perbuatan menyembah dan mengingati Allah.
Solat menunjukkan kita akur hanya pada
Allah dan serahkan diri hanya pada Allah.
Perbuatan dan penghayatan sebegini, akan
membawa 'aura' hingga luar solat.
Sebab itu seseorang yang betul-betul
kerjakan solat, tidak akan tergamak melakukan maksiat. Kerana ia bercanggah
sekali dengan 'aura' solat yang dibawanya.
Perbuatan maksiat memerlukan ia tunduk kepada
nafsu. Bermakna ia sudah bercanggah dengan ucapan dalam al-fatihah "Hanya kepadaMu
kami menyembah..." , malah dalam seluruh perbuatan solat itu sendiri yang
menjadi lambang ketundukan hanya kepada Allah semata-mata, tidak kepada yang
lain termasuk nafsu.
Barangkali inilah rasionalnya Quran
menyatakan solat itu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.
Apabila seseorang itu solat tetapi masih
melakukankan maksiat, maka perkara utama yang perlu dia perbaiki ialah kualiti
solatnya.
Gunung atau lalat?
Orang yang beriman melihat dosanya seperti
berada di bawah gunung. Dia bimbang yang gunung itu akan menimpanya.
Orang yang ingkar pula melihat dosanya
seperti lalat yang hinggap di hidung. Lalu ditepisnya begitu sahaja.
Tanya pada diri, "Bagaimana aku
melihat dosa-dosaku"?
Dari situ kita dapat mengenali diri kita
sendiri.
…………………………
%
Antara tujuan solat adalah untuk mengingati
Allah.
Lawan bagi 'ingat' adalah lupa atau lalai.
Al-Quran menyebut: "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang
solat. Iaitu orang2 yang lalai dari solatnya".
Cubalah selepas solat nanti kita semak berapa
% waktu solat tadi kita ingat Allah, dan berapa % pula yang kita lalai.
Dari situ, kita sudah boleh tahu kualiti
solat kita. Dari situ, kita boleh usaha untuk tingkatkan peratusan mengingati
Allah.
…………………..
Taubat vs (tabiat + nafsu)
Ada orang yang dengan sengaja menangguhkan
taubat. Mereka berkata, "nanti dah tua aku bertaubat la. Skarang nak enjoy
dulu."
Dia sangka taubat itu semudah tukar baju.
Dia tidak tahu ada orang yang sudah berpuluh tahun berusaha untuk taubat dari
satu jenis maksiat, tetapi masih belum jumpa jalan keluar dan bergelumang dengan
maksiat itu.
Dia sangka Tuhan yang Maha Pemurah akan
mengampunkan dosanya begitu sahaja. Dia lupa bahawa Allah juga Maha Adil, Maha
Halus, dan Maha Menghukum.
Dia tidak tahu bahawa: "Orang beriman
itu apabila melakukan kebaikan, merasa takut amalnya tidak diterima. Sedangkan orang
munafiq apabila melakukan kejahatan, berangan-angan dosanya akan diampun".
Dia tidak tahu atau buat-buat tidak tahu
bahawa apabila maksiat sudah jadi tabiat, yang perlu diperangi bukan sahaja
nafsu, tetapi nafsu+tabiat!
Dia sangka apabila ia sudah bertaubat, ia
mampu kekal dalam taubat hingga ke akhir hayat. Dia tidak tahu alangkah banyaknya
ujian dan cabaran yang bakal menyusul selepas taubat. Imam Al-Ghazali meletakkan
taubat sebagai tahap ke-2 daripada 7 tahap dalam perjalanan seorang manusia
mengabdikan diri kepada Tuhan.
Dia sedang
tertipu dan aman dengan kehidupannya sendiri sedangkan dia tidak sedar
barangkali dia sedang berada di tepian api neraka. Yang memisahkan dirinya dengan
neraka hanyalah maut!
Semoga dia dan yang menulis ini segera
bertaubat sblm segalanya sudah terlambat.
……………………………..
Bolak-balik
Hati manusia sifatnya mudah berbolak-balik.
Hari
ini seseorang itu mungkin beramal dengan amalan manusia soleh, seolah-olah jika
mati waktu itu, syurgalah tempatnya.
Tetapi boleh sahaja terjadi keesokan
harinya berubah hatinya sehingga melakukan maksiat seolah-olah nerakalah
tempatnya nanti.
Sebab itu setinggi mana pun ilmu, sebanyak
mana pun amal, seseorang itu tidak akan dapat mendakwa dirinya lebih baik di
sisi Tuhan berbanding orang lain.
Tidak hairanlah nabi kita Muhammad s.a.w
mengajar kita dengan doa ini (dengan maksud lebih kurang);
" Wahai yang membolak-balikkan hati,
tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu dan di atas ketaatan kepada-Mu. "
………………………
Musibah
"Mintalah pertolongan Allah dengan
sabar dan solat..."(Q2:45)
Bila ditimpa musibah, kita dinasihatkan
agar bersabar. Barangkali perkataan 'sabar' ini sudah terlalu biasa atau cliche
bagi kita. Tetapi yang biasa, yang cliche inilah yang amat kita perlukan...
"Dan sungguh akan Kami uji (iman)
kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan
buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu)
orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, "Sesungguhnya
kami milik Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepada-Nya..." (Q2:155-156)
"Musibah berupa apa saja yang menimpa orang
Muslim akan menyebabkan Allah menghapuskan dosanya, walaupun hanya berupa duri yang
menusuknya." (Hadith sahih al-Bukhari)
"... Dan berikanlah berita gembira kepada
orang-orang yang sabar.”
………………………
Mudah waktu susah
Manusia biasanya mudah mentaati Allah pada
waktu susah.
Yang payahnya ialah tetap mentaati Allah
setelah Allah keluarkan dari kesusahan.
"Dan apabila mereka dirempuh serta
diliputi ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat
itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya
semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka
sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada
Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti
kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi
amat tidak mengenang budi." (31:32)
…………………………….
No comments:
Post a Comment