Sangat tidak wajar jika kita
sebagai seorang muslim, sebagai seorang pejuang Islam, yang mahu mengangkat
kemuliaan agama Allah dari segi syariat dan syiarnya, tiba-tiba kita jahil tentang
Islam.
Kalau orang tanya kita, “Apa
dasar perjuangan kamu?”
Kita jawab, “Al-Quranul karim
dan hadith nabi s.aw”. Tetapi kita buta
tentang Al-Quran dan rabun tentang hadith Nabi s.a.w. Itu sangat tidak wajar.
[YB Ustaz Nasrudin Hasan]
Catatan diambil berdasarkan ucapan di link
berikut;
Nota: Salinan berikut tidaklah 100% tepat dan lengkap. Namun, diharap memadai untuk mereka yang ingin
mengambil manfaat;
................
Wacana ini akan disusun secara bersiri seluruh
negara. Ini program pertama. Lajnah dakwah berhasrat memastikan setiap individu
muslim memiliki akidah yang mantap dan kefahaman yang jelas, akhlak yang soleh
bagi menempuh cabaran masa kini.
Ada 3 dimensi yang perlu diberi perhatian terutama
bagi ahli gerakan Islam mahupun pendakwah;
1. Akidah
yang jelas
2. Memiliki
fikrah Islam yang syumul
3. Akhlak
yang soleh
Masyarakat kita sedang bergelut dengan ancaman
yang mahu merosakkan akidah, fikrah dan akhlak sehingga hilang jati diri sebagai
seorang muslim. Rata-rata orang Islam hari ini sudah tidak macam orang Islam.
Mereka lebih barat dari barat. Samada melalui penampilan batang tubuh mereka,
atau ucapan-ucapan mereka, atau pun penulisan-penulisan mereka di alam siber.
Ramai umat Islam hari ini mengalami krisis identiti. Mutakhir ini mereka
dikelirukan dengan pelbagai istilah-istilah seperti sosialisme Islam,
kapitalisme Islam, nasionalisme Islam. Pembawa istilah ini seolah-olah
menggambarkan Islam itu tidak lengkap jika tidak disandarkan kepada
istilah-istilah ini.
Sesungguhnya agama (yang
benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan
Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan
enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah
tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki
yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan
ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan
hisabNya. (A-li'Imraan 3:19)
Agama yang diiktiraf disisi Allah ialah Islam.
Ayat ini Allah sebut tentang kesempurnaan Islam. Agama yang diwahyukan oleh
Allah. Bukan sahaja kita, nabi Muhammad s.a.w sendiri tidak mempunyai autoriti
untuk mengubah agama yang diwahyukan oleh Allah. Nabi Muhammad s.a.w bercakap
berdasarkan apa yang diwahyukan oleh Allah. Sekiranya nabi pun tiada autoriti
untuk mengubah agama ini, siapalah kita.
Perbuatan membawa pelbagai ideologi lalu
disandarkan kepada Islam ini akhirnya memberi imej yang buruk kepada Islam itu
sendiri. Dr Yusuf Al-Qardhawi ada
berkata,
“Islam adalah Islam”.
Islam tidak perlu sebarang penambahan.
Saudara nak bincang soal kebajikan kepada
orang-orang miskin, kebajikan kepada golongan marhaen, lalu membawa fahaman
sosialis untuk melengkapkan perjuangan Islam ini, sedangkan dalam Islam lebih
awal disebut samada melalui hadith atau dalam Al-Quran menggambarkan bahawa
Islam sangat memberi keutamaan kepada
soal kebajikan dan juga membantu mereka yang memerlukan.
Contohnya;
“…….Dan hendaklah kamu
bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu
bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan
bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya
(bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Al-Maaidah 5:2)
Prinsip tolong menolong dalam perkara kebajikan ini
telah dikemukakan oleh Allah. Tugas kita adalah untuk menguruskannya. Maka
wujudlah lajnah, biro, jawatankuasa dan sebagainya bagi mengendalikan prinsip
yang telah ditetapkan oleh Allah.
Urusan memurnikan akidah, fikrah dan akhlak adalah
urusan yang mencabar. Ia tanggungjawab kita bersama. Kita tidak mahu kalangan
umat Islam yang masih keliru tentang Islam. Sebahagian mereka mungkin yang
telah terlibat dengan gerakan Islam. Tapi masih belum mempunyai pengetahuan
yang mendalam tentang Islam.
Program seperti ini akan membekalkan ilmu. Kita
harap ia akan dihayati dan dilaksanakan. Jadikanlah penglibatan kita dalam
gerakan Islam ini seperti kita menyertai open
university, untuk menambah ilmu, seterusnya membasmi kejahilan yang menjadi
musuh tradisi kita. Sangat tidak wajar jika kita sebagai seorang muslim,
sebagai seorang pejuang Islam, yang mahu mengangkat kemuliaan agama Allah dari
segi syariat dan syiarnya, tiba-tiba kita jahil tentang Islam.
Kalau orang tanya kita, “Apa dasar perjuangan
kamu?”
Kita jawab, “Al-Quranul karim dan hadith nabi
s.aw”. Tetapi kita buta tentang Al-Quran
dan rabun tentang hadith Nabi s.a.w. Itu
sangat tidak wajar.
Sebab itu keutaman yang besar kepada Islam ialah
membasmi kejahilan.
“Dan tidaklah (betul dan
elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu,
hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya
orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut
di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang)
apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat
berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” (At-Taubah 9:122)
Walaupun mungkin dari latar belakang kita bukan
belajar agama, disiplin pengajian kita mungkin arkitek, mungkin jurutera,
tetapi sebagai seorang muslim, menjadi tanggungjawab setiap individu itu untuk
mendalami dan memahami urusan agama Allah.
Jika kita seorang jurutera, kita menjadi jurutera
yang fakih.
Jika kita seorang doktor, kita menjadi doktor yang
fakih.
Jika kita seorang peguam, kita menjadi peguam yang
fakih.
Kita tidak boleh beralasan dengan berkata, “Oleh
kerana kita bukan bidang agama, kita tidak perlu bincang soal agama. Jadi kita
serahkan sahaja pada para asatizah, para alim ulama”.
Islam bukan milik individu, bukan milik kelompok
tertentu, tapi ia wajib difahami, dihayati oleh setiap individu muslim.
Saya mengharapkan dari wacana seperti ini antum
semua menjadi kader, aktivis, pemimpin
yang bertanggungjawab membimbing ummah di luar sana memahami Islam
dengan betul dan tepat. Walaupun dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab
ini, cabarannya sengit. Kadang-kadang kita berdepan dengan maki hamun orang
ramai. Kalau kita tulis dalam facebook, akan dapat serangan dari pelbagai pihak.
Demikian juga jika kita hadir dalam program terbuka, kita akan ditempelak dan
disinis.
Saya nak sebut, itulah sunnah perjuangan.
“Islam datang dalam keadaan terasing, akan kembali
dalam keadaan terasing. Berbahagialah orang yang asing ini”.
Saya akhiri ucapan ini dengan memetik ungkapan
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna;
“Ketika kamu dapati kamu sangat sibuk dengan
kerja-kerja Islam ini, sebenarnya itulah kelebihan kurnia Allah kepada kamu.”
Janganlah rasa kesal, bosan, jemu, terhimpit,
terdesak dengan kerja-kerja Islam ini walaupun ia mengambil masa, tenaga, wang
ringgit, dan mengambil separuh dari kepentingan hidup kita.
No comments:
Post a Comment