Entri ini dikarang dan disusun seringkas mungkin dengan harapan ia dapat
difahami oleh semua ‘pemerhati isu politik’ termasuk mereka yang bukan dari
latar belakang pendidikan Fizik.
‘Cara fikir Fizik’
Perhatikan rajah berikut;
Jika kita berada di titik O, kita akan dapat lihat objek A bergerak
menjauhi kita (titik O) dengan kelajuan 2 km/j (ke arah kiri). Manakala objek B
pula bergerak menjauhi kita (titik O) dengan kelajuan 3 km/j (ke arah kanan).
Sekarang, bayangkan kita berada DI DALAM objek A. Waktu itu, kita akan
lihat objek A sebagai pegun (tidak bergerak), manakala objek B bergerak
menjauhi kita (iaitu objek A) dengan kelajuan 2+3=5 km/j.
Jika kita berada DI DALAM objek B pula, kita akan dapati objek B sebagai
pegun, manakala objek A bergerak
menjauhi kita (iaitu objek B) dengan
kelajuan 2+3=5 km/j.
Perhatikan, kelajuan objek A berubah-ubah (2, 0, 5 km/j) bergantung kepada
“di mana kita melihat” objek tersebut.
Begitu juga kelajuan objek B.
Kesimpulannya, kelajuan sesuatu objek bersifat relatif iaitu tertakluk
kepada “di mana kita melihat” objek tersebut.
Hal ini dibincangkan dalam subjek Fizik di bawah topik relativity.
“Di mana kita melihat” itu secara umumnya disebut “titik
rujukan”(point of reference) atau
dalam topik relativity dinamakan
“BINGKAI RUJUKAN”(frame of reference).
Dalam urusan seharian, apabila bercakap tentang kelajuan, kita sebenarnya
telah menjadikan permukaan bumi sebagai bingkai rujukan samada sedar atau tidak. Misalnya, apabila kita memandu dengan kelajuan 110 km/j di atas lebuhraya,
sebenarnya kita telah menetapkan permukaan bumi (jalan raya) sebagai bingkai
rujukan. Kita telah menganggap permukaan
bumi sebagai pegun (tidak bergerak). Tetapi, jika kita menjadikan ‘paksi bumi’
sebagai bingkai rujukan, kita akan dapati bahawa permukaan bumi sedang berputar
mengelilingi paksinya dengan kelajuan 1,670 km/j (di garis khatulistiwa). Jika
kita menjadikan paksi matahari pula sebagai bingkai rujukan, kita akan dapati
bumi ini sendiri sedang bergerak mengililingi matahari dengan kelajuan 107,200
km/j! Harus diingat, paksi matahari bukanlah
pegun. Matahari juga bergerak mengilingi pusat galaksi Bima Sakti… dan seterusnya.
Kalau begitu, berapa kelajuan sebenar ketika kita memandu di jalan raya?
Dari perspektif ‘cara fikir Fizik’, tidak ada istilah ‘kelajuan sebenar’.
Yang ada adalah ‘kelajuan relatif’. Oleh
itu, istilah ‘sebenar’ yang digunakan dalam bahasa perbualan seharian (apabila
membicarakan soal kelajuan) adalah dengan menganggap permukaan bumi itulah
sebagai “bingkai rujukan yang sebenar”.
…………………………..
Adakah Haji Ali Pengkhianat?
Mari kita aplikasikan ‘cara fikir Fizik’ di atas dalam contoh mudah
terlebih dahulu.
(Screenshot video temuramah Haji Ali) |
Saya teringat kisah Haji Ali, atau nama asalnya Yano Sigaeru. Beliau
merupakan bekas tentera Jepun yang memeluk Islam semasa zaman penjajahan Jepun
ke Tanah Melayu. Setelah memeluk Islam, beliau terus menetap di Tanah Melayu
serta berkahwin dengan orang Melayu dan menjadi sebahagian dari anggota
masyarakat di Tanah Melayu.
Haji Ali ini sebenarnya pengkhianat atau tidak?
Jika dilihat dari kaca mata tentera Jepun, barangkali Haji Ali patut
dipancung kepalanya! Beliau telah mengkhianati bangsanya sendiri. Ini kerana,
Jepun menjadikan semangat “nasionalisme Jepun”
sebagai bingkai rujukan.
Namun, bagi kita penduduk Tanah Melayu, tidak memandangnya begitu.
Bagi kita, beliau adalah hero yang perlu disanjung tinggi! Kita amat memuji dan terharu dengan
kesanggupannya memeluk Islam dan meninggalkan negara tempat tumpah darahnya. Ini
kerana, samada sedar atau tidak kita telah menetapkan “nasionalisme Melayu”
atau “Islam” sebagai bingkai rujukan.
Oleh itu, seandainya ada individu bernama M di kalangan bangsa Melayu Islam
menyertai Jepun, (sebagaimana dilakukan oleh Haji Ali) kita
akan menganggap M sebagai pengkhianat bangsa dan agama. Namun, disisi tentera
Jepun, M akan dianggap hero!
Bagi orang Jepun, tindakan M adalah ‘halal’, manakalah tindakan Haji Ali
pula adalah ‘haram’. Sebaliknya, bagi kita pula, tindakan Haji Ali adalah
halal, manakala tindakan M pula adalah haram.
Syukurnya kita ini orang Islam. Dengan itu kita dapat tahu apakah ‘bingkai
rujukan sebenar’. Iaitulah ISLAM. Al-Quran dan Sunnah adalah sumber rujukan
tertinggi kita.
Dengan itu, jika ada tentera Jepun yang mengajak kita berdebat tentang “Adakah
Haji Ali Pengkhianat?” maka yang perlu kita lakukan bukanlah berhujah tentang tindakan
Haji Ali, tetapi berdakwahlah sehingga ia bersetuju bahawa “ISLAM” adalah
‘bingkai rujukan sebenar’. Di sinilah punca sebenar perbezaan pendapat antara
kita dengan tentera Jepun tersebut. Jika dakwah kita diterima, secara automatik
beliau akan sedar Haji Ali bukanlah pengkhianat.
…………………………
Adakah PAS pengkhianat?
“PAN adalah pengkhianat!”, laung
penyokong PAS di alam maya.
“PAS lah yang mengkhianati PR!”
balas penyokong Parti Amanah Negara pula.
Yang terbaru, “PKR telah melanggar
syarat tahaluf siyasi. PKRlah yang bersalah”, kata pimpinan PAS.
Pimpinan Parti Amanah Negara pula berkata, “PASlah yang lebih dahulu melanggar syarat tahaluf siyasi”.
Kemudian, disenaraikan ‘kesalahan PAS’ seperti isu DUN Sg. Acheh dan
Kota Damansara.
Dan seterusnya….. masing-masing menyenaraikan kesalahan lawan
masing-masing.
Bagi sebahagian non-partisan pula, akan berkata, “mana-mana parti politik pun sama je perangainya…”
Sebagai ‘orang Fizik’, saya hanya perlu scroll
laju-laju.
Saya tidak perlu jadi pakar Fizik untuk memahami bahawa ‘perbincangan’ untuk mencari siapa pengikhianat itu
tidak akan ke mana selagi masing-masing tidak berpegang pada ‘bingkai rujukan’
yang sama. ‘Perbincangan’ mereka adalah
ibarat mahu menentukan kelajuan objek A samada 2 km/j, atau pegun, atau 5 km/j
tanpa mempedulikan soal ‘bingkai rujukan’(rujuk semula rajah pada awal entri
ini). Pastinya ia tidak akan ke mana-mana!
Sebagai orang Islam, saya beriman bahawa ‘bingkai rujukan sebenar’ adalah
ISLAM iaitu Al-Quran dan Sunnah.
Dari sinilah batas kemampuan ilmu dan akal saya. Baca Al-Quran pun
mengharapkan tafsir bahasa Melayu, Hadtih 40 karangan Imam Nawawi itu pun saya
belum habis baca, bagaimana mungkin saya mahu bercakap tentang politik Islam (siyasah syariah) atau ‘tahaluf
siyasi’ secara khusus.
Saya insafi bahawa tahaluf siyasi amat berbeza dengan sekadar pakatan
politik, sebagaimana “puasa” berbeza dengan “tidak makan dan tidak minum”.
Puasa melibatkan hukum. Apabila bercakap tentang puasa, kita sebenarnya merujuk kepada ISLAM sebagai bingkai rujukan. Jika saya berpuasa pada 1 Syawal, saya dikira berdosa
kerana itu adalah hari diharamkan puasa. Tetapi, jika sekadar “tidak makan dan
tidak minum” pada 1 Syawal tanpa berpuasa, saya dikira ‘sudah gila’ sahaja.
Tahaluf siyasi menggunakan ISLAM sebagai bingkai rujukan. Penentuan hukum perlu dibuat secara ijtihad oleh kumpulan ulama yang ilmu mereka layak untuk berijtihad. Manakala pakatan politik, bingkai rujukannya ikut sedap selera akal sahaja.
Tahaluf siyasi menggunakan ISLAM sebagai bingkai rujukan. Penentuan hukum perlu dibuat secara ijtihad oleh kumpulan ulama yang ilmu mereka layak untuk berijtihad. Manakala pakatan politik, bingkai rujukannya ikut sedap selera akal sahaja.
Saya perlu menghormati batas ilmu dan kemampuan akal saya. Dari situlah
saya mengharapkan bimbingan ulama kerana merekalah yang melihat isu ini dari
‘bingkai rujukan sebenar’ iaitu ISLAM.
Bagi saya, tempat di mana berkumpulnya hujah yang kuat (berdasarkan bingkai
rujukan Islam yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah), serta hujah itu pula disokong
kumpulan ulama yang paling pakar, paling ramai dan paling berkualiti adalah pada PAS.
Oleh itu, jika kita sebagai penyokong PAS diajak berbincang tentang “siapa pengkhianat”,
maka yang perlukan dilakukan adalah fokuskan kepada ‘bingkai rujukan sebenar’
iaitu ISLAM. Apabila manusia sudah mula mengikuti sebaik-baiknya ajaran Islam sebagaimana PAS memastikan organisasinya mengikuti sebaik-baiknya ajaran Islam, waktu itu kita sudah menggunakan bingkai rujukan yang sama. Dengan itu, persoalan “siapa pengkhianat” akan terjawab dengan
sendiri.
Kesimpulan
Jika kita boleh bersetuju bahawa;
1. Islam adalah 'bingkai rujukan sebenar'.
2. Isu politik umumnya dan tahaluf siyasi khususnya perlu merujuk kepada Islam sebagai 'bingkai rujukan'.
3. PAS adalah parti politik yang mengikuti sebaik-baiknya ajaran Islam.
4. Setiap individu perlu mengikuti sebaik-baiknya ajaran Islam.
Jika kita boleh bersetuju dengan itu semua, maka tidak sukar lagi untuk kita membuat kesimpulan bahawa PAS bukan pengkhianat.
Wallahua’lam.
Basri DK
16 Mei 2017
20 Syaaban 1438
basridk.blogspot.my
No comments:
Post a Comment