“PAS akan dilihat berjiwa besar andai
sanggup bersama Pakatan Harapan”,
“Demi Melayu dan Islam serta kepentingan
survival PAS sendiri, persandingan antara PAS-UMNO perlu disegerakan. Sebaiknya
PAS-UMNO bertanding guna satu logo dalam PRU akan datang”
“PAS takkan menang PRU jika bergerak bersendirian. Pimpinannya bodoh tak bijak
berpolitik, pengikutnya pula bengap kerana mengikut membabi buta. ”
Ini adalah sebahagian dari komentar dan ‘luahan hati’ masyarakat terhadap
PAS. Ada yang berharap PAS menyertai PH. Ada yang berharap PAS bersama UMNO dan
BN. Namun, PAS tetap memilih untuk
bersendirian bersama parti-parti kecil dan baru dalam Gagasan Sejahtera. Disebabkan itu, ada pihak yang mengganggp PAS bersama pimpinan dan pengikutnya
dianggap “tidak bijak”, “jumud”, “berotak sempit” dan sebagainya.
Sejujurnya, saya antara orang yang berpendapat tindakan PAS bergerak
bersendirian adalah sesuatu yang ‘tidak masuk akal’ dari perspektif “hikmah”
(saya bakal ulas kemudian). Dalam masa yang sama, saya masih memilih untuk “kami
dengar dan kami patuh” bersama PAS kerana saya meninjaunya dari perspektif “sebab”
(saya bakal ulas kemudian).
Penulisan ini saya susun untuk menghuraikan mentaliti (sistem berfikir) “kami
dengar dan kami patuh” .
Susunannya pula menggunakan kaedah “setakat
terlintas di kepala” dan “tulis setakat larat”. Oleh itu, jika anda tidak dapat
membaca sampai habis berdasarkan kaedah “baca setakat larat”, maka saya tidak
akan berkecil hati.
Tujuannya bukanlah hendak mengajak masyarakat di luar sana bersetuju dengan
saya. Saya cuma hendak mengajak masyarakat FAHAMI APA YANG MEREKA TIDAK
BERSETUJU. Itu pun bagi mereka yang MAHU memahami.
……………………………………….
Antara “sebab” dan “hikmah”
Orang Islam tidak memakan babi.
Sebabnya adalah kerana Allah telah mengharamkannya. Apa yang Allah
haramkan, pasti ada keburukannya samada kita sedar atau tidak. Apa yang
diperintahkan, pasti ada kebaikan samada kita sedar atau tidak. Ini asas iman
kepada Allah. Beriman kepada Allah bermakna kita percaya bahawa Allah merupakan
‘pakar’ yang patut kita patuhi apa sahaja yang diperintahkanNya samada ada akal
kita setuju atau tidak.
Kita boleh mencari hikmah yang membawa kepada pengharaman tersebut. Melalui
perkembangan ilmu sains hari ini, kita dapat tahu rupa-rupanya dalam babi ada
kuman yang ‘degil’ yang buruk untuk kesihatan badan. Kuman ini tidak boleh mati
walaupun dimasak dengan suhu yang tinggi. Tetapi, itu hanya sekadar hikmah yang
dicari oleh manusia. Samada ia betul atau tidak, masih boleh
diperdebatkan.
Kita masih boleh persoal, “jika kuman
degil itu buruk untuk kesihatan, kenapa masyarakat Jepun dan Cina yang makan
babi purata jangka hayatnya lebih panjang dari orang Melayu Islam?”
Dan soal-jawab itu akan berterusan….
Apapun, itu bukan SEBAB sebenar umat Islam tidak makan babi. Sebab
sebenarnya ialah babi telah diharamkan oleh Allah untuk dimakan. Oleh itu, jika
suatu hari nanti ditemui teknologi yang dapat membiakkan babi yang bebas dari
kuman ‘degil’ tersebut, kita umat Islam masih tetap tidak akan makan babi.
Kita tidak makan babi SEBAB itu
perintah Allah. Kita hanya perlu beriman dengan perintah itu walaupun kita
tidak pasti (atau sekadar meneka) HIKMAH ia diharamkan.
Begitulah juga dalam hal tahaluf siyasi ini. Orang PAS tidak dapat
meneruskan tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR atas SEBAB itu perintah Allah. Atas SEBAB itulah kami berkata, “kami dengar dan kami
taat”.
Izinkan saya memberi penjelasan lanjut:
………………………..
Pendapat sendiri vs pendapat kolektif
Secara umumnya, saya tidaklah berminat sangat (atau buat-buat tak minat)
untuk ambil tahu samada PAS mahu bersama PH atau bersama UMNO-BN, atau mahu bersendirian.
Bagi saya ini hal ‘strategi politik’. Dalam masa yang sama, ia melibatkan
hukum. Tahaluf siyasi bersifat “harus bersyarat”. Jika dipenuhi syarat
tertentu, hukumnya harus. Jika syarat dilanggar, ia menjadi haram. Saya pula
tidak tidak pandai strategi politik, dan tidak pandai soal hukum-hakam. Kedua-dua
bidang ini bukan ‘kepakaran’ saya. Sementara itu dalam PAS sudah ada ‘team’
yang pakar dalam hal strategi politik dan hukum hakamnya. PAS mempunyai Presiden yang pakar dalam hal
agama dan gerak kerja politik (siasah syariah), dikawal pula oleh kumpulan
pakar dari ahli majlis syura, dihimpunkan pula ribuan ustaz yang
berlatarbelakangkan pengajian Islam melalui Dewan Ulama, dibantu pula para
penganilisis dan penyelidik dikalangan teknokrat dan profesional. Mereka ini
semua bukan sekadar ‘penganalisa dari bilik sempit berhawa dingin’, sebaliknya
terjun sendiri ke medan amal.
Semua ini sudah cukup membuatkan saya ‘selesa’ untuk tidak perlu lagi saya
membazirkan ‘sel otak’ saya untuk masuk campur dalam hal strategi politik yang
melibatkan hukum hakam sebegini. Ada
banyak lagi gerakkerja dalam ‘circle of
infuence’ saya sebagai ‘ahli biasa PAS’ yang perlu diperah otak dan
tindakan lanjut.
Namun, ini bukanlah bermakna saya tidak ada pandangan tersendiri. Bak kata
orang putih,
“Opinions are like assholes, everyone has
one.”
Memanglah ada masanya (malah selalu) saya dapati pandangan saya amat
berbeza dengan tindakan yang diambil oleh para pimpinan. Memanglah ada masanya
saya tidak dapat faham logik dan rasional disebalik keputusan yang dibuat oleh
seseorang pemimpin. Namun, bagaimana mungkin saya boleh yakin dengan pandangan
saya sendiri jika hendak dibandingkan pandangan yang dihimpunkan secara
kolektif? Memanglah mereka juga ada
kebarangkalian buat silap, tetapi apa pula kebarangkalian pandangan peribadi
saya sendiri itu betul?
Apatah lagi dalam Islam adanya konsep taat dan wala’. Taat dan wala’ (dalam
konteks entri ini) bermakna kita tinggalkan pendapat peribadi untuk diserahkan
kepada keputusan yang dihimpunkan secara kolektif. Ini bermakna kita telah
menghormati limit atau batas kemampuan
akal kita sendiri. Ini bermakna kita berlaku adil dengan meletakkan kemampuan
akal pada hadnya dan menyerahkan sesuatu urusan kepada yang ahli. Orang yang
bijak adalah orang yang mengetahui batas kebijaksanaannya. Orang yang ‘pakar’ amat
memahami ia memerlukan kepakaran orang lain dalam perkara yang luar bidang
kepakarannya. Tidak ada manusia yang pakar semua bidang. Manakala orang yang ‘terlajak pakar’ (bodoh)
pula ‘kepakaran’nya bersifat infiniti.
Memang betul, sekali imbas, saya dapati ada beberapa tindakan dan strategi
pimpinan yang nampak ‘sangat bodoh’ terutama jika ditinjau dari perspektif “hikmah”.
Tetapi, dalam masa yang sama, saya perlu akur bahawa antara sangat bijak
(genius) dan terlajak bijak (bodoh) kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu
“tidak dapat difahami” oleh akal yang biasa-biasa. Oleh itu, ia mungkin bodoh, dan mungkin juga
genius.
Bagi golongan ‘terlajak bijak’ (bodoh) dan tidak menyertai mana-mana
organisasi, mereka tidak faham konsep begini. Mereka tidak faham di mana batas
akal sendiri, dan tidak faham keperluan taat dan wala’ dalam sesebuah
organisasi. Oleh kerana mereka tidak faham, maka diperkecilkannya golongan taat dan wala’ ini sebagai bengap, jumud, dan lain-lain. Mereka
menyangka, dengan berpegang pada pendapat sendiri, maka mereka lebih bebas
berbanding orang yang terikat dengan pandangan kolektif. Mereka tidak mahu mengiktiraf
kepakaran orang lain walaupun dari seorang alim yang disegani masyarakat, yang
telah menulis berpuluh kitab, yang mana ilmu dan pandangannya dikutip oleh
ulama dari dalam dan luar negara, serta dilantik pula sebagai Naib Ketua
Kesatuan Ulama Sedunia, dan ijtihadnya disokong secara kolektif! Sebenarnya mereka tidak sedar yang mereka
sedang diperangkap oleh keterbatasan akal sendiri sehingga tidak dapat lagi
menerima pandangan lain selain yang serasi dengan selera akal mereka sahaja,. Itulah jumud yang sejumud-jumudnya. Apakan daya,
mereka tidak sedar semua ini.
………………………..
Hanya kita memahami diri kita?
Ada orang yang menjadikan motto “hanya kita memahami diri kita”.
Saya ingin cadangkan motto yang
lebih baik iaitu “hatta kita sendiri tidak memahami diri kita”.
Kita mungkin pernah dengar orang berkata, “aku tak selera nak makan
tengahari ini. Tak tahu nak makan apa..”. Tapi orang ini bila dibawa ke
restoran tertentu, kita dapat lihat dia lah yang paling berselera mengalahkan
kita! Bayangkan… soal selera makan pun kita tidak tahu apa yang ‘tersirat’ di
hati kita.
Kalau kita insafi diri kita lemah, banyak tak tahu, walaupun orang panggil kita ‘otai’ atau
penganalisa politik, atau professor yang berpengalaman, maka mudahlah kita menghormati
pandangan orang lain terutamanya pandangan itu melibatkan pandangan yang
diputuskan secara kolektif.
………………..
Usaha
mencari “jalan yang lurus”.
PAS meletakkan Al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan tertinggi. Untuk
memastikan halatuju dan strategi PAS tidak terseleweng dari panduan Al-Quran
dan Sunnah, ia dikawal oleh Majlis Syura Ulama. Tidak cukup dengan itu, Dewan
Ulama pula diwujudkan. Kemudian dibantu pula oleh golongan teknokrat dan
profesional. Sebagai ‘bonus’, PAS menjalinkan ‘networking’ dengan
gerakan-gerakan Islam peringkat antarabangsa. Hinggakan presiden PAS sendiri
diangkat sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia. Kesatuan ini ibarat kumpulan
“paling pakar dikalangan pakar” yang dihimpunkan dari seluruh pelusuk dunia. Jika
kumpulan sebegini pun kita tidak mahu mengiktiraf mereka sebagai pakar, maka
kumpulan yang bagaimana lagi?
Jika PAS iaitu majlis syura, Dewan Ulama dan para teknokrat didalamnya
semua “termakan dedak” hingga terseleweng dari panduan Al-Quran dan Sunnah,
sekurang-kurangnya masih ada lagi ‘talian hayat’ iaitu Kesatuan Ulama Sedunia
ini boleh tampil memberi teguran dan peringatan. Malah, antara tujuan
penganjuran Ijtima' Antarabangsa adalah untuk tujuan ini.
Dengan itu setiap gerakan Islam ini boleh belajar dan saling tegur menegur
antara satu sama lain.
(Poster Ijtima Antarabangsa 2015) |
Begitulah ‘pulun’nya PAS memastikan gerakannya dapat istiqamah di landasan
kebenaran.
Saya ingin bertanya, apakah lagi sistem atau cara yang PAS boleh lakukan
untuk memastikan gerakannya betul-betul selari dengan kehendak Allah dan rasul?
Dari pemerhatian saya, PAS telah menggunakan seluruh kapasitinya sebagai
sekumpulan manusia biasa (yang pastinya ada buat salah dan silap) untuk
memastikan gerakannya terus berada di “jalan yang lurus”. Setahu saya, tiada parti politik lain di
Malaysia ini yang se’pulun’ PAS dalam hal ini.
Dari sudut ini, ternyata PAS amat jauh ke hadapan berbanding parti poltik lain.
Kalau hendak dijadikan perbandingan sekalipun, adalah Parti Amanah Negara yang
merupakan serpihan dari PAS. Golongan pakar
(iaitu golongan ulama yang faham strategi politik Islam) yang keluar PAS dan
menyertai Parti Amanah Negara saya rasa tidak sampai pun 5%. Paling ramai pun
10%. (Tidak ditemui statistik ‘sahih’ setakat ini). Yang jelas, mereka bukan
majoriti. Bagaimana orang seperti saya yang sekadar mahu menghormati batas
kemampuan akal sendiri hendak mengikut golongan 5-10% sedangkan 90-95% golongan
lagi masih setia bersama PAS?
Jelaslah majoriti ulama atau golongan pakar dalam hal strategi politik
berlandaskan petunjuk Al-Quran dan Sunnah berada dalam PAS. Jika dalam keadaan
begini pun orang-orang yang beriman kepada petunjuk Al-Quran dan sunnah tidak
dapat mencurahkan thiqah, taat dan wala’ kepada PAS serta kepimpinannya
(terutamanya dalam konteks strategi poliitik yang dibahaskan dalam entri ini),
maka pada kumpulan yang bagaimana lagi? Jika kumpulan begini pun kita tidak
mahu iktiraf kepakaran mereka, maka pada kumpulan yang bagaimana lagi?
Golongan “kami dengar dan kami patuh” ini sering dianggap “berotak sempit”
atau “bengap”. Bukankah dengan meninggalkan pendapat sendiri yang sempit serta
berpegang kepada pendapat yang dihimpunkan secara kolektif serta
melibatkan kumpulan pakar bermakna kita sudah keluar dari kesempitan akal
sendiri? Oleh itu, orang yang hanya berwala’ kepada akal sendirilah sepatutnya
dianggap “berotak sempit”.
…………..
Strategi politik tidak ada kaitan dengan hukum-hakam?
Ada yang menyanggah dengan berkata, “strategi
politik tidak ada kaitan dengan hukum-hakam. Tindakan melibatkan hukum-hakam
dalam soal strategi politik adalah tindakan menyalah gunakan agama”.
Entri ini tidaklah beniat untuk ulas hal tersebut. Lagipun saya telah
mengulasnya dalam entri-entri terdahulu.
Cuma, nasihat saya, jika anda mahu menyanggahnya, pastikan ‘ijtihad’ anda
itu disokong oleh kumpulan pakar (ulama dalam bidang siyasah syariah) yang
lebih baik dari sudut kualiti dan kuantiti berbanding PAS. Waktu itu, barulah saya
boleh ‘buy-in’ pemikiran anda.
………………….
Semua orang buat salah
Ada sahabat saya berkata, “saya sudah tidak berselera lagi bersama PAS
kerana hilang respect (hormat) kepada kepimpinannya,”
Tambahnya lagi, “respect is earned,
not demanded.”
Saya jawab, “jika saudara masih tidak
dapat menghormati PAS, itu bukan masalah PAS. Itu adalah masalah saudara
sendiri.”
Seorang pemimpin yang berkualiti hanya akan mendapat penghormatan dari
masyarakat yang berkualiti juga. Nabi Noh a.s ditolak oleh kaum baginda
sendiri. Baginda hanya mempunyai sekitar 80 orang pengikut setelah 950 tahun
berdakwah. Bukanlah kerana Nabi Noh tidak berkualiti, tetapi kaumnya yang
bermasalah (tidak cukup kualiti) untuk menghargai dakwah baginda.
Hakikatnya, tidak ada mana-mana pemimpin hebat dalam dunia ini yang
dihormati oleh semua orang dalam semua masa. Tun Mahathir, TG Nik Aziz, Barack
Obama masing-masing ada pengikut yang menghormati mereka dan ada juga golongan
penentang atau pembenci. Hatta Nabi Muhammad s.a.w sendiri masih ada orang yang
membenci baginda sehingga hari ini.
PAS dan kepimpinannya dihormati oleh majoriti ulama dari dalam dan luar
negara. TGHH sendiri merupakan orang kedua dalam Kesatuan Ulama Sedunia. Dalam
keadaan begini pun, jika kita masih
tidak dapat menghormati PAS, itu bukan lagi masalah PAS, tapi kitalah yang
bermasalah! Tongkat yang bengkok tidak
akan menghasilkan bayang yang lurus. Orang yang sesat akan menganggap golongan
sesat sepertinya sebagai berada di jalan yang lurus. Orang atheist akan
mengikut dan menghormati pemimpin yang atheist juga.
Memang tidak dapat dinafikan masih ada kelemahan peribadi pimpinan yang
bersifat ‘manusiawi’ di sana sini. Namun, kita bersama PAS bukan kerana menghormati
pimpinan tertentu. Kita bersama PAS kerana persamaan halatuju dan kerana
‘pulun’nya PAS memastikan strateginya sentiasa mengikut “jalan yang lurus”. Kelemahan
peribadi pimpinan itu ditampung oleh pimpinan dan ahli yang lain. Selagi
kesalahan peribadi itu tidak merebak hingga ke tahap terseleweng halatuju dan
strategi, maka kita patut bersama mereka.
Jika kesalahan mereka boleh merosakkan halatuju organisasi, kita
berpeluang untuk ‘bantu’ mereka dengan menurunkan mereka dari kepimpinan. Dalam
PAS kita ada sistem pemilihan dan pengundian dalam muktamar yang membolehkan
seseorang pemimpin itu diturunkan (dilepaskan beban kepimpinan) dengan cara
yang baik.
Jika kita hendak tunggu semuanya sempurna baru hendak dibantu dan dicurahkan
taat dan wala’, percayalah sebenarnya kita sedang menunggu malaikat dari langit
untuk pimpin parti politik kita. Itu
adalah mustahil. Malah, jika ada parti politik yang sempurna sekalipun, kita
tidak layak bersamanya kerana kita yang banyak buat salah dan silap ini hanya
akan mencacatkan kesempurnaan itu. Lagi pun, jika segalanya sudah sempurna, apa
lagi gunanya penyertaan, sumbangan dan wala’ dari kita?
…………….
Tentang hikmah
Tidak semua perintah Allah dalam Al-Quran diketahui hikmah atau kebaikannya
oleh manusia. Ilmu Allah seluas tujuh lautan, sedangkan ilmu manusia jika dikumpulkan
semuanya baru diibaratkan setitis air yang melekat pada jari.
Semasa perang Badar, angkatan muslimin hanya 313 orang tetapi terpaksa
mengadap lebih 1,000 orang tentera musyrikin yang lengkap bersenjata. Dari segi
logik akal biasa-biasa (tanpa suluhan iman), ia memang tidak masuk akal. Nabi
Muhammad sendiri tidak mengetahui bagaimana pasukan tentera baginda yang
sedikit dan kekurangan senjata itu bakal menang. Nabi sendiri bimbang sekiranya
pasukan tentera ini syahid, akan terhentilah urusan dakwah ini. Satu-satunya
‘jalan keluar’ atau ‘logik’ yang ada adalah “turunnya pertolongan Allah”
seperti yang dijanjikan.
Tidak hairanlah Nabi kita Muhammad s.a.w begitu bersungguh berdoa
(diriwayatkan sehingga serban baginda sendiri jatuh dari lilitan di kepala)
dengan doa yang berbunyi (yang bermaksud);
“Ya Allah, andainya kelompok hamba-hambaMu
ini musnah pada hari ini, maka tiada lagi orang yang akan menyembahMu lagi di
muka bumi ini. Ya Allah, tunaikanlah apa yang Engkau telah janjikan kepadaku.”
Begitu juga dalam perang Ahzab. Secara logik akal (tanpa suluhan iman),
mana mungkin kumpulan Islam yang bersendirian dapat mengalahkan tentera Ahzab
yang bergabung. Namun, akhirnya Allah bantu dengan turunnya angin ribut pada
khemah pasukan tentera musuh.
Dalam dakwah Nabi Noh a.s pula, Allah kurniakan kemenangan kepada baginda
dengan diturunkan banjir besar hingga mengorbankan kaum baginda yang kufur.
Ada lagi satu contoh yang bagi saya paling ‘win’. Iaitulah kisah Ashabul
Ukhdud (penggali parit) yang dikisahkan di dalam Al-Quran. Allah tunjukkan
bagaimana pemuda yang beriman akhirnya mati dipanah oleh pemerintah yang zalim.
Pemuda ini sendiri yang mengajar raja itu cara membunuhnya iaitu dengan berkata
“aku beriman kepada Tuhan pemuda ini” sebaik sahaja anak panah dilepaskan.
Rakyat yang menyaksikan pembunuhan itu semuanya menyahut dengan berkata “aku
beriman kepda Tuhan Pemuda ini”. Dengan murkanya, pemerintah zalim ini
memerintahkan agar digali parit yang berisi api lalu dicampakkan semua
rakyatnya yang mengaku beriman.
Dari mata kasar, alangkah sedihnya kesudahan iman! Di manakah pertolongan Allah!? Di mana maqasidnya?
Tambahan pula, Al-Quran tidak
menceritakan bagaimana kesudahan raja yang zalim ini dan bagaimana pula
kesudahan orang-orang yang mati dibakar ini. SEOLAH-OLAH mesej yang hendak disampaikan
berbunyi, “kalau semua benda korang nak
tahu rasionalnya, sila sediakan pen dan kertas untuk mencatat. Pastikan dakwat
pen itu mencukupi iaitu sekurang-kurangnya sebanyak 7 lautan. Oh ya… pastikan juga umur korang cukup panjang untuk mencatat”.
Banyak lagi contoh lain yang menunjukkan logik akal (tanpa suluhan iman)
tidak dapat memahami bagaimana hikmah dari segi “bentuk pertolongan” yang Allah
kurniakan kepada orang-orang beriman.
......................
“Manusia
memusuhi apa yang ia tidak faham”.
Manusia ini sangat gelojoh. Apabila dia tidak dapat memahami mentaliti
(sistem fikir) orang lain, cepat-cepat dianggapnya sebagai bengap, jumud dan
bodoh.
Firman Allah S.W.T (yang bermaksud);
“Apabila dikatakan kepada mereka:
"Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman". Mereka
menjawab: "Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?"
Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak
tahu.” (Al-Baqarah 2:13)
Mentaliti (sistem fikir) orang-orang beriman amat jauh berbeza dengan
orang-orang yang tidak beriman.
Apabila menerima sahaja perintah dari Allah, rasul dan pemimpin yang
dilantik dikalangan mereka, maka mereka akan berkata, “kami dengar dan kami
taat”.
Tidakkah manusia yang gelojoh ini bimbang seandainya kumpulan yang dituduh
“bodoh” itu sebenarnya kumpulan orang-orang beriman?
.......
Akhir sekali.....
Oleh kerana kaedah penulisan ini adalah “tulis setakat larat”, maka
cukuplah saya berhenti di sini. Tahniah jika anda yang jenis “membaca setakat
larat” mampu sampai ke tahap ini.
Wallahu’alam. (Akhirnya, Allah jualah yang lebih mengetahui).
Basri DK
12 Mei 2017
16 Syaaban 1438
basridk.blogspot.my
No comments:
Post a Comment