Pages

Wednesday, 24 May 2017

Memahami mentaliti “masuk PAS dapat masuk syurga”

Dalam satu kumpulan whatsapp, ada rakan saya bertanya, “apa kelebihan jadi ahli PAS?

Saya jawab, “dapat masuk syurga*”.

Kemudian saya tambah, “*tertakluk kepada terma dan syarat”.

Ada rakan lain memberi respon dengan meletakkan emoji “ketawa”.

Saya akui cara saya memberi jawapan itu nampak seperti bergurau. Namun dari segi maksud, saya memang serius!


…………..

Dari catatan sejarah dakwah Nabi Muhammad s.a.w,  antara kaedah ‘recruitement’ yang baginda lakukan ke atas para sahabat yang menerima dakwah baginda adalah dengan mengadakan perjanjian atau ikrar taat setia (bai’ah). Secara mudahnya, konsep ikrar  ini ibarat “job offer letter” (tawaran kerja) yang digunakan dalam dunia korporat hari ini yang menggariskan job description (JD), waktu kerja, gaji, kaedah dan kekerapan penilaian (assessment), bonus dan lain-lain. Sekiranya pekerja itu dapat memenuhi segala ‘terma dan syarat’ yang ditetapkan dalam tawaran kerja itu, maka ganjarannya adalah gaji, bonus dan faedah-faedah lain. Dalam dunia ‘berpersatuan’ pula, konsep ikrar ini wujud ketika kita menandatangani borang keahlian yang menyatakan syarat keahlian, peraturan, faedah dan lain-lain.

Sebagai contoh, mari kita perhatikan kandungan “Bai’ah Aqabah Kedua” seperti berikut;

Rasulullah s.a.w bersabda (yang bermaksud); “Di atas dasar mesti dengar dan taat samada cergas atau malas, di atas dasar bernafkah (bersedia untuk berbelanja) di masa susah atau senang, di atas dasar menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran, di atas dasar bangun kerana menegakkan agama Allah S.W.T, di dalam menegakkan agama Allah itu tidak peduli celaan (ejekan) orang yang mencelanya, dan di atas dasar memberi pertolongan kepadaku apabila aku tiba kepadamu, kamu pertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri kamu dan anak-anak kamu. Jika kamu melakukan itu, nescaya diberikan untuk kamu SYURGA.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad)

Dari hadith ini, kita dapat lihat dengan jelas elemen Job description (JD), serta ganjarannya (atau gaji) iaitu SYURGA. Perincian atau  ‘terma dan syarat’ kepada baiah tersebut telah dihuraikan melalui Al-Quran dan Sunnah.

PAS (dan beberapa gerakan tertentu seperti Jamaah Tabligh, ISMA dan lain-lain) yang wujud hari ini sebenarnya hanya berusaha memenuhi  JD yang sama (menegakkan Islam) berdasarkan ‘terma dan syarat’ yang sama iaitu Al-Quran dan Sunnah. Oleh itu, ganjaran yang diharapkan sudah tentulah ganjaran yang sama iaitu SYURGA.

…………………..

Nabi Muhammad s.a.w bersabda (yang bermaksud);

“Amal itu tergantung niatnya, dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya karena dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana ia hijrah.” (HR. Bukhari, Muslim, dan empat imam Ahli Hadits)

‘Orang usrah’ tentu familiar dengan  hadith di atas. Ia berkaitan seorang lelaki turut berhijrah bersama Nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinah. Namun, niatnya bukanlah untuk memenuhi perintah dan seruan Allah dan rasul, tetapi atas faktor duniawi iaitu ingin menikahi kekasihnya yang sedang menunggu di Madinah.  Walaupun niat lelaki ini untuk berkahwin (bukan berzina) itu baik, tetapi ia dianggap amat rugi jika dibandingkan dengan keutamaan dan ganjaran “hijrah kerana Allah dan rasul”. Ibarat kita memenangi cabutan bertuah dengan mendapat hadiah sebuah peti ais, tetapi kita hanya berminat dengan kotak peti ais itu sahaja (untuk isi barang), sedangkan peti ais itu sendiri kita buang. Alangkah ruginya….

Apabila kita menyertai PAS, kita mungkin boleh mendapat faedah duniawi yang lain. Dalam PAS ada ramai calon-calon isteri solehah bertudung labuh.  Hendak tambah isteri pun mungkin ada peluang. Kita mungkin juga boleh mendapat kawan-kawan yang ramai dan baik-baik belaka. Kita mungkin juga dapat ‘lepas geram’ melawan UMNO-BN dan yang sewaktu dengannya. Jika kita tulis status di facebook menceritakan aktiviti kita bersama PAS, kita mungkin mendapat like yang banyak. Jika kita berderma apabila tin milo sampai kepada kita semasa menyertai ceramah PAS, kita mungkin rasa ‘puas’ dan ‘bangga’. Jika kita ‘perform’ dalam PAS, kita mungkin berpeluang mendapat jawatan yang tinggi. Walaupun jawatan dalam PAS yang kita pegang itu tidak dibayar gaji, namun ia ada kenikmatan dan kepuasan tersendiri. Kita juga mungkin berpeluang menjadi calon pilihanraya, menjadi wakil rakyat dan mendapat segala faedahnya seperti elaun, pencen dan sebagainya.

Itu semua faedah yang mungkin ahli PAS boleh dapat ( dan mungkin juga tidak). Itu semua hanyalah sementara.  Apabila mati nanti, semua nikmat itu akan ditinggalkan.  Jika setakat itu sahaja faedah yang kita buru apabila menyertai PAS, alangkah ruginya kita.

Jadi, apabila kita menyertai PAS bukan atas faktor duniawi, sebaliknya atas faktor ‘akhirati’ ( iaitu dengan mengharapkan syurga, keampunan dan keredhaan Allah), bermakna kita sudah masuk dengan langkah kanan. Kita sudah berada di trek yang betul.

Seterusnya,  kita akan diuji.  

…………………
(Sampai begitu sekali mereka spin. Asalnya ATGNA menyebut "undi PAS boleh dapat pahala") 
Ini rasuah syurga!”

Perasan pemegang kunci syurga pulak dah….

Ini pemikiran mensucikan kumpulan sendiri dan menerakakan orang lain!

Jika kita disindir seperti kata-kata di atas, anggaplah ia sebagai ‘warming up’ untuk ujian-ujian seterusnya.  Hadapilah ia dengan sabar dan tenang .

Firman Allah S.W.T (yang bermaksud),

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al-Baqarah 2:214)

Mereka yang benar-benar ikhlas (tidak ada niat duniawi yang lain) serta memenuhi segala ‘terma dan syarat’ yang ditetapkan walau apapun bentuk ujian yang menimpa,  mereka inilah yang akan memperolehi  ganjaran yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul, iaitu SYURGA.

Wallahu’alam.

Basri DK
24 Mei 2017
28 Syaaban 1438
basridk.blogspot.my


No comments:

Post a Comment