Pages

Thursday, 16 June 2016

KOLEKSI CATATAN HARIAN (3) - TEMA: ARAH HIDUP

Tujuan hidup

 Apa yang manusia mahu capai dalam hidup ini? Apa tujuan hidup ini?

Jika tujuan hidup untuk kekal sihat, kita pasti gagal kerana lambat laun akan sakit dan mati juga.

Jika tujuan hidup untuk banyak harta, kita pasti gagal kerana harta kita akan diagihkan kepada orang lain juga.

Jika tujuan hidup kita untuk berpangkat tinggi dan berkuasa, kita pasti gagal kerana lambat laun akan ‘pencen’ juga.

Satu-satunya tujuan hidup yang realistik ialah tujuan hidup yang berorientasikan akhirat. Kerana akhirat itulah yang kekal.

Topik akhirat bukan topik di masjid, oleh manusia masjid semata-mata. Topik akhirat adalah topik manusia realistik.

……………………………..


Ini bukan skema SPM


Soalan: Apakah matlamat hidup manusia yang paling besar/tinggi/agung?

Jawapan: Menjadi hamba Allah, mentaati segala perintahNya, memperolehi keredhaan Allah, diampunkan dosa, dimasukkan ke syurga dan dijauhkan api neraka.

Ini bukan sekadar skema jawapan untuk soalan SPM. Ini bukan sekadar teori.

Inilah matlamat paling agung yang mesti kita pegang sungguh-sungguh.  Pastikan matlamat ini benar-benar meresap dan sebati dalam diri sehingga ia mempengaruhi sistem nilai, cara fikir dan dibuktikan melalui amalan praktikal.

……………………….

Salahkah kaya? salahkah miskin?


Tidak salah menjadi kaya. Begitu juga tidak salah menjadi miskin.

Yang salah ialah apabila kaya tidak bersyukur. Yang salah ialah apabila miskin tidak bersabar.

Harta kekayaan hanyalah alat.

Jika digunakan untuk keselamatan akhirat, kita untung dan selamat. Jika digunakan untuk tujuan maksiat dan dosa, harta itu menjadikan kita rugi dan celaka.

………………………….

Raja kepada segala ‘result’


Selagi hidup di dunia, tiada kejayaan dan kegagalan yang hakiki.

Sebab itu bagi orang yang beriman kepada akhirat dan hari pembalasan, mereka berpada-pada dengan kejayaan mahupun kegagalan di dunia. Kejayaan adalah ujian kesyukuran, kegagalan adalah ujian kesabaran.

Kejayaan hakiki ialah apabila keluar 'result' yang menunjukkan dosa diampun, dimasukkan ke syurga, dijauhkan dari neraka dan yang paling penting mendapat redha Allah!

'Result' ini akan keluar di padang masyar kelak. Inilah raja kepada segala 'result'.

……………………………..

‘Job discription’ seorang muslim


Berdalihlah mcm mana pun, kita tidak dapat lari hakikat bahawa kerja-kerja menegakkan Islam adalah kerja-kerja asas sebagai seorang muslim.

‘Job discription’ kita telah dihuraikan dalam Quran dan sunnah.

Antaranya ibadat seperti solat dan zakat, dakwah, amar maaruf nahi mungkar, mengurus dan mentadbir bumi, dan  melaksanakan pemerintahan Islam.

Semua ini adalah tugas kita.

Benarlah kata lmam Hasan Al-banna bahawa tanggungjawab kita lebih banyak dari masa yang kita ada.
………………………….

Amar maaruf nahi mungkar


Peranan umat Islam bukanlah terbatas di atas sejadah atau di dalam masjid yang terpisah dari urusan kehidupan manusia di muka bumi.

Umat Islam adalah umat yang mempunyai peranan yang besar dalam sistem kehidupan manusia.

Umat Islam berperanan memelihara kehidupan dengan kebaikan (amar maaruf) dan menjauhkan manusia dari melakukan kejahatan (nahi mungkar).

Tugas "amar maaruf nahi mungkar" ini bukanlah kerja ulama tertentu atau kumpulan tertentu.  Ia adalah tugas semua yang mengaku umat Muhammad.

Ia adalah tugas kita yang mengaku muslim.

Allah berfirman yang bermaksud;

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)..... "[Quran 3:110]

……………………………

Manusia vs haiwan


Kalau hidup hanya untuk hidup, binatang ternak pun boleh hidup.

Manusia hidup adalah untuk mengabdikan diri pada Tuhan. Dalam kerangka pengabdian inilah manusia diamanahkan sebagai khalifah Allah iaitu  pentadbir bagi pihak Allah di muka bumi.

Untuk tugas inilah diturunkan para rasul dan dikurniakan kitab sebagai panduan.

Kalau manusia tidak ambil tugas ini, maka samalah level dia dengan binatang ternak, malah lebih teruk lagi.


………………………………..

No comments:

Post a Comment