Kebenaran bukan dari majoriti
Nabi Noh a.s. berdakwah selama 950 tahun.
Pengikut baginda hanya 80 orang. Kalau masuk pilihanraya, hilang wang deposit!
Nabi Noh tetap dipuji sebagai
pemimpin/rasul yang mulia.
Kemuliaan dan kehebatan seorang pemimpin bukanlah dilihat
pada bilangan pengaruh dan sokongan, tetapi dilihat dari keteguhannya berpegang
pada kebenaran.
Kebenaran itu pula bukanlah datang dari
majoriti.
Kebenaran itu datang dari Tuhan.
…………………………….
Perselisihan
Manusia itu asalnya adalah umat yang satu.
Kemudian berlaku perselisihan.
Maka, Allah utus para Nabi dan kitab bagi
menjelaskan kebenaran, dan bagi memberi keputusan tentang perkara yang
diperselisihkan.
Namun, setelah datang kebenaran dan keterangan yang jelas nyata, manusia tetap
berselisih disebabkan perasaan dengki sesama sendiri.
Allah memberi petunjuk kepada orang-orang
beriman kepada kebenaran tentang hal yang diperselisihkan.
Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang
dikehendakiNya kepada jalan yang lurus.
(Inspirasi dari Al-Quran 2:213)
……………………….
Dua pilihan
Setiap detik dalam perjalanan hidup ini
manusia dihadapkan dengan 2 pilihan jalan.
Pertama, jalan yang lurus. Inilah jalan
kebenaran. Inilah jalan yang dilalui oleh orang yang diberi nikmat oleh Allah.
Kedua, jalan taghut. Iaitu jalan yang
selain dari kebenaran. Inilah jalan mereka yang dimurkai oleh Allah dan jalan mereka
yang sesat.
Beruntunglah orang-orang yang memilih jalan
yang lurus. Merugilah orang-orang yang memilih jalan kesesatan.
…………………..
Takwa dan kebenaran
Firman Allah s.w.t yang bermaksud,
" (Al-Quran) ini adalah penerangan bagi seluruh
manusia, hidayah dan pengajaran bagi orang-orang bertakwa". (3:138)
Manusia itu jarang tidak dapat bezakan
antara kebenaran dan kepalsuan. Tabiat kebenaran itu amat jelas hingga tidak
memerlukan penjelasan yang panjang lebar.
Tapi manusia biasanya kurang cenderung kepada
kebenaran dan kurang kekuatan untuk memilih jalan kebenaran. Mereka samada
tunduk kepada tekanan hawa nafsu atau takut kepada ancaman penindasan terhadap
perjuangan menegakkan kebenaran.
Kecenderungan kepada kebenaran dan daya
kekuatan untuk terus berpegang kepada kebenaran ini hanya dapat diwujudkan oleh
iman dan takwa.
Dengan sebab itulah, walaupun Al-Quran
menjadi penerangan bagi seluruh manusia, hanya yang bertakwa sahaja yang
mendapat hidayah dan pengajaran darinya.
(Disunting dari Fi zilalil Quran)
.......................................................
Hidup ini
Hidup ini adalah medan ujian. Untuk
mengenal diri sendiri. Adakah kita benar-benar berpegang dengan kebenaran
(Islam) atau tunduk dengan hawa nafsu.
Allah letakkan jalan kebenaran itu sarat dengan
liku dan kepayahan serta dibenci nafsu.
Jalan kebatilan itu pula dihiasi dengan
keindahan dan kelazatan serta disukai nafsu.
Ada orang yang 'give up' dengan ujian ini.
Akhirnya, orang ini bersama dengan kumpulan tertentu bukan kerana
kebenaran yang dibawanya. Tetapi semata-mata untuk memuaskan perut dan apa yang
dibawah perut.
Orang ini juga menentang kumpulan tertentu
bukan kerana kebatilan kumpulan itu. Tetapi kerana menjaga 'periuk nasi'nya.
Orang sebegini wujud semasa zaman Al-Quran
diturunkan. Telah dirakamkan dalam Quran dalam banyak tempat. Lengkap dengan
ciri-ciri dan kesudahan buruk mereka nanti.
Orang sebegini terus wujud hingga hari ini.
Semoga kita dijauhkan dari menjadi orang
sebegini. Iaitu orang yang 'membeli' nikmat dunia yang sementara dengan cara
menggadaikan nikmat akhirat.
……………………………..
Pengajarannya?
Si A ditemui mati di dalam masjid. Ada orang
ambil gambarnya dan viral seluruh media sosial. Orang ramai memuji Si A kerana
mati di tempat yang mulia.
Si B ditemui mati di pub. Seluruh badannya
berlumuran darah dan arak. Ada orang ambil gambarnya dan viral seluruh media
sosial. Orang ramai mengeji si B yang mati di tempat maksiat.
Hakikatnya, si A mati diserang sakit
jantung ketika cuba mencuri tabung masjid.
Hakikatnya, si B ke kelab malam kerana cuba
menyelamatkan adik perempuannya yang menjadi mangsa sindiket pelacuran. Dia
mati dipukul oleh samseng sindiket di situ.
Cerita ini hanya metafora.
Pengajarannya? Fikir-fikirkan....
……………………….
No comments:
Post a Comment