Menilai
Sekarang adalah masa terbaik untuk mengkaji
dan menilai kumpulan pemimpin atau parti politik mana yang layak diangkat jadi
pemimpin.
Pastikan sistem nilai kita betul. Kita
mahukan pemimpin yang bukan setakat dapat memenuhi tuntutan perut dan apa yang
dibawah perut semata-mata.
Kita mahu pemimpin yang boleh membawa
keselamatan dunia dan akhirat. Pastikan
penilaian kita berdasarkan iman dan berpandukan Quran dan Sunnah.
Ingatlah, di akhirat nanti, pengikut akan
bersama pemimpin mereka. Jika pemimpin ke neraka, pengikut pun ikut serta. Bukankah
firaun dicampakkan ke neraka bersama bersama bala tentera yang menjadi
pengikutnya?
Menjelang pilihanraya nanti, semua parti
politik akan buat-buat baik. Masing-masing pakai make-up tebal-tebal sehingga
tidak tahu mana satu kecantikan asli, mana satu yang sorok jerawat batu. Slogan
yang lunak-lunak sahaja dimainkan. Sentimen dimainkan sehingga hilang segala
rasional.
Waktu itu, mungkin menonton bola lebih afdal dari
menonton berita politik.
…………………..
Kaji diri sendiri
Sementara kita mengkaji sesuatu isu atau mana-mana gerakan untuk kita
tentukan sikap (samada untuk disokong, diundi,
dibantu, dilawan, ignore, etc), perkara utama yang perlu kita buat ialah
'kaji' diri sendiri juga.
Adakah sudah jelas apa itu kebenaran dan
apa itu kebatilan? Adakah kita dapat bezakannya sebagaimana kita dapat bezakan
antara cahaya dan kegelapan?
Bagaimana seseorang itu dapat membuat penilaian
yang benar jika dia sendiri tidak tahu 'benar' itu apa?
Tongkat yang bengkok tidak akan dapat
menghasilkan bayang yang lurus.
……………………………….
Tunggu parti malaikat?
Selagi sesuatu organisasi, kumpulan atau
parti politik itu dianggotai oleh manusia, selagi itulah kita akan menemui
kesilapan dan kelemahan di dalamnya.
Tidak terkecuali kumpulan manusia yang
dipimpin oleh Nabi Muhammad (sila berselawat) sendiri.
Seorang sahabat Nabi pernah dalam satu
perang membunuh musuh yang sudah meletakkan senjata dan mengucapkan syahadah.
Hal ini adalah amat dilarang.
Ada kalangan sahabat nabi yang merupakan
ahli badar sendiri melakukan kesalahan zina hingga dikenakan hudud.
Ada sahabat yang berlengah-lengah ketika
diarah keluar pergi berperang. Hingga diturunkan ayat Quran yang mengarahkan
beliau di'pulau'.
Maka apa yang peliknya jika kita melihat
(pada pandangan kita yang juga manusia biasa yang terdedah kepada
kesilapan) ada pemimpin yang rasuah,
boros, menfitnah, lembap dan lain-lain.?
Jangan salah faham. Catatan ini bukan mahu
pertahankan manusia yang salah. Yang salah tetap salah tidak kira siapa. Cuma itu bukan point yang hendak disampaikan dalam catatan ini.
Point di sini ialah, kalau kita mahu
mencari kumpulan atau parti politik yang pemimpinnya tiada salah dan silap,
maka kita tidak akan jumpa. Kita sebenarnya sedang menunggu malaikat turun dari
langit menubuhkan parti politik untuk kita!
Dibimbangi kita akan habiskan umur kita dengan cari kesalahan orang dan kritik semata-mata.
Kita sendiri tidak berjuang sebagaimana
individu dalam organisasi yang kita kritik itu.
Kita sendiri tidak berjuang kerana takut
nanti orang lain pula akan kritik kita.
Orang begini, eloklah menubuhkan parti baru
bernama SOSAB (Semua Orang Salah Aku sorang Betul). Biar dia jadi Presiden, dan
dia jadi ahli. Perfect!
……………………………
Saluran kesedaran
Mutakhir ini, saya perhatikan semakin ramai
masyarakat yang ambil peduli dengan isu-isu negara dan urusan pemerintahan.
Perkembangan ini adalah positif. Namun, ada
di kalangan mereka seperti tidak tahu bagaimana hendak menterjemahkan semangat
dan kesedaran politik itu dalam bentuk tindakan.
Apa yang sering dilakukan ialah meluahkan
semangat dan kesedaran itu dalam bentuk menaburkan kritikan demi kritikan di
media-media maya dan nyata.
Kritikan sebegitu perlu, tetapi tidak
setimpal untuk menyalurkan kesedaran dan semangat mereka yang tinggi. Akhirnya
kritikan yang baik itu berubah menjadi nada resah, gelisah, sakit hati, marah,
kecewa dan putus asa.
Umpama orang nak terkencing, tetapi
salurannya tersumbat.
Dengan sebab itulah saya menyeru kepada mereka
dengan berkata,
"Engkau perlukan platform/organisasi yang
mengumpulkan orang-orang yang berkesedaran seperti engkau. Samada platform itu
di pihak parti pemerintah, atau pembangkang, atau 'third force', itu soal lain.
Yang penting, engkau turut turun padang berjuang bersama mereka yang
berkesedaran sepertimu. Barulah semangatmu itu dapat disalurkan, tenaga dan
ideamu dapat dimanfaatkan
sebaiknya."
Malangnya, seruan yang lurus itu sering
disalah erti. Hingga ada yang mengatakan saya pula yang tidak dapat menerima
kritikan.
Aduhai. Kalau mereka mengambil sedikit masa
untuk berhenti menunding jari dan sebaliknya merenung kembali dalam diri, tentu
tidak jadi begini.
Tapi apakan daya. Sedangkan kalam Allah
(Quran) pun manusia enggan renungi, apalah sangat kalam manusia seperti saya!
Benarlah, hidayah itu milik Allah. Tugas
manusia hanya menyampaikan dengan terang dan jujur.
……………………….
Pemimpin dan pengikut
Firaun masuk neraka bersama bala
tenteranya. Pemimpin yang zalim akan dimasukkan ke neraka bersama
pengikut-pengikut mereka. Al-Quran banyak tunjukkan dialog-dialog antara
pengikut dan pemimpin yang saling salah menyalahkan ketika mereka di dalam
neraka.
Berhati-hatilah dalam memilih pemimpin.
Pastikan mereka memimpin kita ke arah kesejahteraan di dunia hingga akhirat.
No comments:
Post a Comment