Pages

Monday, 22 May 2017

Meraikan soalan sahabat (Persoalan tahaluf & maksud penubuhan PAS)


Ada sahabat baik saya bertanya,

“Yang saya tak faham, kenapa tahaluf siyasi ditamatkan? Masa start tahaluf siyasi dulu, adakah PAS sangka PKR dan DAP akan terima islam 100%? Saya tak rasa begitu. Dia akan terima benda yang pada dia acceptable sahaja. Jadi bila dia tolak hudud, dia masih pada tahap yang sama, terima Islam pada perkara tertentu sahaja. Macam tu juga UMNO. Bukan 100 % terima Islam.

Tapi PAS bukan NGO yang boleh kata "aku tak peduli sokongan sesiapa", bahkan PAS adalah entiti politik yang maksud penubuhannya adalah mendapatkan kuasa dengan undi popular.

Kalau PAS tidak ada tujuan mendapatkan undi popular, maka ianya lebih make sense. Selagi ada faktor undi popular, selagi itu PAS akan dilihat sebagai "another political party".

Soalan yang ditanya terlalu luas skop perbahasannya.  Saya pula bukan orang yang cukup ilmu untuk menjawab. Namun, saya cuba jawab secara ringkas menurut pemahaman yang terbatas. Tujuannya sekadar untuk meraikan soalan dari sahabat yang bertanya.
 
(Pakatan Rakyat dalam kenangan. Foto: Malaysian Insider)

………………..

Sepintas lalu mengenai tahaluf siyasi

Tahaluf siyasi adalah pakatan politik antara harakah Islam (gerakan Islam) dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Dalam konteks hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk mecapai agenda yang sama, atau menghadapi musuh yang sama. Dalam hubungan PAS dan DAP/PKR, antara agenda yang disepakati bersama adalah seperti memerangi rasuah dan penyelewengan pemerintah.  Atas agenda inilah tahaluf siyasi dibuat.

Adapun berkaitan ideologi perjuangan atau hal-hal yang tidak disepakati bersama, tiap-tiap parti politik berhak memperjuangkannnya secara berasingan. PAS berhak memperjuangkan Negara Islam, manakala DAP berhak memperjuangkan negara sekular. Konsep yang digunapakai dalam hal yang tidak disepakati bersama adalah agree to disagree.

Dari sudut hukum, ulama berbeza pendapat di dalam hal ini. Ada yang mengatakan ianya haram secara mutlak. Ada yang mengatakan ianya “harus bersyarat”.

 Ijtihad yang diambil oleh majlis syura ulama adalah “harus bersyarat”. 

PAS khasnya Majlis Syura Ulamak (MSU) mengharuskan tahaluf siyasi dengan 6 syarat/prinsip berikut;

1. Tahaluf mestilah dijadikan wasilah untuk menegakkan Islam, memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk perlaksanaan Islam.

2. Tahaluf mestilah dipastikan dasar-dasar Islam dapat dipertahankan.

3. Intima’ hendaklah diberikan kepada kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), bukan kepada Pakatan Tahaluf.

4. Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah.

5. Matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan Tahaluf secara mutlak.

6. Majlis Syura Ulamak mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siasi berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah syar'iyyah dari semasa ke semasa.

Secara ringkasnya, dapat difahami sebab tahaluf ini dimulakan adalah sebagai medan menyampaikan dakwah Islam kepada rakan tahaluf disamping berjuang untuk menghadapi kezaliman dari pihak musuh yang disepakati bersama.  Namun, dalam masa yang sama ia mengundang risikonya seperti rakan tahaluf itu menjadikan tahaluf sebagai alasan untuk mereka menghalang kerja dakwah. Ia ada pro (maslahah) dan kontra (mafsadah) terhadap dakwah Islam.

Tetapi, bagaimana hendak tentukan pro lebih banyak dari kontra? Dari sinilah perlu nya input dari ahli dakwah yang terlibat (ahli PAS) yang dibincangkan dalam medan muktamar, seterusnya input itu digunakan oleh majlis syura ulama untuk membuat ijtihad.

Mengapa tahaluf siyasi antara PAS dengan DAP/PKR dimulakan, kemudian ditamatkan?

Mengapa tahaluf siyasi dimulakan?
Jawabnya: Waktu ia dimulakan, PAS dapati ia lebih banyak pro berbanding kontra.  (saya akan huraikan kemudian). Segala syarat tahaluf siyasi dapat dipenuhi. Maka hukumnya harus.

Mengapa ia ditamatkan?
Jawabnya: waktu itu kontra lebih banyak dari pro (saya akan huraikan kemudian). Syarat tahaluf siyasi tidak dapat dipenuhi.  Hukumnya menjadi haram. Waktu itu PAS tidak ada pilihan lain selain dari menamatkan tahaluf siyasi tersebut.  

Dari sudut politik konvensional (politik meraih undi), memang PAS nampak rugi apabila tahaluf siyasi ini ditamatkan. Namun, matlamat tidak menghalalkan cara.  Matlamat yang baik iaitu “kemenangan Islam” tidak boleh dijadikan alasan untuk melaksanakan yang haram.

Kita mungkin mahu berbeza pendapat dengan menganggap tahaluf itu masih lagi belum haram. Saranan saya, pastikanlah dulu pendapat kita itu disokong oleh ijtihad sekumpulan ulama yang tahap ilmu mereka melayakkan mereka untuk berijtihad. Jika tidak, kita hanya meletakkan hukum berdasarkan panduan akal sendiri.

Adakah PAS sangka PKR dan DAP akan terima Islam 100%?

Soalannya berbunyi, “ Masa start tahaluf siyasi dulu, adakah PAS sangka PKR dan DAP akan terima Islam 100%? Saya tak rasa begitu. Dia akan terima benda yang pada dia acceptable sahaja. Jadi bila dia tolak hudud, dia masih pada tahap yang sama, terima Islam pada perkara tertentu sahaja. Macam tu juga UMNO. Bukan 100 % terima Islam.”

Saya jawab:
Disebabkan PKR, DAP dan UMNO tidak terima Islam 100%lah (atau sebagaimana yang difahami PAS)  maka PAS adakan tahaluf siyasi. Jika PKR dan DAP terima Islam 100% sebagaimana yang difahami PAS, saya rasa PAS akan masuk DAP/PKR atau mungkin DAP/PKR  akan masuk PAS. Kalau tidak masuk 100% pun, sekurang-kurangnya ia akan berada dalam proses untuk masuk secara beransur-ansur.

 Jika UMNO dari hari pertama kewujudannya 100% terima Islam, saya rasa PAS tidak akan wujud.  Kalau wujud sekali pun, ia tidak akan bertahan lama. Cuba fikirkan, jika UMNO 100% terima Islam, mengapa golongan graduan pengajian Islam yang belajar di Mesir, Jordan,  Arab Saudi, universiti-universiti dan sekolah-sekolah pondok di Malaysia majoritinya memilih untuk menyertai PAS? Jika UMNO sudah 100% terima Islam, lebih baik mereka menyertai UMNO. Dan jika mereka menyertai UMNO, siapa lagi yang hendak menyertai PAS? Sebab itu saya rasakan jika UMNO dari awal lagi 100% terima Islam, PAS tidak perlu wujud lagi. Rujuklah sejarah kelahiran PAS. Kita akan dapati pemimpin awal PAS adalah merupakan ulama dalam UMNO. Ulama UMNO ini mendapati UMNO tidak terima Islam, lalu ditubuhkan NGO (persatuan) dan kemudiannya  didaftarkan sebagai parti politik iaitu PAS.

Maknanya, jika PKR, DAP dan UMNO 100% terima Islam sebagaimana yang diperjuangkan PAS, bukan sahaja tahaluf siyasi tidak lagi diperlukan, malah PAS sendiri tidak diperlukan.

ATGNA pernah sebut (dengan maksud lebih kurang), “kalau UMNO terima Islam, PAS akan dibubarkan”.

Saya berpeluang mengenali beberapa pimpinan PAS secara dekat. Antaranya Ustaz Nasrudin Tantawi, Ustaz Khalil (anak TGHH) dan Ustaz Nik Abduh.  Saya pernah ber’tamrin’ bersama mereka. Mereka ini bukanlah jenis yang MAHU jadi ahli politik. Mereka bukan mahu kaya dengan menjadi ahli politik. Malah  sebahagian mereka adalah ahli perniagaan. Disebabkan mereka menjadi ahli politik pembangkanglah menyebabkan banyak peluang merebut kekayaan terlepas atau terbatas. Mereka sebenarnya ‘terjebak’ dalam dunia politik atas dasar tanggungjawab dan amanah ilmu yang mereka miliki.  Kalau UMNO terima Islam sebagaimana PAS, saya rasa majoriti ustaz-ustaz PAS lain akan kembali kepada kerja rutin mereka  iaitu mendidik masyarakat di madrasah dan kuliah-kuliah pengajian di masjid. Manakala saya yang bukan ustaz ini pula akan lebih tenteram melakukan hobi saya iaitu jamming!

………………

Adakah DAP/PKR berada pada tahap yang sama?  (Penilaian pro dan kontra)

Dari sudut ideologi, memang DAP/PKR berada pada tahap yang sama, iaitu bukan 100% terima Islam sebagaimana yang difahami dan diperjuangkan PAS.  Tetapi, yang berubah ialah mereka telah menghalang hak PAS untuk memperjuangkan ideologi PAS yang sepatutnya berada dalam kerangka agree to disagree

Semasa awal tahaluf, DAP melalui Lim Guang Eng telah menandatangani surat perjanjian yang antaranya berbunyi, “PAS berhak memperjuangkan aqidah dan konsep Negara Islam secara sendiri. DAP juga berhak memperjuangkan Negara Berperlembagaan Parlimen yang tidak sehaluan dengan konsep Negara Islam.”

Rujuk perjanjian di bawah;





Selain itu, rujuk ucapan lisan Lim Guan Eng sendiri seperti link berikut;

Hari ini, terlalu jelas DAP sudah melanggar perjanjian di atas.

Contoh yang paling jelas dan mudah adalah dalam isu RUU355.  Sekiranya DAP masih patuh pada perjanjian, sepatutnya mereka menghormati hak TGHH membentangkan bil persendirian RUU355. Di parlimen, mereka boleh sahaja berbahas untuk tidak bersetuju. Apabila sampai waktu undi selepas perbahasan usul, mereka boleh sahaja untuk undi tidak bersetuju. Sepatutnya, ia semudah itu. Sememangnya PAS dan TGHH tidak mengharapkan pun mereka akan undi setuju untuk usul ini. Yang diharapkan adalah mereka menghormati hak PAS seperti yang termaktub dalam perjanjian. Tetapi, mereka jelas mengambil sikap memberi ancaman, menghalang dan seterusnya bertindak dengan mengisytiharkan pembubaran Pakatan Rakyat.  Mana  pergi agree to disagree?

Izinkan saya beri lagi contoh yang kontra iaitu dalam isu pilihanraya kerajaan tempatan. Isu ini diperjuangkan oleh DAP di Pulau Pinang di waktu PR masih wujud. PAS tidak bersetuju dengan isu ini kerana ia akan menyebabkan PBT akan dikuasai oleh orang bukan Islam. Tetapi, sebagai menghormati perjanjian dalam tahaluf, PAS hanya mengarahkan ADUN-ADUNnya di Pulau Pinang agar mengambil sikap berkecuali.  Sikap begini tidak dipunyai oleh DAP dalam isu RUU355.

……………..

Apa pun, contoh yang saya beri ini hanyalah sebahagian sahaja. Itu pun setakat yang pernah didedahkan dalam media massa. Ia tidak cukup untuk menilai pro (maslahah) dan kontra (mafsadah) ke atas perjuangan menegakkan Islam secara keseluruhan. Untuk menilai situasi semasa, ia bukan boleh dibuat dari ‘bilik sempit berhawa dingin’. Apa yang dipaparkan dalam Harakahdaily dan media massa hanyalah tip of the iceberg berbanding situasi sebenar.  Dalam kenyataan media oleh majlis syura ulama, yang disebut hanyalah SEBAHAGIAN sahaja faktor yang menyebabkan tahaluf siyasi dibatalkan. Jika hendak disenaraikan semua, ia hanya mendedahkan aib bekas rakan tahaluf.  

Bagi mereka yang pernah terlibat secara langsung berurusan dengan DAP/PKR, terutama ahli PAS yang berurusan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang, masih terlalu banyak ‘inside story’ yang tidak diceritakan oleh media massa. Sebab itulah penilaian itu perlu dibuat secara kolektif atau menyeluruh. Input-input dari Selangor tidak sama berbanding di Pulau Pinang, Perak dan Kelantan. Semua ini perlu diambil kira. Dan tempat yang sesuai dibuat penilaian adalah medan muktamar. Dari input inilah majlis syura menetapkan hukum. Dalam hal ini PAS telah menggunakan medan yang tepat untuk membuat  keputusan dengan cara yang paling cermat dan bertanggungjawab serta diijtihadkan oleh pihak yang layak membuat ijtihad.

Dalam hal ini, bagi orang yang ‘malas berfikir’ seperti saya, keadaan ini sahaja sudah cukup tenteram untuk saya mengatakan “kami dengar dan kami taat” terhadap ijtihad Majlis Syura Ulama PAS.

 …………

Adakah PAS sekadar “another political party”?

Sahabat saya berkata,
“Tapi PAS bukan NGO yang boleh kata "aku tak peduli sokongan sesiapa", bahkan PAS adalah entiti politik yang maksud penubuhannya adalah mendapatkan kuasa dengan undi popular.

Kalau PAS tidak ada tujuan mendapatkan undi popular, maka ianya lebih make sense. Selagi ada faktor undi popular, selagi itu PAS akan dilihat sebagai "another political party".”

Saya jawab;

Matlamat penubuhan PAS adalah menegakkan Islam. Untuk menegakkan Islam, ia tidak semestinya PAS perlu menang pilihanraya. Boleh jadi Allah buka pintu hati pemimpin UMNO atau generasi pelapis UMNO dari golongan yang bertakwa dan beriman. Jadi, UMNO sendirilah yang akan menegakkan Islam. Boleh jadi juga kemenangan Islam ini dengan dikurniakan Raja atau Agung yang bertakwa dan sangat berpengaruh. Sekali Agung sebut , “beta mahu hudud”, semua pimpinan UMNO dan sekelian rakyat Malaysia patuh dan akur belaka. Mungkin boleh jadi begitu!  Apapun, bagaimana Allah hendak memenangkan Islam, itu urusan Allah. Urusan PAS (dan mana-mana individu muslim) adalah memastikan gerak kerja dakwahnya selari dengan apa yang digariskan berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Itu sahaja.

Adapun hal “undi popular”  atau “PAS menguasai Putraja”, ia adalah salah satu STRATEGI dari baaanyaaak lagi strategi-strategi yang lain.  PAS juga berdakwah menggunakan strategi pendidikan, mengadakan usrah-usrah, mengajak orang ke masjid, mengimarahkan masjid, mendirikan sekolah (PASTI dan SRITI), adakan kerjasama dengan NGO-NGO Islam yang mempunyai matlamat dan cita-cita yang sama dengan PAS, membuat kerja amal dan kebajikan (Jabatan AMAL), dan baaaanyaaaaak lagi. Sifirnya mudah. Jika rakyat beriman, rakyat akan naikkan pemimpin yang beriman juga tidak kira dari UMNO, PAS atau DAP sekalipun. 

Setakat pengalaman saya mendampingi PAS selama 17 tahun sehingga pernah ‘tersesat’ dalam jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat selama 6 tahun, saya perhatikan gerak kerja politik PAS hanya sekitar 30% sahaja. Baki 70% adalah gerak kerja non-politik yang bersifat dalaman dan tidak popular.

Sebab itu kita dapati pimpinan dan ahli PAS ‘tidak begitu terkilan’ jika mereka kalah dalam pilihanraya.  Ini kerana, masih banyaaaak lagi gerak kerja yang perlu dilaksanakan selain dari bertanding dalam pilihanraya.  Lagi pun, bila kalah dalam satu pilihanraya, bukanlah bermakna PAS sudah mati. Masih ada lagi siri-siri pilihanraya yang akan datang.

Bak kata orang putih, "sometimes you have to lose the battle to win the war."

Sesetengah parti politik lain, ‘hidup dan mati’ mereka bergantung kepada undi. Jika mereka kalah dalam pilihanraya, parti mereka akan ‘mati secara semulajadi’ sehingga tidak sempat ‘hidup’ untuk menunggu pilihanraya 5 tahun yang akan datang.  

Inilah yang membezakan PAS dengan “another political party”. 

……………………

PAS bergerak atas tiga paksi yang saling berkait antara satu sama lain;
1. Dakwah
2. Tarbiyah
3. Politik

Ramai orang luar PAS melihat PAS dari sudut politik semata-mata. Sebab itulah mereka susah hendak ‘buy-in’ dengan pemikiran yang mengatakan PAS adalah gerakan dakwah dan tarbiyah. Saya tidak salahkan mereka. Lagi pun, sudah nama pun ‘orang luar’, tentulah mereka hanya mampu melihat PAS dari luaran sahaja.

Baiklah. For the sake of argument, mari kita anggap PAS adalah parti politik semata-mata (tetapi masih merujuk kepada Islam). Mari kita anggap maksud penubuhan PAS adalah untuk mendapatkan sebanyak mungkin undi.

Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Walaupun tahaluf siyasi itu secara zahirnya kita lihat ia salah satu cara untuk memperolehi undi yang banyak, tetapi apabila ia sudah jatuh hukum haram, tidak mungkin PAS masih sanggup teruskan.  Tidak ada kompromi antara “undi popular” dengan kemurkaan Allah.

Ada kebenarannya dari kata sahabat saya bahawa PAS bukanlah seperti NGO yang boleh sewenang-wenangnya mengatakan “aku tidak peduli sokongan sesiapa”.

 Namun, apa yang PAS boleh kata adalah, “jika sokongan itu bersekali dengan kemurkaan Allah, biarlah aku tidak dapat sokongan sesiapa”.

Inilah yang menjadikan PAS bukan sekadar “another political party”.

Wallahualam.


Basri DK
22 Mei 2017
26 Syaaban 1438
basridk.blogspot.my

No comments:

Post a Comment