Fitrah
Kalau kita jumpa restoran yang makanannya
sedap, servis bagus dan harga pun murah, kita akan cenderung untuk cerita pada orang
lain terutama yang rapat dengan kita. Lagi besar impak positif restoran itu
pada diri kita, lagi kuatlah kecenderungan kita untuk sebarkan pada orang lain.
Ini sifat semula jadi manusia. Ini fitrah.
Begitulah juga perihal Islam. Lebih 'sedap'
kita merasai nikmat Islam, dan lebih besar Islam itu memberi impak kepada diri
kita, makin kuatlah dorongan dalam diri untuk sebarkan pada orang lain. Ini
namanya dakwah.
Dakwah ini sifat semula jadi. Dakwah ini
fitrah. Dalam masa yang sama ia diwajibkan lagi oleh agama.
Kerja dakwah bukan kerja ulama tertentu
atau kumpulan tertentu. Ia bukan kerja set masjid atau mereka yang 'perasan bagus'
semata-mata.
Tetapi ia kerja sesiapa sahaja yang merasai
nikmat Islam.
…………………….
Kerja kita
Kerja bawa risalah agama adalah kerja kita yang
mengaku Islam. Ini kerja asas kita.
Kita buat kerja cari duit bertujuan untuk
membolehkan kita buat kerja bawa risalah agama.
Jangan sampai kerja cari duit menjadikan
kita lalai buat kerja bawa risalah agama.
Kerja bawa risalah agama adalah kerja kita.
Hal ini terlalu jelas dinyatakan dalam Quran.
Di akhirat nanti, kita akan ditanya tentang
apa yang kita kerjakan.
…………………………………..
Sambung menyambung
Semasa zaman awal merdeka, masyarakat kita
begitu terikut dengan budaya dan pemikiran barat. Waktu itu, majlis keraian
kerajaan ada dihidangkan arak. Hinggakan di parlimen sendiri ada disediakan
mini bar.
Alhamdulillah, berkat usaha dakwah generasi
terdahulu, hari ini masyarakat kita beransur-ansur menghayati Islam sebagai
ad-din, bukan sekadar religion yang difahami barat.
Apapun, perjalanan dakwah ini masih jauh.
Tugas kita ialah menyambung dakwah
generasi terdahulu. Dan generasi akan datang akan menyambung kerja kita pula.
Alangkah ruginya jika kita tidak mahu
menyambut tugas dakwah ini. Kalau tidak terasa kerugian itu di dunia, pasti
akan terasa di akhirat kelak.
……………………..
Prioriti
Majis fatwa Selangor kata ASB haram. Majis
fatwa kebangsaan pula kata ASB halal.
Dalam menghadapi khilaf sebegini, sebaiknya
kita nilai hujah kedua-dua pihak sekadar kemampuan kita, kemudian tepuk dada
tanyalah iman. Pilihlah pandangan yang paling mententeramkan kita.
Kita berlapang dada dengan pihak yang
mengambil pandangan berbeza dengan kita. Jangan dicela mereka dan bersabar jika
mereka yang berbeza itu mencela kita kerana masing-masing ada hujah.
Ada kumpulan manusia yang lebih prioriti yang
perlu kita hadapi. Iaitu mereka yang berfikiran "saham kilang arak pun aku
sebat asal masyuuukkk".
Dakwah perlu kenal prioriti. Ada tempat
kita bertegas. Ada tempat kita bersikap lunak.
…………………………
Ketegaq
Hari ini,
masjid-masjid semakin banyak menyediakan kuliah dan tazkirah.
Terpulanglah kuliah di masjid mana yang kita hendak pergi.
Pendakwah juga semakin ramai. Kalau tidak
suka ustaz PAS, ada ustaz UMNO. Kalau tidak suka ustaz politik, boleh pilih
ustaz 'non-partisan'.
Kalau segan dengar kuliah di masjid, boleh dengar di tv seperti
channel astro Oasis dan Al-hijrah.
Kalau tak suka tv, boleh dengar kuliah di
radio ikim.fm.
Di youtube juga ada banyak orang upload
kuliah ilmu. Tinggal pilih sahaja. Kalau tidak suka kuliah yang serius dan
ilmiah, boleh pilih kuliah santai dan lawak jenaka.
Kalau tidak suka video dakwah yang panjang,
boleh pilih yang pendek-pendek.
Kalau itu pun masih enggan, sekurang-kurangnya masih ada peluang dengar
khutbah jumaat.
Malang sekali, dalam kemeriahan dakwah itu
pun masih ada manusia yang 'ketinggalan'. Hinggakan waktu khutbah pun dia
tidur. Dan bila dapat mesej dakwah di
whatsapp dan facebook pun dia scroll laju-laju!
Manusia begini, diharap jangan salahkan
Tuhan apabila ditimpa bala dan musibah. Tuhan tidak berlaku zalim, tetapi kamu yang
menzalimi dirimu sendiri yang begitu 'pulun' menjauhi peringatan.
Manusia begini, sebaiknya dia mengadahkan tangan ke langit
sambil berdoa,
"Ya Allah, awat aku ni ketegaq
sangat?"
…………………………
Islah diri
Orang yang sibuk meng-islah (membaiki) diri
tidak sempat mencari kesalahan orang lain.
Sampai satu peringkat, dia akan sedar
bahawa dia tidak boleh beramal kebaikan secara sendirian. Dia perlu berdakwah.
Membiarkan masyarakat dalam kegelapan adalah tanda kelemahan diri.
Waktu itulah ia akan terjun ke medan
dakwah. Fokus utamanya bukan semata-mata membetulkan kesalahan manusia
sekelilingnya, tetapi atas tujuan untuk membaiki diri sendiri.
Walaupun orang lain melihat dia sedang
sibuk meng-islah masyarakat dan bercakap tentang isu masyarakat, tapi bagi
dirinya, dia sedang meng-islah diri.
………………………….
Rugi
Kita ini dalam keadaan rugi. Kecuali bagi mereka
yang berpesan-pesan dalam kebenaran. Dan berpesan-pesan dalam kesabaran.
Kerja saling menasihat ini memang
memenatkan. Apatah lagi orang tidak pedulikan nasihat kita. Sebab itu kita kena
sabar. Hendak ubah diri sendiri pun payah, inikan orang lain.
Tapi kita teruskan juga usaha ini sebab ini
kerja kita. Manfaatnya untuk kita. Untuk elak jadi manusia rugi.
(Inspirasi dari surah Al-Asr)
No comments:
Post a Comment