Pages

Wednesday, 29 June 2016

KOLEKSI CATATAN (9) - BASUH HATI (bhgn. 1)

Sekarang!

Mati itu pasti. Alam kubur itu pasti. Syurga dan neraka itu pasti. Hari pembalasan itu pasti. Hari itu tidak berguna lagi harta dan anak pinak. Waktu itu, pahala menjadi ‘matawang’ yang sangat bernilai walaupun hanya sebesar zarah. Malangnya waktu itu bukanlah masa untuk bekerja mencari pahala.

Sekaranglah masanya!  Sementara masih hidup di dunia ini.
…………………………..


Peringatan tanpa kata


Kedut di dahi, kulit mengendur di bawah dagu, tapak kaki kering dan mengelupas, uban makin banyak, rambut menipis dan membotak, tenaga semakin kurang, sakit makin kerap,… itu semua adalah tanda kematian.

Kematian adalah peringatan tanpa kata-kata.

Beruntunglah orang-orang yang mahu 'mendengar' peringatan itu.

………………………………….

Percaya vs yakin


Semua orang Islam percaya Allah itu ada. Allah melihat segala perbuatan kita. Allah Maha Mengetahui.

Tetapi kenapa orang-orang yang percaya semua ini masih melakukan maksiat? Misalnya, seorang muslim yang 'normal' tidak akan tergamak menonton video lucah jika ibubapanya ada di sebelah!

Tetapi bagaimana dia tergamak melakukan maksiat itu di depan Allah yang sedang memerhatikannya?

Jawapannya, kepercayaannya itu belum sampai kepada tahap keyakinan yang mantap. Keyakinannya yang lemah itu telah dikalahkan oleh hawa nafsunya.  Keyakinan yang mantap itu berkait dengan iman yang mantap.

Ketika seseorang itu melakukan maksiat, tiada lagi  iman dalam dirinya.

Untuk dapatkan iman yang mantap inilah kita perlu ikhtiarkan sungguh-sungguh. Kerana inilah kemenangan. Inilah keberuntungan. Inilah kejayaan. Inilah kebahagiaan. Inilah keselamatan dunia dan akhirat.

……………………………….

Nafsu

Seringkali manusia jadi jahat bukanlah kerana dia tidak tahu perbuatannya jahat. Tapi kerana ia gagal mengawal nafsu.

Al-Quran pula jika dibaca, dipelajari dan difahami,  boleh menjadi penguat jiwa untuk menundukkan kerakusan nafsu.

Antara tanda orang yang kuat jiwanya ialah bila ada awek cun dan seksi lalu disebelahnya, dia akan segera tundukkan pandangan secara spontan.

Bahagianya hidup yang bebas dari diperhambakan hawa nafsu.
…………………………….

Matawang pahala


Manusia mudah ingat jika dirinya dizalimi/dibuli. Tetapi akan melupakan jika dia menzalimi/membuli orang lain.

Akhirat nanti segala amal kita akan dihitung seadilnya.

Barangkali, orang yang kita pernah potong line secara zalim ketika memandu guna lorong kecemasan juga akan cari kita di padang masyar nanti menuntut pahala dari kita. 

Waktu itu, pahala adalah matawang yang sangat berharga walau sebesar zarah.

…………………………

Sedarlah!


Ada kata hukama yang menyebut,

"Manusia sedang tidur. Ia akan bangun apabila mati kelak."

Bangunlah wahai hati yang sedang tidur. Sedarlah!
…………………..

Bersungguh-sungguh


Masa mencari tempat duduk untuk solat jumaat tadi, aku ternampak seorang remaja belasan tahun agak meluru masuk, men'cilok' di celah-celah orang duduk, dan terus ke saf pertama.

Aku teringat hadith ini:

 “Seandainya umat manusia mengetahui pahala yang terkandung pada SERUAN AZAN dan juga SAF PERTAMA, kemudian mereka tidak mendapatkannya kecuali melalui undian, nescaya mereka akan berundi.”

Aduhai diri... bila lagi agaknya engkau mahu bersungguh-sungguh dengan urusan akhiratmu..
…………………..

Uji


Apabila seseorang diuji dengan rangsangan maksiat, berlakulah pertarungan dalam dirinya iaitu iman vs nafsu.

Jika imannya lemah, nafsu akan menguasai dirinya. Ia akan mendorong untuk meneruskan maksiat itu.

Jika imannya kuat berbanding dorongan nafsu, maka ia akan menjauhkan diri dari maksiat itu serta beristighfar.

Begitulah antara cara Allah menguji hambaNya supaya ia dapat melihat sendiri setakat mana level imannya.

Jika pelaku maksiat ini dapat disedarkan betapa berharganya nilai 'saham' iman itu di 'pasaran' Akhirat, ia akan segera bertaubat.

Kerana taubat itu dapat memulihkan iman yang telah robek akibat dikalahkan nafsu.

Selamat bertarung semua termasuk aku!


……………………………..

Basri DK

No comments:

Post a Comment