Izinkan saya bernostalgia. Di suatu subuh, saya dan beberapa orang rakan sedang terperangkap di atas
siling bangunan asrama tempat kami menginap. Suasana waktu itu begitu cemas dan menggelisahkan. Kami cemas bukanlah kerana ada kebakaran, atau
pintu asrama terkunci. Tetapi, kerana kenakalan kami yang cuba untuk ponteng
dari menghadiri kuliah Subuh di masjid! Ia berlaku pada tahun 1995, sewaktu
saya tingkatan empat, di sebuah sekolah berasrama penuh.
(Kebetulan waktu itu filem Under Seige
2 lakonan Steven Seagal sedang hangat ditayangkan
di pawagam. Filem ini mengisahkan sekumpulan penjahat yang menawan sebuah keretapi. Hero dalam filem ini (lakonan Steven Seagal) terperangkap di dalam keretapi tersebut. Sama seperti saya dan rakan-rakan yang terperangkap dalam asrama. )
Sememangnya sudah menjadi sebahagian dari peraturan sekolah mewajibkan
semua pelajar menghadiri kuliah Subuh setiap pagi Jumaat. Cuma, penguatkuasaan
peraturan itu bergantung kepada mood
atau kerajinan para warden asrama dan guru-guru bertugas. Memang sekali-sekala
akan ada spot-check. Bagi pelajar
yang jenis ‘tidur mati’, mereka akan mudah ditangkap. Ada yang terus dirotan on the spot ketika masih berselimut. Langsung tidak ada usul periksa.
Akibatnya, kawan kami Subramaniam yang
beragama hindu itu pun turut kena rotan. Tentu
beliau kecewa kerana dihukum tanpa usul periksa. Barangkali, beliau akan salahkan mereka yang kaki ponteng.
“Korang yang ponteng, aku yang tak berdosa yang kena!” Mungkin itu yang
diungkapkan Subra.
Barangkali ada kalangan kaki ponteng ini yang mempertahankan diri dan
menjawab, “Itulah kau Subra, lain kali kalau nak tidur, jangan berselimut satu
badan. Sekurang-kurangnya keluarkanlah muka tu untuk menampakkan ke’hindu’an
kau!”.
Tidak semua pelajar yang ponteng itu berjaya ditangkap oleh warden. Bagi pelajar
yang berpengalaman, mereka sudah ada ‘pelan tindakan kecemasan’. Sebaik sahaja mendapat maklumat kehadiran
warden, mereka berupaya bertindak pantas dengan menyorok di dalam locker, bawah
katil atau dalam tandas. Kadangkala mereka boleh bolos lari dan menyelinap
masuk ke masjid menyertai kumpulan pendengar kuliah subuh tanpa ditangkap!
Namun begitu…
Pagi Jumaat yang satu itu, lain dari biasa. Entah apa yang datang ‘merasuk’,
para warden ini bertindak begitu agresif sekali. Dengan dibantu sebilangan
pengawas sekolah, mereka melakukan spot-check
besar-besaran. Setiap pintu yang menjadi laluan keluar-masuk ke blok asrama dikunci.
Siap diletakkan pengawas yang menunggu. Hampir mustahil untuk memboloskan diri.
Bukan sekadar itu, setiap pintu tandas,
setiap locker, setiap bilik stor, dan setiap penjuru asrama digeledah. Nampaknya,
para warden ini sudah tahu tempat biasa kami bersembunyi.
Spot-check kali ini memang nampak tersusun dan berstrategi. Namun,
ada satu titik kelemahan mereka! Mujurlah, spot-check yang dilakukan itu bukan
serentak. Ia bermula dari bangunan asrama blok A , sedangkan saya dan
rakan-rakan berada di blok B. Dari sini, kami dapat mengintai apa yang sedang
berlaku di blok A. Dari celahan tingkap, saya dapat melihat bagaimana pintu
locker digeledah dan ramai kawan-kawan se’nakal’an saya ditangkap. Dari sinilah
kami dapat mengatur strategi baru. Iaitu, menyorok atas siling!
Dipendekkan cerita, para warden ‘gagal’ mengesan dan menangkap
kami. Kami berjaya melalui detik-detik mencemaskan itu dengan 'cemerlang'.
Namun begitu, bila difikirkan
semula, perbuatan kami sangat berisiko. Dalam keadaan kelam-kabut dan cemas
begitu, diburukkan lagi dengan keadaan yang agak gelap, memanjat atas siling
bukanlah idea yang baik. Bila-bila masa sahaja kemalangan boleh berlaku. Ada
kawan saya yang tergelincir hingga hampir terjatuh. Mujurlah
beliau sempat berpaut pada satu palang kayu. Seingat saya, beliau tidak mengalami sebarang kecederaan. Hanya sebahagian siling yang pecah. Kalaulah beliau tidak sempat berpaut pada palang kayu, mungkin keesokan
harinya akan keluar berita yang bertajuk,
“PELAJAR ASRAMA HAMPIR MAUT AKIBAT PONTENG KULIAH SUBUH"
Tentu menyedihkan!
(Berita ini pernah menggemparkan negara. Manfaatkanlah kesempatan usia yang ada dengan sebaiknya!)
Mengapa saya ceritakan semua
ini?
Kisah ini merupakan sebahagian dari kisah yang menunjukkan tahap pemahaman dan
penghayatan saya terhadap Islam. Seperti yang digambarkan dalam kisah ini, saya
(dan beberapa kenalan) begitu enggan hadir ke masjid yang terletak hanya bersebelahan
blok asrama kami. Bukan sahaja enggan hadir, malah sanggup mengambil risiko
diambil tindakan disiplin termasuk dirotan.
Saya percaya, sikap bermalasan dalam mendalami ilmu agama ini bukanlah sikap
saya seorang atau segelintir sahaja daripada kami. Semasa di sekolah asrama
yang sama, setiap hari jumaat ada diadakan majlis usrah selepas solat Isyak. Dalam
masa yang sama, pihak sekolah menyediakan tayangan ‘wayang’ percuma yang
ditayangkan melalui projektor di padang bersebelahan kantin sekolah kami. Hanya
pelajar tingkatan satu diwajibkan hadir usrah. Pelajar lain bebas memilih
aktiviti masing-masing. Ramai yang
menonton wayang. Ada juga yang sekadar duduk di asrama. Hanya segelintir sahaja
yang menghadiri usrah. Kalaulah kehadiran pelajar tingkatan satu tidak diwajibkan,
saya percaya kehadiran usrah boleh dibilang dengan jari. Mengapa jadi begitu? Sedangkan,
menghadiri majlis yang didalamnya ada zikir
dan mengingati Allah ini diibarat
taman-taman syurga.
Dari Anas Ibn Malik radhiyallaahu 'anhu,
bahwa Rasulullah shallallaahu 'alaihi wa sallama bersabda, ”Jika kamu melewati
taman-taman Surga, maka singgahlah dengan senang.” Para sahabat bertanya,
”Apakah taman-taman surga itu ?” Beliau menjawab, ”Halaqah-halaqah
(kelompok-kelompok) dzikir.” (HR. Tirmidzi no. 3510 dan lainnya. Silsilah
Al-Ahaadiits Ash-Shahihah no. 2562) Sumber: https://www.facebook.com/febby.alfaumanni/posts/289254064550580
(Latihan untuk malam Grand Party: Kita lebih rela menghabiskan masa yang begitu banyak untuk majlis sebegini berbanding singgah sebentar di 'taman-taman syurga'. Mengapa?)
Saya percaya, sikap bermalasan dalam perkara agama itu sedikit sebanyak
berpunca dari pemikiran, pemahaman dan penghayatan yang tidak jelas tentang
Islam itu sendiri. Ia diburukkan lagi dengan suasana dan ‘trend’ yang tidak memihak
kepada pembentukan pemahaman yang jelas. InsyaAllah, dalam entri selanjutnya
saya akan huraikan sedikit sebanyak ciri-ciri Islam yang saya fahami semasa
zaman ‘nakal’ itu, serta perbandingannya dengan Islam yang saya fahami sekarang.
Wallau’alam.
(Nota: Kini, rakan-rakan se’nakal’an saya telah menjadi ‘orang baik-baik’. Mereka
rajin ke kuliah-kuliah ilmu dengan kesedaran sendiri tanpa perlukan warden
datang mengejar. Alhamdulillah, kami masih diberi kesempatan usia yang panjang
oleh Allah untuk mendalami keindahan Islam dan bertaubat dari kesilapan lalu. Mujur!
Semoga Allah mengampuni kesilapan kami, dan memberi ganjaran pahala yang
sebaiknya kepada guru-guru, para warden, rakan-rakan pengawas sekolah yang sangat
berdedikasi. Mereka tidak pernah berputus-asa mendidik kami menjadi ‘orang baik-baik’.
Semoga Allah merahmati kalian!)
(Reunion 2012: Alhamdulillah, semua jadi orang baik-baik belaka)
No comments:
Post a Comment