“Wahai sekelian rakyat yang dungu. Kalian sudah mengetahui bahawa kami adalah sang penguasa yang jahat. Tapi kalian tidak ada pilihan lain, sebab pakatan pembangkang lebih jahat dari kami! Pilihlah samada mahu pilih kami yang jahat, atau pembangkang yang lebih jahat!”.
Firman Allah S.W.T,
“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah
engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” (Ad-Dhuha: 11)
Dalam entri kali ini, saya menyentuh sedikit sebanyak tentang nikmatnya
meyakini hari pembalasan. Mudah-mudahan, dengan merenungkan kembali
nikmat-nikmat Allah ini, akan timbul rasa kasih dan sayang pada agama suci ini,
lalu segarlah kembali hati yang sering lalai dan lupa.
(Sumber)
Isu 1
“Just look at us. Everything is backwards, everything is upside down.
Doctors destroy health, lawyers destroy justice, psychiatrists destroy minds,
scientists destroy truth, major media destroys information, religions destroy
spirituality and governments destroy freedom.” ― Michael Ellner
Kebetulan ketika entri ini ditulis, isu ‘RM 2.6 billion’ sedang hangat diperkatakan oleh rakyat Malaysia. Ada yang mempersoalkan,
bagaimana wang sebanyak itu boleh dimasukkan ke akaun peribadi seorang Perdana
Menteri? Bukankah ini satu bentuk
penyelewengan kuasa yang nyata?
Ada pula pihak yang mempertahankan perdana menteri dengan mengatakan ianya
wang derma. Dalam masa yang sama, kabinet dirombak, SPRM yang kerjanya
menyiasat, kini mereka pula disiasat. Seolah-olah kuasa pemerintah yang
sepatutnya digunakan untuk melindungi hak rakyat, disalahgunakan untuk
melindungi kebobrokan kuasa pemerintah. Polis
yang sepatutnya kerja mereka membanteras jenayah, kini seolah-olah berpihak
kepada penjenayah. Begitulah tanggapan rakyat secara umum terhadap isu ini. Saya
dapat lihat dan baca kata-kata yang menunjukkan rasa marah dan geram
dihamburkan di mana-mana. Mungkin tanggapan rakyat ini betul, dan mungkin juga
salah. Mungkin ada lagi fakta yang tersembunyi yang rakyat biasa seperti saya tidak ketahui. Itu bukanlah perkara yang saya ingin
bangkitkan dalam entri ini.
(Ini antara gambar yang menjadi viral di internet semasa isu RM 2.6Billion hangat diperkatakan)
Apa yang menjadi ‘concern’ saya
ialah, (maaf saya ingin sebut) biasanya kemarahan rakyat sangat cepat redanya. Menjelang
pilihanraya nanti, sang penguasa kembali buat-buat baik, gula-gula ditabur,
wang sara diri dikirim, lalu lupalah rakyat pada kezaliman sang penguasa. Sekiranya
kejahatan mereka tidak dapat disembunyikan lagi, pihak pembangkang pula diburuk-burukkan.
Seolah-olah mereka ingin memberitahu,
“Wahai sekelian rakyat yang dungu. Kalian
sudah mengetahui bahawa kami adalah sang penguasa yang jahat. Tapi kalian tidak
ada pilihan lain, sebab pakatan pembangkang lebih jahat dari kami! Pilihlah
samada mahu pilih kami yang jahat, atau pembangkang yang lebih jahat!”.
Maka, takut dan terpedayalah sang rakyat. Kasihan….
Apabila marah hanya didasari dengan sentimen dan emosi, bukan dari akal
fikiran yang sihat dan waras, maka itulah yang terjadi. Ia cepat membuak, dan
cepat juga meluntur. Sang penguasa sudah
masak dengan perangai rakyat yang sebegini. Sebab itu mereka berterusan berani
meneruskan kezaliman!
Pada pandangan saya, bagi mereka yang berfikiran jauh sampai ke akhirat,
mereka tidak mudah digula-gulakan. Apabila marah dan sedih kerana dizalimi,
kemarahan mereka tidak berpanjangan. Mereka yakin Allah itu Maha Adil. Si zalim
mungkin boleh terlepas dari hukuman dunia. Tetapi mereka pasti tidak boleh
lepas dari hukuman Allah di akhirat. Maka, tenanglah dan tenteramlah jiwa
walaupun terasa diri dianiaya. Bukanlah mereka menjadi manusia yang tunduk dan
lesu. Mereka juga berasa marah, tetapi marah mereka didasari dengan ilmu dan
ketenangan jiwa. Dengan ketenangan
inilah, mereka sentiasa berfikiran rasional. Mereka boleh lihat yang mana
umpan, yang mana kail. Mereka bijak memakan umpan, tetapi tidak terkena jerat
kail yang dipasang. Bagi saya, inilah antara sebab ‘syok’nya memiliki sebuah ketenangan
hasil dari meyakini adanya hari akhirat sebagai hari pembalasan.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa
sallam pernah bersabda:
Yang lebih kurang maksudnya:
“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis
itu?”
Para sahabat menjawab: “Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang
tidak mempunyai wang atau pun harta benda.”
Lalu Rasulullah sallAllahu `alaihi wa
sallam bersabda: “Sesungguhnya orang
yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada Hari Kiamat dengan
membawa pahala solat, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang
dengan membawa dosa menghina orang, menuduh orang, memakan harta orang lain,
membunuh dan memukul orang. Lalu diberi
segala pahala amal-amalnya itu kepada orang yang pernah dia zalimi ketika di
dunia. Jika telah habis pahalanya
sebelum dapat dibayar kepada orang yang dizaliminya, maka dosa-dosa orang-orang
yang dizaliminya tersebut akan dilemparkan kepadanya pula, lalu dia kemudiannya
dicampakkan ke dalam Api Neraka!”
(Hadith Riwayat Muslim)
………………….
Isu 2
Kita biasa melihat gelagat manusia yang sewenang-wenangnya menggunakan lorong
kecemasan di lebuhraya ketika berlakunya kesesakan trafik. Biasanya akan
berlaku ‘bottle neck effect’ dan
fenomena ‘stop wave’. Samada sedar
atau tidak, perbuatan mereka yang menggunakan lorong kecemasan ini boleh
menyebabkan keadaan trafik yang sesak itu menjadi lebih sesak. Maka
teraniayalah pemandu yang sentiasa ‘istiqamah’ hingga kemenangan mengikut
lorong yang betul. Jika jarak perjalanannya pendek, pemandu zalim itu mungkin
boleh selamat sampai dengan cepat. Namun, jika jarak perjalanannya panjang, kesesakan
jalanraya pun panjang, mereka sendiri akan turut terperangkap dalam kesesakan
akibat perbuatan mereka sendiri.
Kadang-kadang, pemandu jujur ini berasa geram juga. Apatah lagi melihat
gelagat anak-anak di sebelah yang sudah resah gelisah menempuh perjalanan yang
panjang. Si anak berkata,
“Ayah. Kenapa tak guna lorong kecemasan ni? Lorang ini lebih lapang.”
Si ayah berkata,
“Tak boleh, itu menyalahi undang-undang dan memburukkan lagi keadaan.”
Si anak tidak berpuas hati, lalu menjawab,
“Tapi, mereka tu senang-senang je potong kita.”
Mungkin perasaan si anak rasa terguris setiap kali melihat ada kereta
memotong secara salah.
Si ayah dengan tenang berkata lagi,
“ Takpe lah. Kita bersangka baik baik. Mungkin mereka ada hal kecemasan
yang tidak dapat dielakkan. Contohnya ada orang nak bersalin ke…”
Si anak masih tidak berpuas hati.
“Takkanlah semua kereta yang
memotong kita ni ada orang nak bersalin?”
Sambil tersenyum si ayah berkata,
“Kita diajar untuk bersangka baik. Kalau memang betul kita dizalimi, akan dapat
pahala kerana sabar dan bersangka baik. Kalau kita mendoakan agar orang yang
zalim itu segera bertaubat, kita akan dapat pahala juga kerana doa kita itu. ”
Perhatikanlah, walaupun sebenarnya si ayah sedang memendam perasaan geram,
tetapi masih boleh memberi jawapan yang ‘cool’ begini. Jawapan sebegini hanya
mampu diungkapkan oleh orang-orang yang meyakini keadilan Allah S.W.T yang
menjadikan hari pembalasan.
Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
“Alangkah mengagumkan keadaan
orang yang beriman, karena semua keadaannya (membawa) kebaikan (untuk dirinya),
dan ini hanya ada pada seorang mukmin; jika dia mendapatkan kesenangan dia akan
bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia
akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Hadith riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment