Pages

Monday, 31 August 2015

Apa yang saya mahu dalam hidup ini (10) – Syoknya menjadi orang Islam pada nikmatnya dikurniakan Al-Quran

Dalam satu kumpulan whatsapp, saya bertanya,

“Apa yang bestnya jadi orang Islam?”

Sesetengah jawapan saya telah kongsikan dalam entri-entri terdahulu. Kali ini, saya terpanggil untuk menghuraikan salah satu jawapan yang diberikan oleh kawan saya,

“Bestnya jadi Islam – ada GUIDANCE.”

Ya, kita ada Al-Quran. Al-Quran adalah nikmat yang berupa petunjuk. Mudah-mudahan, dengan mensyukuri nikmat Allah ini, Allah akan menambahkan lagi nikmat itu kepada kita semua. Amin!

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
(Ibrahim 14:7)
(Ini ialah guitar tuner yang digunakan untuk tune sebuah gitar. Al-Quran pula bagi saya adalah sebuah tuner untuk tune manusia. Sumber)


Meneroka Al-Quran adalah satu pengembaraan  yang mengujakan

Apabila saya mengambil ketetapan untuk lebih mendalami Islam, antara perkara pertama yang saya buat ialah membeli Al-Quran dan terjemahannya.  Itulah kali pertama dalam hidup, saya memiliki terjemahan Al-Quran, iaitu sekitar tahun 1997. Waktu itu, usia sudah pun mencecah 18 tahun. Sudah lama akil baligh, tapi baru terkial-kial hendak memahami Al-Quran.

 Pada mulanya, saya rasa agak kekok membaca terjemahan Al-Quran. Susunan ayat-ayatnya sangat aneh sekali. Tidak seperti buku-buku ilmiah lain yang menerangkan sesuatu topik dalam bab yang khusus. Kadangkala setiap ayat itu tidak ada hubungkait dengan ayat sebelumnya dan terasing dengan ayat selepasnya.  Ada ayat yang saya dapat fahami dengan mudah, ada yang tidak. Apabila terjumpa ayat yang tidak saya fahami walaupun setelah membaca nota kaki, saya biarkan sahaja. Saya teruskan bacaan pada ayat-ayat seterusnya. Ada ayat yang menarik perhatian saya, lalu saya ingat intipatinya. Ada ayat yang terasa seperti ditujukan khas kepada saya hingga membuat saya ‘sentap’. 

(Antara yang saya tulis dalam nota,"Ingat senang masuk syurga padahal belum diuji?"Ini adalah salah satu cara saya respon terhadap ayat-ayat yang membuat saya 'tersentap'. Saya akan sisipkan nota pada ayat tersebut supaya saya lebih ingat dan mudah rujuk kembali)

Namun, pada peringkat awal, ada banyak ayat yang saya tidak faham, lalu ia dilupakan sahaja sebaik sahaja melangkah ke ayat seterusnya.  Apabila sudah bosan, saya akan berhenti. Ada keadaan saya mampu membacanya sehingga berjam-jam lamanya, dan ada masanya saya langsung tidak menyentuhnya seharian. Apapun, saya terus membaca ayat demi ayat, helaian demi helaian.  Saya tidak peduli samada saya faham atau tidak. Tidak peduli samada saya ingat atau tidak. Saya anggap ini adalah sebahagian dari proses 'tuning'. Sebagaimana sebuah gitar perlukan ‘tuning’ sebelum dapat menghasilkan bunyi yang sedap, saya anggap diri saya juga perlu di’tuning’ sebelum dapat menikmati ‘kesedapan’ Al-Quran.

Sehingga sekarang saya masih tidak pasti apakah ini kaedah terbaik bagi ‘beginner’ seperti saya yang ingin mendalami Islam dan Al-Quran. Tetapi, belum pun habis dari kulit ke kulit terjemahan Al-Quran itu saya baca,saya mula tertarik dengan kuliah agama yang di dalamnya ada disebut ayat Al-Quran. Sedangkan, sebelum itu saya begitu liat menghadiri kuliah agama. 

Setelah mendalami serba sedikit Al-Quran, apabila saya mendengar penceramah membacakan ayat Quran, saya mula membuat analisa seperti;

“Eh, kenapa ayat ini aku belum pernah baca dalam terjemahan?”

“Wah, ayat ini aku pernah baca! Tak sangka huraiannya lebih terperinci daripada apa yang aku faham!”

“Ha, inilah ayat yang aku pernah baca dulu. Tapi kenapa huraiannya lain macam, tak seperti apa yang aku faham? ”

Saya anggap Al-Quran ini umpama magnet. Ia menjadikan pembaca Al-Quran akan mudah tertarik dengan ilmu-ilmu yang disentuh di dalam Al-Quran. Walaupun kadang-kadang dalam khutbah jumaat, di hari yang panas, dibaca oleh khatib yang tidak berapa lancar membaca teks, dalam keadaan semua makmum terhangguk-hangguk sehingga tidak dapat dipastikan samada mereka faham atau mengantuk, dengan tajuk khutbah yang membosankan seperti ‘Marilah makan buah-buahan tempatan’, asalkan ada disebut ayat-ayat Quran, masih ada harapan untuk rasa teruja mendengarnya.

Sehingga sekarang, walaupun sudah beberapa kali  ‘khatam’ membaca terjemahan Al-Quran, tetapi ilmu yang diperolehi tidak pernah habis. Sentiasa ada sahaja pemahaman baru dan ‘sentapan’ baru. Saya percaya, sehingga hujung hayat pun saya tidak akan selesai memahami Al-Quran. Bayangkan, kitab yang sudah berusia lebih 1,000 tahun, terus dikaji oleh ribuan malah jutaan orang sehingga sekarang. Tapi, hingga sekarang masih belum habis pengkajian mereka!

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. ….”
 (Az-Zumar : 23)

Hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja dapat memahami betapa ‘indah’nya saat kulit menjadi seram dan lembut serta tenang tenang tenteram hati ketika mendengar ayat-ayat suci Al-Quran dibacakan. Semoga Allah memilih saya dan kita semua merasai nikmat itu.


No comments:

Post a Comment