Pages

Friday 4 September 2015

Apa yang saya mahu dalam hidup ini (11) – Atas tilam pun boleh berhubung dengan Tuhan

(Carilah ketenangan hati dengan banyak mengingati Allah: Sumber gambar)

Saya percaya, antara nikmat yang besar bagi seorang muslim ialah apabila dapat berhubung secara langsung dengan Tuhan. Rasa seperti tidak lengkap apabila membicarakan soal nikmat menjadi orang Islam, hal ini tidak disentuh. Namun, topik ini amat berat bagi saya. Orang yang tidak memiliki, tidak akan mampu memberi. Justeru cukuplah sekadar saya kongsikan perbualan bersama rakan-rakan dalam satu kumpulan whatsapp yang saya sertai. Mudah-mudahan, dengan banyak mengingat nikmat Allah ini, akan segarlah hati untuk sentiasa mensyukuri dan meningkatkan ketaatan kepadaNya.
...........................................
Dalam satu kumpulan whatsapp, saya bertanya,

“Apa yang bestya jadi orang Islam?”

Ada banyak jawapan yang diberikan. Saya tertarik dengan jawapan yang diberikan oleh rakan saya, Fahimi,

“Bestnya jadi orang Islam? Kita ada direct connection dengan Allah. Tiada pengantara.”

 Fahimi huraikan lagi,

“Nak mintak, doa je.”

“Minta ampun? Minta dengan Allah.”

“Minta rezeki? Minta dengan Allah.”

Saya kagum dengan jawapan ini. Walaupun mudah disebut, tapi tidak ramai yang boleh ‘rasa’ nikmatnya dapat berhubung langsung dengan Tuhan. Seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud;

Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.
(As-Sajdah 32:16)

(Rock, rock juga. Allah jangan dilupa)

Hanya mereka yang pernah bangun di tengah malam untuk bermunajat menyembah Allah akan faham bagaimana perasaan  ’takut’ dan ‘ingin memperolehi lagi keredhaan Allah’ seperti yang digambarkan dalam ayat Al-Quran di atas.  Seperti nikmat ‘kahwin’. Budak-budak pun boleh boleh sebut bestnya ‘kahwin’. Tapi, hanya yang pernah ‘kahwin’ sahaja mengetahui bagaimana rasanya. 

Beliau sambung lagi,

“Nak bertaubat, tak perlu ke masjid.”

“Di atas tilam pun boleh.”

Saya rasa ada yang lucu dengan jawapan ‘tilam’.  Banyak lagi contoh-contoh tempat lain yang boleh diberikan.  Di sebalik komentar lain, saya mencelah,

“Wow. Bertaubat atas tilam…. Apsal ko bagi contoh tilam? Atas kerusi pun boleh.”

Fahimi menjawab,

“Tilam itu bermaksud terlantar sakit. Dah tak boleh bangun. Jangan fikir bukan-bukan”.

Saya hanya tersenyum sendiri. Ada benarnya jawapan yang diberikan. Kita orang Islam boleh berhubung dengan Tuhan di mana-mana sahaja kita berada, termasuk di atas tilam. Ini mengingatkan saya kepada firman Allah S.W.T yang bermaksud,

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
(A-li'Imraan 3:191)

Terpulang pada kita samada mahu selalu mengingati Allah atau tidak. Tepuk dada, tanya iman.

“….Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang."

(Ar-Ra'd:28)

No comments:

Post a Comment