“Mengapa saya memilih agama
Islam?”
Mungkin pelik saya mengajukan soalan ini kepada diri saya sendiri sedangkan
saya dilahirkan sebagai orang Islam. Tapi, bagi saya, selagi saya tidak dapat
menjawab soalan ini kepada diri sendiri dengan jujur dan ikhlas, selagi itulah saya
belum berpuas hati dengan status keIslaman saya. Atau Islam saya hanya
berdasarkan warisan dan budaya masyarakat sahaja. Bagi saya, soalan ini sangat
kritikal untuk dijawab secara jujur oleh setiap individu yang mengaku muslim
kepada diri mereka sendiri. Untuk mendapat jawapan yang diri sendiri yakini,
maka mereka perlu mendalami Islam sehingga ia mampu berkata kepada diri sendiri,
"Sekiranya aku dilahirkan sebagai bukan Islam sekali pun, namun melalui
ilmu yang aku pelajari ini beserta keyakinanku aku akan tetap memilih untuk
beragama Islam”.
Saya tidak pasti bila saya mula mampu mengungkapkan kata-kata ini. Tapi,
saya mula lebih serius mendalami Islam ketika usia sekitar 18 tahun. Ia bermula
setelah saya menyedari ada sesuatu yang kosong dalam hidup saya. Pertanyaan
demi pertanyaan seperti “mengapa Tuhan jadikan saya, apa yang perlu saya buru”,
mula menerjah dalam akal. Sebahagian pemikiran dan pertanyaan itu saya telah
tuliskan dalam entri yang lalu.
Memang saya ada belajar mengenai Islam sejak kecil. Saya juga ada
mempelajarinya secara formal di sekolah rendah dan sekolah menengah. Tetapi
saya mengganggap itu hanya salah satu subjek dari beberapa subjek lain. Saya
belajar Islam sama seperti saya belajar matematik, sejarah, geografi, bahasa Melayu
dan lain-lain. Saya mengerjakan solat kerana itulah yang disuruh oleh ibu bapa
dan guru. Saya hanya mengikut suasana.
Persoalan tujuan hidup yang saya
cari ditemui dalam kalimah syahadah
Sehinggalah saya berumur sekitar 18 tahun, pandangan saya terhadap Islam mula
berubah sedikit demi sedikit. Islam agama benar, datang dari Tuhan.Waktu itu baru
terasa ‘aura’ atau ‘beratnya’ atau ‘nikmatnya’ ungkapan kalimah syahadah yang
berbunyi,
“Aku bersaksi tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi Nabi Muhammad pesuruh Allah”
Sewaktu zaman kanak-kanak, saya sekadar faham, “kalau mengucap, masuk syurga. Kalau tak, masuk neraka.”
Tetapi waktu itu akal saya tidak mampu menjawab persoalan ini;
“Kenapa ungkapan syahadah ini begitu powerful sehingga boleh menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka?”
Saya teringat sebuah filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee berjudul Ali Baba
Bujang Lapok. Ada satu babak di mana apabila ketua penyamun (lakonan P.Ramlee) membaca satu‘mantera’, pintu gua pun terbuka. Begitukah fungsi kalimah syahadah? Hanya
dengan satu ucapan, pintu syurga pun terbuka dan terselamatlah saya dari
dicampakkan ke neraka. Begitukah?
Entri ini tidak berniat (malah tidak mampu) untuk menghurai segala makna
dan tuntuan di sebalik ungkapan kalimah syahadah ini. Cukuplah saya kongsikan
bagaimana ungkapan syahadah yang pendek dan mudah ini telah menjawab persoalan
tujuan hidup yang saya cari selama ini.
Saya ingin kongsikan satu snapshot sebuah hadith dari satu buku
yang pernah saya baca;
Perhatikanlah, jika ungkapan syahadah itu kosong tanpa makna, mengapa Abu
Talib begitu enggan mengucap dua kalimah syahadah sehingga akhir hayatnya?
Kenapa Abu Jahal pula beriya-iya mahu menghalang Abu Talib mengucapkannya?
Dalam perjalanan saya mengenali Islam, saya disedarkan bahawa ungkapan
syahadah ini mempunyai makna, huraian, tuntutan dan cabang-cabang yang sangat
luas. Di dalamnya menjawab persoalan tujuan hidup yang saya cari-cari selama
ini, iaitu meng’hamba-abdi’kan diri kepada Allah dengan jalan yang ditunjuk
oleh Muhammad s.a.w. Ia bukan sekadar
ungkapan di bibir sahaja. Ia mempunyai syarat-syarat sah dan perkara-perkara
yang membatalkannya. Apabila kita ‘menerima’ ungkapan ini, bermakna kita
menerima segala syarat-syarat dan tuntutannya.
Meng’hamba-abdi’kan diri kepada Allah, adalah bermakna menyerahkan diri,
tunduk dan patuh kepada Allah, iaitu Tuhan yang layak diserahkan segala
kepatuhan. Tunduk patuh kepada Allah, bermakna ia menjadi manusia bebas
merdeka. Ia telah membebaskan diri dari segala bentuk pemikiran dan pemahaman,
sistem pemerintahan, cara hidup dan nilai-nilai yang bertentangan dengan apa
yang diwahyukan oleh Allah.
Barangkali, pemahaman sebeginilah yang menyebabkan Abu Jahal begitu enggan
mengungkapkan kalimah ini. Kerana, kalimah ini memberi makna beliau perlu
menyerahkan segala kuasa politik dan pemerintahan semata-mata kepada Allah SWT
melalui pesuruh-Nya iaitu Muhammad S.A.W. Beliau tidak boleh lagi memerintah
dengan menggunakan peraturan sendiri. Untuk mempertahankan kuasa dan
pengaruhnya di kalangan pemimpin Quraish, Abu Jahal sanggup berperang dengan
anak saudaranya sendiri iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Begitu juga di pihak Nabi
Muhammad S.A.W, baginda tidak mahu mengalah sehingga berlakunya peperangan
Badar yang akhirnya menamatkan riwayat Abu Jahal.
Bagi saya, masalah teras yang
menimpa umat manusia hari ini ialah apabila ia meninggalkan petunjuk Tuhan dan
beralih kepada pemikiran, sistem pemerintahan, cara hidup dan nilai-nilai yang
difikir-fikir sendiri dengan segala keterbatasan akal. Dari sinilah munculnya
fahaman ciptaan manusia seperti athiesma (tidak percaya Tuhan), sekularisma
(membataskan agama kepada acara ritual yang tiada kaitan dengan
kehidupan), hedonisma (hidup ini adalah
untuk memuaskan diri sendiri) dan pelbagai bentuk pemikiran yang merosakkan.
Adakah Allah menerima pengakuan syahadah saya jika diungkapkan secara ‘kosong’ tanpa makna?
Ucapan syahadah ini berisiko menjadi batal sekiranya kita mempunyai kepercayaan
kepada perkara-perkara yang membatalkannya. Tanpa pemahaman, ucapan syahadah
kita mungkin ucapan orang yang menipu. Lain di mulut, lain pula di hati. Orang
munafik pun tahu mengucap syahadah. Tetapi keIslaman mereka tidak diterima
disisi Allah.
Hayati terjemahan ayat Quran ini;
Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. [Surah Al-Munafiqun: ayat 1]
Usaha mempelajari Islam bukanlah setakat membaca satu atau dua artikel
semata-mata, tetapi ia merupakan proses berterusan. Ia bukan teori yang
dipelajari di bilik kuliah semata-mata, tetapi perlu disertakan dengan
praktikal.
No comments:
Post a Comment