"Saya tidak mahu berhempas pulas memanjat tangga, tapi bila sampai di puncak, barulah tersedar yang tangga itu disandarkan pada dinding yang salah!"
Entri terdahulu:
Entri terdahulu:
Memburu kesihatan yang baik?
(Sekadar gambar hiasan)
Kita biasa
mulakan perbualan dengan pertanyaan “Apa khabar?” dan dijawab dengan “Khabar
baik”. Bagi orang yang sihat, ucapan itu biasa sahaja. Ia hanyalah sekadar
pembuka bicara. Tetapi ada peristiwa yang menyebabkan persepsi saya terhadap
ucapan “Apa khabar?” dan dijawab “khabar baik” berubah sama sekali.
Izinkan saya
berkongsi kisah. Ia berlaku sekitar tahun 2007, di sebuah kampung di Melaka. Saya menyertai sekumpulan sukarelawan menghulurkan sumbangan kebajikan kepada masyarakat yang memerlukan. Kami melawat seorang perempuan tua yang mengidap penyakit
strok. Seluruh anggota badan beliau lumpuh. Sewaktu kami datang, beliau sedang
terbaring di atas katil walau matanya pejam celik. Kami datang membawa bersama doktor terlatih. Setelah doktor kami
membuat pemeriksaan, memberi beberapa ubat-ubatan secara percuma dan khidmat
nasihat , kami pun memohon untuk
mengundur diri. Waktu itu, ada anggota pasukan kami berkata,
“Saya doakan agar makcik dapat sembuh” .
Bagi saya itu
ucapan biasa. Ia hanya kata-kata ‘sopan’ yang diungkapkan bagi mengakhiri
perbualan. Ia selari dengan doa yang diajar dalam Islam;
“ Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung,
Tuhan Arasy yang agung, supaya menyembuhkan kamu.”
Namun, tidak
begitu bagi orang tua itu. Sebaik sahaja rakan anggota pasukan kami mendoakan beliau, tiba-tiba saya nampak riak wajahnya bertukar. Dahinya berkerut. Matanya berkaca tetapi sayu. Air mata mengalir dipipinya yang berkedut dimamah
usia. Saya nampak mulutnya terkumat kamit seperti mahu mengatakan sesuatu.
Malang, suaranya tersekat-sekat. Penyakit strok itu telah menelan suaranya. Sehingga
hari ini, saya masih memikirkan apa yang beliau cuba sampaikan. Dan Tuhan
sahaja yang tahu betapa beratnya penderitaan perasaan makcik itu apabila
suaranya tidak dapat didengari!
Sejak itu, saya menyedari ucapan “apa khabar” yang dijawab “khabar baik” membawa makna yang mendalam. Ia bukan lagi kata-kata pemula bicara
semata-mata. Ia adalah kata-kata kesyukuran!
Penyakit seperti
strok yang menimpa makcik itu, sebenarnya boleh menimpa saya bila-bila masa sahaja.
Saya mula bertanya pada diri,
“Di saat aku
terlantar sakit, dalam keadaan tidak mampu bangun sendiri, dalam keadaan nyamuk
yang hinggap di pipi pun aku tak mampu halau, adakah masih bermakna ijazah
sampai phD, kerjaya berstatus tinggi dan harta yang banyak?”
Waktu itu barangkali,
segala tanda kejayaan dan kemewahan itu tidaklah senikmat dianugerah kuderat menghalau
nyamuk yang hinggap di pipi!
Memang benar, penyakit
seperti strok ini boleh dikurangkan risikonya dengan mengamalkan gaya hidup
sihat. Saya tidak nafikan hal itu. Namun, sesihat mana sekali pun, apabila
memasuki alam tua, akan sakit juga.
Bezanya, adalah dari segi waktu dan jenis penyakit. Ada yang
mengidap kencing manis seawal usia 30 tahun dan ada yang sudah 80 tahun masih sihat. Ada yang kena penyakit jantung, penyakit paru-paru dan macam-macam
lagi. Ada pula yang ditimpa kemalangan jalan raya.. Musibah dan penyakit boleh datang dari
beribu arah yang tidak disangka-sangka…
Yang pasti, walau
sebaik mana sekali pun saya menjaga kesihatan, kematian tetap akan tiba.
Justeru apalah gunanya cemerlang SPM, segulung ijazah, harta yang banyak, dan
umur yang panjang jika kesudahannya tetap sama dengan orang yang gagal SPM, tidak
masuk univerisiti, tidak berharta, dan umur yang pendek iaitu sebuah kematian.
Benarlah apa yang
disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika melihat bangkai kambing,
“Demi
Allah, dunia ini lebih hina bagi Allah daripada bangkai ini dalam pandangan
kalian.” (HR Muslim).
Ada pandangan
‘nakal’ yang berkata,
“ Soal sakit dan mati ni tak payah difikirkan sangat,
nanti tak maju!”
Saya tidak dapat
menerima pandangan begini. Bagi saya, pandangan hidup perlu diluruskan. Hidup
hanya sekali. Saya tidak boleh habiskan sisa umur ini dengan memburu sesuatu
yang hakikatnya sebuah fatamorgana. Saya tidak mahu berhempas pulas memanjat tangga, tapi bila sampai di puncak, barulah tersedar yang tangga itu disandarkan pada dinding yang salah!
Justeru itu, apa yang harus saya buru?
Dari sudut pemikiran dan paradigma hidup,
saya sudah tidak mampu lagi bercita-cita hanya setakat pada kerjaya seperti
menjadi jurutera, atau menjadi pensyarah. Saya tidak mampu lagi bercita-cita
dalam bentuk pencapaian kebendaan (material). Semua pencapaian kebendaan itu
akan saya tinggalkan juga suatu hari nanti. Masakan saya tergamak menghabiskan
usia mengejar sesuatu yang pasti akan saya tinggalkan?
Persoalan susulan mula timbul, “apa yang
aku harus buat dengan hidupku? Apa yang harus aku kejar? Apa tujuan hidupku?”
Persoalan inilah yang membawa saya kepada pengembaraan hidup mendalami Islam.
Rupa-rupanya Islam yang
saya anuti sejak lahir ini telah menyediakan jawapan yang sangat mantap dan
jelas. Mungkin kerana alpa atau sel-sel otak yang lambat berhubung, pada usia lewat 18 tahun barulah saya mula memahami intipati ajaran Islam sedikit demi sedikit.
Jika diizinkan
Tuhan, saya akan ceritakan perjalanan mendalami agama yang saya anuti sejak lahir ini dalam entri akan datang.Bersambung....
No comments:
Post a Comment