Pages

Monday, 9 January 2012

Bagaimana Al-Quran menjawab isu fitnah

(Gambar hiasan)

Seribu tahun yang lalu, Madinah 
        Peristiwa ini berlaku pada bulan Syaaban tahun 5 Hijrah. Pada hari itu, Shafwan ibnu Mu’athnal tidak mengetahui ada peristiwa besar yang bakal berlaku. Perisitiwa itu bakal dirakamkan di dalam Al-Quran dan dipertuturkan orang selama ribuan tahun akan datang. Beliau bersama rombongan  yang diketuai Rasullullah dalam perjalanan pulang dari satu peperangan. Ada yang berjalan kaki dan ada yang menaiki kenderaan unta dan kuda.

Memandangkan ada urusan yang tidak dapat dielakkan, beliau telah ditinggalkan jauh ke belakang di padang pasir yang luas. Semasa cuba mengejar kembali rombongannya, dari kejauhan beliau ternampak seperti lembaga manusia sedang terbaring.

Beliau bertanya kepada diri sendiri, “Siapa pula yang tidur bersendirian di padang pasir yang luas ini?”

Apabila merapati lembaga itu, beliau terkejut dengan apa yang dilihatnya lalu berkata “ Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, isteri Rasul!”. Rupa-rupanya itu adalah Aisyah, isteri Nabi Muhammad saw.


Tanpa berlengah, Shafwan mengiringi Aisyah r.a menaiki untanya, sedang beliau berjalan kaki. Beliau tidak tahu mengapa Aisyah berada di tengah padang pasir bersendirian. Itu tidak penting baginya. Apa yang penting ialah segera membawa Aisyah kepada Nabi Muhammad s.a.w di Madinah.

Akhirnya Shafwan dan Aisyah sampai juga di Madinah. Orang ramai yang memerhatikan mereka berdua mula menimbulkan syak wasangka. Mulailah timbul berbagai desas-desus. Kaum munafik pula membesarkan cerita. Daripada hanya melihat Aisyah menaiki unta Shafwan, fitnah bertambah luas hingga ada yang menuduh Aisyah berzina! Berita ini telah menimbulkan kekalutan di kalangan kaum muslimin.

Allah telah memberi respon kepada peristiwa ini dengan berfirman;

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. (An-Nur, 24:11)

2012, Kuala Lumpur

Tidak berapa lama dulu, dunia politik tanah air pernah digemparkan dengan isu pembunuhan kejam seorang model dari luar negara. Walaupun pembunuhnya telah dikenalpasti oleh mahkamah, tetapi sehingga kini masyarakat umum tidak mengetahui punca pembunuhan atau siapa yang memberi arahan bunuh tersebut. Justeru, ia telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan tuduh menuduh.

 Begitu juga dengan isu perlakuan liwat dan seks seorang pemimpin politik. Ia bertambah hangat apabila sebuah video tentang salah laku seks itu telah disebarkan.

Ada yang percaya, ada yang tidak, ada yang keliru dan ramai yang tidak mempedulikannya.

Hari ini, apabila menyelak helaian Al-Quran, terjumpalah surah An-Nur ini. Saya agak terkejut dan teruja kerana rupa-rupanya Allah telah memberi peringatan dan panduan yang cukup jelas mengenai isu  sebegini dalam ayat yang tersusun. Ayat ini turun sebagai respon kepada isu fitnah yang dihadapi isteri rasulullah saw lebih seribu tahun dulu, tapi pengajarannya kekal sehingga hari ini.

Maka, hari ini saya ingin meluahkan pendirian saya bahawa INI ADALAH SUATU BERITA BOHONG YANG NYATA, sebagaimana dalam firman Allah;

Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.”(An-Nur 24:12)

InsyaAllah, saya akan kekal dengan pandangan sedemikian hinggalah si penuduh mengemukakan empat orang saksi (dalam isu tudahan zina) dan dibuktikan benar oleh mahkamah SYARIAH. Ini berdasarkan firman Allah dalam ayat yang seterusnya;

Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.(An-Nur, 24:13)

Saya mengajak diri sendiri dan kita semua supaya bersegera memohon berada di bawah kurnia Allah dan rahmatNya di dunia dan akhirat. Ini  kerana;

Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu semua di dunia dan akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar, kerana pembicaraan kamu tentang berita bohong itu.(An-Nur, 24:14)

Isu ini buku isu politik semata-mata. Tahanlah diri, janganlah turut sama menyebarkan berita yang tiada kesahihan ini walaupun ketika bersembang kosong atau sekadar menjadikannya sebagai bahan bergurau senda. Pada pandangan kita, mungkin ini perkara kecil, tetapi tidak bagi Allah;

(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan sahaja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar. (An-Nur, 24:15)

Jika ada juga orang yang mengajak berbicara tentang berita bohong ini, ucapkanlah;

.....”Sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini. Maha Suci Engkau, ini adalah dusta yang besar.” (An-Nur, 24:16)

Kalau sebelum ini sudah terlanjur menjadi penyebar berita bohong ini, maka;

Allah memperingatkan kamu agar (jangan) kembali memperbuat seperti itu selama-lamanya, jika kamu orang-orang yang beriman. (An-Nur, 24:17)

Cukup jelas penerangan dari Allah SWT ini. Oleh itu, jika mahu tergolong dari golongan yang beriman, ikutlah sebagaimana yang telah diterangkan oleh Nya.

Dan Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (An-Nur, 24:18)

Jika sudah mendapat penerangan yang jelas sebegini, tetapi masih mahu menyebarkan fitnah, maka ingatlah;

Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui. (An-Nur, 24:19)

Peringatan Allah cukup jelas dan teratur. Tidak ada apa lagi yang perlu ditambah.

Kepada saudara yang menjadi mangsa sebarang berita bohong dan fitnah, saya amat bersimpati. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Mudah-mudahan firman Allah berikut menjadi penawar hati buat saudara;

.....Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. ... (An-Nur, 24:11)

Mudah-mudahan saudara dan kita semua mendapat hikmah di sebaliknya.


2 comments:

  1. Satu kupasan yg Alhamdulillah terang dan jelas.. cuma mungkin kita boleh kembangkan lg discuss dlm konteks pada masa kini iaitu releven / tidak penggunaan alat2 teknologi dalam perbicaraan samada gunakan gunakan hukum hudud/ undang2 sivil.. ( bergantung pada jenis kes samada zina/rompakan dsbnya.. mohon dobot boleh dapatkan penjelasan lebih lanjut.. )

    ReplyDelete
  2. terima kasih turunkan komen. Itu adalah permohonan yang sukar bagi saya. Kalau jumpa, saya bagi.

    ReplyDelete