Waktu itu, saya sedang mengisi borang permohonan biasiswa kecil Petronas. Biasiswa ini diberikan kepada pelajar sekolah berasrama penuh yang keluarga mereka berpendapatan rendah.
Ada ruang yang perlukan kepastian dari abah, lalu saya bertanya, “E tulis pendapatan abah RM 400 sebulan, boleh?” Saya membahasakan diri saya sebagai ‘E’ ketika bersama keluarga.
Abah berkata lagi, “ Tapi, kadang-kadang bila masa susu getah banyak dan cuaca elok boleh juga sampai RM 400 agaknya. Tulis RM 350 lah...” Saya hanya akur. Ketika itu, tiada apa-apa perasaan yang terlintas dengan angka itu.
Pendapatan sebagai penoreh getah tidak menentu, bergantung kepada cuaca, kesihatan pokok (dan penoreh) dan harga susu getah di pasaran.
Dengan pendapatan sebanyak itulah kami tujuh beradik dibesarkan. Kami tinggal di kampung dan di tanah pusaka peninggalan arwah datuk. Abah tidak berhutang dengan bank untuk tinggal di rumah itu. Abah tidak berkereta, malah tidak bermotosikal. Ke mana-mana beliau pergi hanya dengan basikal tuanya. Kenaikan harga minyak petrol tidak memberi kesan besar kepadanya. Semasa emak hendak bersalinkan adik saya dulu, jiran sebelah bertindak sebagai ‘teksi tanpa tambang’ untuk tolong hantarkan emak ke hospital. Semangat kejiranan dan tolong-menolong yang tinggi di kalangan orang kampung, memungkinkan perkara ini berlaku dan ia adalah amalan biasa.
Tanah di belakang rumah agak luas. Dengan sedikit berjasa kepada tanah, hasil tanaman telah memberi sumbangan pendapatan sampingan kepada keluarga kami. Kadang-kadang ada orang datang hendak beli daun sireh,buah kuinin, buah rambutan, daun serai, pandan dan lain-lain. Kadang-kadang emak bagi secara percuma sahaja apabila hasil bumi ini lebih banyak dari keperluan. Jiran-jiran juga begitu. Walaupun keluarga kami tidak menanam jagung, tapi sekali-sekala berpeluang makan jagung percuma hasil dari pemberian jiran tetangga.
Oleh itu, walaupun pendapatan abah kecil, emak menjadi surirumah sepenuh masa, adik-beradik kami ramai, namun kami dapat hidup dengan serba cukup. Emak dan abah ada banyak masa untuk memberi secukup perhatian kepada kami, sesuatu yang amat diperlukan oleh anak-anak yang sedang membesar. Sebagai penoreh getah, abah keluar rumah seawal 6.00 pagi dan akan pulang sebelum tengahari. Jika hari hujan, abah tidak keluar menoreh. Masa selebihnya adalah untuk anak-anak dan untuk bermasyarakat.
Waktu itu, orang lain mungkin melihat kami hidup susah, tapi saya rasa keluarga kami sudah cukup selesa malah terasa kaya. Bukan kerana pendapatan keluarga kami besar, tapi kerana keperluan kami kecil.
Kuala Lumpur, 2012
Saya terpaksa bersetuju apabila membaca petikan sebuah artikel yang mengatakan pendapatan RM6,000 sebulan diperlukan untuk hidup tahap ‘sedikit selesa’ di Kuala Lumpur [1].
Realiti kehidupan di bandar hari ini, sangat jauh berbeza dengan kehidupan di kampung semasa kanak-kanak dulu. Walaupun memiliki ijazah, pendapatan yang diperolehi jauh dari mencukupi. Harga rumah melambung tinggi di luar tahap 'waras', kereta, minyak dan barang keperluan asas bertambah berlipat kali ganda, tidak setimpal dengan kadar kenaikan gaji.
Isteri terpaksa keluar berkerja membantu suami. Keluar rumah awal pagi, pulang sesudah jatuh mentari. Saki baki masa yang tersisa itulah yang hendak digunakan untuk anak-anak. Lebih parah apabila masalah atau stress ditempat kerja dicurahkan kepada anak-anak.
Kerja lebih masa satu kemestian
Saya ada membaca artikel tentang yang ditulis oleh seorang jururawat di negara barat. Beliau telah menemubual orang-orang tua yang sakit yang hampir mati. Hati terasa sayu apabila penulis berkata, salah satu perkara yang disesali oleh orang-orang ini ialah terlalu kuat berkerja. Mereka berharap mempunyai lebih banyak ‘ruang’ untuk membuat perkara lain selain dari berkerja. [2]
Dengan taraf kehidupan yang ada di negara kita pada hari ini, kerja keras bukan lagi pilihan, saya bimbang ia sudah menjadi satu kemestian.
Permasalahan jiran tetangga dan masyarakat sekitar sudah tidak dipeduli. Bukan kerana tidak mahu, tetapi tidak mampu. Diri dan keluarga sendiri tidak dapat dibantu, bagaimana mahu membantu orang lain?
Jalan penyelesaian?
Ada pakar kewangan meramalkan pada tahun 2015 nanti, pendapatan yang diperlukan untuk hidup ‘sedikit selesa’ ialah RM 10,000 [3]. Sedangkan pada tahun 2010 sahaja, 40% dari rakyat Malaysia berpendapatan bawah RM2,500 sebagaimana dilapor oleh UNDP’s Millennium Development Goals 2010 Report of Malaysia.
Apa pula cabaran yang terpaksa dilalui anak-anak kita 20 tahun akan datang?
Apakah jalan keluarnya?
Apakah jalan keluarnya?
Maaf, saya belum mampu menjawabnya.
[1] http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/2012-fajar-untuk-negara-berkebajikan-mohd-syahir-sulaiman
[2] http://www.inspirationandchai.com/Regrets-of-the-Dying.html
[3] http://www.pakdi.net/berapakah-pendapatan-isi-rumah-kita-hari-ini/
No comments:
Post a Comment