Suatu hari, beberapa orang Islam sedang bertengkar dengan ahli kitab iaitu orang Yahudi dan Nasrani.
Ahli kitab itu berkata, “Nabi kami lebih dahulu daripada Nabi kamu, Kitab kami lebih dahulu turun dari Kitab kamu, sebab itu kami lebih mulia di sisi Allah daripada kamu.”
Orang Islam itu menjawab, “Kamilah yang lebih mulia di sisi Allah daripada kamu. Nabi kami penutup dari segala Nabi, Kitab kami telah memansuhkan hukum kitab yang sebelumnya.” [1]
Pertengkaran ini berlaku di zaman kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Saya cuba bayangkan yang diri saya turut hadir dalam dialog yang ‘panas’ itu. Secara sepintas lalu, pasti saya akan menyebelahi orang Islam itu. Saya akan turut tolong memberi hujah tentang kebenaran agama Islam, dan menunjukkan penyelewengan agama Yahudi dan Nasrani.
Mungkin saya akan berkata, “ Sebenarnya, kelahiran Nabi Muhammad telah ditulis dalam kitab kamu. Tetapi paderi kamu telah padamkan. Kamu telah disesatkan oleh paderi kamu sendiri!”
Atau, saya akan berkata, “Susunan ayat Al-Quran sangat indah, jauh mengalahkan syair-syair terkenal. Mustahil Nabi kami yang buta huruf itu mampu menciptanya sendiri melainkan ianya datang dari Allah”.
Pendek kata, saya akan berusaha memuji kebenaran agama Islam yang saya cintai, dan merendahkan agama Ahli Kitab.
Apa respon Al-Quran
“Bukanlah angan-angan kamu dan bukan angan-angan Ahli Kitab. Barangsiapa yang berbuat sesuatu kejahatan, nescaya dibalas dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) penolong baginya selain dari Allah.
Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal soleh, baik lelaki mahupun wanita sedang ia beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun.
Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang diapun mengerjakan kebajikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayanganNya.” (An Nisaa’, ayat 123-125)
Ayat ini menunjukkan bahawa walau dipuji agama yang kita anuti setinggi langit, semua itu dianggap ‘angan-angan’. Dengan masing-masing memuji agama masing, akibatnya ialah sikap fanatik. Bukti pemeluk agama yang baik ialah sejauh mana ia melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan berdasarkan keimanan kepada Tuhan. Golongan inilah yang akan memasuki syurga.
Terlalu banyak dalam Al-Quran menceritakan kebenaran Al-Quran dan mendedahkan penyelewengan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka. Namun, dalam isu ini, Al-Quran tidak membela kebenaran Islam, tetapi sebaliknya menegur tentang diri pemeluk agama kebenaran itu sendiri.
Kata HAMKA, "Kalau orang Islam khususnya hendak membanggakan bahawa agamanyalah yang benar, janganlah pada mulutnya sahaja memberi hujah, tetapi berimanlah, bertauhidlah, beramallah".[2]
Teguran Al-Quran ini memang terkena tepat kepada batang hidung saya, dan sesiapa yang berfikir ‘cara saya’.
Aplikasi dari ayat ini
Dalam berorganisasi, orang suka mendakwa organisasinyalah yang benar dan patut disertai. Dalam menyertai pertubuhan Islam, orang mendakwa pertubuhannyalah yang benar. Dalam politik, seringkali kita mendengar orang mendakwa parti politik yang disertainyalah yang benar. Tidak dinafikan teknik sebegini juga perlu.
Namun, jika memang kita rasa organisasi kita benar, pertubuhan Islam kita benar, aliran kita benar, agama kita benar, maka beramallah dengan kebenaran pada tanggapan kita itu. Sebab, apa yang kita percaya itu mungkin benar, tetapi amalan kita belum tentu ‘benar’.
Cerita dalam video di bawah ini cuba memberi pengajaran bahawa pertengkaran dalam menegakkan kebenaran hanya akan menjauhkan lagi orang itu dari kebenaran.
http://www.youtube.com/watch?v=3xXkA6wrxKU
Cerita dalam video di bawah ini cuba memberi pengajaran bahawa pertengkaran dalam menegakkan kebenaran hanya akan menjauhkan lagi orang itu dari kebenaran.
http://www.youtube.com/watch?v=3xXkA6wrxKU
[1] Disusun semula berdasarkan riwayat dari Qatadah, dalam Tafsir Al-Azhar jilid 2, mukasurat 1441-1442
[2] Berdasarkan Tafsir Al-Azhar jilid 2, mukasurat 1441-1446
No comments:
Post a Comment