Ada orang berkata, “PAS tidak patut menganggap kumpulan mereka sahaja yang
benar. PAS tidak patut membolot kebenaran!”
Berikut respon saya;
Kebenaran (Al-haq) datang dari Tuhan. Ia bersifat mutlak, iaitu bukan
bersifat relatif atau subjektif sebagaimana yang difahami oleh golongan
liberal. Oleh kerana sumber kebenaran adalah satu (iaitu dari Tuhan), maka
kebenaran juga adalah bersifat tunggal (satu).
Namun, apabila kebenaran yang satu itu sampai kepada manusia, manusia
mula berbeza pandangan dan kefahaman. Ini kerana setiap manusia mempunyai
pengalaman, kencenderungan, pembawaan, kepentingan, pengaruh nafsu yang
akhirnya kebenaran yang asalnya satu itu dilihat menjadi banyak. Apa yang
berbeza adalah kefahaman atau pandangan manusia terhadap kebenaran. Sedangkan hakikat kebenaran tetap satu dan
mutlak.
Mengaku
“agama sayalah yang benar” merupakan pengakuan manusia ‘lumrah’.
Orang Kristian mendakwa agama merekalah yang benar. Orang Hindu juga
mendakwa agama merekalah yang benar. Orang Islam lebih-lebih lagi mendakwa
agama Islamlah yang benar. Setiap penganut agama ada hujah tersendiri untuk
menyokong dakwaan mereka.
Mana satu agama yang benar? Mana satu yang menipu? Itu persoalan lain. Penulisan ini tidak berminat untuk berbicara
tentang subjek “perbandingan agama”.
Apa yang saya ingin perkatakan dalam penulisan ini ialah setiap kumpulan agama
mendakwa diri mereka yang benar. Pengakuan itu adalah lumrah. Malah, itulah
yang sewajarnya. Sehinggakan Firaun sendiri mendakwa dirinya di pihak yang
benar ketika menentang Nabi Musa a.s. Perhatikan ungkapan Firaun yang
dirakamkan oleh Al-Quran (yang bermaksud);
"Aku tidak
mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok
dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang
benar". (Ghaafir 40:29)
Samada Firaun benar-benar merasakan dirinya benar atau bermaksud untuk
menipu rakyatnya, itu soal lain. Apa yang jelas, tidak mungkin manusia yang
‘normal’ bersama sesuatu kumpulan atau kepercayaan yang diyakininya salah atau
sesat. Sudah menjadi fitrah manusia untuk mencari dan mengikuti kebenaran.
Islam adalah agama yang bersifat “gerakan”.
Sudah menjadi fitrah manusia untuk hidup secara berkumpulan. Apabila
seseorang individu itu menerima dan berpegang teguh pada kebenaran, dia akan
mencari dan berhubung dengan individu lain yang menganut fikrah kebenaran yang
sama dengan dirinya. Dari seorang individu, akan berkumpul menjadi dua, tiga
dan seterusnya. Individu yang berkumpul inilah yang membentuk kumpulan.
Itulah yang berlaku ketika Nabi Muhammad s.a.w mula diperintahkan untuk
menyebarkan kebenaran ajaran Islam. Individu-individu yang menyahut seruan
kebenaran yang dibawa oleh baginda rasulullah s.a.w, berkumpul untuk
mempertahan, mendalami, dan seterusnya mengembangkan ajaran kebenaran. Dari sinilah terbinanya kumpulan.
Perhatikan maksud firman Allah S.W.T berikut (yang bermaksud);
Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah
diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan
penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada
penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam
perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?" Mereka menjawab:
"Kamilah pembela-pembela (agama) Allah…. (As-Saff 61:14)
Ayat ini menggambarkan bagaimana kebenaran itu sedang mengumpulkan
penolong-penolongnya.
Kumpulan ini pula sifatnya tidak statik. Ini kerana kebenaran itu sendiri
‘tidak boleh duduk diam’. Kebenaran itu sendiri sentiasa mahu ‘meliputi’ dan tidak mahu ‘diliputi’ oleh kebatilan.
Untuk itu, ia harus bergerak agar ia terpelihara, dapat diterjemahkan dalam
bentuk tindakan dan dapat dikembangkan dan tersebar kepada manusia lain. Sifat
kebenaran itu adalah seperti cahaya yang pasti akan bergerak untuk menerobos
kegelapan.
Firman Allah S.W.T (yang bermaksud);
Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya
telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan
kepada kamu Nur (cahaya) yang menerangi . (An-Nisaa' 4:174)
Kumpulan yang bersama ”kebenaran yang bergerak” itulah dinamakan gerakan. Bagi
penganut Islam, kebenaran itu adalah Islam. Maka gerakan yang bersama Islam itu
dinamakan “gerakan Islam”. Kita boleh namakan gerakan ini dengan nama lain
seperti kumpulan, jamaah, aliran, fahaman, parti, persatuan dan lain-lain. Itu
hanyalah istilah yang berubah berdasarkan konteks atau keadaan tertentu.
Sedangkan ‘substance’nya adalah sama
iaitu “gerakan yang memperjuangkan kebenaran sebagaimana dianjurkan oleh Islam”.
Apabila adanya gerakan, maka pasti adanya kepimpinan dan kerja berpasukan.
Tidak mungkin penganut kebenaran ini bergerak bersendirian sedangkan penganut
kebatilan pula bergerak secara kumpulan yang tersusun. Apatah lagi ajaran Islam
amat menitik beratkan konsep kepimpinan.
Perhatikan maksud hadith berikut;
“Apabila keluar tiga orang dalam musafir
maka lantiklah salah seorang mereka sebagai ketua”. [Abu Daud, no. 2608, Hasan Sahih].
Lihatlah, dalam hal sekecil musafir itupun Nabi Muhammad s.a.w
memerintahkan kita melantik ketua. Inikan pula Gerakan Islam yang mempunyai
agenda yang lebih besar.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud;
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang
yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi,
seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. (As-Saff 61:4)
Konsep kepimpinan dan kerja berpasukan ini bukan sahaja ada dalam gerakan
Islam. Malah, ia meliputi urusan kehidupan manusia seharian. Malah haiwan juga
mengamalkan konsep kerja berpasukan. Perhatikanlah bagaimana seekor hamster,
itik dan kura-kura yang menggelarkan diri mereka kumpulan Wonderpets telah
berkata dengan penuh semangat;
“Kami tak besar dan kami tak kuat, kalau berkerjasama semua jadi mudah”.
“Apa yang penting, kerjasama!”
(Hendak selamatkan haiwan yang dalam kesusahan pun memerlukan teamwork, inikan pula hendak buat kerja selamatkan ummah!)
Gerakan yang benar adalah gerakan yang
menyambung perjuangan Nabi Muhammad s.a.w
Gerakan yang benar adalah gerakan (dakwah) yang dipimpin oleh Nabi Muhammad
s.a.w. Gerakan ini tidak terhenti dengan wafatnya Nabi kita yang dikasihi.
Kepimpinan gerakan ini disambung oleh Khulafa’ Ar-Rasyidin.
Nabi kita Muhammad s.a.w telah berpesan dalam hadith berikut (yang
bermaksud):
Dari Abi Nujaih ‘Irbadl bin Sariyyah
radliyallaahu ‘anhu, ia berkata : Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam
memberi pelajaran kepada kami sehingga hati kami takut kepadanya dan mata
mencucurkan air mata. Kami berkata : “Wahai Rasulullah, sepertinya pelajaran
ini adalah pelajaran orang yang akan berpisah ? Oleh karena itu, berilah kami
nasihat”. Beliau bersabda : “Aku wasiatkan hendaklah kalian bertaqwa kepada
Allah, mendengar dan taat kendati kalian diperintah oleh seorang budak, karena
orang-orang yang hidup (sepeninggalku) dari kalian akan melihat pertentangan
yang banyak. Maka, hendaklah kalian berpegang teguh pada sunnahku dan sunnah
para khulafaur-rasyidin yang mendapat petunjuk sesudahku. Gigit (pegang erat)
sunnah tersebut dengan gigi geraham. Tinggalkanlah hal-hal yang baru, karena
setiap bid’ah adalah sesat” [Hadith Sahih]
Perjuangan gerakan yang membawa Islam ini ada pasang surutnya. Ada waktu
Islam memerintah sehingga 2/3 dunia semasa zaman pemerintahan Umar Al-Khattab.
Ada masanya Islam ditindas seperti yang berlaku dalam dunia hari ini. Namun,
penganut kebenaran yang berpegang teguh dengan sunnah nabi tetap wujud hingga
ke hari ini. Ini adalah jaminan dari Nabi Muhammad s.a.w;
Dari Uqbah bin Amir r.a, berkata: Aku
mendengar Rasullah s.a.w bersabda: “Akan senantiasa ada segolongan dari umatku
yag berperang kerana perintah Allah. Mereka dimenangkan Allah atas musuh
mereka. Tidak memberi madharat kepada mereka orang-orang yang menyelisihi
mereka, hingga datang hari kiamat dan mereka di atas yang demikian itu.” (HR Muslim)
Maksud firman Allah S.W.T;
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di
antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan
mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia;
mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku
tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan
bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang
yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya
kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya,
lagi Meliputi PengetahuanNya. (Al-Maaidah 5:54)
Ayat ini juga menunjukkan akan ada suatu ‘kaum’ yang disifatkan sebagai
“Allah kasihkan mereka, dan mereka kasihkan Allah” yang berjuang
bersungguh-sungguh pada jalan Allah.
Mengaku “gerakan sayalah yang benar”
merupakan pengakuan manusia ‘lumrah’.
Asasnya, kebenaran itu tunggal (satu). Maka, gerakan yang membawa kebenaran
itu juga ‘bersifat satu’. Walaupun ia mungkin terpecah pada nama dan sempadan
geografi, tetapi sifatnya tetap satu, iaitu bergerak atas kesatuan saff.
Hari ini, kita menyaksikan kewujudan banyak gerakan/kumpulan yang berbeza.
Masing-masing mendakwa diri merekalah gerakan Islam yang menyambung tugas
dakwah yang diasaskan oleh Nabi Muhammd s.a.w. Walaupun jika semua muslim
bersifat jujur dan ikhlas untuk bersama gerakan kebenaran, namun kepelbagaian
gerakan ini sesuatu yang tidak boleh dielak. Ini kerana setiap manusia
mempunyai ilmu, pengalaman dan kencenderungan yang berbeza. Apatah lagi dalam dunia Islam ini sentiasa ada
golongan munafik yang berselindung dicelah-celah barisan kumpulan muslim yang
jujur dan ikhlas. Ini menyebabkan gerakan-gerakan Islam ini dilihat banyak dan
adakalanya bertembung antara satu sama lain.
Apa yang berbeza adalah kefahaman atau pandangan manusia terhadap gerakan
Islam. Sedangkan gerakan yang memperjuangkan kebenaran itu
hakikatnya tetap ‘bersifat satu’.
Misalnya, pengikut dari Jamaah Tabligh menganggap kumpulan mereka yang benar (atau
paling menghampiri kebenaran). Mereka percaya bahawa cara dakwah mereka itu
adalah cara dakwah Nabi. Kumpulan mereka bergerak merentas sempadan kaum
mahupun negara. Hujah mereka disokong oleh ramai golongan ulama dari seluruh
dunia. Samada kita hendak percaya atau tidak, itu soal lain. Samada ada hujah
lain yang bertentangan atau tidak, itu soal lain. Apa yang ingin saya tekankan
ialah pengikut jamaah tabliqh menganggap kumpulan mereka yang benar. Pengakuan
itu adalah ‘lumrah’ dan menepati fitrah semula jadi manusia yang mahukan
kebenaran.
Pengikut dari PAS juga menganggap kumpulan mereka yang benar. Mereka juga
menganggap cara dakwah mereka menepati cara dakwah nabi dan khulafa
Ar-Rasyidin. Pengikut PAS juga percaya
bahawa gerakan mereka juga bersifat ‘antarabangsa’. Walaupun di negara lain
tidak ada PAS, tetapi ada gerakan Islam yang mempunyai ‘fikrah’ perjuangan yang
sama dengan PAS. Cuma mereka bergerak atas nama yang berbeza, sedangkan mereka
berada di atas saff yang sama. PAS di Malaysia sama seperti Ikhwanul Muslimin
di Mesir, HAMAS di Palestin, MASYUMI di
Indonesia. Setiap gerakan Islam ini sekali sekala berkumpul dan bermesyuarat
untuk saling bertukar-tukar pandangan.
Ada juga yang berpandangan bahawa
antara Jamaah Tabligh dan PAS, walaupun mereka berbeza dari segi organisasi dan
pendekatan, tetapi gerakan mereka saling melengkapi antara satu sama lain. Jika
wujud pertembungan sekalipun, ia bersifat “persaingan sihat” iaitu
“berlumba-lumba ke arah kebajikan”. Justeru, walaupun PAS dan Jamaah Tabligh
merupakan dua organsisasi berbeza, namun mereka masih boleh dianggap berada di
saff atau ‘kesatuan’ yang sama. Samada kita boleh bersetuju atau tidak dengan pandangan ini, itu persoalan lain.
Ada golongan yang menganggap Perdana Menteri Malaysia adalah ibarat khalifah
negara Islam. Mereka mengganggap pihak yang membentuk parti atau gerakan yang
mahu menjatuhkan perdana menteri walaupun melalui jalan pilihanraya adalah pemberontak
dan pelampau. Bagi mereka, UMNO adalah ‘hero’ yang menjadi penghalang kepada golongan
pemberontak ini. Bagi mereka, UMNO adalah pihak yang benar dan PAS adalah
gerakan yang berada di pihak yang salah. Saya tidak mahu mempertikaikan
pandangan mereka di sini. Tetapi, cukuplah dinyatakan disini, mereka juga
mengaku kumpulan mereka yang menyokong UMNO itu adalah benar. Pengakuan itu
adalah lumrah. Samada kita boleh setuju
atau tidak, itu soal lain.
Ada pula golongan yang menganggap dengan menjadi “ahli sunnah wal jamaah” sudah
cukup dikira sebagai “jamaah” yang dimahukan oleh Islam. Konsep gerakan (hizbi)
yang mempunyai organisasi dan ketua itu bukanlah gerakan yang benar, malah
hanya menimbulkan banyak perselisihan dan kekacauan. Begitulah pandangan
mereka.
Justeru, kumpulan/gerakan mana yang benar (iaitu “gerakan yang memperjuangkan kebenaran sebagaimana dianjurkan oleh
Islam”? Adakah PAS? Atau Jamaah Tabligh? Atau UMNO? Atau memadai dengan
mengaku sebagai “ahli sunnah wal jamaah”? Atau bagaimana?
Penulisan ini tidak bermaksud untuk membahaskan persoalan ini. Malah bukan level saya
untuk membahaskan perkara ini terutamanya di ruang awam.
Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah, setiap kumpulan (gerakan),
tidak kira bernama PAS, atau Jamaah Tabligh atau apa nama kumpulan sekalipun, masing-masing
percaya kumpulan merekalah yang benar. Masing-masing percaya kumpulan merekalah
yang “berdakwah cara nabi”. Kepercayan
begitu adalah ‘lumrah’. Ia adalah fitrah manusia yang mahu bersama kebenaran. Ia
bukan sahaja fitrah bagi orang Islam, malah pengikut agama lain juga mempunyai
fitrah yang mahu mengatakan “kumpulan sayalah yang benar”.
Pertikaian yang tidak ‘lumrah’.
Apabila ada orang berkata “PAS tidak patut menganggap kumpulan mereka
sahaja yang benar. PAS tidak patut membolot kebenaran!”, bermakna yang
dipertikaikan ialah anggapan itu sendiri! Dengan kata lain, dia salahkan PAS
hanya kerana PAS menganggap dirinya benar. Bagi dia, apabila PAS beranggapan
begitu, maka PAS telah menafikan kebenaran kumpulan lain. Bagi dia PAS telah
membolot kebenaran.
Bagi saya, ini adalah pertikaian yang tidak ‘lumrah’. Ini bentuk pertikaian
yang aneh. Sedangkan Firaun pun mengaku dirinya di pihak yang benar, takkanlah
PAS (dan gerakan lain) tidak boleh mengaku dirinya sebagai gerakan yang
benar?
Adakah ini bermakna PAS membolot kebenaran?
Saya membuat analogi begini:
Apabila si A mengaku isterinya
adalah wanita yang paling cantik di dunia, adakah ini bermakna si A
membolot kecantikan? Adakah ini bermakna si B tidak boleh menganggap
isterinya pula wanita yang paling cantik di dunia?
Jika ada yang menjawab, “Ya. Si A
telah membolot kecantikan!” maka saya terpaksa mengaku yang saya sudah
kehabisan hujah!
Sesungguhnya, perkara yang paling susah hendak dibahaskan adalah perkara
yang paling mudah. Apa lagi yang boleh
dihujahkan pada orang yang mengatakan “matahari tidak wujud” di waktu tengahari
yang panas terik?
Wallahualam.
Basri DK
basridk.blogspot.my
30 Oktober 2016/ 29 Muharram 1438H
No comments:
Post a Comment