Pages

Monday, 3 October 2016

"Bagaimana PAS mahu menegakkan negara Islam dalam keadaan bertanding pun tak cukup kerusi?"

“Bagaimana PAS mahu menegakkan negara Islam dalam keadaan bertanding pun tak cukup kerusi?”

 “Dalam PRU lepas, PAS bertanding hanya 60 kerusi  daripada 222 kerusi parlimen. Bagaimana PAS mahu ubah kerajaan pemerintah?”

“Pakatan Rakyat sudah hancur. Kini PAS hanya bersama Ikatan. Bolehkah dengan hanya menyokong PAS, kerajaan kita bertukar?”

Soalan-soalan ini seakan membawa maksud yang hampir sama. Ia mempersoalkan tentang kemampuan PAS membawa perubahan politik di Malaysia.

Berikut pandangan saya;


Perspektif “politik konvensional”

Bagi saya persoalan di atas jelas menunjukkan orang yang bertanya itu melihat PAS dari perspektif “politik konvensional”.  Saya tidak pasti istilah “politik konvensional” yang saya gunakan ini betul atau tidak. Apa yang saya maksudkan dari istilah ini ialah politik yang melibatkan persaingan antara parti-parti politik bagi merebut kuasa pemerintahan. Subjek utama dalam politik konvensional ini ialah batang tubuh parti politik itu sendiri. Maka perkiraannya ialah samada parti politik itu boleh ‘menang’ atau tidak. ‘Menang’ yang dimaksudkan adalah parti itu dapat menjadi pemerintah. Dengan kata lain, parti politik itu tidak dianggap menang jika ia tidak berada di tampuk pemerintahan.

Persaingannya pula adalah dalam bentuk mendapat pengaruh. Dalam konteks pilihanraya seperti di Malaysia, pengaruh yang tinggi bermakna jumlah undi yang tinggi. Ada banyak faktor parti-parti politik ini boleh mendapat pengaruh. Antaranya adalah kemampuan parti-parti politik mengemukakan agenda dan ideologi parti yang ‘baik’. Ada lagi faktor lain. Tidak perlulah saya hurai di sini kerana ia bukan tujuan penulisan ini.

Dalam politik konvensional yang saya maksudkan, agenda dan ideologi yang ‘baik’ bermaksud agenda dan ideologi yang boleh diterima oleh majoriti masyarakat. Ada banyak faktor yang menyebabkan agenda dan ideologi parti yang bertanding diterima masyarakat. Antara faktornya adalah agenda itu perlulah menepati kemahuan rakyat atau dekat dengan denyut nadi rakyat. Ada lagi faktor lain. Tidak perlulah saya hurai di sini kerana ia bukan tujuan penulisan ini.

Secara ringkasnya, politik konvensional yang saya maksudkan di sini ialah;
1. Parti politik bersaing untuk mendapat kuasa pemerintahan. Yang jadi pemerintah dianggap menang.
2. Untukmendapat kuasa, perlu mendapat undi terbanyak (samada dalam bentuk gabungan atau bersendiri) melalui pilihanraya.
3. Untuk mendapat undi majoriti, perlu ada agenda yang boleh mempengaruhi pengundi (bersama faktor-faktor yang lain)
4. Untuk mendapat undi  majoriti, agenda itu sendiri perlu menyentuh kemahuan  dan ‘denyut nadi’ rakyat.

Wajah PAS dari perspektif “politik konvensional”

Berbalik kepada soalan yang berbunyi “Bagaimana PAS mahu menegakkan negara Islam dalam keadaan bertanding tidak cukup kerusi?”. Jika dilihat dari perspektif “politik konvensional”, maka jelas PAS tidak akan dapat ‘menang’ menjadi pemerintah dalam keadaan bertanding dalam pilihanraya dalam keadaan tidak cukup kerusi parlimen. Apatah lagi dari perkembangan politik mutakhir ini yang memperlihatkan PAS bergerak bersendirian bersama parti baru bernama Ikatan. Mengikut perspektif ini juga, apabila PAS tidak dapat menang, maka PAS tidak akan dapat membawa agenda negara Islam yang diperjuangkannya.  Oleh itu agenda perubahan yang diperjuangkannya tidak akan tercapai.

Rentetan dari itu, seruan PAS untuk menegakkan negara Islam dianggap hanya ‘retorik’ dan tidak realistik. Lebih jauh lagi, ada yang mengganggap PAS hanya membohongi rakyat dengan retorika negara Islamnya.

Selain itu, PAS dianggap tidak bijak meletakkan agenda perjuangannya. Apabila PAS meletakkan Islam dan negara Islam sebagai agenda perjuangannya, ia telah kehilangan sokongan majoriti rakyat terutamanya yang bukan Islam. Agenda negara Islam (disebut juga negara berkebajikan) dilihat bukan agenda yang dekat dengan kemahuan rakyat. Bagi sesetengah pihak, isu yang dekat di hati rakyat terbanyak adalah berkaitan kos sara hidup yang meningkat, gejala penyelewengan dan salahguna kuasa, ketidakstabilan ekonomi, peluang pekerjaan dan sebagainya. Adapun agenda yang diperjuangkan PAS seperti ‘memperkasakan mahkamah syariah’ meskipun mendapat tempat di hati sebahagian masyarakat, tetapi ia bukanlah hal yang utama.

Dari perspektif politik konvensional, PAS dilihat tidak pandai memprioritikan agenda perjuangannya. Ini kerana PAS mengutamakan isu yang tidak selari dengan kemahuan majoriti rakyat. Tambahan lagi, mood rakyat terutamanya kalangan penyokong pembangkang mahu menurunkan UMNO dan BN. Apabila PAS dilihat bekerjasama dengan UMNO dalam urusan memperkasa mahkamah syariah, ia dilihat memberi nafas kepada UMNO dan mengganggu mood untuk jatuhkan UMNO BN. Akibatnya, PAS kehilangan sokongan rakyat. Seterusnya, PAS tidak akan ‘menang’ pilihanraya. Seterusnya, agenda negara Islam PAS tidak akan kesampaian.

Secara ringkas, jika dilihat PAS dari perspektif politik konvensional, kita akan dapati bahawa;
1. Agenda perjuangan PAS bukanlah agenda yang dimahukan oleh majoriti rakyat. Kesannya;
2. PAS tidak akan mendapat sokongan majoriti rakyat. Kesannya;
3. PAS akan kalah dalam pilihanraya lebih-lebih lagi jika berjuang bersendirian. Tidak kira berapa banyak sekali pun kerusi yang PAS tandingi, PAS tidak boleh ‘menang’.  Kesan seterusnya;
4. PAS tidak akan dapat memerintah.  Kesannya;
5. Agenda yang diperjuangkan PAS tidak akan tercapai.
6. Maka PAS adalah parti politik yang ‘gagal’.

Sekiranya dilihat dari perspektif politik konvensional, begitulah gambaran PAS. Ternampak ‘buruk’ benar rupa PAS.

Benarkah begitu?

Adakah PAS se’buruk’ itu atau sebenarnya perspektif (cara pandang) terhadap PAS yang perlu diperbetulkan? Wujudkah perspektif yang lain selain dari perspektif “politik konvensional”?

Pengaruh perspektif

Perspektif atau cara pandang yang berbeza akan menghasilkan gambaran dan penilaian yang berbeza. Untuk menjelaskan betapa besarnya pengaruh perspektif terhadap penilaian terhadap sesuatu  perkara, izinkan saya gunakan kaedah “ilusi wajah”. Kaedah ini juga digunakan oleh Stephen R.Covey dalam buku “7 Habits of Highly Effective People” ketika beliau menjelaskan tentang “the power of paradigm”.

Cuba perhatikan gambar di bawah;



Apa yang kita dapat katakan dari gambar ini?

Dari satu perspektif, kita mungkin boleh katakan ia adalah gambar seorang wanita muda. Umurnya mungkin sekitar 20an atau awal 30an. Rambutnya panjang dan  kulitnya putih dan licin. Kita mungkin boleh katakan wanita ini nampak cantik dan menarik. Jika seorang jejaka melihat wanita begini, dia mungkin boleh tergoda dengan kecantikannya.

Dari perspektif yang berbeza, gambaran yang dapat diberikan sama sekali bertentangan dengan perspektif pertama di atas. Dari perspektif ke-2,  kita juga boleh katakan ini adalah gambar seorang wanita berumur 60an atau 70an. Hidungnya hodoh dan besar. Bahagian atas hidungnya ada tahi lalat atau ‘benjolan’.  Pipinya  berkedut dan wajahnya nampak sedih.  Lumrahnya, tiada jejaka yang boleh tergoda pada wajah wanita tua ini.

Gambar wanita yang sama, tetapi dengan hanya melihat dari perspektif  yang berbeza, kita akan dapat gambaran, penilaian dan reaksi yang sama sekali bertentangan.  Dari satu perspektif, ia adalah gambar wanita muda dan cantik. Perspektif yang lain, ia adalah gambar wanita tua yang ‘buruk’!

(Nota: Pastikan anda dapat melihat kedua-dua perspektif wajah ini. Jika tidak, anda mungkin tidak dapat memahami apa yang saya cuba sampaikan.)

Begitulah juga dengan ‘wajah’ PAS. Jika dilihat dari perspektif politik konvensional, ia nampak ‘buruk’. Tetapi, tidakkah kita dapat menilai dari perspektif lain? Wajarkah kita menilai hanya dari satu perspektif sahaja? Perspektif manakah yang lebih adil?

Perspektif “politik dakwah”

Saya tidak pasti samada istilah “politik dakwah” ini betul atau tidak. Secara ringkasnya,  “politik dakwah” yang saya maksudkan di sini ialah;

1. Parti politik yang membawa agenda dakwah Islam itu sama seperti pendakwah yang bekerja untuk pastikan agenda Islam itu yang menang. Boleh jadi, batang tubuh parti politik yang membawa agenda Islam itu kalah, tetapi agenda perjuangannya diterima dan dilaksanakan oleh parti lain yang menang dalam pilihanraya.
2. Kemenangan parti politik yang bertanding adalah dalam bentuk ia istiqamah berpegang pada agenda Islam walaupun menerima pelbagai ujian dan tentangan.
3. Kemenangan Islam yang diperjuangkan itu adalah sesuatu yang pasti berlaku dan bukan lagi urusan parti politik.
4. Agenda perjuangannya sudah ditetapkan dan tidak bergantung kepada mood rakyat.
5. Tugas parti politik hanyalah memberi penerangan dan peluang pada rakyat untuk bersama dengan perjuangannya. Kebersamaan rakyat itu diterjemahkan dalam bentuk undi. Samada rakyat mengundi parti politik itu atau tidak, bukanlah soalnya.

Izinkan saya memberi huraian lanjut. Apa yang saya maksudkan dari istilah ini ialah usaha dakwah menegakkan Islam melalui kuasa politik. Tumpuan utama adalah pada agenda dan ideologi iaitu untuk menegakkan Islam.  Samada batang tubuh parti politik itu dapat menjadi pemerintah atau tidak, itu bukan utama. Peranan parti politik dan konsep kewujudannya sama seperti peranan dan kewujudan individu pendakwah. Individu pendakwah itu berkumpul dengan individidu lain demi melaksanakan tugas dakwah dalam segala lapangan termasuklah dalam politik pilihanraya.

Kewujudan parti politik hanyalah untuk memenuhi seruan dakwah iaitu menyeru kepada kebaikan, mengajak yang maaruf serta mencegah kemungkaran dalam segala aspek kehidupan termasuklah dalam bidang politik.  Antaranya seruan Allah S.W.T di dalam Al-Quran yang bermaksud;

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.” (QS. Ali Imran: 110)

Konsep ‘menang’ dalam “politik dakwah” sama sekali berbeza berbanding “politik konvensional”. Kemenangan dari perspektif “poltik dakwah” boleh dihuraikan dari dua bentuk;

1. Kemenangan bentuk pertama: Kemenangan agenda dan ideologi Islam mengatasi segala bentuk ideologi yang bertentangan dengannya.

Ia bermaksud agenda dan ideologi Islam dapat ditegakkan. Matlamat tertingginya ialah;

“mendirikan Agama (Islam) dan mentadbir dunia dengan agama (Islam)”.

Ini bermakna, segala urusan kehidupan manusia samada dalam urusan pemerintahan, penggubalan dan perlaksanaan undang-undang, pengurusan ekonomi, perhubungan sesama manusia dan pergaulan antara manusia dan alam sekitarnya, urusan kekeluargaan seperti nikah-cerai, soal ibadah khusus seperti solat dan zakat,  semuanya itu perlu ditadbir berdasarkan apa yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunnah serta ijmak(kesepakatan) para ulamak yang muktabar (diyakini keilmuan mereka). Itulah yang dimaksudkan dengan kemenangan Islam.

Dari bentuk kemenangan begini, ia sama sekali tidak ada kaitan dengan parti politik yang membawa agenda Islam itu. Bermakna, parti politik yang bertanding boleh jadi kalah dalam pilihanraya, tetapi agenda Islam yang dibawanya menang. Boleh jadi juga parti politik itu menang dalam pilihanraya, tetapi agenda Islam yang dibawanya gagal dilaksanakan.

Apa yang menarik dalam hal ini, melalui petunjuk Al-Quran dan Sunnah serta dihuraikan oleh para ulama, kemenangan Islam mengatasi segala bentuk ideologi dan sistem kefahaman lain adalah sesuatu yang pasti akan berlaku. Saya tidak bercadang untuk menghuraikan dalil-dalilnya kerana bukan itu tujuan penulisan ini. Setakat penulisan ini, cukuplah dinyatakan di sini bahawa akan sampai masanya nanti dunia ini akan ditadbir oleh Islam. Kedatangan kemenangan itu akan berlaku tepat pada masa yang ditakdirkan dalam ilmu Allah. Cuma kita tidak dapat mengetahui bila ia akan berlaku. Mungkin dalam masa terdekat, dan mungkin 100 tahun lagi. Allah menyembunyikan persoalan ‘bila’ kerana ia sama sekali bukan urusan kita sebagai manusia yang bertaraf hamba.

Ini bermakna, mana-mana parti politik, kumpulan manusia atau individu yang meletakkan agenda perjuangan hidupnya untuk menegakkan Islam serta benar-benar memperjuangkannya sebagaimana digariskan dalam Al-Quran, Sunnah dan ijmak ulama, mereka tidak perlu risau atau takut bahawa Islam akan kalah dan perjuangan mereka akan mati sekerat jalan. Itu tidak akan berlaku sama sekali. Apa yang perlu ditakuti ialah sejauh mana mereka mampu konsisten (istiqamah) berpegang teguh pada agenda Islam.

2. Kemenangan bentuk kedua: Parti politik itu dapat terus konsisten berpegang pada agenda dakwah Islam tidak kira samada agenda Islam itu sedang menang atau pun kalah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang.
(Al-Maaidah 5:56)

 Islam pasti akan dapat ditegakkan apabila sampai masanya. Tetapi, tidak ada jaminan sama sekali parti politik itu dapat konsisten berpegang pada agenda Islam. Keteguhannya berpegang pada Islam pasti akan diuji. Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.
(Muhammad 47:31)

Bentuk ujiannya adalah pelbagai sebagaimana telah dinyatakan dalam Al-Quran dalam banyak tempat. Antaranya;

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah 2:155)

Selain itu, ujian boleh datang dalam bentuk jalan kemenangan agenda Islam itu terasa terlalu jauh,

Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).
(At-Taubah 9:42)

Ada masanya ujian dalam bentuk kebuntuan dalam mencari jalan kemenangan. Misalnya, bertanding pilihanraya dalam keadaan tidak cukup kerusi, bagaimana agenda Islam akan menang? Saat itu, satu-satunya jalan yang diharapkan adalah turunnya pertolongan Allah;

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
(Al-Baqarah 2:214)

Dari perspektif “politik dakwah”, agenda perjuangan sudah ditetapkan sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran, Sunnah dan kesepakatan ulama. Tugas parti politik adalah berdakwah, iaitu ‘menyeru’, mendidik masyarakat dalam cara yang sebaik mungkin mengikut kadar kemampuan parti politik itu sendiri.  Samada rakyat menyokongnya atau tidak, itu bukan persoalan utama. Parti politik itu dapat menerima hakikat bahawa walau sebaik mana pun penjelasan diberi, walau sesempurna mana pun perjuangan dan keikhalasan mereka, walau kebenaran yang diperjuangkannya sejelas dan seterang matahari sekalipun, hpasti ada golongan manusia yang menolak dakwah mereka. Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah ia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.
(Al-An'aam 6:35)

Ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad yang bertaraf nabi yang maksum serta dikurniakan mukjizat pun tidak mampu memberikan keyakinan kepada semua manusia, inikan pula parti politik yang kepimpinan dan ahlinya manusia biasa!

Wajah PAS dari perspektif “politik dakwah”

Sebelum saya huraikan dengan lebih lanjut, saya ingin mengajak pembaca melihat kembali “ilusi wajah” yang telah saya paparkan di atas. Dalam gambar “ilusi wajah” itu, kita dapati gambar yang sama telah memberi gambaran yang berbeza. Dari perspektif pertama, kita akan melihat gambar seorang wanita muda. Dari perspektif kedua, kita dapat melihat wajah wanita tua.  Apabila seorang jejaka ternampak wajah wanita muda ini, ia mungkin jatuh hati padanya. Mungkin persoalan yang terlintas di hatinya berbunyi,

“Adakah wanita ini sudah berpunya? Adakah dia sudah bersuami?”.

Tetapi jika dilihat dari perspektif seorang wanita tua, secara lumrahnya tiada jejaka  yang boleh jatuh hati dengannya. Oleh itu, persoalan tentang samada wanita tua ini sudah berpunya atau tidak, tidak berbangkit sama sekali.  

Perhatikanlah, perspektif yang berbeza menghasilkan persoalan yang berbeza. Persoalan yang timbul dari perspektif pertama, tiba-tiba menjadi janggal apabila dilihat dari perspektif kedua.

Sekarang, mari kita lihat semula persoalan di awal penulisan ini yang berbunyi, “Bagaimana PAS mahu menegakkan negara Islam dalam keadaan bertanding tidak cukup kerusi?”

Sebelum saya jawab soalan di atas, saya ingin membuat satu pengakuan iaitu saya bukanlah penulis yang baik. Saya telah cuba sebaik mungkin untuk memahamkan pembaca tentang apa yang saya maksudkan dengan “politik dakwah” berbanding “politik konvensional”. Saya tidak pasti adakah saya sudah dapat memahamkan pembaca sama seperti yang saya faham. Ini kerana, sekiranya pembaca dapat memahaminya seperti yang saya faham, pembaca akan sedar bahawa soalan itu tidak relevan sama sekali. Ia hanya layak wujud jika dilihat dari perspektif “politik konvensional”. Apabila dilihat dari perspektif “politik dakwah”, ia amat janggal.  Ia bukan sekadar janggal, malah tidak patut wujud sama sekali. Jika wujud sekalipun, ia tidak akan dapat memuaskan hati selagi si penyoal masih belum keluar dari perspektif “politik konvensional” serta gagal melihat PAS dari perspektif “politik dakwah.

Memandangkan persoalan itu  sendiri  sudah janggal atau tidak wujud, sudah pasti jawapannya juga tidak wujud. Sebab itu bagi ahli PAS yang mengikuti silibus tarbiyah PAS dan sudah biasa dengan pemikiran “politik dakwah”, mereka sentiasa memahami PAS sebagai gerakan dakwah. Jika mereka ditanya tentang tentang soalan yang hanya layak wujud dari perspektif “politik konvensional”, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik. Si penyoal pula, apabila tidak mendapat jawapan yang diharapkan, mereka akan menyangka bahawa ahli PAS ini ‘celaru’ pemikirannya. Lebih jauh lagi, ada yang menyangka ahli PAS ini telah didoktrin, taksub  dan jumud sehingga tidak boleh berfikir! Sebenarnya, si penyoal itulah yang masih belum dapat melihat perspektif “politik dakwah”. Sekiranya si penyoal itu berjaya melihat PAS dari perspektif “politik dakwah”, dia sendiri akan sedar soalan yang ditanya tidak berbangkit sama sekali.

Dari perspektif “politik dakwah”, soalan itu menjadi janggal atas banyak sebab. Antaranya;

1. Tugas PAS hanyalah bekerja ke arah menegakkan negara Islam (iaitu negara yang melaksanakan Islam sebagaimana diperintahkan di dalam Al-Quran, Sunnah dan kesepakatan ulamak muktabar. Kejayaan PAS adalah bergantung pada sejauh mana ia menjalankan kerja dakwah (iaitu menyeru kepada kebaikan, mengajak kepada yang maaruf serta mencegah kemungkaran).

2. Dalam konteks politik pilihanraya, PAS bertanding pada kadar yang PAS mampu. Jika PAS tidak bertanding dalam pilihanraya atas sebab-sebab yang diizinkan syarak, ia bukanlah bermakna PAS gagal atau kalah.  Firman Allah S.W.T;
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya….. (Al-Baqarah 2:286)

3.  Negara Islam akan tertegak dengan kehendak Allah dan berdasarkan ketetapan Allah beserta cara yang dimahukan oleh Allah. Ia tidak semestinya melalui pilihanraya. Bermakna, jika PAS tidak masuk bertanding pilihanraya sekalipun, Allah berkuasa untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam sekiranya Allah berkehendak sedemikian.

4. Tugas PAS dan mana-mana orang Islam adalah untuk menjadi ‘asbab’(penyebab) untuk memenangkan agama Allah berdasarkan kemampuan, kuasa, kerusi parliman yang ditandingi dan dimenangi. Selain itu, PAS dan mana-mana orang Islam tidak boleh menjadi penghalang kepada tertegaknya negara Islam.

Soalan yang setara

Apabila ada orang bertanya soalan seperti ini;

 “Bagaimana PAS mahu menegakkan negara Islam dalam keadaan bertanding pun tak cukup kerusi?”

Barangkali si penyoal sedang mencari parti politik mana yang mampu memperjuangkan kesejahteraan rakyat.  Mungkin si penyoal ada kesedaran Islam. Dia sendiri ingin melihat Islam dapat ditegakkan. Dia sendiri ingin membantu pihak yang mahu dan mampu berjuang menegakkan Islam. Sekurang-kurangnya bantuan yang dapat diberikannya adalah dalam bentuk undi dalam pilihanraya. Jadi, soalan itu ditujukan kepada PAS kerana dia berkongsi cita-cita yang sama dengan PAS iaitu untuk berjuang ke arah wujudnya keadilan, kesejahteraan dan keamanan negara dengan tertubuhnya negara Islam atau negara berkebajikan. Tetapi, dia tidak yakin dengan kemampuan PAS serta tidak yakin adakah PAS benar-benar memperjuangkan agenda negara Islam (atau negara berkebajikan) dalam keadaan PAS bertanding dalam keadaan tidak cukup kerusi parlimen dan dalam keadaan bersendirian tanpa pakatan dengan parti-pati politik yang lain. Dia tertanya adakah agenda negara Islam atau negara berkebajikan itu hanyalah propaganda untuk menarik undi dan atas kepentingan kuasa semata-mata.

Jika begitulah latar belakang si penyoal tadi, barangkali soalan yang setara dengan soalan asal  tetapi dilihat dari perspektif “politik dakwah” sepatutnya berbunyi;

“Adakah PAS menjadi ‘asbab’(penyebab) ke arah tertegaknya Islam, atau PAS hanya jadi batu penghalang?”

Dengan kata lain;

“Adakah PAS konsisten berpegang teguh dengan tali Islam, tidak kira samada Islam itu di atas (menang) atau di bawah (tidak memerintah)?”

Dengan kata lain;

“Adakah PAS benar-benar menjalankan tugas dakwahnya (iaitu menyeru kepada kebaikan, mengajak kepada maaruf dan mencegah kemungkaran) atau itu hanya propaganda kosong sehingga tidak jejak di bumi nyata?”

Saya tidak bercadang menjawab persoalan itu di sini kerana ia memerlukan ruang tersendiri. Untuk penulisan ini cukuplah dinyatakan bahawa jika soalan-soalan ini dijawab dari perspektif “politik dakwah”, barulah kita akan nampak betapa ‘cantik’nya PAS. Pastinya ia tidaklah se’cantik’ perjuangan politik seperti yang ditunjukkan oleh gerakan yang dipimpin oleh Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi sumber rujukan dan inspirasi bagi semua pendakwah Islam. Tetapi sekurang-kurangnya kita akan dapat lihat ‘cantik’nya PAS berbanding parti-parti politik yang bersaing dengannya.

Selain itu, jika dilihat dari perspektif “politik konvensional”, persoalan samada PAS benar-benar berpegang pada tali Islam, adalah tidak relevan sama sekali. Sebab itu, tidak hairanlah mereka yang tidak dapat keluar dari perspektif “politik konvensional” tidak akan berminat untuk mencari jawapan sebegini.  Akibatnya mereka sentiasa melihat PAS itu ‘buruk’ serta gagal melihat ‘kecantikan’nya.  Andai dia dapat lihat sekalipun, ia tidak akan dapat menghargainya kerana itu bukanlah soalan yang penting baginya.  Ibarat seorang jejaka yang sedang mencari pasangan hidup, kemudian terjumpa seorang wanita tua yang kulit berkedut. Adakah si jejaka ini masih mahu bertanya, “adakah wanita ini sudah berpunya?”.  Seandainya diberi jawapan sekali pun, adakah si jejaka ini berminat dengan jawapan itu?

Faktor yang menghalang seseorang untuk melihat dari perspektif “politik dakwah”

Bagi mereka yang mengenali PAS sebagai gerakan dakwah, yang mengkaji perjalanan sirah nabi Muhammad s.a.w sebagai ‘ahli politik’ dan pemerintah yang berjaya, yang memahami fiqh harakah sebagaimana yang dipelajari oleh ahli PAS yang mengikuti sistem usrah PAS, tentulah tidak sukar untuk memahami PAS dari perspektif “politik dakwah”. (Sebaliknya, mereka kadangkala menghadapi kesukaran untuk memahami perspektif “politik konvensional”).

Namun, bagi sesetengah pihak, mereka menghadapi masalah untuk melihat  dan membuat penilaian dari perspektif “politik dakwah”.

Pada pendapat saya, ada beberapa faktor yang menghalang seseorang untuk melihat serta menghargai perspektif “politik dakwah”. Antaranya;

1. Salah faham terhadap konsep dakwah.
Saya pernah melihat satu rancangan di televisyen berkisar analisa pilihanraya negeri Sarawak. Antara yang disebut oleh penganalisa itu ialah, “Sekiranya PAS sekadar mahu berdakwah di Sarawak, mereka tidak perlu bertanding dalam pilihanraya negeri ini”. Barangkali, penganalisa ini membayangkan kerja dakwah itu cukup dengan berceramah di masjid, atau ziarah dari pintu ke pintu dan bercerita tentang Islam. Sedangkan perbuatan sebegitu hanya salah satu elemen dari dakwah yang disebut ‘menyeru’ kepada kebaikan. Sedangkan dakwah itu lebih luas dari sekadar ‘menyeru’. Jika dikaji gerakan dakwah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad s.a.w, baginda dan para sahabat bukan sahaja melakukan kerja-kerja ‘menyeru’, malah baginda berhijrah ke Madinah, mendirikan negara Islam Madinah, memperkenalkan perlembagaan Madinah untuk menyusun atur masyarakat, dan apabila keadaan memerlukan, baginda akan keluar berperang dengan senjata. Semua kerja-kerja itu adalah dakwah!

2. Salah faham terhadap politik.
Ada yang berpandangan politik itu kotor. Politik itu  adalah urusan merebut kuasa dari kumpulan yang gila kuasa. Sehingga ada pula yang berpandangan politik pilihanraya di Malaysia ini tidak memenuhi hukum syarak. Dakwah pula adalah perbuatan yang mulia. Oleh itu, orang yang berpandangan begini tentu merasa janggal jika politik yang kotor ini digunakan untuk tujuan dakwah yang murni.

3. Pengaruh saki baki pemikiran sekular
Saya ada mengenali seseorang yang saya anggap seorang pendakwah yang baik. Akhlaknya baik dan sentiasa memelihara solat. Dia banyak bercerita tentang Islam dan dakwah. Saya perhatikan dia amat memahami konsep dakwah dan kewajipan menegakkan Islam. Beliau memahami bahawa kerja-kerja dakwah bukan semata-mata menyeru kepada kebaikan. Beliau juga memahami konsep ‘kemenangan’ dalam Islam adalah sejauh mana individu atau kumpulan itu berpegang teguh dengan Islam. Soal bagaimana Islam itu akhirnya tertegak dalam negara dan dunia ini, itu urusan Allah. Beliau juga memahami bahawa Islam itu syumul dan perlu diperjuangkan dalam segenap aspek kehidupan. Tetapi anehnya, apabila beliau bercakap soal PAS, tiba-tiba segala konsep dan kefahamannya tentang dakwah itu seakan-akan hilang!  Tiba-tiba beliau berbicara tentang PAS dari perspektif “politik konvensional”. Barangkali ini adalah saki baki pemikiran sekular iaitu pemikiran yang mengasingkan urusan agama dari urusan politik. Oleh itu, apabila beliau bercakap tentang perjuangan politik, ia sama seperti bercakap tentang pertandingan bola sepak.  Mungkin beliau sangka menyokong parti politik sama seperti menyokong pasukan bola sepak yang tidak ada kaitan dengan dakwah.

Rumusan keseluruhan

Secara ringkasnya, apa yang ingin saya sampaikan dalam penulisan ini ialah;

1.       Apabila ditanya, “Bagaimana PAS mahu menegakkan negara Islam dalam keadaan bertanding pun tak cukup kerusi?” Jika dijawab dari perspektif “politik konvensional”, ternyata PAS nampak ‘buruk’.
2.       Dari perspektif “politik dakwah”, persoalan itu tidak timbul sama sekali. Ini kerana konsep kemenangan, agenda perjuangan, tugas dan cita-cita parti politik dari perspektif “politik konvensional” sama sekali berbeza dari perspektif “politik dakwah”.
3.       Jika PAS mahu dinilai dari perspektif “politk dakwah”, soalan yang patut ditanya ialah, “Sejauh mana PAS berpegang dengan tali Islam tidak kira samada Islam sedang menang atau sedang dtitindas?”
4.       Ada beberapa faktor yang menghalang seseorang dari menilai PAS dari perspektif “politik dakwah” yang seterusnya mengakibatkan seseorang itu tidak nampak ‘kecantikan’ PAS. Antara faktornya ialah salah faham terhadap konsep dakwah, salah faham terhadap politik dan pengaruh saki baki pemikiran sekular.

Demikianlah pandangan saya.

Basri DK
basridk.blogspot.my
2 October 2016/ 1 Muharam 1438H



No comments:

Post a Comment