Taubat
Wahai diri, mintalah ampun kepada Allah.
Bertaubatlah kepadaNya. Beristighfarlah. Rasulullah s.a.w yang maksum dan
dijamin masuk syurga pun bertaubat tidak kurang 100 kali sehari semalam.
Sedangkan aku sendiri tidak pasti sebanyak
mana dosa yang sedang aku pikul saat catatan ini ditulis, dan bagaimana nasibku
di akhirat sana.
Wahai diri, janganlah engkau anggap taubat
itu perkara remeh kerana ia adalah fardhu 'ain ke atas setiap manusia.
……………………….
Keras
Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang
mengkritik golongan yang ingkar. Samada golongan kafir, munafik mahupun fasiq.
Keingkaran mereka pelbagai bentuk dan rupa.
Ada yang menyembunyikan kebenaran setelah kebenaran itu muncul, ada yang
menjadikan nafsu sebagai Tuhan dengan mengikut segala kemahuan nafsu, ada yang
enggan mengikut hukum yang ditetapkan Tuhan.
Walaupun begitu 'dasyat' kemungkaran
manusia, Allah yang Maha Penyayang tetap memberi peluang kepada manusia untuk
bertaubat.
Hinggakan Allah pernah menerima taubat Bani
Israil yang melakukan kesalahan membunuh para nabi! (5:70-71). Malangnya mereka
kembali melakukan dosa.
Adalah amat malang seandainya manusia
mensia-siakan peluang taubat yang terbuka luas ini.
Lebih malang lagi seandainya manusia
tertipu dengan dirinya sendiri.. mereka sangka taubat boleh dikemudiankan, lalu
mereka terus bergelumang dalam kemaksiatan, sehingga hati menjadi keras
dan berterusan dalam kefasikan.
Firman Allah S.W.T;
" Belum sampaikah lagi masanya bagi
orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan
pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada
mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah
diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang
lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang
fasik - derhaka."(57:16)
………………………
Lupa
"Alhamdulillah, hari ni tidak jerebu.
Syukur. "
Semasa musim jerebu baru berakhir suatu
masa dulu, mungkin ramai yang ucap perkataan memuji Allah ini. Tetapi kini
pasti ramai yang lupa.
Sedangkan Allah tidak pernah lupa...
Alangkah banyaknya nikmat Allah yang kita
perolehi. Kalau mahu diucapkan "Alhamdulillah" pada setiap satu nikmat ini, kita tidak akan
mampu. Kerana nikmat Allah lebih banyak melangkaui usia kita sendiri.
Tidak hairanlah Nabi Muhammad (mari
berselawat) mewariskan kita doa/zikir yang berbunyi (dengan maksud):
"Maha Suci Allah dan segala puji
bagiNya sebanyak makhluk ciptaanNya, dan (sebanyak) keredhaanNya, seberat
timbangan ArasyNya, dan sebanyak dakwat (untuk menulis) kalimatNya"
…………………………….
Bila hati sudah terdetik…
Jangan remehkan perbuatan yang baik.
Walaupun sekadar mengukir senyuman kepada orang lain. Kita tidak tahu yang mana
amal kita yang diterima Allah di akhirat kelak.
Bila hati sudah terdetik untuk buat baik,
bersegeralah laksanakannya. Kita tidak tahu bila lagi Allah akan gerakkan hati
kita untuk berbuat baik lagi.
………………….
Jangan jemu
Sudah menjadi ciri manusia, pasti tidak
lepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Manusia mempunyai hawa nafsu,
tidak seperti malaikat.
Ada hadith Nabi Muhammad (sila berselawat)
menyatakan bahawa sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah yang
bertaubat.
Manusia yang baik bukanlah manusia yang
tidak melakukan kesalahan. Manusia yang baik ialah manusia yang bertaubat
apabila melakukan kesalahan.
Jangan berhenti bertaubat. Selagi nafsu
belum jemu melakukan kesalahan, selagi itulah kita jangan jemu bertaubat.
……………………..
Tidur
Semua perokok tahu bahaya merokok. Tetapi mereka
tetap merokok. Tahu hanya sekadar tahu.
Ramai orang tahu tujuan hidup adalah untuk
mendapat redha Allah. Tetapi tahu sekadar tahu. Usia dan tenaganya habis
digunakan untuk mencari sesuatu yang akan ditinggalkan apabila mati kelak.
Benarlah kata-kata Saidina Ali (dengan
maksud), "manusia kebanyakannya sedang tidur, mereka akan terjaga apabila
mati kelak".
Pesan beliau lagi, "Beramallah
sementara berada di tempat yang tiada ganjaran tetapi hanya ada amalan (dunia),
sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi tiada lagi amal
(akhirat)".
……………………………..
Hidup ini
Hidup ini adalah medan ujian. Untuk mengenal
diri sendiri. Adakah kita benar-benar berpegang dengan kebenaran (Islam) atau
tunduk dengan hawa nafsu.
Allah letakkan jalan kebenaran itu sarat dengan
liku dan kepayahan serta dibenci nafsu.
Jalan kebatilan itu pula dihiasi dengan
keindahan dan kelazatan serta disukai nafsu.
Ada orang yang 'give up' dengan ujian ini.
Akhirnya, orang ini bersama dengan kumpulan tertentu bukan kerana
kebenaran yang dibawanya. Tetapi semata-mata untuk memuaskan perut dan apa yang
dibawah perut.
Orang ini juga menentang kumpulan tertentu
bukan kerana kebatilan kumpulan itu. Tetapi kerana menjaga 'periuk nasi'nya.
Orang sebegini wujud semasa zaman Al-Quran
diturunkan. Telah dirakamkan dalam Quran dalam banyak tempat. Lengkap dengan
ciri-ciri dan kesudahan buruk mereka nanti.
Orang sebegini terus wujud hingga hari ini.
Semoga kita dijauhkan dari menjadi orang
sebegini. Iaitu orang yang 'membeli' nikmat dunia yang sementara dengan cara
menggadaikan nikmat akhirat.
No comments:
Post a Comment