Pages

Wednesday, 24 October 2012

Jom jadi baik!



“Jom puasa esok!”

Itu status yang  saya ‘share’ di dinding facebook hari ini. Ia adalah ajakan saya kepada ‘kawan-kawan’ untuk berpuasa sunnat sempena hari arafah esok. Kebetulan terjumpa poster yang menjelaskan hadith kelebihan puasa hari arafah.

Ia adalah status yang biasa. Tiga patah perkataan; jom-puasa-esok. Poster pun saya hanya ‘share’ dari status kenalan lain.

Tetapi entah kenapa, status yang saya kongsi kali ini membuatkan saya terasa ‘lain macam’. Timbul rasa sayu di hati.

Saya ingin buat pengakuan, iaitu saya bukanlah orang baik.


Adik beradik saya boleh sahkan hal ini. Kawan-kawan semasa di SMSAH dulu pasti menyetujui pengakuan ini. Kawan-kawan semasa di RPKJ dan Jepun dulu pun begitu. Lebih-lebih lagi isteri saya, pasti mengakui yang saya bukanlah suami yang baik.

Di sini saya ingin buat pengakuan kedua, iaitu apabila saya mengajak orang lain jadi baik, bukanlah tujuan utama saya mahu orang itu jadi baik. Kalau orang itu jadi baik, ia adalah bonus bagi saya.

Tujuaan utama saya mengajak orang lain jadi baik adalah kerana saya mahu jadi baik. Saya dapati bahawa antara ciri penting orang baik ialah dia mengajak orang lain jadi baik. Saya mahu meniru perbuatan orang baik. Dan salah satu perbuatan kebaikan itu ialah mengajak orang lain jadi baik atau apa yang diistilahkan sebagai ‘dakwah’ atau ‘amar maaruf’.

(Empat orang remaja mengalami krisis identiti)

Dakwah adalah untuk diri sendiri

Bila saya ajak orang berpuasa sunat 9 zulhijjah esok, sudah pasti saya akan pastikan diri saya juga berpuasa. Lagi kerap saya ajak orang, lagi kuatlah azam saya untuk amalkannya. Maka, faedah dakwah itu berpatah balik kepada orang yang mengajak itu sehingga ia menjadi lebih baik.

Oleh itu, bagi saya, antara kaedah yang berkesan untuk melatih diri menjadi baik ialah mengajak orang jadi baik.

 “ Aku ni bukannya baik sangat pun. Nanti dituduh buang tabiat pulak..”

“ Dulu aku sembahyang pun tunggang langgang. Nanti tak pasal-pasal kena perli.”

“Kalau aku ajak orang buat baik sekali pun, orang bukannya nak ikut cakap aku.”

Tanpa disedari, dialog ini menunjukkan kita buruk sangka pada orang. Kita sangka orang akan perli kita, orang akan benci kita, orang akan mengumpat kita. Sedangkan itu semua hanyalah persangkaan kita semata-mata. Kalau memang ada orang yang tidak suka sekali pun, katakanlah seperti apa yang dikatakan oleh Imam Hasan Al-Basri,

"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, pasti tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan."

Hari ini saya mengajak orang lain melakukan kebaikan dengan berpuasa sunat di hari arafah. Walaupun ia ajakan yang biasa, dengan ayat yang biasa, tetapi ia membuatkan saya berasa ‘sayu’.

Saya amat berharap ia membawa makna saya adalah orang baik. MUNGKIN, disebabkan harapan itulah saya berasa sayu. Sayu melihat diri ini masih jauh dari baik. Takut harapan hanya tinggal harapan.


No comments:

Post a Comment