Ada orang meletakkan kaya sebagai erti kejayaan.
Ada yang mahu memiliki perniagaan yang besar sebagai erti kejayaan.
Ada yang mahu menjadi selebriti sebagai erti kejayaan.
Ada yang mahu memiliki perniagaan yang besar sebagai erti kejayaan.
Ada yang mahu menjadi selebriti sebagai erti kejayaan.
Ada yang mahu menjadi perdana menteri
sebagai erti kejayaan.
Itu semua betul, tetapi bagi saya belum cukup jelas. Dalam meletakkan erti kerjayaan, saya lebih ‘suka’ meniru erti kejayaan bagi orang-orang yang beriman.
Itu semua betul, tetapi bagi saya belum cukup jelas. Dalam meletakkan erti kerjayaan, saya lebih ‘suka’ meniru erti kejayaan bagi orang-orang yang beriman.
Orang yang beriman ialah orang yang
percaya kepada Allah, percaya kepada rasul, percaya kepada dosa dan pahala, percaya
bahawa hidup di dunia ini bersifat sementara, percaya bahawa suatu hari nanti
mereka akan menempuh alam akhirat yang kekal abadi.
Erti kejayaan bagi orang-orang yang
beriman ialah mencapai redha Allah. Mereka kekal beriman hingga disaat menghembuskan nafas yang
terakhir, dikurniakan keampunan, mati dalam keadaan keadaan
bersih dari dosa, jauh dari azab kubur dan seksa api neraka, dan menikmati
kehidupan syurga yang kekal abadi.
Setakat ilmu saya yang sedikit, begitulah
pemahaman saya tentang definisi kejayaan bagi orang yang beriman. Saya tidak
pasti adakah itu kenyataan yang paling tepat. Namun,
yang pasti, itulah definisi kejayaan yang saya cuba pupuk dalam diri ini. Siapa
lagi saya mahu tiru kalau bukan orang-orang beriman yang diberi petunjuk oleh
Allah?
Bagi saya inilah kejayaan yang hakiki.
Inilah kejayaan yang tertinggi. Ia lebih tinggi dari “mahu jadi jutawan”, atau “mahu
naik pangkat” atau “mahu kuasa”.Bukanlah bermakna orang yang beriman menolak
harta dan pangkat. Tetapi itu semua adalah sebahagian daripada alat yang mereka
gunakan untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi.
Apabila sudah mencapai redha Allah, sudah
memperoleh syurga Allah, apa lagi yang lebih diidami, yang lebih tinggi selain
dari itu?
3 formula mencapai kejayaan
Firman Allah s.w.t,
“Wahai
orang-orang yang beriman! Takwalah kepada Allah dan carilah jalan (wasilah)
yang menyampaikan kamu kepadaNya, dan bersungguh-sungguhlah (berjihadlah) pada jalanNya, mudah-mudahan kamu mendapat
kejayaan” (Al-Maidah:
Ayat 35)
Ayat ini memberi 3 formula untuk mencapai
kejayaan, khusus untuk orang yang beriman.
1. Bertakwa kepada Allah
Semasa zaman “belajar agama kerana nak
lulus SPM” dulu, saya diajar tentang definisi takwa iaitu “melakukan segala
yang Allah suruh, dan meninggalkan segala yang Allah larang”. Jika jawab
begitu, sudah boleh dapat markah penuh. Biasanya 2 markah. Banyak lagi definisi
dan huraian takwa yang diajar ustaz, tapi saya tidak ambil peduli kerana ia
tidak dapat membantu menambah lagi markah yang diperuntukkan iaitu 2 markah
sahaja.
Namun, setelah keluar dari zaman “belajar
agama kerana nak lulus SPM” itu, saya lebih ‘terkesan’ dengan definisi takwa
yang diberikan oleh Ubai bin Ka’ab. Suatu hari, Umar Al-Khattab bertanya kepada beliau tentang
pengertian takwa.
Lalu, Ubai berkata, “Bukankah engkau
pernah melintasi jalan yang berduri?
Umar pun menjawab, “Betul”.
Ubai bertanya kembali, “Apa yang engkau
lakukan ketika sedang melintasi jalan yang berduri itu? “. Soalan Ubai itu sesuai
dengan keadaan di zamannya. Kalau Ubai berada di zaman kita, mungkin beliau
akan bertanya, “Apa yang engkau lakukan ketika sedang melintas jalan besar tiga
lorong, yang dipenuhi kenderaan yang bergerak laju, serta tiada jejantas
mahupun lintasan zebra disediakan?”
Jawab Umar, “Berhati-hati”.
Sahut
Ubai, “Itulah takwa”.
Untuk mencapai kejayaan, orang beriman
perlu menjadi manusia yang berhati-hati. Hati-hati dari bisikan melakukan dosa,
hati-hati dari seruan meninggalkan larangan Allah, hati-hati dalam pertuturan
dan perbuatan agar selamat sampai ke destinasi akhirat yang dituju. Sebagaimana berhati-hatinya kita ketika
melintas jalan besar tiga lorong yang dipenuhi kenderaan yang bergerak laju,
serta tiada jejantas mahupun lintasan zebra disediakan. Sekali dan sesaat tersilap
langkah, kita mungkin akan ‘mati dilanggar kereta’. Kalau mati dilanggar kereta, walau
zahirnya nampak ngeri, tetapi tidaklah sengeri mati hati. Kalau hati yang mati, tidak
nampak lagi jalan kebenaran, tidak terasa lagi kemanisan berbuat kebaikan,
tidak terasa bersalah apabila melakukan dosa.
Dibimbangi akan terjerumuslah ke dalam api neraka di akhirat kelak. Apa lagi yang lebih ngeri daripada ditimpa azab api neraka?
2. Cari jalan(wasilah) yang menyampaikan kamu kepadaNya.
Dalam bahasa moden hari ini, ia mungkin boleh
dikaitkan dengan“strategic planing”. Susunlah Visi, Misi, Objektif, Strategi,
Modus Operandi untuk kenal pasti apakah yang ingin dilakukan untuk mencapai
redha Allah.
Dalam
amalan peribadi, penuhilah jalan ini dengan beramal ibadat, berbuat kebajikan
serta berakhlak mulia. Isilah masa dengan mencari ilmu yang berfaedah. Rajinkanlah
diri mengerjakan solat di rumah mahu masjid. Mudah-mudahan ini adalah jalan
mencapai redha Allah.
Dalam mencari rezeki, pastikan ianya halal dan memberi manfaat kepada manusia. Mudah-mudahan
ini adalah jalan mencapai redha Allah.
Dalam berkeluarga dan bermasyarakat,
didiklah isteri dan anak-anak supaya patuh kepada perintah agama. Peliharalah
ayah dan ibu yang telah tua, hubungkan silaturrahim antara adik-beradik,
berilah nasihat yang berguna. Pelihara
perbuatan dan tingkah laku agar tidak
menyakiti hati jiran dan kenalan.
Hulurkanlah bantuan kepada masyarakat yang memerlukan dengan
cara yang termampu. Kawallah pertuturan. Jika tidak mampu berkata yang baik,
lebih baik diam. Mudah-mudahan ini adalah jalan mencapai kejayaan iaitu mencapai redha Allah
Dalam berpesatuan, sertailah
badan,persatuan, parti politik yang kita yakini boleh menjadi jalan untuk
mencapai redha Allah. Ini adalah alat atau kenderaan yang membantu kita untuk
menuju kejayaan yang kita idamkan. Bersamalah dengan mereka yang mempunyai
cita-cita yang sama, iaitu mereka yang sama-sama mahu mencapai redha Allah.
Di samping itu, manfaatkanlah seluruh sumber
yang kita ada termasuk yang ada pada diri seperti kemahiran, minat, potensi
diri untuk dimanfaatkan dalam hal yang boleh mencapai redha Allah. Manfaatkan setiap sen dari harta, kekuasaan
dan pengaruh, pangkat dan darjat yang kita ada untuk mencapai apa yang kita
idamkan iaitu redha Allah.
Carilah perjuangan yang sedang
diperjuangkan oleh orang-orang yang beriman, carilah wasilah/jalan yang dilalui
oleh orang-orang yang beriman. Carilah ia setiap detik dan ketika. Jika itu tertanam dalam hati dan sanubari
kita, apabila membaca ayat dari surah Al-fatihah ketika solat;
“Tunjukilah kami jalan yang lurus.( yaitu)
Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan
(pula jalan) mereka yang sesat.”
Tentu kita rasa ianya sangat relevan buat kita dan memang wajar ia diulang baca setiap kali solat.
3. Bersungguh-sungguhlah (berjihadlah)
pada jalanNya
Banyak organisasi yang mempunyai “strategic
planning” yang baik. Mereka mempunyai visi, misi, objektif yang jelas. Namun,
tidak banyak organisasi yang berjaya pada peringkat perlaksanaan. Begitulah
juga yang berlaku pada peringkat individu, apabila masuk peringkat
perlaksanaan, ia tidak semudah yang dirancang.
Mengapa jadi begitu? Sebabnya mudah. Iaitu
kerana kita manusia. Kita ada kelemahan.Kita pelupa. Kita ada nafsu. Dalam diri
kita ada unsur “malaikat” dan ada unsur “syaitan”. Nafsu dan syaitan tidak mahu
kita menuju kepada Tuhan. Dia mahu kita lupakan Allah. Dia mahu kita lupakan
tujuan hidup. Lihatlah, banyak orang yang beragama Islam sekalipun, tidak
pernah mengetahui tujuan hidup mereka
yang benar.
Orang yang tahu tujuan hidup sekalipun,
diselewengkan jalannya. Kita dilupakan dengan nikmat hidup yang sementara, kita
kejar nikmat dunia hingga lupa bahawa nikmat akhirat lebih kekal. Hal ini bukan
sahaja menimpa orang-orang ‘biasa’ seperti saya, malah golongan agamawan yang
belajar subjek agama dari pagi sampai ke petang sekali pun belum tentu terlepas
dari diselewengkan nafsu dan syaitan. Di sinilah “jihad” atau “kesungguhan” memainkan peranannya.
Jihad
bukan bererti melawan musuh guna senjata semata-mata.
Dalam menuntut ilmu, kita perlukan jihad.
Dalam mengerjakan solat, kita perlukan
jihad
Dalam pergaulan seharian, kita perlukan
jihad.
Dalam mendidik isteri dan anak-anak, kita
perlukan jihad.
Dalam mencari rezeki yang halal, kita
perlukan jihad.
Dalam menyiapkan artikel yang sedang saya
tulis ini pun, saya amat perlukan jihad!
Mudah-mudahan, dengan adanya 3 formula ini
iaitu takwa, wasilah, dan jihad, Allah mengurniakan kejayaan. Kejayaan yang dimaksudkan ialah mencapai redha Allah. Kita mahu kekal beriman hingga disaat menghembuskan nafas yang terakhir, dikurniakan keampunan, mati dalam keadaan keadaan bersih dari dosa, jauh dari azab kubur dan seksa api neraka, dan menikmati kehidupan syurga yang kekal abadi.
Jika semua itu sudah dicapai, apa lagi yang kita mahu?
Jika semua itu sudah dicapai, apa lagi yang kita mahu?
No comments:
Post a Comment