Pages

Friday, 14 March 2014

Huraian Surah Al-Hadiid ayat 22-23 dari kitab Tafsir Al-Azhar



Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
(Al-Hadiid 57:22)


(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
(Al-Hadiid 57:23)


Berikut adalah petikan dari tafsir Al-Azhar*:

“Tiadalah menimpa sesuatu dari bencana di atas bumi dan tidak pula di atas diri kamu, melainkan semuanya itu sudah ada dalam kitab sebelum Kami melaksanakannya.” (pangkal ayat 22). Dalam ayat ini dijelaskan bahawa di dunia ini bisa saja terjadi bencana, baik bencana besar mengenai bumi, mahupun gunung berapi meletus, banjir besar terjadi, taufan halimbubu yang meruntuh gunung-gunung, atau sebuah kota terbakar. Dan ada pula bencana kecil, tetapi besar juga dibanding kepada diri sendiri kerana dia mengenai diri kita masing-masing, seperti sakit, terjatuh dari tempat yang tinggi, terbenam dalam air dan sebagainya. Maka dalam ayat ini ditegaskan bahawa semua bencana yang terjadi itu sudah ada lebih dahulu dalam rencana Tuhan cuma kita tidak diberitahu. Sudah ada rencana Tuhan sebelum hal itu terjadi. Dan kita pun dengan kekuatan iman dan tawakkal kepada Tuhan, dapatlah melihat dalam perjalanan alam beberapa bencana yang terjadi, seperti Gunung Krakatau meletus pada tahun 1833, gempa bumi di Padang Panjang pada bulan Jun 1926, sebuah kapal besar bernama “Titanic” tenggelam di lautan besar sesudah peperangan dunia pertama (1922), dan beribu kali hal-hal yang tidak kita sangka-sangka, bisa saja terjadi di muka bumi ini. Demikian pula kita sendiri sebagai manusia melihat pergantian sakit dan senang, mujur dan malang, penderitaan, kekayaan pada mula-mula, kemudian kemiskinan datang menimpa. Marilah kita bertanya kepada setiap orang, tidaklah ada manusia yang akan mengatakan bahawa dirinya tidak pernah ditimpa bencana! Semuanya itu telah tertulis, kita hanya tinggal menjalani.

Oleh sebab itu sangatlah tercela dalam pandangan agama orang-orang yang mengadakan ramal dan tenung, menerka-nerka apa yang akan terjadi di belakang hari atau diri seseorang. Pertama tidaklah akan tepat hasil tenungan yang disampaikan orang itu. Meskipun ada yang benar agak dua macam hasil tenungan, namun yang tidak tepat sampai sepuluh macam, namun orang yang lemah imannya lupa dia akan yang sepuluh macam dan terkenang dia kepada dua yang hampir tepat. Padahal kita disuruh beriman, berjiwa teguh dan tabah menghadapi segala kemungkinan dalam hidup kita, menjalani yang telah tertulis terlebih dahulu dalam ilmu Allah;“Sesungguhnya hal yang demikian itu atas Allah adalah hal yang mudah.” (ujung ayat 22).

Adalah hal yang mudah saja bagi Allah mengubah nasib seseorang, ataupun mengubah nasib negeri. Siapa yang menyangka pada mulanya bahawa bangsa yang dianggap budak hina pada sebelum tahun 1945, tiba-tiba pada tahun 1955, sepuluh tahun di belakang, menjadi tuan di tanahairnya sendiri? Berapa perubahan besar yang tadinya tidak makan di akal manusia, namun bagi Allah mudah saja mengubahnya? Semuanya itu mudah bagiNya, sebab Allah semuanya yang mengatur. Manusia hanya tinggal menjalani.

“Supaya kamu jangan berputusasa atas apa yang telah lampau, dan jangan bersukaria dengan apa yang datang kepada kamu.” (pangkal ayat 23). Inilah pimpinan penting dari Allah atau kehidupan seorang yang beriman. Sebagai dikatakan pada ayat terdahulu tadi, suka dan duka akan terjadi, mujur dan malang akan berlaku, dan semuanya telah tertulis, kita hanya tinggal membaca dan menjalani. Maka dalam ayat ini ditunjukkan bagaimana hendaknya sikap kita dalam menghadapi gelombang hidup yang demikian. Dikatakan bahawa sekali-kali jangan berputus asa jika malang sedang menimpa, kerana di balik jalan yang mendaki akan bertemu jalan menurun. Tenang dan jangan gelisah, jangan berputus asa. Kelak pasti bertemu dengan bahagian yang mujur. Di sini dinasihati pula supaya jangan riang-gembira menerima yang menyenangkan hati. Dan disinilah perlunya memakai dua pedoman hidup yang sangat penting. Iaitu sabar seketika bencana datang, dan syukur seketika pertolongan Tuhan tiba. Kita harus sedia selalu dengan sikap tenang, sikap orang yang beriman; “Dan Allah tidaklah suka kepada orang yang sombong dan membangga.” (ujung ayat 23).

Tidak ada alasan buat kita menyombong, kerana harta yang ada pada kita tidak ada yang kita punya dan tidak ada alasan buat kita membangga, kerana kita ini hanya manusia yang dha’if dan lemah. Tidak akan ada yang patut kita banggakan di atas dunia, kalau bukan kerana Rahman dan Rahim Tuhan, setapak pun kaki kita tidak akan sanggup menginjak dunia.


*Tafsir Al-Azhar, Pustaka Nasional, cetakan kelima, jilid 9, m/s 7189-7191, HAMKA

No comments:

Post a Comment