Pages

Wednesday, 16 October 2013

Dari Senpai untuk Kohai (Siri 7) - Seronoknya hidup sebagai muslim di Jepun


Menempuh kehidupan sebagai muslim di Jepun, memang ada banyak kesukaran.

Semasa belajar di Jepun, saya rasa sukar untuk mengerjakan solat di gakkou (universiti) kerana tiada surau disediakan. Saya perlu solat di tepi tangga.

Jadual kelas juga kadang-kala tidak mengizinkan saya untuk solat. Saya perlu curi-curi keluar kelas dengan cara ‘buat-buat’ nak pergi tandas.

 Ambil wuduk juga sukar. Terutama di musim sejuk. Nak ‘cebok’ pun sukar kerana tiada paip air disediakan di tandas.

Makanan halal tidak mudah didapati dan terhad. Setiap kali beli makanan perlu baca dulu ‘ingrediant’nya. Perlakuan memeriksa ingredients  ini terbawa-bawa hingga saya pulang ke Malaysia.

Surau jauh dari tempat penginapan. Semasa saya di Tsukuba, hanya solat Isyak dan solat Jumaat sahaja diadakan secara berjamaah.

Pastinya syiar Islam juga tidak kelihatan di Jepun. Tiada laungan azan apabila masuk waktu. Masjid tidak banyak. Masjid yang  ada pun, undang-undang melarang masjid-masjid ini melaungkan azan dengan kuat.

Namun begitu, sebenarnya banyak kelebihan hidup sebagai Muslim di Jepun. Sesetengah kelebihan itu saya baru sedar setelah kembali ke tanah air.

Saya kongsikan sedikit sebanyak;


Luasnya peluang berdakwah di Jepun
 Islam adalah agama minoriti di Jepun. Ada yang mengatakan bilangannya tidak sampai 1% berbanding jumlah keseluruhan rakyat Jepun. Dakwah Islam masih belum tersebar luas. Ini adalah peluang untuk mereka yang ke Jepun untuk menyebar luaskan ajaran Islam di sana. Bergaullah dengan rakan-rakan dan jiran Jepun. Terangkanlah Islam kepada mereka. Samada mereka mahu terima Islam atau tidak, insyaAllah kita sudah memperoleh pahala.  Apatah lagi sudah menjadi kewajipan umat Islam untuk berdakwah. Dalilnya banyak. Saya tidak layak untuk menghuraikannya. Namun, untuk artikel ini, cukuplah saya kongsikan firman Allah S.W.T;


Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar ; merekalah orang-orang yang beruntung” [Al-Imran : 104]

Saya pernah mendengar cerita tentang seorang Jepun (yang saya lupa namanya) yang telah memeluk Islam ada berkata dengan maksudnya lebih kurang, 

“Kami orang Jepun telah berkongsi apa yang kami miliki sehingga ia sampai ke pelusuk setiap rumah kamu. Mesin basuh kamu, kenderaan kamu, televisyen kamu semuanya dari teknologi  kami. Tetapi kenapa kamu tidak mahu berkongsi apa yang kamu miliki iaitu Islam?”

( Ini Sheikh Abdullah Taki Takazawa. Seorang bekas mafia yang kembali kepada Islam. Sumber:http://revertedmuslim.blogspot.com/2012/10/pamphlet-that-change-everything-ex.html  )

Orang Jepun masih tidak mengenal Islam.  Pengetahuan mereka hampir ‘kosong’ tentang Islam. Bukan setakat tentang Islam, tentang agama pun mereka jahil. Sesetengah mereka merasakan diri mereka ‘warui’ (teruk) kerana tiada agama. Mereka menggagumi manusia yang ada agama. Ini sebenarnya memudahkan penerangan. Mereka mungkin tidak menerima penerangan kita, tetapi mereka juga tidak menolak atau menentang. Mereka akan tetap hormati kita. Gunakanlah peluang ini untuk berdakwah.

Mereka juga tidak ada ‘bad experience’ dengan muslim. Jadi mereka lebih mudah menerima penerangan kita. Sebagai contoh, jika kita menceritakan tentang kelebihan menutup rambut dan melabuhkan pakaian bagi wanita, mereka akan mudah menerimanya. Tetapi jika perkara yang sama diterangkan kepada bukan Islam di Malaysia, mereka akan berkata, “ Aik? Apsal ramai kawan-kawan Islam awak tak bertudung?”

Berdasarkan pengalaman saya yang sedikit ini, saya dapati, mengapliksikan ilmu dakwah di Malaysia adalah 100 kali lebih mencabar berbanding di Jepun.

Muslim di Jepun ‘lebih bersatu’.

Memandangkan muslim hanya 1% di Jepun, mereka saling kenal mengenal antara satu sama lain. Hubungan sesama muslim lebih mesra. Dan kita akan mudah terasa ukhwah Islam ini merentas bangsa dan warna kulit.  Kita juga mudah diterima dalam masyarakat muslim yang sedikit itu. Dan banyak aktiviti yang kita boleh sertai. Setakat pengalaman saya di Tsukuba, saya pernah ‘dipaksa’ memegang jawatan dalam komuniti masjid, menyampaikan tazkirah, mengimamkan solat dan membacakan khutbah semasa solat jumaat.  Bukanlah kerana saya hebat sangat. Tetapi kerana bilangan kami tidak ramai. Maka ‘peluang’ untuk saya dipilih memimpin aktiviti masjid menjadi lebih cerah. Di Malaysia, jika saya memberi khutbah atau tazkirah, ada kebarangkalian saya akan ditahan oleh JAIS kerana  memberi tazkirah tanpa kelayakan.

(Inilah masjid Tsukuba. Asalnya ini tapak rumah dan kilang memproses getah. Setelah bertahun-tahun mengumpul derma, penduduk Islam di sini telah berjaya membelinya dan diubahsuai menjadi masjid)

Luasnya hidayah Allah di Jepun
Memang benar di Jepun peluang untuk berbuat maksiat terbuka luas. Tetapi saya banyak mendengar kisah benar tentang kenalan yang berubah menjadi lebih baik apabila di Jepun berbanding ketika mereka di Malaysia. Ternyata sekali hidayah Allah itu ada di mana-mana. Mungkin kerana mereka terkejut melihat peluang berbuat maksiat lebih terbuka. Dari rasa terkejut itu, timbul rasa takut. Dengan izin Allah, mereka berjaya menukar ‘ancaman iman’ itu untuk mendekatkan diri kepada Allah. Orang putih kata "Turn defeat into victory". 

Mudahnya menghargai nikmat Islam di Jepun
Sudah menjadi tabiat manusia, sukar untuk mensyukuri apa yang dimiliki. Apabila nikmat itu tiada, barulah timbul rasa kesal. Di Jepun, kita berpeluang melihat masyarakat yang jauh dari nikmat Islam.  Masyarakat yang tidak berTuhan. Memang betul banyak aspek terutama dari segi ‘akhlak’ yang kita boleh belajar dari Jepun, tetapi akhlak itu bukan terbit dari iman kepada Allah. Justeru kita dapat melihat terumbang-ambingnya dalam mencari pedoman hidup. Kesannya, walaupun Jepun kini ‘kuat’ tetapi ia sedang menuju kepada keadaan ‘lemah’. Peratus bunuh diri tinggi, masalah tekanan mental antara ‘simptom’ yang ada dalam masyarakat mereka akibat hidup menjauhi Tuhan. Saya dapat saksikan sendiri bagaimana hilangnya ‘akhlak’ dan maruah mereka sebagai manusia apabila mereka dalam keadaan mabuk. Bagi mereka, mabuk di luar waktu kerja itu normal. Tiada yang pelik.

Dari situ lahir rasa betapa beruntungnya saya dapat lahir sebagai muslim. Dengan nikmat itu, saya amat mudah menghargai setiap amalan ibadah yang dilakukan. Memang benar, ketika di Jepun, saya hanya berpeluang menunaikan solat berjamaah di surau ketika waktu Isyak sahaja. Itu pun perlu berbasikal hampir 15 hingga 20 minit. Berbasikal waktu malam di musim sejuk lebih mencabar. Tetapi kerana kesukaran itulah menjadikan kita lebih menghargai ibadah solat Isyak berjamaah yang dikerjakan.

Mudahnya menghargai majlis ilmu di Jepun
Disebabkan oleh kuliah ilmu yang tidak banyak, apatah lagi jika ilmu itu disampaikan oleh golongan alim ulama, maka setiap peluang majlis ilmu yang ada secara semula jadi kami mudah manfaatkan. Duduk dalam majlis ilmu itu sendiri sudah terasa nikmatnya. Nikmat menghadiri majlis ilmu di Jepun ibarat orang dahaga yang diberi air kosong. Walaupun sekadar air kosong, tetapi kerana dahaga, tetap terasa nikmatnya.

Seronoknya bersama gerakan dakwah di Jepun


(ICJ saya ibaratkan sebagai 'ibu' kepada segala gerakan dakwah yang ada di Jepun. Merekalah yang menentukan tarikh hari raya di Jepun. Kaedah yang mereka gunakan sangat mudah, iaitu ikut Malaysia)



Mungkin kerana berada jauh dalam suasana Islam, saya dan rakan-rakan mudah ‘terasa’ dengan peringatan Nabi Muhammad SAW melalui hadith yang bermaksud;

"Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai".(Hadis riwayat Ahmad) 

Sepanjang berada di Jepun, selain sentiasa bersama dengan jamaah Islam di Tsukuba, saya juga telah pernah bersama jamaah tabligh dan IPIJ (Ikatan Persaudaraan Islam Jepun) iaitu sebuah persatuan Islam untuk pelajar Malaysia di Jepun. Dari kumpulan ini, kami berkongsi ilmu, berkongsi pengalaman dan mengenali apa erti keindahan ukhwah. Memandangkan dahaganya kami untuk mendengar dan berada dalam majlis ilmu, kami sering menjemput penceramah atau ustaz dari Malaysia. Tambang penceramah kami tampung dengan kutipan derma. Masih terasa indahnya kami berkumpul, berukhuwah, duduk dalam majlis ilmu di sebuah tempat yang tandus dari cahaya Islam.

Apabila pulang ke Malaysia sebagai graduan, cabarannya berbeza.  Mungkin saya perlu tulis artikel siri lain pula untuk ‘berceloteh’ mengenai cabaran hidup sebagai graduan Jepun di Malaysia.


Wallahualam.

4 comments:

  1. Asssalamualaikum, syabas kerana rajin bercerita tentang kehidupan di Jepang. Teruskan usaha.

    ReplyDelete
  2. Very Good n informative article. bebar.rakyat jepun perlu didikan agama. ada juga umat Islam di Jepun sendiri yg mbuka restoran Halal ttpi masih mjual arak. bgaimana nk mengatasinya. n sya ragu2 utk mkn d restoran muslim itu.

    ReplyDelete
  3. Salam, kami adalah pelajar Malaysia yang menetap di Jepun. Kami menawarkan perkhidmatan Tour Guide, Penginapan Guest House dan juga Pakej Budget dengan harga yg murah. Misi kami adalah untuk membantu rakyat Malaysia melancong ke Jepun sambil dapat mempelajari budaya masyarakat Jepun.

    Sila hubungi melalui :
    Website : http://www.melancongkejepun.com/
    Facebook : Melancong Ke Jepun
    Phone : +818088695448 (Adib, Tokyo)
    Email : melancongkejepun@gmail.com

    ReplyDelete