Pages

Tuesday, 8 October 2013

Dari Senpai untuk Kohai (siri 6) – TUJUAN KE JEPUN VS TUJUAN KE DUNIA


Dalam SIRI 1, saya telah jelaskan tentang tujuan ke Jepun iaitu untuk dapatkan ijazah dalam masa yang ditetapkan.

 Persoalan seterusnya timbul, “ Apa tujuan dapatkan ijazah?”.

Mungkin kita akan menjawab, “Untuk dapat kerja”.

Jawapan itu juga masih tergantung. Kerana kita masih boleh bertanya, “ Apa tujuan dapat kerja?”

Mungkin kita akan jawab, “Untuk dapat gaji bagus. Untuk sara keluarga. Untuk tingkatkan ekonomi negara.. “
Jawapan itu juga masih tergantung, “Apa tujuan kita dapatkan semua itu?”

Dan begitulah seterusnya.... kita masih boleh bertanya apa tujuan kita dapatkan itu dan ini...

Sehinggalah akhirnya kita akan bertemu kepada soalan yang paling asas iaitu “Apa tujuan kita hidup di dunia ?”

Itulah tujuan  yang lebih asas lagi daripada “tujuan ke Jepun”.  Iaitulah “tujuan ke dunia”. Atau apa yang sering disebut sebagai “tujuan hidup”

Bagi saya, persoalan tujuan hidup perlu jelas. Jika tidak, persoalan “tujuan ke Jepun” juga akan jadi tergantung.

Apakah tujuan hidup kita?

( Gambar hiasan: Manusia sentiasa mencari tujuan hidup. Termasuk orang Jepun)


Persoalan ini sebenarnya terlalu luas untuk diulas, malah saya bukanlah orang yang berautoriti untuk mengulas secara panjang lebar.  Dalam artikel ini, cukuplah saya memetik firman Allah SWT di dalam Al-Quran;

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” [Adz-Dzaariat 51:56]


Dan juga firman Allah dalam surah al-fatihah yang kita baca berulang-kali;

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.” [Al-Fatihah 1:5]

Tugas kita adalah menyembah dan beribadat kepada Allah. Maka tujuan kita belajar ke Jepun juga haruslah dalam konteks mengabdikan diri kepada Allah. Dengan itu, belajar itu sendiri menjadi ibadah. Ilmu ‘keduniaan’ yang kebanyakan pelajar ke Jepun belajar seperti kejuruteraan, perubatan dan pelbagai bidangn ilmu yang lain adalah ilmu fardhu kifayah. Jika kita belajar kerana Allah, ilmu itu bermanfaat, dan tidak meninggalkan kewajipan yang lain ketika belajar di Jepun, maka kita akan dapat pahala.  Jangan sangka dengan solat, baca quran, bersedekah atau berpuasa sahaja boleh dapat pahala. Tetapi pergi ke kelas juga boleh dapat pahala asalkan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Adalah amat malang jika ketika belajar di Jepun, tiada setitik pun niat untuk beribadat kepada Allah atau mencari keredhaan Allah. Adalah amat malang kalau kita hanya memandang hadir ke kelas, ulangkaji pelajaran, menduduki peperiksaan, hanya untuk tujuan keduniaan semata-mata. Rugi dan sangat rugi.  Kebanyakan kita ini (terutamanya sayalah), solat tidak banyak, baca quran sedikit sahaja, bersedekah pun tidak seberapa, jadi amat dan teramat malang jika masa yang banyak yang kita gunakan untuk belajar ilmu ‘dunia’ itu tidak memberi apa-apa kepada kebaikan kepada kita di akhirat. Perkara ini mengingatkan saya kepada firman Allah SWT;

Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” [As-Syura 42:20]

Beruntunglah mereka yang benar-benar belajar kerena mencari keredhaan Allah. Setiap saat yang dihabiskan ke kelas, mereka dapat pahala. Setiap nota yang dicatat, mereka dapat pahala. Setiap kepenatan yang terpaksa diharungi, setiap kepayahan kerana terpaksa berjaga malam menyiapkan assignment dan mengulangkaij pelajaran, mereka ini akan mendapat kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat!


Ayuh perbetulkan niat!

No comments:

Post a Comment