Demi meraih segulung ijazah, tanpa disedari, ada kalangan graduan Jepun yang telah mengabaikan aspek lain dalam kehidupannya. Walaupun telah berjaya menamatkan pengajian, tapi ia ibarat ‘terkencing dalam seluar’.
(Gambar hiasan. Sumber: http://mimiyt.blog65.fc2.com/blog-entry-1472.html)
“Ayah, masa kat sekolah tadi, saya
terkencing dalam seluar”, kata Sofi Solehah. Walaupun baru berusia lima tahun, dia petah
bercakap.
Si ayah hanya tersenyum lalu bertanya, “ Kenapa nak kencing tak bagitau
cikgu?” Mujur si ayah seorang yang penyabar. Kalau tidak, tentu Sofi telah
ditengking.
Sofi menjawab, “ Sebab nak warna gambar ”. Ada tugasan yang cikgu beri di
kelas iaitu mewarna. Ketika mewarna itulah, dia rasa nak terkencing.
Si ayah berkata, “Lain kali, pergilah ke tandas dulu, baru siapkan
mewarna”.
Sofi berwajah masam, tanda tidak bersetuju. Dia berkata, “Tapi saya nak warna gambar dulu”
Begitulah komitednya Sofi mahu menyiapkan tugasan yang diberi, sehingga
mengabaikan salah satu keperluan biologinya iaitu kencing.
Demi meraih segulung ijazah, tanpa disedari, ada kalangan graduan Jepun
yang telah mengabaikan aspek lain dalam kehidupannya. Walaupun telah berjaya
menamatkan pengajian, tapi ia ibarat ‘terkencing dalam seluar’.
Kita ada keperluan yang perlu dipenuhi
(Modul S.P.I.E.S meletakkan aspek spiritual sebagai asas pembangunan diri)
Kita perlu berehat apabila
kepenatan, kita perlukan makanan dan minuman berkhasiat, kita perlukan kesihatan
yang baik. Kita mahu berkawan, kita mahu menghargai dan dihargai (atau mahu
bercinta dan dicintai).
Kita perlu ‘meraikan’ emosi. Ada masa kita malas, ada masa kita rajin. Ada
masa kita mahu bergaul, ada masa kita mahu menyendiri. Kita juga ada keperluan
spiritual. Kita perlukan Tuhan. Kita perlu dekat kepada Tuhan. Jika tidak,
spiritual kita akan ‘sakit’.
Semua perkara ini iaitu emosi, biologi dan fisiologi (makan, tidur, seks) adalah
berkait rapat antara satu sama lain. Ia boleh memberi kesan berantai yang boleh
sampai juga kepada pelajaran kita. Contoh mudah, jika anda rasa nak terkencing sangat (keperluan
biologi), bolehkah anda menumpukan perhatian kepada pelajaran?
Contoh lain, jika seseorang itu mengabaikan keperluan ‘spiritual’ dengan
melakukan maksiat, dia akan rasa bersalah. Hatinya tidak tenteram. Emosinya
akan terganggu. Ia akan mengurangkan keyakinan diri. Seterusnya ia boleh
mempengaruhi motivasinya dalam pelajaran.
Sebab itu, dalam Islam, kita disuruh BERSEGERA memohon keampunan Tuhan dan
kita diajar berdoa agar minta dijauhkan akibat buruk dari dosa maksiat yang
dilakukan.
Ya Allah, aku mengaku sekian banyak nikmatMu kepada aku dan aku mengakui juga akan sekian banyak dosaku, maka ampunkanlah dosaku. Tiada yang dapat mengampunkan dosa kecuali Engkau."
(Inilah antara harta berharga saya sepanjang enam tahun berada di Jepun. Al Mathurat mengandungi doa-doa yang insyaAllah mampu memberi kedamaian spiritual. )
Untuk mendapat pekerjaan, mudah-mudahan dengan segulung ijazah sudah
memadai. Namun, untuk BERJAYA dalam kerjaya, kita perlu lebih dari segulung
ijazah. Banyak skill yang diperlukan. Kita perlu skil bersosial, perlu pandaI
PR, perlu ada ‘leader-ship’, perlu pandai approach orang lain, (perlu pandai
bodek boss), perlu bijak memanfaatkan peluang, perlu tahu “how to climb career ladder”, perlu mahir dalam "teamwork". Kemahiran ini tidak diajar dalam kelas. Ia boleh dipupuk dalam berpesatuan dan pergaulan harian.
Untuk berjaya dalam kehidupan secara keseluruhan pula, kita perlu ada
pengetahuan dan kemampuan untuk mengurus kewangan, supaya gaji yang masuk
setiap bulan benar-benar dapat dimanfaatkan. Awas, statistik menunjukkan kadar
muflis di kalangan graduan muda makin meningkat. Ini kerena mereka tidak
belajar mengurus hutang termasuklah kad kredit. Harap tiada graduan Jepun yang termasuk dalam
statistik itu.
Kita juga bakal berkeluarga, mempunyai isteri dan anak-anak. Kita pasti
mahukan ahli keluarga kita menjadi manusia yang bejaya juga. Bayangkan jika
kita memiliki kerjaya hebat, harta yang banyak, rumah yang besar, gaji lebat,
tetapi anak-anak semua perangai buruk, ada penagih dadah, ada jadi pencuri, ada
perogol. Bahagiakah kita? Sedikit sebanyak ilmu kekeluargaan perlu dipelajari juga. Dan ia
perlu bermula dari sekarang.
Untuk berjaya di akhirat, kita perlu sentiasa upgrade ilmu kita tetang Islam dan kesyumulan Islam.
Kita perlu tingkatkan ilmu akidah, perlu tingkatkan kualiti solat, perlu
memahami tanggungjawab sebagai seorang muslim.
Memang betul tugas ASAS anda sebagai pelajar adalah untuk sotsugyo dalam masa yang ditetapkan.
Namun, selain pelajar, anda juga adalah seorang anak kepada kedua ibu bapa, anggota masyarakat, anda adalah sahabat kepada sahabat yang lain,
anda adalah rakyat Malaysia yang secara tidak langsung menjadi ‘duta kecil’ Malaysia, dan yang paling penting sekali ialah anda adalah duta
ISLAM di Jepun. Kalau kawan-kawan Jepun bertanya,
“Kenapa orang Islam tak boleh makan babi?”
“Kenapa awak pakai tudung? Sedangkan ada wanita Islam lain tak pakai
tudung?”
“Kenapa awak tak boleh minum arak, walaupun sedikit? Sedangkan arak kalau
diambil dalam kuantiti yang sedikit amat baik untuk kesihatan?”
Adakah anda sudah bersedia dengan jawapannya wahai duta-duta Islam
sekelian?
(Buku ini banyak menjawab secara logik akal beberapa persoalan yang sering ditanya oleh rakan-rakan bukan Islam)
Saya ada seorang kawan graduan RPKJ yang amat prihatin terhadap ibubapanya. Semasa masih belajar di Jepun, dia membelikan
ibubapanya kereta, dan membayar sendiri
ansuran bulanannya menggunakan sebahagian dari wang biasiswa dan baito. Itulah antara tanda kasihnya
seorang anak kepada ibubapa yang jauh di kampung halaman.
Saya juga ada mengenali seorang yang sentiasa menderma kepada tabung masjid
dan juga badan-badan kebajikan.
Barangkali, berkat pengorbanan dan keprihatinan mereka, hati mereka menjadi
tenang, mereka memenuhi keperluan diri untuk menghargai dan dihargai, dan Allah
mudahkan mereka untuk sotsugyo dengan
jayanya. Siapa tahu?
Mungkin ada yang berkata, “Aduh…. banyaknya tanggungjawab, banyaknya benda
nak dicapai, mana satu nak buat ni?”
Memang betul manusia ada banyak tanggungjawab. Sebab itu saya agak
‘menyampah’ bila ada orang berkata, “Bosan…. tak tahu nak buat apa”.
Walaupun banyak tanggungjawab, maka tiada jalan mudah melainkan USAHA,
USAHA, USAHA. Saya harap anda sudah faham di sini bahawa USAHA bukan bermakna
‘study’ semata-mata. Rehat dan tidur juga adalah satu USAHA untuk hilangkan
mengantuk, penat dan stress.
Setelah mengenali semua tanggungjawab, setelah mengenali tugas asas ialah
habis belajar pada masa yang ditetapkan, seletelah mengetahui tahun pertama
adalah tahun yang kritikal, maka mudahlah anda untuk menetapkan aktiviti harian
anda di Jepun.
Bila ada orang ajak main bola, ada masanya anda patut penuhi ajakan itu,
dan ada masa anda perlu menolak (dengan cara baik). Malah, ada masanya juga
anda sendiri yang perlu ajak orang lain main bola.
Bila ada program-program dakwah dan keagamaan, sedangkan waktu itu iman dan spiritual anda
sangat ‘kelaparan’, anda tahu menetapkan
samada perlu hadir atau tidak.
Anda ditaja di bawah dasar “Pandang ke Timur”. Tapi ada satu sikap
rakan-rakan Jepun yang saya nasihatkan anda supaya tidak ‘pandang’ iaitu suka
meniru dalam peperiksaan. Dengan meniru, anda mungkin boleh lulus peperiksaan
dengan baik. Dalam transkrip ijazah anda nanti, mungkin akan tertera banyak
huruf ‘A’, kesan dari kebijaksanaan anda meniru. Dengan transkrip ‘tipu’ itulah
anda memohon pekerjaan.
Dari sudut saikologi, minda sedar anda mungkin tidak rasa apa-apa, tetapi
minda separa sedar (subconcious mind) dan minda tidak sedar (unconcious mind) sebenarnya
sedang memberontak dan menderita. Derita kerana jauh di sudut hati anda
meyakini bahawa ijazah itu adalah ijazah tipu, dan pekerjaan yang anda dapat,
serta gaji yang masuk setiap bulan adalah hasil dari menipu.
Dari sudut agama pula, adanya konsep ‘berkat’. Harta yang diperoleh MUNGKIN
halal, tetapi dibimbangi tidak berkat. Harta itulah juga yang bakal digunakan untuk
membesarkan isteri dan anak-anak tercinta.
Oleh itu, apabila suatu hari nanti, jika merasakan rumah tangga tidak
bahagia, dapat isteri curang, anak-anak jadi derhaka, janganlah pula buat-buat
tanya;
“Kenapa jadi begini?”
Naudzubillah!
Demi mengejar segulung ijazah, keperluan kedamaian hati dan agama diabaikan. Inilah
yang saya ibaratkan seperti kanak-kanak ‘terkencing dalam seluar’ kerana mengabaikan keperluan biologi. Kalau setakat terkena
kotoran kencing, kesannya hanya bau busuk dan boleh dibasuh guna sabun. Tapi
kalau sudah terkena kotoran dosa dan kegelapan hati…. bukan mudah untuk dicuci.
No comments:
Post a Comment