Pages

Saturday, 5 November 2016

KOLEKSI CATATAN (12) - BASUH HATI (bhgn. 4)

HARD DISK


Jika kita buat salah pada orang, mohonlah kepada Allah agar diberi kekuatan untuk meminta maaf kepadanya.

Mungkin kita rasa ego tercalar, tetapi kita tidak akan rugi atau jadi hina sedikit pun dengan meminta maaf.

Jika orang buat salah pada kita, mohonlah kepada Allah agar diberi kekuatan untuk memaafkannya.

Mungkin sikap ego kita akan menghalang untuk memberi maaf, tapi kita tidak akan bertambah mulia sedikit pun jika enggan memberi maaf. Jangan sekali-kali  dibazirkan "hard disk" dalam diri kita untuk menyimpan perasan marah dan dendam.

Meminta maaf dan memberi maaf adalah akhlak orang beriman. Ia melapangkan dada dan mententeramkan fikiran.  Kalau bukan orang beriman, akhlak siapa lagi yang kita mahu contohi?

..................................

TIPU-DAYA

Samada perasan atau tidak, kita manusia sentiasa menerima bisikan atau cetusan hati. Dalam ilmu tasawuf, kita belajar bahawa bisikan hati ini boleh jadi datang secara langsung dari Allah, atau dari malaikat, atau syaitan, atau nafsu.

Syaitan sentiasa membisikkan ke hati kita untuk melakukan kejahatan. Tetapi, adakalanya ia juga mengajak melakukan kebaikan dengan tujuan;

1. Supaya kita meninggalkan kewajipan yang lebih utama, atau;

2. Supaya syaitan dapat 'selewengkan' kebaikan yang kita buat itu hingga menjadi ujub, riak atau takbur. Akhirnya segala kebaikan itu rosak binasa dan menambah dosa pula.

Begitulah liciknya syaitan memperdaya manusia. Kalau kita tidak memperhalusi persoalan hati, ditakuti kita akan mudah diperdaya.

Semoga Allah selamatkan kita dari tipudaya syaitan.

……………………………

7 CARA

Syaitan memperdaya manusia untuk mengingkari Allah melalui 7 cara;

1. Melarang manusia dari  taat kepada Allah. Jika pujukan syaitan ini  tidak berjaya;

2. Pujuk manusia agar melengahkan taat dengan bisikan seperti nanti dulu, tunggu sudah tua, tunggu masa yang sesuai, dan lain-lain. Jika tidak berjaya;

3. Dorong manusia agar tergesa-gesa beramal dan buat baik. Kononnya supaya dapat kerjakan amalan lain yang banyak. Sebenarnya syaitan mahu manusia beramal secara tidak sempurna dan cepat letih. Jika teknik ini tidak berjaya;

4. Syaitan akan suruh manusia agar beramal secara sempurna agar tidak dikritik atau dicemuh orang lain.

Orang yang tidak termakan dengan hasutan ini akan berkata, " cukuplah bagiku penilaian dari Allah. Tidak ada manfaatnya beramal kerana takut dicemuh orang lain".

5. Kemudian, syaitan akan membisikkan pujian kepada orang yang beramal, "betapa tinggi darjatmu dapat beramal soleh dan betapa bijak dan sempurna dirimu".

Orang yang baik akan mengatakan, "semua kebaikanku adalah dari Allah. Bukan dari kekuatanku. Itu semua kurnia Allah. Apalah sangat amalanku jika dibandingkan dengan nikmatNya, disamping dosaku yang banyak".

Bila syaitan gagal menghasut melalui teknik ini, syaitan akan gunakan teknik seterusnya yang lebih halus dan licik...

6. Syaitan akan berbisik, "bersungguhlah engkau beramal. Jangan sampai diketahui orang lain. Hanya Allah yang akan memberitahu orang lain yang engkau ikhlas."

Sekali imbas, kata syaitan ni seperti benar! Tetapi tujuannya adalah untuk memasukkan unsur riya'!

Orang yang dipelihara Allah akan berkata, "Jika Allah mahu, Allah akan menzahirkan atau menyembunyikan amalanku. Allah juga berkuasa menjadikanku mulia atau hina. Aku tidak bimbang amalanku diperlihatkan pada orang atau tidak, sebab itu bukan urusanku".

7. Syaitan akan menggoda manusia dengan cara lain. Dia akan berhujah dengan takdir. Ia berkata, "Jika Allah sudah menetapkan dirimu bakal ahli syurga, meninggalkan ketaatan tidak akan memudaratkanmu. Jika Allah sudah menetapkanmu sebagai ahli neraka, tidak ada guna lagi engkau beribadah".

Orang yang dipelihara Allah sudah pasti menolak dengan berkata, "aku hanya hamba Allah. Wajib bagiku mengikut perintahNya. Allah berkuasa menetapkan apa sahaja atas diriku. Jika aku ditetapkan Allah sebagai ahli syurga , aku tetap beribadah kerana itulah kewajipanku. Dan jika aku ditetapkan sebagai ahli neraka, aku tetap beribadah supaya aku tidak menyesal. Apapun, Allah telah berjanji, orang beriman dan beramal soleh akan ditempatkan di syurga. Janji Allah pastinya benar!

Mampukah kita selamat dari tipudaya yang halus ini? Sedangkan teknik 1 itu pun sering kantoi?

Semoga Allah selamatkan kita!

(* disusun dari buku minhajul abidin)

…………………………………….

SELAMAT HARI JADI

Semakin banyak hari yang kita lalui bererti semakin pendek umur kita.

Semakin meningkat usia kita bererti semakin sedikit usia yang berbaki.

Jadikan ulang tahun kelahiran kita untuk bermuhasabah diri.

Pastikan usia yang berbaki dimanfaatkan sepenuhnya untuk menambah bekal untuk akhirat kelak.

…………………

KUMAN DAN GAJAH

Semakin kerap seseorang itu bermain alat muzik atau mendengar muzik, biasanya lebih peka dan halus pemerhatian mereka terhadap 'kesedapan' muzik. Kalau alat muzik 'tuning lari' sedikit pun mereka sudah boleh perasan.

Hal-hal lain juga begitu. Semakin kita mendalami sesuatu perkara, semakin peka dan halus perasaan kita dalam perkara itu.

Orang yang sibuk bermuhasabah dan membaiki diri sendiri, ia akan peka terhadap perubahan diri. Ia akan segera sedar terhadap bisikan-bisikan hatinya. Lebih halus lagi, ia dapat kenalpasti samada bisikan itu dari nafsu, syaitan, malaikat atau ilham langsung dari Allah. Ia akan sibuk memerhati dan mencari kesalahan diri sendiri hingga tidak sempat mencari kesalahan orang lain.

Sebaliknya, orang yang sibuk mencari kesalahan orang lain akan semakin peka dengan kesalahan orang lain. Lebih halus lagi, kesilapan orang lain yang sebesar kuman pun dia segera nampak. Paling membimbangkan, jika dia semakin sibuk dengan urusan orang lain hingga kesalahan diri sebesar gajah pun dia tidak nampak.

…………………………….

BAIKI DIRI SENDIRI

Orang yang sibuk meng-islah (membaiki) diri tidak sempat mencari kesalahan orang lain.

Sampai satu peringkat, dia akan sedar bahawa dia tidak boleh beramal kebaikan secara sendirian. Dia perlu mengajak orang lain. Itulah dakwah. Membiarkan masyarakat dalam kegelapan adalah tanda kelemahan diri.

Waktu itulah ia akan terjun ke medan dakwah. Fokus utamanya bukan semata-mata membetulkan kesalahan manusia sekelilingnya, tetapi atas tujuan untuk membaiki diri sendiri.

Walaupun orang lain melihat dia sedang sibuk meng-islah masyarakat dan bercakap tentang isu masyarakat, tetapi bagi dirinya, dia sedang meng-islah diri.


Wallahualam

Basri DK
basridk.blogspot.my
5 November 2016/ 5 Safar 1438H

No comments:

Post a Comment