------------------------
Susahnya hidup sebagai orang Islam
(Menziarahi masjid Kobe pada tahun 2001. Masjid ini dikatakan masjid yang pertama dibina di Jepun. Ketika gempa bumi dahsyat melanda Kobe pada tahun 1995, masjid ini tetap berdiri teguh sedangkan banyak bangunan-bangunan disekelilingnya runtuh dan menelan nyawa lebih 6,000 orang)
“Orang Islam kena solat 5 kali
sehari, kena berpuasa selama sebulan, tidak boleh makan babi, tidak boleh minum arak, orang perempuan perlu menutup rambut, tidak boleh bergaul bebas lelaki dan perempuan. Banyak
sangat perintah dan larangan. Agama yang menyusahkan. Tiada kebebasan.”
Setelah tinggal di Jepun selama 6 tahun (1999-2005), saya membuat kesimpulan bahawa inilah tanggapan sebahagian masyarakat Jepun (sekurang-kurangnya dikalangan kawan-kawan Jepun saya) terhadap Islam. Secara umumnya, mereka yang mempunyai tanggapan sebegini tidaklah mengungkapkannya secara berterus terang
seperti ungkapan di atas. Orang Jepun ini sangat teliti dalam menjaga perasaan
orang lain. Hanya beberapa orang yang betul-betul rapat sahaja yang berani
‘mengutuk’ agama yang saya anuti ini secara berdepan. Itu pun dalam suasana 'bergurau'.
Bagi kebanyakan rakan-rakan Jepun, setiap
kali mereka diberitahu tentang tanggungjawab saya sebagai orang Islam, misalnya
mengerjakan solat, biasanya mereka akan mengungkapkan kata-kata simpati seperti;
“Kesiannya awak. Terpaksa buat semua benda ni.”
Saya pula secara spontan biasanya menjawab,
“Tak susahlah. Dah biasa dengan semua ni.”
Ini hanya jawapan untuk menyedapkan hati kawan-kawan Jepun yang bertanya. Saya tetap percaya bahawa semua perintah dan larangan itu adalah satu ‘nikmat’
Allah kepada saya. Dalam masa yang sama, saya pula yang terasa kasihan kepada
mereka kerana tidak dapat ‘berkongsi’ nikmat ini dengan mereka. Namun, saya
sering tidak mampu menjawab dengan jujur kerana bimbang mengguriskan perasaan
kawan-kawan saya yang bukan Islam. Bimbang yang bukan-bukan. Hingga sekarang, setiap kali teringatkan
kawan-kawan di Jepun, timbul rasa terkilan dan berdosa kerana gagal
menyampaikan Islam dengan cara yang boleh diterima oleh mereka. Sedangkan mereka adalah kawan-kawan rapat yang
telah banyak menolong saya mengharungi kehidupan di negara asing.
(Kenangan bersama Professor Dr. Shin-ichi Yuta, rakan-rakan pelajar asing dan mentor. Di bawah sistem mentor yang dikendalikan oleh pihak universiti, saya dan setiap pelajar asing yang berada di tahun pertama pengajian diberi mentor yang terdiri daripada senior pelajar Jepun dari fakulti pengajian yang sama. Tujuannya adalah untuk membantu kami agar cepat menyesuaikan diri dengan kehidupan dan pelajaran.)
Islam adalah nikmat terbesar
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud;
“… Pada hari ini, Aku telah sempurnakan
bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah
redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…. “ (Al-Maidah:3)
Para ulama menyatakan Islam adalah nikmat Allah yang terbesar yang
diberikan kepada umat ini. Persoalannya,
secara praktikalnya, adakah saya benar-benar merasakan Islam adalah
sebesar-sebesar nikmat?
Tidak dinafikan, kadang-kadang datang pemikiran ‘nakal’ yang mengganggap
segala perintah Tuhan itu suatu beban, lalu
terdetik rasa cemburu kepada orang bukan Islam yang bagi mereka ‘semuanya halal’.
Saya rasa, pemikiran sebegini timbul disebabkan oleh beberapa kemungkinan.
Antaranya;
1. Mungkin saya sudah melupakan nikmat Islam itu sendiri kerana sudah terbiasa
dengannya. Sudah menjadi lumrah manusia biasa,
sering melupakan nikmat yang sudah biasa diperolehi. Sebab itu, jika kita mahu
mengetahui nikmatnya memiliki sepasang mata, bertanyalah pada si buta!
2. Mungkin saya sendiri semakin menjauhi ajaran Islam sehingga semakin
hilanglah juga nikmat Islam yang dimiliki itu. Nau’dzubillah!
Hakikatnya nikmat yang Allah kurniakan ini tidak terhitung. Firman Allah
S.W.T yang bermaksud,
“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat
Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah
benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” ( An Nahl: 18).
InsyaAllah dalam entri akan datang saya akan sentuh sedikit sebanyak persoalan “Apa
yang syoknya jadi orang Islam” setakat yang termampu difikir oleh akal, dirasai
oleh perasaan, dan yang termampu oleh jari yang menulis dalam batas kuderat dan
kesempatan masa yang ada. Mudah-mudahan, dengan merenungkan kembali
nikmat-nikmat Allah ini, akan timbul rasa kasih dan sayang pada agama suci ini,
lalu segarlah kembali hati yang sering lalai dan lupa.
No comments:
Post a Comment