Suatu pagi, Sofi, anak perempuan kesayangan saya yang berumur tujuh tahun
berkata,
“Ayah, hari ni Sofi tak nak pakai tudung ke sekolah.”
Saya bertanya, “Eh, kenapa pula? Kan dah elok pakai tudung?”
Sofi menjawab, “Hari ini tiada subjek Agama Islam. Tak pakai tudung pun
takpe.”
Saya tersentak seketika. Disamping akal ligat memikirkan apakah approach
terbaik untuk memujuk Sofi supaya bertudung,
saya berkata kepada diri sendiri,
( Serangan pemikiran berlaku di mana-mana dan bila-bila sahaja tanpa kita sedari. Sumber gambar)
Sejak saya mengambil ketetapan untuk lebih berusaha mendalami Islam ketika berusia 18 tahun, saya
dapati pemikiran atau perspektif saya tentang Islam mengalami perubahan yang
sangat ketara. Ada aspek yang bercanggah antara satu sama lain. Sebagai
muhasabah diri, saya gariskan sebahagian ciri-ciri Islam yang saya fahami
antara dua ‘zaman’ berikut;
1. Pemikiran zaman SPM: iaitu
ketika saya berumur 17 tahun yang berdepan dengan peperiksaan SPM. Waktu ini
saya banyak mempelajari Islam secara formal di kelas dan melalui pemerhati an
dalam masyarakat melayu muslim di sekitar saya.
2. Pemikiran sekarang: iaitu
sejak saya berumur 18 tahun hingga sekarang. Waktu itu saya berada di universiti dan banyak
menerima pendedahan tentang Islam melalui saluran tidak formal. Waktu itulah
saya mula membaca terjemahan Quran, membeli banyak buku-buku Islam, membaca
artikel di internet dan mendengar kuliah-kuliah agama.
Pemikiran saya terhadap Islam semasa zaman SPM ini mempunyai ciri-ciri
tertentu. Sebahagian ciri-ciri ini bukanlah ditulis dalam mana-mana buku atau
diungkap oleh mana-mana ustaz, tetapi saya fahami ciri ini melalui pergaulan
dan pemerhatian dalam masyarakat.
Antara ciri-ciri tersebut;
1. Islam yang hanya sebagai salah satu matapelajaran yang sama levelnya
dengan matapelajaran Sejarah, Fizik, Biologi, Matematik dan sebagainya. Di dalam kelas, ada diajar definisi Islam sebagai cara hidup, diajar tentang sejarah Islam. Tetapi semua itu saya faham ia bersifat akademik semata-mata. Saya belajar itu semua semata-mata untuk dapatkan markah yang baik dalam SPM. Itu sahaja.
2. Amalan solat, berdoa, tahlil dan sebagainya adalah sebahagian dari adat
masyarakat. Masyarakat pula mengamalkannya sekadar untuk mengikuti apa yang
diamalkan oleh nenek moyang mereka terdahulu.
Ucapan salam dengan lafaz “Assalamulaikum” sama levelnya dengan ucapan good morning, good afternoon dan sebagainya. Tidak lebih dari itu.
3. Ia bersifat beku dan lesu. Ia
tiada kehendak, tiada kemahuan, tiada dorongan. Ia jauh dari sifat maju dan dinamik. Ucapan syahadah hanya sekadar ucapan.
4. Ajaran yang terkandung di dalamnya bukanlah untuk diikuti sepenuhnya. Ia
hanya menjadi tempat bual bicara dan diskusi.
5. Ia tidak ada tempat langsung dalam aspek mendidik cara berfikir, cara
mengurus masyarakat dan dalam politik negara mahupun dunia. Dalam pemahaman Islam sebegini, apabila
dikatakan,
“Politik lain agama lain”
atau
“Jangan campur adukkan antara agama dengan politik. Nanti rosak politik,
rosak agama”
Saya tidak ada masalah langsung untuk bersetuju dengan perkataan sebegini. Pemikiran sebegini sering dikaitkan dengan pemikiran sekular, iaitu mengasingkan urusan agama dengan urusan kehidupan. Urusan agama disempitkan kepada upacara ritual semata-mata.
Apakah Islam yang saya fahami sekarang? Untuk menjawab kepada soalan itu,
saya boleh sahaja beretorik dengan berkata “Islam yang saya fahami adalah
sebagaimana yang diajar oleh Al-Quran, hadith dan ijmak ulamak” atau kalau
hendak menjawab dengan lebih ringkas lagi, saya boleh berkata
“Ahli Sunnah wal
jamaah”.
Namun, adakah saya benar-benar memahami apa yang saya ungkapkan? Untuk jawapan
yang lebih jujur, maka saya gariskan beberapa ciri-ciri Islam yang saya fahami.
Ciri-cirinya terlalu banyak. Para alim ulamak telah menggariskannya secara
panjang lebar. Tapi saya catatkan setakat yang terlintas di hati dan akal
fikiran dan berdasarkan kemampuan jari yang menulis agar ia cukup menjadi ruang
muhasabah dan perbandingan.
1. Islam itu bersifat memberi petunjuk secara syumul iaitu menyeluruh. Ia
merangkumi segala aspek kehidupan dari cara berfikir, dari segala perbuatan,
dari aspek rohani, fizikal dan mental. Ia juga merangkumi aspek individu,
kehidupan berkeluarga, bermasyarakat, bernegara dan mentadbir dunia
keseluruhannya.
2. Islam itu perlu diambil secara sepenuhnya atau diistilahkan sebagai
‘kaffah’. Islam tidak mahu dirinya dipisahkan kepada juzuk-juzuk. Ia tidak mahu
kita ambil dari aspek nikah kahwin, aspek urus jenazah, tapi ditinggalkan dari
aspek politik dan pemerintahan. Sesuai dengan sifatnya yang syumul, maka ia
perlu diambil secara syumul juga.
3. Islam ada misi. Misinya meliputi aspek kehidupan
secara individu, keluarga, masyarakat hinggalah dalam hal dunia keseluruhan. Ia
mahu manusia dari seluruh alam ini tunduk kepada hukum Allah yang telah
ditetapkan. Sebagaimana alam ini sendiri tunduk kepada hukum-hukum alam,
begitulah manusia perlu tunduk kepada hukum Tuhan.
4. Ia bersifat teguh dari sudut prinsip/ideologi/tauhid, tetapi dalam masa
yang sama bersifat dinamik/anjal dari sudut perlaksanaan. Ajarannya terus
relevan merentasi seluruh zaman dan seluruh pelusuk dunia. Tiada satu saat pun
sejak Islam ini hingga akhir zaman,
ajarannya menjadi tidak relevan. Jika ada yang beranggapan demikian, itu tanda
besar yang orang itu sendiri jahil tentang Islam. Ia juga merentas sempadan
bangsa dan negara. Sebagai contoh, ajaran Islam dalam berpakaian. Yang diwajibkan hanyalah menutup aurat. Ajaran ini sesuai dalam semua zaman di semua tempat. Bayangkan jika Islam mewajibkan penganutnya berpakain seperti pakaian ihram di semua tempat, tentulah penganut Islam di negara-negara sejuk akan bermasalah!
5. Ajarannya memberi rahmat seluruh alam. Ajarannya bukan untuk
menyusahkan, tapi untuk memudahkan. Ajarannya atas dasar kasih sayang Allah,
bukan atas dasar benci atau untuk menghukum. Mana-mana individu yang mengikuti
ajarannya akan mendapat bahagia. Bukan sahaja di akhirat, malah di dunia. Bukankah ‘kebahagiaan’ itu kemuncak idaman
setiap manusia? Masyarakat yang mengikuti ajarannya, akan menjadi masyarakat
bahagia. Negara yang mengikuti ajarannya, akan jadi negara yang bahagia.
6. Islam itu datang dari Allah pencipta alam. Ia bukan rekaan mana-mana
makhluk. Ini ciri yang membezakan dengan mana-mana falsfah atau pemikiran lain
yang dicipta manusia. Sosialisma, Komunisme, kapitalisme, adalah isme yang
dicipta manusia.
7. Islam itu tinggi. Tiada yang lebih tinggi darinya. Semua bentuk
pemikiran, tindakan, ajaran, atau apa sistem sekali pun mestilah tunduk di
bawah ‘permission’ Islam. Jika ada
yang bertentangan dengan ajaran Islam, maka ia wajib ditolak.
8. Kehidupan ini diibaratkan sebagai ladang menuju akhirat. Segala
kesempatan masa, tenaga, harta dan kemewahan boleh dinikmati untuk disyukuri.
Tetapi dalam masa yang sama, Islam memberi amaran agar ianya tidak sampai
melalaikan urusan akhirat. Apa yang lebih utama, memanfaatkan semua kekayaan
dunia ini untuk manfaat di akhirat yang kekal abadi.
Itulah antara ciri Islam yang terlintas di fikiran saya. Seperti dinyatakan
tadi, banyak lagi ciri-ciri Islam yang kalau saya rujuk mana-mana bacaan atau
kitab, akan jadi panjang lebar. Tapi, point-point di atas saya kira sudah cukup
untuk saya melihat perbezaan yang jelas antara Islam yang saya faham ‘masa
zaman SPM’ dengan Islam yang saya fahami sekarang.
Persoalannya sekarang, adakah Islam yang saya fahami sekarang ini sama seperti Islam yang difahami ketika ia diturunkan? Adakah sama seperti apa yang difahami oleh Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat?
No comments:
Post a Comment