Pages

Tuesday, 18 August 2015

Apa yang saya mahu dalam hidup ini (7) – Seronoknya memiliki pandangan hidup yang jelas

“Kepada sesiapa yang sudi dan free, aku nak tanya ni. Soalan simple je.  Apa bestnya jadi orang Islam?”

Ini soalan yang saya ajukan kepada satu kumpulan whatsapp. Ahli-ahlinya terdiri dari rakan-rakan sama batch semasa sekolah asrama dulu .Tujuannya sekadar mahu berborak santai tetapi berfaedah. 

Antara jawapan awal yang muncul;

“Tiada kulup. ”

“Boleh poligami.”

Saya ketawa sendirian membaca jawapan diluar kotak sebegini.  Saya tahu mereka sebenarnya ada jawapan yang lebih baik. Namun beginilah kami. Apabila berkumpul walaupun dalam alam maya, akan terbawa-bawa perangai semasa zaman ‘nakal’ kami.

Di sebalik jawapan nakal itu, muncul banyak jawapan-jawapan yang lebih matang. Saya tidak mampu catatkan semuanya.  Saya pilih sebahagian jawapan yang saya rasa selesa untuk huraikan. Mudah-mudahan, dengan merenung kembali nikmat-nikmat Allah ini, akan timbul rasa kasih dan sayang pada agama suci ini, lalu segarlah kembali hati yang sering lalai dan lupa.

(Gambar hiasan: Sumber)

Seronoknya memiliki pandangan hidup yang jelas

 Dalam mengharungi hidup ini, saya perlu kenali siapa saya. Siapa Tuhan saya. Saya perlu jelas dari segi matlamat hidup. Bukan itu sahaja, saya perlu tahu bagaimana untuk mencapainya. Saya juga perlukan tetapkan ‘benchmark’. Ini semua adalah perkara asas yang saya perlu tahu. Dan, kesemua ini telah dijelaskan  dalam Quran dalam satu surah pendek iaitu Al-Fatihah. Dengan menghayati surah Al-Fatihah sahaja, saya dapat mengetahui semua persoalan asas kehidupan seperti berikut;
  • Tuhan saya ada Rab, iaitu Tuhan kepada seluruh alam.Bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tuhan saya menguasai hari Pembalasan, iaitu hari akhirat.
  • Saya adalah hamba Allah. Tugas saya adalah menyembah semata-mata HANYA kepada Allah.
  • Yang dapat membantu saya dalam mengharungi hidup ini HANYA Allah. Maka, kepadaNya saya memohon pertolongan.
  • Kepada Allah saya harapkan jalan yang lurus, jalan yang membawa kepada tujuan saya diciptakan.
  • ‘Benchmark’ atau contoh ikutan saya adalah orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah. (melalui tafsiran ayat Quran, orang yang diberi nikmat itu merujuk kepada para rasul, nabi, orang-orang soleh)
  • Saya perlu pastikan diri saya tidak mengikut jalan orang-orang yang sesat dan dimurkai. 

Perhatikan, melalui surah Al-fatihah sahaja, seluruh persoalan asas kehidupan saya telah terjawab. Huraian dan perinciannya pula saya  boleh terokai dalam seluruh Al-Quran.

Betapa jelas dan lengkapnya pandangan hidup sebegini! Maka, memang sangat wajar surah Al-fatihah yang pendek dan ringkas ini dibaca berulang-ulang sehingga 17 kali sehari semalam supaya saya tidak lalai dan lupa.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud,

Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayat petunjuk) dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi, dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya?……” (Al-An’am:122)



No comments:

Post a Comment