Pages

Tuesday, 21 June 2016

KOLEKSI CATATAN (7) - POLITIK, PEMERINTAHAN DAN PAS (bhgn. 2/3)

Kebatilan tersusun vs kebenaran berterabur


Sebenarnya sang penguasa zalim tidak ramai dan tidaklah sekuat mana. Tetapi mereka buat kerja secara tersusun dan 'berjemaah'.

Mereka menguasai posisi-posisi penting dalam pemerintahan, sistem pendidikan, badan kehakiman, pembuat undang-undang,  polis dan media massa.

Mereka menggunakan segala instrumen ini untuk melindungi kebobrokan mereka.

Mereka begitu bersatu padu merentas sempadan kaum dan agama atas 'aqidah' 'pembolotan kekayaan maksima'.

Manusia baik pula sebenarnya ramai...

Tetapi yang ramai ini tidak berbuat apa-apa. Mereka hidup berpecah belah dan pengecut.
Kata Saidina Ali, “ Kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun”.

Nak tegur kesilapan bini pun takut malam nanti tak 'dapat'... Nak tegur kesilapan rakan pun takut kononnya akan disisihkan... Apalagi nak diharapkan pada jiwa begini untuk tegur kesilapan pemerintah zalim?!

Akhirnya mereka hidup dalam keadaan diperalatkan oleh sang penguasa zalim sehingga tidak mampu lagi berfikir lurus. Ketika itulah penguasa zalim bertambah kuat dan ramai pengikut!

Untuk tutup sifat pengecut itu, mereka berselindung di sebalik ungkapan 'sabar', 'ada hikmah disebaliknya' dan 'takdir'... Betapa kalimah yang mulia ini telah disalahgunakan!

Benarlah maksud hadith yang menyatakan umat Islam akhir zaman ini ramai, tetapi mereka umpama buih di lautan. Mereka ditimpa penyakit wahn, iaitu cintakan dunia dan takutkan mati...

Tiada cara lain untuk elakkan penyakit wahn ini, selain kembali berpegang teguh dengan ajaran agama yang diajar di dalam Al-Quran dan Sunnah.

Peringatan untuk diriku juga...

(Semasa menulis catatan ini, saya terkenang kepada gambar lelaki yang berdiri tegak bersenjata itu. Gambar lelaki yang berdiri tegak itu lebih 'menggerunkan' saya berbanding gambar mayat yang digantung songsang disebelahnya. Pengajarannya; Bebaskan pemikiran dan jiwa dari belenggu pemikiran asing dengan kembali kepada ajaran Al-Quran seutuh-utuhnya.)

…………………..

1,000 tahun

 Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w,  tugas pemerintahan/ khilafah ini  disambung oleh para sahabat yang dikenali dengan zaman Khulafa Ar-Rasyidin.

Disambung lagi ke zaman Bani Umayyah dan lain-lain hinggalah kepada khilafah terakhir iaitu Turki Uthmaniah.

Setelah hampir 1,000 tahun sistem khilafah ini bertahan, berlakulah pergolakan demi pergolakan hingga mengakibatkan ia menjadi lemah dan akhirnya dibubarkan secara rasmi pada 3 Mac 1924.

Mustafa Kamal Atartuk antara manusia yang bertanggungjawab meruntuhkan sistem khilafah ini dan menjadikan Turki negara republik berideologi sekular.

Ini versi sejarah yang tidak diajar dalam buku teks kita masa SPM dulu.

Kita diajar bahawa Mustafa Kamal Atartuk adalah "bapa pemodenan Turki".

Sebab sejarah ditulis oleh pihak yang menang.

………………………….

Sekular vs kesyumulan Islam


Dalam doa iftitah yang kita baca dalam solat ada menyebut (dengan maksud):

"Sesungguhnya solatku,ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah iaitu Tuhan seluruh alam".

Ini adalah ayat yang menunjukkan penyerahan diri secara total kepada Allah. Ini bermakna segala gerak-geri, bual bicara, pergaulan,  akal fikiran, urusan peribadi, hal ehwal masyarakat dan pemerintahan   semuanya  dalam kerangka mengabdi diri kepada Allah.

Islam tidak dapat menerima pemikiran sekular yang memperuntukkan ibadah tertentu, atau ritual tertentu sahaja sebagai ibadah. Sedangkan urusan kehidupan yang lain terpulang kepada pertimbangan akal yang tiada hubungannya dengan bimbingan wahyu.

Islam adalah agama yang menyeluruh (syumul). Ajarannya bukan terbatas di masjid dan tikar sembahyang semata. Ajarannya meliputi seluruh aspek kehidupan secara lengkap.

Agama ini tidak akan dapat menjalankan fungsinya secara sempurna dalam diri dan kehidupan manusia andai ia diterima sebahagian dan dibuang sebahagian yang lain seperti yang diamalkan manusia sekular.

…………………

Job discription


Berdalihlah mcm mana pun, kita tidak dapat lari hakikat bahawa kerja-kerja menegakkan Islam adalah kerja-kerja asas sebagai seorang muslim.

‘Job discription’  kita telah dihuraikan dalam Quran dan sunnah.

Antaranya ibadat seperti solat dan zakat, dakwah, amar maaruf nahi mungkar, mengurus dan mentadbir bumi berdasarkan hukum/ketetapan Allah, dan menegakkan agama dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia keseluruhannya.

Semua ini adalah tugas sebenar kita.

………………………….

Tadbir dunia dengan agama


Nabi Musa dan Harun berdepan dengan pemerintah Firaun.

Nabi Ibrahim berdepan dengan pemerintah Raja Namrud.

Nabi Daud sendiri merupakan seorang pemerintah kepada kerajaannya. Kemudian pemerintahan itu di sambung oleh Nabi Sulaiman yang juga seorang raja/pemerintah.
Nabi Muhammad (mari berselawat) juga berdepan dengan Abu Jahal dan pembesar Quraish di Mekah. Baginda (mari berselawat) juga merupakan seorang pemerintah di Madinah.

Semua perihal nabi-nabi ini diceritakan dalam Al-Quran.

Apabila kita membaca Quran dan sirah rasulullah (mari berselawat), kita dapat perhatikan dengan jelas segala urusan dakwah baginda (mari berselawat) berkait rapat dengan urusan menegakkan agama Islam termasuk dalam urusan pemerintahan (politik).

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Dan ingatlah ketika Tuhan kamu berfirman kepada para malaikat, sesungguhnya aku ciptakan di atas bumi itu makhluk (manusia) bagi menjadi khalifah”.  (Al-Baqarah  2: 30)

Para ulamak menghuraikan khalifah itu dengan maksud:

"Iqamatud-din wa siasatut-dunyanibih". (Menegakkan agama, dan mentadbir dunia dengannya)

Begitulah eratnya hubungan Islam dengan urusan pemerintahan.

Kalaulah urusan Islam ini disempitkan dengan urusan spiritual semata-mata seperti yang dianjurkan oleh pemikiran sekular, tidak perlulah nabi Muhammad (mari berselawat) berhijrah ke Madinah sedangkan kaabah sudah di depan mata. Bukankah beribadah di hadapan kaabah lebih besar ganjarannya berbanding di tempat lain?

………………………………

Maalaa yatimmul waajib illa bihii fahuwa waajib.


Ada kaedah usul fiqh: Maalaa yatimmul waajib illa bihii fahuwa waajib.

Maksudnya: Perkara yang menjadi penyempurna dari perkara wajib, hukumnya juga wajib

Contoh mudah: Solat itu wajib. Wudhu itu asalnya tidak wajib. Tetapi solat jadi tak sah tanpa wudhu. Maka wudhu itu menjadi wajib.

Semua ulama sepakat bahawa menegakkan pemerintahan Islam (yang mana hudud  salah satu darinya) adalah wajib. Jika tidak dapat ditegakkan, maka segala usaha ke arah menegakkan pemerintahan Islam itu menjadi wajib.

(Rujukan: Buku Apa Erti saya menganut Islam tulisan Ustaz Fathi Yakan)
………………………..

Gerakan Islam


Menegakkan pemerintahan Islam seperti yang ditetapkan Quran (salah satunya hudud) adalah wajib.

Tugas ini tidak akan mampu dilaksanakan secara individu. Ia memerlukan organisasi/ jamaah yang tersusun.  Sedangkan nak buat kenduri pun manusia perlukan team...

Nabi Muhammad s.a.w yang maksum itu pun tidak bekerja bersendirian.  Dalam usaha menegakkan Islam di Madinah dan Mekah, baginda melakukannya secara berorganisasi/berjamaah.

Oleh kerana menegakkan agama itu wajib dan ia tidak akan mampu ditegakkan melainkan secara berorganisasi, maka menubuhkan dan bersma organisasi yang berjuangan menegakkan agama itu menjadi wajib. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang berbunyi;

Maalaa yatimmul waajib illa bihii fahuwa waajib.

Maksudnya: Perkara yang menjadi penyempurna dari perkara wajib, hukumnya juga wajib.

Dari kefahaman sebeginilah munculnya kumpulan manusia yang dinamakan 'gerakan Islam'.

Inilah antara perkara asas yang kita perlu faham jika mahu mengenali gerakan-gerakan Islam seperti PAS. Begitu juga gerakan-gerakan Islam di luar negara seperti HAMAS di Palestin, dan Ikhwan di Mesir.

……………………

Fiqh siasah dan fiqh daulah


Dalam solat, ada fiqh/fekahnya yang dipanggil fiqh solat yang membicarakan syarat wajib, rukun, perkara yang membatalkan, dan lain-lain.

Begitu juga hal zakat, puasa, haji. Masing-masing ada fiqhnya.

Dalam politik juga ada fiqhnya. Ia dipanggil fiqh siasah.

Dalam bernegara juga ada fiqhnya. Ia dipanggil fiqh daulah.

Semasa di sekolah, kita tidak didedahkan dengan topik penting seperti fiqh siasah dan fiqh daulah ini.

Kenapa?

Sebab silibus pendidikan di sekolah ditulis oleh pemerintah. Tiada pemerintah yang sanggup mendidik rakyat sesuatu yang akan memberi ancaman kepada kuasa pemerintah.


…………………………………..

No comments:

Post a Comment