Dalam siri 8, saya sarankan kepada
pelajar pusat persediaan ke Jepun 5 kriteria dalam memilih daigaku (universiti)
di Jepun iaitu;
1. Faktor ‘agama’.
2. Faktor bidang pengajian
3. Universiti dan bidang diiktiraf
kerajaan Malaysia
4. Ranking universiti
5. Bilangan pelajar Malaysia
Huraiannya boleh dibaca di sini:
Entri ini adalah kesinambungannya.
Prioritization Matrix
Setiap kriteria tidak sama ‘kadar’
kepentingannya. Sebagai contoh, bagi saya, kriteria 5 (faktor bilangan pelajar
Malaysia) adalah kurang penting berbanding faktor 1 ( agama). Selain itu,
sesetengah universiti paling baik dalam kriteria 1, tetapi tidak memenuhi 4
kriteria lain. Oleh itu saya ingin sarankan alat (tools) untuk anda boleh markahkan setiap universiti pilihan berdasarkan
kriteria yang anda sendiri tetapkan secara bersistematik. Alat itu ialah Prioritization Matrix.
Ada banyak website yang menerangkan
tentang Prioritization Matrix ini.
Jadi, saya tidak perlu terangkan lagi disini. Memadai untuk saya kongsikan
salah satu website yang saya kira penerangannya mudah difahami;
Inilah alat yang digunakan oleh para
profesional apabila berdepan dengan kepelbagaian kriteria dan pilihan.
Walaubagaimana pun, matrix ini agak ‘mendoukusai’ jika diaplikasikan
sepenuhnya. Apatah lagi jika ada terlalu banyak kriteria dan terlalu banyak
pilihan. Saya kongsikan CONTOH bagaimana
saya ringkaskan matrix ini dan gunakan untuk memarkahkan 2 universiti yang
pernah saya masuk.
(Simplified version
of prioritization matrix. Dari 5 kriteria, didapati kriteria agama paling
tinggi iaitu 50%. Tsukuba-dai memenuhi 76% dari keseluruhan kriteria yang saya
tetapkan.)
Mengetahui kriteria dan meletakkan nilai/markah
yang tepat.
Saya telah menggariskan 5 kriteria dalam
pemilihan daigaku. Kriteria ini terhad kepada perspektif saya sahaja. Saya
yakin setiap orang mempunyai perspektif tersendiri. Setiap orang juga mempunyai
pembawaan atau perwatakan yang berbeza. Maka, kriteria mereka juga akan
berbeza. Begitu juga nilai markah untuk kriteria itu juga akan berbeza.
Ada beberapa faktor yang menyebabkan kriteria dan markah
yang diletakkan oleh setiap individu itu berberbeza;
1.
Tujuan ke Jepun. Ada yang mahu mendapatkan ilmu yang terkini di Jepun.
Ada yang ke Jepun sekadar nak lulus ‘cukup makan’.
2. Sistem nilai. Ada yang mementingkan survival agamanya lebih dari segalanya.
Ada yang memikirkan “asal best”.
3.
Perwatakan. Mereka yang tidak pandai bergaul, mungkin tidak mahu ke
tempat yang tiada langsung pelajar yang dikenalinya. Bagi mereka yang lebih
suka ‘privasi’, mungkin lebih utamakan tempat yang tidak ramai pelajar.
4. Kematangan. Ada yang menyangka duduk
dekat dengan gunung Fuji itulah yang terbaik baginya. Bagi saya ini tidak cukup
matang. Dia seolah-olah menyangka perlu mendaki gunung fuji setiap hari!
(Kenangan kali
pertama menatap Fuji-san. Gambar ini diambil dengan kamera ‘pakai-buang’
sahaja. Ia tidak dapat menggambarkan apa yang saya rasa ketika itu. Walaupun
waktu itu saya masih berjiwa ‘rocker’, tetapi keindahan Fuji-san telah
men'cair'kan saya. Bagi saya, keindahannya tidak mampu dirakam oleh mana-mana lensa
sekali pun. Kena tengok sendiri dengan
mata kasar. Baru puas hati. )
Maklumat yang cukup dan tepat
Untuk mendapatkan kriteria yang matang dan meletakkan nilai/markah yang sesuai, saya nampak tiada jalan lain melainkan dengan memperbanyakkan perbincangan dengan rakan sebaya dan senpaitachi yang pernah ke Jepun. Program “Senpai no taiken wo kikukai” yang dianjurkan oleh pihak pusat persediaan dengan kerjasama ALEPS (Alumni Look East Policy Society) pasti banyak membantu. Kita boleh belajar dari pengalaman mereka. Selain itu, artikel yang saya tulis ini juga insyaAllah mampu mematangkan anda. Hihihi... (Maaf, masuk bakul angkat sendiri pulak rasanya...)
Lebih banyak dan tepat maklumat yang
anda dapat, lebih tepatlah markah yang anda dapat isikan. Carilah senpai yang
anda kenali, dan dapatkanlah maklumat dari mereka. Masalahnya, ada sekitar 100
universiti yang perlu anda dapatkan maklumat. Mungkin di luar sana sudah ada
pihak yang sediakan maklumat terperinci tentang universiti tertentu. Tugas
andalah untuk mencarinya. Jika tidak ada, saya ingin menyeru mana-mana
organisasi pelajar samada di AAJ, atau di Jepun untuk bantu bekalkan maklumat
secara kolektif. Mungkin boleh diwujudkan forum online sebagai platform
berkongsi maklumat. Segala maklumat yang diperolehi dikongsi bersama di atas
satu platform. (Forum sebegini mungkin sudah
ada disediakan pihak tertentu yang diluar pengetahuan saya. Kalau ada, harap
dapat kongsikan agar saya dapat kemaskini semula entri ini).
Tawakkal
Walau perancangan
yang bersistematik sekali pun, walau maklumat sedetail mana sekali pun, kita
terpaksa akui bahawa pengetahuan kita sangat terbatas. Kita tidak dapat
mengetahui masa depan kita. Usahkan masa depan yang jauh, setiap saat yang
berada di depan kita ini pun kita tidak pasti bagaimana ia bakal berlalu.
Tekunlah dalam
membuat perancangan, kerana itu adalah tuntutan agama.
"Sesungguhnya
Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan
dengan tekun." (Hadis Riwayat Abu Daud)
Selepas
merancang, beristikharahlah agar dikurniakan petunjuk.
Sabda Nabi
Muhammad sallahualaihi wassallam;
“Tidak akan kecewa bagi yang melaksanakan
istikharah dan tidak akan menyesal bagi orang yang suka bermusyawarah dan tidak
ada kekurangan bagi orang yang suka berhemat”(Hadith riwayat Thabrani).
Kemudian
tawakallah, kerana akhirnya penentuan itu di tangan Tuhan. Dengan cara ini,
kita akan lebih bersedia dengan segala kemungkinan yang timbul.
Saya yakin,
apabila anda sampai ke Jepun, banyak maklumat baru yang akan anda dapat. Banyak
perkara yang ‘beyond expectation’
kita. Waktu itu, sedarlah kita betapa kerdilnya kita di hadapan Allah. Betapa
lemahnya perancangan manusia. Dan betapa kita amat memerlukan Allah dalam
menentukan nasib diri kita. Mudah-mudahan kita akan lebih menghayati maksud
dari doa ini;
"Ya Allah, janganlah Engkau biarkan nasib
kami ditentukan oleh kami sendiri walaupun dengan kadar sekelip mata atau
kadar yg lebih cepat dari itu".
Ambil sikap positif
Sering terjadi,
kita dihantar di tempat yang bukan pilihan kita. Walau pun apa yang kita
rancang tidak menjadi kenyataan, kita
akan tetap positif. ‘Pepatah omputih’ mengatakan;
“What happens is not as important as how you
react to what happens.”
Kita yakin dengan
perancangan Allah buat kita. Kerana, setiap yang berlaku, pasti ada hikmah di
sebaliknya. Tugas kita adalah mencari hikmah tersebut dengan sabar.
“Amat
ajaib keadaan seorang mukmin, sesungguhnya semua keadaannya adalah baik belaka.
Ini tidak berlaku kecuali kepada seorang mukmin. Sekiranya dia dikurniakan
kesenangan dia akan bersyukur dan ini baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa
kesusahan pula dia akan bersabar dan ini juga baik untuknya.” (Hadith riwayat al-Imam
Muslim, No. 5318)
Saya kongsikan
nasihat dari rakan satu batch dengan saya (RPKJ 16), Doktor Azza Rahmat yang merupakan salah seorang
graduan perubatan dari universiti yang
tidak diiktiraf kerajaan. Beliau
menyebut;
“Bagi saya yang
terpaksa ambil semula peperiksaan di Malaysia, saya fikir secara positif.
Mungkin dengan cara ini, saya dapat sesuaikan diri dengan sistem di Malaysia.
Perkara itu tidak melemahkan semangat yang ada. Bagi saya, yareba dekiru!”
Ya, Yareba
Dekiru!
No comments:
Post a Comment