Pages

Tuesday, 11 December 2012

Penantian penuh debaran


21 tahun yang lalu

Cikgu Hasan masuk ke kelas. Wajahnya kelihatan ceria. Beliau mengetahui apa yang sedang kami nantikan. Hari itu adalah hari keputusan UPSR dikeluarkan. Semua orang berdebar. Kelas sepi. Semua mata tertumpu kepada cikgu Hasan.

Cikgu Hasan memanggil nama saya. Sambil menepuk bahu saya, beliau berkata,“Tahniah, kamu mendapat 4A”.

Saya tersengih puas. Saya termasuk antara lapan orang yang mendapat straight A di sekolah kami.
Suasana dalam kelas berubah sama sekali. Dari senyap kepada riuh rendah. Ada yang gembira. Ada yang menangis. Suasana yang paling sayu ialah ketika melihat tangisan ‘pelajar terbaik’ sessi kami. Beliau sentiasa cemerlang dalam peperiksaan penggal, akhir tahun dan percubaan. Tapi kali ini nasibnya kurang baik.Air matanya jatuh bercucuran. Saya hanya mampu bersimpati. Kadang-kadang saya merasakan peperiksaan ini kejam. Ia mendera perasaan sesiapa sahaja yang melaluinya. 

Masa berlalu, debaran menanti keputusan UPSR telah berakhir.

Tetapi, ia hanyalah permulaan kepada debaran seterusnya.

----------

8 Disember 2012


Saya sedang menemani Mus'ab menanti giliran berkhatan di klinik Rasa Sayang. Mus'ab telah memilih untuk dikhatankan hari ini.

"Tak payah takutlah Mus'ab, sakit macam kena gigit semut je", saya cuba memberi gambaran betapa tidak sakitnya dikhatan.

Mus'ab menjawab, "Alamak, saya pernah kena gigit semut. Sakit sangat." Saya hampir lupa, anakku ini 'orang bandar'. Gambaran seperti itu hanya lebih menakutkannya.

"Rilekslah Mus'ab. Sunat ni sekali je seumur hidup. Kita mesti selesaikan hari ini. Lepas tu, tak payah risau fikir sunat lagi." Saya dan isteri mengubah teknik memujuk.

Pembantu klinik membuka pintu yang dilabel 'treatment room', lalu memanggil, "Ahmad Mus'ab bin Basri!" Suaranya separuh menjerit kerana terpaksa melawan kebisingan kanak-kanak lain yang menanti giliran.

Mus'ab semakin resah. Sebaik masuk ke bilik rawatan, beliau ternampak gunting dan penyepit telah tersedia.

"Tak nak sunat, tak nak sunat, tak nak sunat!" Perasaan takut sudah menyelebungi dirnya. Kata-kata pujukan telah diberi, tapi ternyata akal rasionalnya telah dikuasai rasa takut.

"Doktor, saya cuba tenteramkan dulu anak saya. Beri dulu giliran ini kepada kanak-kanak lain. Bila bersedia nanti, saya beritahu". Seboleh mungkin, saya mahu Mus'ab kembali rasional. Saya mahu dia bersunat atas kemahuan sendiri, bukan atas paksaaan. Saya mahu dia mengatasi perasaan takut itu.

Saya biarkan dia menyendiri. Saya mahu dia berfikir sendiri, dan buat keputusan samada mahu meneruskan atau tidak. Saya yakin dalam keadaan tenteram, Mus'ab boleh berfikir dengan baik.

Selepas kira-kira 20 minit menanti, akhirnya Mus'ab berkata, "Oklah, saya nak sunat sekarang". Suaranya tekad.

Alhamdulillah, penantian yang berbaloi.

Mus'ab masuk ke treatment room kali ke dua. Kali ini dia lebih bersedia.

Namun, sebaik sahaja diberi suntikan bius, beliau menjerit. " Sakit, sakit, sakit!" Dia mula meronta. Saya tidak ada pilihan lain. Tidak patut berhenti separuh jalan kerana ia akan lebih menyusahkan Mus'ab. Oleh itu, saya terpaksa juga menggunakan strategi 'paksaan' sebagai langkah terakhir.

"Jangan pegang!"

"Nanti dulu! Jangan potong!"

"Kalau potong, dosa!"

Itu antara kata-kata Mus'ab yang sudah hilang rasional sepanjang proses berkhatan dilakukan.

"Ok, dah siap" kata doktor.

Mus'ab tiba-tiba kembali senyum. Ternyata, jeritannya bukan hanya kerana sakit, tetapi kerana takut. Alhamdulillah, semuanya telah berjalan lancar. Setelah mengucapkan terima kasih dan meminta maaf, Mus'ab keluar dari bilik itu dengan penuh senyuman, seolah-olah dia tidak pernah menjerit dan meronta ketakutan sebelum ini.

Penantian sudah berakhir.

Debaran sudah berakhir.

Untuk setakat ini.

----------------------

Debaran dalam kehidupan

Banyak lagi pengalaman melalui debaran demi debaran dalam kehidupan ini. Samada telah, sedang atau bakal kita lalui;

Bagi pelajar, berdebar menunggu keputusan peperiksaan.
Penganggur, berdebar menunggu keputusan temuduga kekosangan jawatan.
Orang yang sedang dilamun cinta, berdebar menanti keputusan dari orang yang dicintainya. Samada cinta ditolak atau diterima.
Pasangan suami isteri, berdebar menanti kelahiran anak.
Ibu bapa, berdebar melihat perkembangan anak. Samada anak itu soleh, atau derhaka.
Kontraktor, berdebar menanti keputusan tender yang dibida. Kalau dapat, “aku kaya”, kalau gagal, “frust menonggeng”.
Pelabur, berdebar melihat jatuh naik saham.
Ahli akademik, berdebar menanti keputusan dari reviwer tentang paper yang dihantar ke jurnal. Samada accepted atau rejected.
Ahli politik, berdebar menanti keputusan undian pilihanraya.

Namun, samada kita sedar atau tidak, ada satu debaran yang sangat dasyat yang bakal kita tempuh. Ia adalah ibu kepada segala debaran, kerana ujian yang dilalui adalah ibu segala ujian.  

Jika kita lulus ujian ini, akan hilanglah segala kekecewaan atas kegagalan yang lain.
Jika kita gagal, kejayaan yang lain sudah tidak bermakna.

Itulah debaran ketika menerima catatan amal setelah melalui ujian hidup.  Samada catatan itu diterima dengan tangan kanan, atau tangan kiri.

Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).
Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, -
Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.
Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,
Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya,
Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.
Al-Quran [84:6-12]

Apakah ada yang lebih mendebarkan?

Buatlah baik walau sebesar zarah. Tinggalkanlah kejahatan walau sebesar zarah



Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,
Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,
Manusia berkata kegerunan, “Apa yang sudah terjadi ?”
Pada hari itu, bumi pun menceritakan keadaannya, “Tuhan telah memerintahkan berlaku begini”.
Pada hari itu, manusia akan keluar dari kubur masing-masing berselerakan,
Untuk diperlihatkan kepada mereka balasan amal masing-masing.
Sesiapa yang berbuat kebajikan walau sebesar zarah, akan diperlihatkan kepadanya.
Dan sesiapa yang berbuat kejahatan walau sebesar zarah, akan diperlihatkan juga kepadanya.

Rujukan:  Al-Quran [99:1-8]


Friday, 7 December 2012

Gelisah ketika susah, kedekut ketika senang



Manusia ini ada berperangai hodoh. Apabila ditimpa kesusahan, dia resah gelisah. Apabila dapat kesenangan, dia lupa diri dan jadi sangat kedekut.

Tapi, tidak semua manusia begitu. Ada pengecualiannya, iaitu orang yang mempunyai ciri-ciri berikut;
1.  Melakukan solat.
2. Istiqamah atau tetap melakukan solat dalam sebarang keadaan, ketika lapang mahupun sibuk.
3. Memperuntukkan sebahagian hartanya untuk orang miskin. Bukan sahaja kepada orang miskin yang meminta, orang miskin yang tidak meminta pun diberinya.
4. Yakin dengan hari pembalasan, iaitu akhirat.
5. Cemas dan takut daripada ditimpa azab dari Allah. Kerana, tiada siapa pun yang patut rasa aman dengan azab Allah.
6. Menjaga kehormatan/kemaluan kecuali kepada isteri. Orang yang memenuhi keperluan seksualnya dengan cara yang lain, mereka ini telah melampaui batas.
7. Menjaga amanah dan janji.
8. Apabila memberi kesaksian,  mereka berlaku adil.
9. Tetap memelihara solat. Bukan dikerjakan “seperti melepaskan batok ditepi tangga”, tapi dilakukan dengan sebaik mungkin dengan jaga waktu, jaga syarat sah, jaga kyusuk.

Orang yang mempunyai sembilan ciri ini,  akan bebas dari sifat resah gelisah semasa susah, dan bakhil kedekut ketika senang.

Apabila sudah bebas dari sifat hodoh ini, itulah nikmat hidup di dunia.

Akhirat pula, mereka akan ditempatkan di syurga dengan diberikan penghormatan.

Rujukan: Al Quran [70:19-35]