Pages

Saturday, 19 November 2011

Fizikal membesar, sikap mengecil.

Dalam sebuah kelas matematik, cikgu Mariam bertanya kepada murid-murid, “Ada tujuh ekor burung. Seorang pemburu telah menembak lima ekor burung. Berapa yang tinggal?”

Belum sempat soalan itu habis dibaca, Aiman bingkas bangun dan mengangkat tangan sambil berkata “Saya tahu! Sayu tahu!” Matanya berkaca-kaca meminta namanya dipanggil.

“Saya, saya!” Jerit Marisah dihujung kelas. Dalam sekelip mata, kelas darjah 1M jadi riuh rendah kerana hampir semua murid menjerit sambil mengangkat tangan mahu menjawab soalan. Semua mata menumpu kepada cikgu Fara dengan penuh harapan agar nama mereka dipanggil. Semua berebut mahu menjawab .
Oleh kerana Aiman orang pertama yang mengangkat tangan, cikgu Mariam menujukan jari kepadanya dan berkata,“ Aiman, apa jawapannya?”

Sambil membilang jari, Aiman pun berkata“ Nanti jap cikgu, nak kira.” Jelas, Aiman masih belum menyediakan jawapan sewaktu tangan diangkat.



Beberapa ketika kemudian, Aiman berkata “Tinggal lima ekor, cikgu!” sambil tangan diangkat ke udara menunjuk  lima jarinya. Dari bahasa tubuhnya, jelas Aiman amat yakin sekali.

“Bagus, Aiman memang pandai”, puji cikgu Fara. Murid lain juga tersenyum  kerana jawapan mereka juga betul. Cuma tidak berpeluang menjawab depan cikgu Fara menunjukkan kepandaian.

Namun begitu, Akmal memberi reaksi yang berbeza. Dia berkata, “ Ala.. kenapa pula, cikgu? Dua ekorlah yang tinggal sebab kena tembak. Lima ekor tu mesti terbang menyelamatkan diri! “ kata Akmal sambil memuncungkan mulut dan menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Kelas kanak-kanak sangat ceria

    Dialog di atas hanyalah rekaan semata-mata. Namun ia menggambarkan realiti kepada kelas kanak-kanak yang sangat ceria. Murid-muridnya telah menunjukkan sikap yang sangat positif seperti  yakin, suka bertanya, berani dan semangat inkuiri yang tinggi. Sebab itu kelas kanak-kanak sekolah sentiasa riuh rendah setiap kali cikgu bertanya soalan. Mereka tidak rasa malu jika jawapan salah atau ditertawakan.

   Ini menunjukkan sikap manusia itu secara semula jadinya amat positif sehingga mereka tidak perlu kepada kuliah motivasi untuk mempositifkan sikap. Tuhan telah meletakkan amanah khalifah iaitu pemimpin dan pengurus muka bumi ini kepada manusia. Maka, secara rasionalnya, Tuhan  menyediakan segala kelengkapan dari segi fizikal, mental dan emosi yang sesuai untuk menjalankan tugasan ini.

  Entah kenapa, apabila melangkah ke alam dewasa, sikap positif dalam diri yang sepatutnya makin disuburkan, tetapi sebaliknya kian hilang. Lihat sahaja suasana di sesetengah kelas orang dewasa. Samada sekolah menengah, universiti atau kuliah di masjid-masjid.  Murid-muridnya seperti malu untuk bertanya, tiada keyakinan diri, dan yang lebih parah tidak tahu apa yang mahu ditanya!  Ada pula guru-guru yang terpaksa menyuruh semua pelajar berdiri. Mereka hanya dibenarkan duduk jika boleh bertanya soalan.

   Jelas, ada sesuatu yang tidak kena yang terjadi sepanjang proses pendewasaan. Fizikal kita telah membesar, tetapi sikap positif yang ditunjukkan semasa kanak-kanak semakin ‘mengecil’ dan pudar.

     Persoalannya, apa yang tidak kena?

No comments:

Post a Comment