Pages

Wednesday, 9 November 2011

Kesan sebuah perhatian

Semasa zaman kanak-kanak, aku banyak mendapat perhatian, menerima pujian dan penghargaan dari guru-guru. . Antaranya ialah anugerah dan hadiah kerana menang pertandingan. Pertandingan bercerita kisah nabi, wakili sekolah dalam pertandingan genderang, menjadi ketua baca iqrar masa hari sukan dan waktu perbarisan, hadiah kecemerlangan dalam peperiksaan, dan lain-lain Aku rasa, zaman kanak-kanakku adalah zaman yang aku memiliki motivasi yang tinggi, keyakinan diri yang tinggi, terkenal atau dikenali ramai, dan rasa dihargai.

Semua ini berkurang atau semasa aku di sekolah menengah. Memandangkan aku masuk sekolah berasrama penuh, ramai budak-budak lebih bijak daripadaku. Aku ingat karangan ku semasa sekolah rendah telah diherdik guru di hadapan rakan-rakan sekelas. Hati ku terguris, justeru aku ingat peristiwa itu. 
(Intro lagu Hotel California)


Aku dimasukkan ke kelas ranking terakhir semasa tingkatan dua berdasarkan keputusan peperiksaan tingkatan satu. Sekali lagi aku sedih yang amat sangat. Mujurlah kakak aku ada sebut “ Ala... takpe. Kamu jadilah yang paling pandai dalam kelas tu”. Kata-katanya aku pegang. Dan memang itulah hasilnya. Aku dapat nombor satu atau dua (tidak ingat). Semasa tingkatan tiga, aku duduk di kelas ranking nombor dua. Tetapi aku rasa masih kosong. Waktu itu, aku tidak tahu bahawa kekosongan itu adalah kerana masih tidak mendapat perhatian yang 'sepatutnya'.

Zaman rock kapak
Mungkin sebab itu juga aku termotivasi bermain gitar ketika tingkatan tiga. Waktu itu aku baru belajar sikit main gitar dari abang. Lagu yang terawal ialah lagu Sejati (Wings), kemudian beberapa lagu dari Metallica yang menjadi kegilaan sebahagian rakan-rakan seperti Enter Sandman,sedikit intro lagu The Unforgiven dan Nothing Else Matters. Bila aku tunjukkan skill yang sedikit itu, ramai kawan-kawan yang kagum. Aku sendiri terkejut dengan kekaguman mereka.

Sejak itu, ramai pula yang datang untuk belajar dan memang ramai yang aku ajar. ‘Kehebatan’ aku bermain gitar dengan cepat tersebar dikalangan  rakan-rakan. Mereka mengerumuni aku sewaktu aku bermain gitar. Ramai! Dalam masa yang singkat aku jadi terkenal di kalangan rakan-rakan terutama yang minat ‘rock kapak’ waktu itu. Aku dipuji hebat. Aku terasa hebat! (Aku rasa je... hakikatnya bagi orang lain biasa je). Rasa yakin diri, bangga, menjadi perhatian ramai yang hilang semasa sekolah rendah dulu muncul kembali. Tetapi kali ini dalam bidang yang berbeza.

Mungkin itulah punca menyebabkan aku jadi ‘hantu gitar’ waktu itu. Kalau ikut peraturan sekolah, gitar dilarang di bawa masuk. Maka beberapa kali aku dan rakan-rakan ditangkap oleh warden. Gitar kami dirampas. Hanya waktu balik cuti sahaja gitar dipulangkan. Macam-macam cara pula digunakan untuk seludup masuk kembali gitar. Walaupun ditangkap dan 'gitar dipenjara', semua itu tidak melunturkan semangat kami, malah menjadi kebanggaan dan kami berasa 'cool' dengannya. "Perjuangan ‘rock kapak’ tetap diteruskan" mungkin begitu agaknya motto perjuangan kami. Semuanya kerana perhatian,  penghargaan dan pujian dari orang di sekeliling.

Hari ini
Hari ini aku tidak hairan melihat mat rempit terus merempit walaupun diundang risiko kemalangan. Kerana, di sanalah mereka telah di'hero'kan. Lebih banyak kali kemalangan, lebih banyak tangan dan kaki yang patah, mereka akan dilihat lebih 'cool' oleh rakan-rakan dan dipuji keberanian mereka. Masyarakat dan media yang sering membicara dan mengenengahkan cerita-cerita mat rempit walaupun dalam bentuk negatif, menjadikan mereka mendapat apa yang tidak pernah mereka dapat di tempat lain iaitu sebuah perhatian.

Pengajaran buat diriku untuk anak-anak
Banyakkanlah memberi perhatian, penghargaan dan pujian kepada anak-anak kita kerana itu banyak membantu memotivasikan mereka. Hakikatnya ibu bapa sekarang banyak berleter dengan anak-anak. Akhirnya anak-anak akan hilang motivasi, rendah kepercayaan diri.

Sudah menjadi lumrah manusia, sangat mudah melihat kesalahan orang lain berbanding kebaikan mereka. Oleh itu, kalau mahu tegur satu  kesalahan anak, cari dan pujilah sepuluh kebaikan mereka. 


2 comments:

  1. Teringat petikan gitarmu, menghangitkan gorengan lagu Cromok 'Another You'.
    There have been and will be another guitarist in my band, but there will never be, another you.
    Salam rindu, dari sahabatmu.

    Zaidi@Koi@JD Raja Biawak

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Koi. Ayat yang penuh makna.
    Terima kasih juga kerana sudi singgah dan menurunkan komen yang pertama di sini.

    ReplyDelete