Pages

Saturday, 3 December 2011

Hikmah di sebalik musibah

(Musibah banjir : Untuk pelajaran pendidikan seni, darjah 5)
Cerita Satu
Ada seorang wanita beranak lima telah kematian suami. Wanita ini wanita biasa. Tiada pendidikan tinggi dan umur sudah memasuki usia tua.  Kelima-lima anaknya masih bersekolah. Kematian suami menjadi musibah besar dalam hidupnya. Hilang tempat bergantung hidup, hilang sumber rezeki. Betul-betul tak tahu bagaimana nak meneruskan hidup, menyekolahkan anak, menyediakan tambang bas, pakaian, makanan dan segala keperluan kehidupan tanpa suami di sisi.


    Namun, rezeki itu ada di mana-mana. Hanya satu kemahirannya, iaitu kemahiran yang semua wanita normal ada iaitu menjaga anak. Maka, digunakan kemampuan itu untuk ambil upah jaga anak orang. Dari situ, dapatlah dia sedikit rezeki. Sekali sekala anak-anaknya yang sekolah menengah tu bantu. Dapat hidup juga dia. Mungkin sedikit susah. Tapi dia mula belajar berdikari.

 Melihat keadaan sang ibu, anak-anaknya juga mula berdikari. Kalau dulu semua ibu yang buatkan. Basuhkan baju, gosok baju, memasak, semua tu ibu yang buatkan. Tapi fasa ‘rehat’  itu telah berlalu. Tambahan pula, mereka amat simpati dengan keadaan ibu yang terpaksa berusaha lebih gigih dari biasa. Mula timbul rasa kagum dan hormat pada ibu. Mula timbul kesedaran untuk jadi anak yang taat, hormat ibu, dan tanam cita-cita untuk mengeluarkan ibu dari kesusahan ini apabila mereka sudah bekerja kelak.
  
Kini,selepas dua puluh tahun, anak-anak sudah bekerja. Sudah besar panjang. Sudah hidup senang. Dan yang paling penting, anak-anak menjadi orang yang berakhlak mulia.

Wanita ini telah menemui hikmah kehilangan suami hanya selepas dua puluh tahun. Barangkali dalam doa beliau berkata, “Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan musibah ini kepadaku”.

Cerita Dua
Ali (bukan nama sebenar) mempunyai tabiat buruk. Bagi kebanyakan orang, hendak sebut pun geli, apatah lagi mahu buat. Tabiat buruk itu ialah melakukan onani.

Perbuatan itu sudah sebati dengan dirinya. Beliau mula terjebak dari perbuatan buruk ini sejak di bangku sekolah lagi hasil pengaruh kawan-kawan dan hanya sekadar suka-suka. Namun, akibat terlalu kerap melakukannya, ia telah berubah menjadi ketagihan. Walaupun sudah bertaubat, tetapi seolah-olah tabiat buruk itu tidak mahu meninggalkannya.

 Walaupun sudah lima belas tahun cuba membuang tabiat buruk itu, tapi masih tidak berjaya. Kalau berjaya pun, hanya dalam waktu yang singkat sahaja.  

Dengan sedikit kesedaran agama, bimbang tentang akibat tabiat buruk ini di dunia dan akhirat, beliau telah berusaha berubah. Didalaminya ilmu agama, tentang taubat, tentang akhirat, tentang solat yang sepatutnya boleh mencegah perbuatan keji dan mungkar, tentang pembersihan jiwa dan lain-lain.

    Walaupun ketagihannya belum betul-betul sembuh, namun tanpa disedarinya, beliau sedang menghampiri Tuhan.  Bukankah Tuhan mencintai hamba-hambaNya yang bertaubat?
Ali sedang mendapat hikmah dari penyakit ketagihan  yang dialaminya. Dalam masa yang sama, Ali tidak dihinggap penyakit riak walau sering ke masjid dan beramal soleh kerana sedar dengan tabiat buruknya.
 Moga Ali berjaya melawan ketagihan itu dan mati dalam husnul khatimah. Barangkali masa itu Ali akan berkata, “ Terima kasih Allah, kerana ketagihan ini, aku berada di syurgaMu” .

Pengajaran

Apa sahaja musibah menimpa, janganlah berterusan merungut, apatah lagi bersangka buruk dengan takdir. Walaupun saat ditimpa musibah itu terlalu pahit dan menyakitkan, yakinlah pasti ada hikmah di sebaliknya dengan syarat dirimu berusaha mencarinya dan bersangka baik dengan Tuhan.  Semoga, suatu hari nanti kita mampu berkata, “Terima kasih Allah, kerana telah mengurniakan musibah ini kepada ku”.


No comments:

Post a Comment