Pages

Thursday, 29 March 2012

Apa ada pada nama



PENDAPAT: Apakah IMPLIKASI bagi anak2 yang dinamakan dengan NAMA2 bukan Islam (Arabic)?
Aku ada terbaca satu hadith, dalam lingkungan makna; berilah anak2 dengan nama2 yang elok2, kerana dengan nama itulah mereka akan dipanggil (dipisah) pada hari akhirat kelak. Disclaimer: Maaf, pandangan orang jahil.
Tak silap aku, tiada mentioning about names in Arabic, hanya perlu yang maksud ELOK. Jadi kalau kita namakan anak kita BAIK Ibn Si Polan, atau SUPARMAN ('Lelaki Super' dalam bahasa Jawa), bukankan itu juga DOA yang dimengerti Tuhan...

Seorang sahabat karib memulakan perbincangan di facebook. Mulanya saya tidak mahu mengulas kerana tidak tahu. Tetapi, setelah didesak dengan nama dipetik, saya cuba mengulas ringkas demi meraikan beliau. Namun, entah mengapa, ulasan jadi panjang berjela sepanjang dua helai kertas A4!

Berikut ulasan saya;

Pendapat saudara memang sentiasa di luar kotak.

Banyak benda yang berlaku dalam kehidupan yang kita tidak persoalkan kerana ia sudah menjadi kebiasaan. Contohnya, kita tidak bertanya kenapa anak-anak sekolah mesti pakai pakaian seragam. Kenapa mesti pakai baju putih, kasut putih? Kan susah nak basuh? Kita tidak bertanya kenapa ke pejabat secara umumnya kena pakai baju kemeja dan berkasut. Kenapa tak boleh pakai selipar? Masa sekolah menengah/asrama dulu, pelajar diharamkan pakai seluar jeans, tak boleh simpan gitar di asrama. Padahal masa sekolah rendah, pelajar WAJIB bawa seruling/rekorder ke sekolah masa matapelajaran muzik. Kenapa? Sampai sekarang saya tidak tahu jawapannya.

Sekarang pelajar universiti pun diwajibkan pakai tali leher . Apakah ada kajian yang membuktikan pakai tali leher membolehkan seseorang itu jadi pandai? Wallahualam.

Semuanya seolah-olah telah diprogramkan. Dan kita diprogramkan bahawa orang yang mengikut kata 'mereka' adalah orang yang baik. Orang yang banyak soal, mempertikai itu ini dilabel orang yang  suka melawan, bermasalah, nakal....

Semua ini telah membawa kepada proses pembodohan manusia. Manusia hanya perlu ikut apa yang telah diprogramkan. Dan ia berlaku secara sistematik. Ada kajian menunjukkan kreativiti dan semangat inkuiri manusia merosot apabila semakin meningkat usia.

Justeru, soalan di atas dan beberapa soalan beliau yang lain sebelum ini menunjukkan beliau seorang yang sedang terbang membebaskan diri dari sistem pembodohan manusia ini.

Ok, itu intro. Untuk menjawab persoalan ini, berikut adalah pandangan saya;

1. Tidaklah berdosa letak nama anak dalam bahasa apa sekali pun asalkan maknanya baik. RASANYA hukumnya harus letak bahasa lain. (Tolong semak dengan yg lebih arif.)

2. Dalam kebiasaan masyarakat melayu, nama anak diletak dalam bahasa Arab. Ada rasionalnya, kerana bahasa Arab adalah bahasa al-Quran. Bahasa yang terbaik yang ada dalam dunia. Ulama/Islam menggalakkan letak nama nabi atau para sahabat sebagai nama anak.. semua tu kebanyakannya nama Arab.

Letak nama anak dalam bahasa Arab sekurang-kurangnya menunjukkan kita menghargai bahasa Arab sebagai bahasa Quran walaupun malaih baca Quran.

 Nama arab sinonim dengan melayu. Oleh itu nama itu menunjukkan identiti dirinya iaitu selain Islam, dia juga melayu. Boleh je letak nama anak seperti 'Hang Tuah' , 'Melur', 'Cempaka', 'Bawang Putih' dan sebagainya, tapi melanggar kebiasaan.

3. Apa implikasinya melanggar kebiasaan melayu? Rasanya tidak ada implikasi besar. Namun, mungkin kita anggap ia unik, tapi orang lain anggap ia pelik. Mungkin tidak timbul apa-apa implikasi, tapi kita tidak tahu masa depan. Sebaiknya, elakkan kontroversi pada benda yang tidak perlu.  Kerana, banyak benda lain dalam hidup ini yang bakal kita dan anak kita lalui yang jauh lebih berbaloi untuk dikontroversikan.

4. Kadang-kadang kita terlalu mahu nama yang unik, lain dari yang lain. Rasanya tidak perlu sampai begitu kerana terlalu banyak kritea yang lebih patut diutamakan. Apakah kriteria itu? Kena baca/kaji panduan memilih nama anak menurut Islam. Sila google dan bertanya yang lebih arif.

5. Selain itu, dapatkan juga pandangan ibu bapa kita. Pasti mereka akan bangga jika kita ambil kira pandangan mereka. Itu lebih penting untuk diutamakan berbanding keinginan meluap untuk cari nama  unik.

6. Saya lebih suka letak nama anak berdasarkan perkara yang hendak kita ingat atau ambil pengajaran. Contohnya anak saya yang pertama dinamakan Ahmad Mus'ab. Ini diambil dari nama sahabat nabi iaitu  Mus'ab bin Umair. Saya amat kagum dengan kisah Mus'ab ini yang keislamannya ditentang keluarga, dari hidup bermewah dengan harta keluarga, akhirnya mati syahid dalam keadaan miskin, hingga kain kapan pun tidak cukup. Beliau antara pendakwah yang dihantar nabi ke Madinah, sehingga apabila berlaku hijrah, penduduk Madinah menerima kedatangan baginda dengan mudah. Ini semua kerana usaha dakwah yang dilakukan oleh Mus’ab dan sahabat-sahabatnya.  Sewaktu anak saya lahir, saya ANGGAP saya sedang ‘berhijrah’ ke Kitami, meninggalkan isteri keseorangan di Asahikawa. Oleh itu, nama Ahmad Mus’ab bin Basri membawa makna yang mendalam dalam hidup saya dan isteri, pencetus semangat untuk terus berdakwah di Jepun ketika itu, dan semoga semangat itu terus kekal membara hingga ke Malaysia hari ini. Dalam masa yang sama, saya berharap anak saya ini menuruti jejak langkah Mus’ab bin Umair. Tidak banggakah wahai ibu bapa, jika anakmu ada yang mati syahid?

Begitu juga nama anak kedua dan ketiga saya, mempunyai makna yang tersendiri.

7. Orang Melayu ni, suka dipanggil dengan nama timangan. Contohnya nama Abdullah (hamba Allah---- alangkah baiknya makna itu) tapi dipanggil Pak Lah je... hilang segala makna yang cantik.

8. Menurut allahyarhamah emak saya, nama saya, Basri diambil sempena nama seorang penduduk kampung kami yang sering ke masjid.  Beliau meninggal dunia beberapa lama sebelum kelahiran saya. Jadi, mungkin apabila emak berkata “Basri”, atau dengan nama panggilan “E”, beliau maksudkan “wahai Basri semoga dirimu menjadi anak yang baik dan selalu ke masjid”. Saya berterima kasih kepada beliau kerana memberi nama yang indah dan bermakna ini. Al-Fatihah untuk beliau.

1 comment: