Semasa di zaman kanak-kanak, sama seperti kanak-kanak lain, saya amat suka bermain. Bagi saya pada waktu itu, bermain itulah kerja dan kerja itu bermain. Apabila saya main pasir di halaman rumah, maka bagi saya aktiviti main pasir itu adalah satu bentuk kerja yang perlu dilakukan. Apabila ke sekolah sekali pun, saya anggap ia adalah satu bentuk permainan yang perlu dikerjakan. Cuma kali ini melibatkan orang dewasa, tidak seperti ketika bermain cikgu-cikgu dengan kawan-kawan sebaya. Saya tidak tahu membezakan antara kerja dan main. Seperti bermain, semua kerja dilakukan dengan sepenuh hati asalkan ia menyeronokkan dan jika tidak seronok, saya akan berhenti seketika hingga keseronokan itu datang kembali. Segala homework yang cikgu berikan, peperiksaan tahunan hinggalah ke UPSR semuanya satu bentuk permainan dan pekerjaan bagi saya. Oleh itu alam kanak-kanak saya dipenuhi dengan bermacam-macam bentuk permainan dan pekerjaan. Saya seronok melakukannya. Pada masa itu, tiada erti kejayaan bagi saya. Yang ada hanyalah kesoronokan.
Melangkah ke sekolah menengah, persepsi begitu kian mencair. Saya ditempatkan di sebuah sekolah berasramah penuh dimana semua pelajar di situ bijak-bijak belaka. Hasil dari beberapa siri peperiksaan, saya menyangka saya tidak sebijak mereka. Dari situlah saya mula sedar belajar bukan satu bentuk permainan semata-mata. Kerana, walau pun sudah tidak menyeronokkan, saya harus terus belajar juga. Semasa itu, sudah ada pemahaman bahawa belajar itu untuk pandai. Pandai itu untuk mendapat markah yang tinggi dan menyaingi rakan-rakan yang lain. Belajar bukan permainan, tetapi persaingaan. Pada masa ini, kejayaan bagi saya ialah mendapat keputusan peperiksaan yang baik. Dan kemuncak kejayaan itu ialah berjaya dalam SPM, mengalahkan yang lain!
Itulah yang saya dapat. Saya mendapat 7 aggregate dalam SPM, dan termasuk dalam 10 pelajar terbaik serta mendapat anugerah dari sultan.
Namun, setelah berhempas pulas mengejar kejayaan SPM, barulah saya sedar kejayaan itu tidak membawa erti apa-apa jika gagal di universiti. Maka, saya telah menetapkan sasaran kejayaan baru iaitu berjaya dalam peperiksaan universiti. 4 tahun dilalui, akhirnya saya berjaya mempoleh ijazah. Rupa-rupanya, sekali lagi saya tersedar bahawa jika tidak mendapat pekerjaan yang baik, tentulah ijazah yang diperoleh di universiti tidak bermakna apa-apa.
Mulai saat itu saya mula berfikir “ Selepas mendapat pekerjaan yang baik, adakah aku berjaya?”
Saya mula ‘menilik’ masa depan. Perkerjaan yang sebaik mana sekalipun, lambat laun akan pencen juga. Waktu itu, apa beza perkerjaan yang baik dengan pekerjaan yang ‘buruk’ jika penyudahnya adalah sama iaitu pencen?
Mungkin kejayaan itu ada pada harta. Namun, apa guna harta yang banyak tetapi kesihatan tidak baik, selalu sakit sahaja. Cubalah berbual dengan orang-orang tua yang sering sakit. Bagi mereka, ucapan “Apa khabar?” itu amat bermakna bagi mereka, sedangkan bagi orang muda ucapan itu hanyalah sekadar pembuka bicara yang cukup dengan dijawab “Khabar baik.”
Namun, walau sesihat mana seorang itu, apabila memasuki alam tua, akan sakit juga. Bezanya, adalah dari segi waktu. Ada yang mengidap kencing manis seawal usia 30 tahun dan ada yang sudah 80 tahun masih belum kena. Ada yang kena penyakit jantung, penyakit paru-paru dan macam-macam lagi.
Dan, yang pasti, walau sebaik mana sekali pun saya menjaga kesihatan, kematian tetap akan tiba. Justeru apalah gunanya cemerlang SPM, segulung ijazah, harta yang banyak, dan kesihatan yang baik jika kesudahannya tetap sama dengan orang yang gagal SPM, tidak masuk univerisiti, tidak berharta, iaitu sebuah kematian.
Apakah yang saya kejar dalam hidup ini?
Saya semakin serius memikirkannya.
No comments:
Post a Comment