Pages

Saturday, 22 October 2011

Perisitiwa Subuh

                                             (Gambar hiasan)

Semasa memujuk anak-anaknya, Ahmad dan Mawaddah untuk solat subuh, si bapa berkata “Wahai anak-anakku, bangunlah solat Subuh. Bukankah dalam lagu nasyid yang engkau persembahkan di sekolah dulu mengajak orang mengerjakan solat Subuh?”

Kemudian, si ayah pun menyanyikan sebahagian rangkap lagu nasyid itu yang berbunyi;

Azan Subuh berkumandang
Marilah bersembahyang
Bila hati dah tenang
Hidup kan senang


Mawaddah yang berumur 6 tahun itu bertanya “Wahai ayahku, tenang itu apa?”

Si ayah pun menatap wajah anaknya. Matanya direnung, kepalanya diusap seraya berkata “Hati tenang itu bermakna hati yang aman, gembira, riang,”

Sambil mengurut dada Mawaddah, si bapa menyambung lagi “ tidak rasa sedih, tidak rasa malas-malas, tidak merengek dan tidak marah-marah.”

Ahmad, abang kepada Mawaddah yang dari tadi hanya mendengar tiba-tiba mencelah, “Bukankah ayah sudah solat subuh? Tapi kenapa ayah kadang kala marah-marah?”

Si ayah terdiam sebentar. Mencari akal untuk ‘mempertahankan integritinya’ lalu berkata, “ Bijaknya anak ayah ini. Ayah marah-marah sebab anak ayah kadang-kadang tidak mahu ikut cakap. Bukan sebab tidak tenang”.

Namun, hatinya tetap berkata, “Bukan begitu wahai diriku. Engkau tidak tenang kerana solat mu masih jauh dari sempurna”. 

No comments:

Post a Comment