(Soubetsukai 1998, Another You. Salah seorang daripada mereka sedang mencipta nama sebagai artis)
Orang putih kata “All things are created twice”. Pertama di minda, kedua
barulah muncul menjadi kenyataan. Jika kita tahu apa yang perlu dicapai, ia
menjadi sebahagian dari motivasi kita semasa belajar di Jepun nanti.
Memang setiap orang ada bermacam cita-cita. Bagi saya, walau apa pun cita-cita itu,
pastikan ia bukan hanya terhad untuk mencapai kepentingan peribadi, lebih jauh dari itu adalah untuk kepentingan
pembangunan negara dan agama Islam yang kita cintai. Apatah lagi jika anda pelajar tajaan kerajaan. Guna wang kerajaan bermakna guna wang rakyat. Pastikan cita-cita kita itu nanti memberi pulangan juga kepada kerajaan dan rakyat.
Dalam konteks yang lebih luas lagi, kita ke Jepun dengan rezeki dan keizinan dari Allah s.w.t. Oleh itu, pastikan apa sahaja yang diusaha dan dicitakan mengikut kehendak Allah yang Maha Pemberi Rezeki.
Ada banyak cara untuk kita menyumbang kepada pembangunan negara. Antaranya;
Menjadi sumber manusia sebagai jurutera
(Bersama senpai-tachi menjayakan Gakuensai. Roti jala dan cucur pisang laris seperti goreng pisang panas. Nasib baik tak jual goreng pisang panas)
Kebanyakan rakan-rakan saya telah berjaya menjadi sumber tenaga jurutera
kepada kilang-kilang Jepun di Malaysia. Dengan ini, industri pembuatan
/pemasangan dapat berkembang. Kilang-kilang ini pula akan menyumbang kepada
negara dari sudut cukai dan peluang pekerjaan. Para jutera (iaitu graduan
Jepun) yang telah menikmati gaji bulanan juga menyumbang kepada negara dengan
cukai pendapatan. Produk yang dihasilkan
pula memberi manfaat kepada pengguna.
Menjadi
pensyarah
Untuk menjadi pensyarah, pastikan keputusan akademik kita sentiasa
cemerlang sejak dari tahun pertama. Pastikan kita sentiasa mengikuti
perkembangan kajian dan penyelidikan di Jepun. Terutamanya, apabila berada di
tahun akhir. Banyak ikuti seminar/conference, banyak buat
‘lab visit’ profesor-profesor di universiti.
Carilah peluang untuk sambung master dan phD. Dengan cara ini kita lebih
banyak terdedah dengan perkembangan teknologi terkini. Ada ramai contoh senpai bekas pelajar RPKJ
yang kita boleh contohi. Saya ada rakan sebaya yang telah bergelar Profesor
Madya sedangkan umur beliau baru 34 tahun.
Beliau telah menulis lebih 50 jurnal dan prosiding serta menyelia ramai
pelajar tempatan. Beliau sedang memindahkan dan menyambung penyelidikan
teknologi yang dipelajarinya di Jepun berkaitan teknologi
plasma.
Menjadi
pencipta produk tempatan dan pencipta peluang pekerjaan
(Penulis novel ini adalah bekas pelajar RPKJ batch 16. Beliau menjadikan penulisan novel sebagai kerjaya sampingan)
Kemampuan graduan Jepun untuk mengisi kekosongan jawatan teknikal atau
sebagai jurutera adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Namun, sebenarnya kita
boleh melangkah dengan lebih jauh lagi.
Dengan berbekalkan ilmu dan pengalaman bekerja di syarikat Jepun, berusahalah
supaya suatu hari nanti anda mampu mencipta produk sendiri. Kita mampu berdikari, membina kilang sendiri
dan memberi peluang pekerjaan kepada orang lain. Dengan itu, kita bukan sahaja
jadi pengisi jawatan, tetapi kita menjadi agen pencipta jawatan.
Kita sudah biasa mendengar HONDA, TOYOTA, YAMAHA, SUZUKI. Semua jenama itu diambil bersempena nama pengasasnya. Mengapa tidak kita bercita-cita agar
suatu hari nanti akan muncul televisyen jenama KARIM, mesin basuh jenama HARUN,
komputer jenama AZIZ? Bunyinya seperti kelakar. Namun itulah intipati utama Dasar
Pandang ke Timur di bentuk iaitu untuk “memindahkan teknologi dari Jepun” ke
negara sendiri.
Mungkin ianya nampak terlalu tinggi, terlalu ambitious. Ada orang kata, untuk membolehkan Malaysia menjadi
negara pengeluar produk berteknologi tinggi, bukan sahaja melibatkan tenaga
pakar dari graduan, ia perlu juga disokong oleh sistem ekonomi yang stabil,
sistem politik yang stabil, sistem pendidikan yang adil dan sebagainya. Semua
itu betul. Semua itu saya setuju.Namun, bagi anda sebagai pelajar, pastikan
anda memainkan peranan sebagai pelajar dan graduan. Persiapkan diri untuk
menjadi antara AGEN PEMINDAHAN TEKNOLOGI. Dalam masa yang sama, kita berharap ahli politik, pakar ekonomi, dan masyarakat memainkan peranan masing-masing dalam menjadikan negara ini pengeluar produk berteknologi tinggi. Cita-cita
biarlah setinggi awan, kalau tak terjangkau, ia
mencapai gunung. Itu lebih baik dari mencapai bukit.
Apapun
kerjaya anda….
(Saudara Azizul Marhan adalah bekas pelajar RPKJ batch 16. Beliau kini bergelar usahawan pakaian. Kalau nak order baju, boleh hubungi beliau)
Ada juga sebahagian rakan-rakan saya yang menceburi bidang yang 'unik'. Ada yang buka kedai runcit, berniaga ayam golek,
menjadi usahawan cendawan, menjadi penulis novel separuh masa, menjadi usahawan
pakaian, menjadi artis dan juga surirumah. Ada masa mereka jatuh, perniagaan
tidak menjadi, gaji tidak naik. Tapi mereka yang berjaya bangun semula dari
kejatuhan itu. Apapun kerjaya mereka, saya dapati mereka yang berjaya memiliki
3 kriteria penting iaitu USAHA, USAHA, dan USAHA.
Oleh itu, pastikan anda juga memiliki kriteria yang sama. Pupuklah sikap
yang rajin berusaha. Lakukanlah yang
terbaik dan berusahalah enam kali ganda dari graduan tempatan. Dan untuk tujuan
itu, anda harus mulakan dari sekarang. Sebagai langkah pertama, dan sebagai
pelajar, pastikan sotsugyo (bergraduasi) dengan cemerlang mengikut masa yang
ditetapkan. Sekiranya anda berusaha,
sebenarnya anda telah pun berjaya walau apa pun keputusan yang diterima.
Wallahualam.
Moga bermanfaat.
p/s: Siri seterusnya saya akan berkongsi tips
belajar di Jepun. Tips bukan sebarangan tips. Ini IBU segala tips. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment