Pages

Saturday, 15 April 2017

PAS dan Parti Amanah Negara: Segalanya bermula dengan “kecenderungan”

Al-Quran adalah sebaik-baik kitab hujah. Seawal surah Al-Baqarah lagi Al-Quran memberitahu hanya manusia yang mempunyai ‘tarikan’/kecenderungan/kehendak kepada takwa sahaja yang dapat mengambil petunjuk dari Al-Quran.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
(Al-Baqarah 2:1-2)

Perhatikan, Al-Quran yg merupakan kitab hujah yang paling unggul yang diturunkan oleh Allah S.W.T sendiri mengakui bahawa manfaat Al-Quran hanya boleh diambil oleh orang-orang yang bertakwa atau ada kecenderungan/tarikan takwa.  Jika orang itu tidak bertakwa serta enggan bertakwa, ia hanya mampu menjadi ‘penerangan’ sahaja.  Hujah Al-Quran yang terunggul itu pun tidak mampu lagi ‘ditarik’ untuk dijadikan petunjuk.

Maksud firman Allah S.W.T:

“(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”
(A-li'Imraan 3:138)

……………………………………

Saya mengambil sikap bersangka baik dengan menganggap pertembungan antara PAS dan Parti Amanah Negara  bermula dengan perbezaan pendapat yang ‘biasa-biasa’ sahaja.

Ustaz Ahmad Awang (Penasihat Umum Parti Amanah Negara) sendiri mengakui hal ini.  Dalam satu kenyataan, beliau mengatakan,

“Perbezaan pandangan kita lebih banyak berkisar tentang pendekatan politik & strategi pelaksanaan sahaja. Bukannya kita berbeza aqidah atau ideologi perjuangan.

Namun, realitinya kita menyaksikan sebaliknya.

Misalnya, Parti Amanah Negara lebih berminat menawan Kelantan yang menjadi kubu kuat PAS berbanding menawan Johor atau Perlis yang menjadi kubu kuat UMNO. Tidak hairanlah pimpinan mereka tanpa segan silu mengatakan, “Tugas AMANAH dalam PH adalah mengambil alih tugas PAS dalam PR sebelum ini”.   Kata-kata ini secara umumnya dapat difahami sebagai, “Di mana PAS bertanding semasa dalam PR dulu, disitu jugalah PAN akan bertanding.”

Tidak hairanlah ada sahabat saya yang sudah isytihar ‘perang’ terhadap PAS! (‘Perang’ yang dimaksudkan adalah perang politik. Dari sudut hubungan peribadi dan silaturrahim insyaAllah tetap terjalin seperti biasa. Air dicincang takkan putus. Mudah-mudahan!)

Ada yang sudah samakan PAS dengan UMNO. Mereka berkata, “PAS sudah menjadi tongkat kepada UMNO. Lawan PAS bermakna lawan UMNO”.

Sampai begitu sekali!

Perbezaan ini telah membawa kepada kesimpulan yang seolah-olahnya berbunyi,

“Jika Parti Amanah Negara mahu hidup (dalam dunia politik), PAS perlu dimatikan. Begitu juga sebaliknya. Salah satu mesti mati!”

Bermula dengan perbezaan pendapat yang kecil, kini menjadi pertembungan yang besar yang bersifat “lose-lose situation”. Tidak ubah seperti api yang kecil kini menjadi marak menyala membakar apa sahaja di sekelilingnya.

Persoalannya, mengapa keadaan ini boleh berlaku?

Saya ingin mengulas persoalan ini dari perspektif  “kecenderungan”. Perspektif ini pula saya ingin ulas dari 3 aspek;

1. The Law of Attraction

 “The law of attraction is the belief that by focusing on positive or negative thoughts a person brings positive or negative experiences into their life.” (sumber: wikipedia).

Penjelasan ringkasnya, jika seseorang itu berkecenderungan positif, ia akan ‘menarik’ perkara-perkara positif dalam hidupnya. Dengan itu, hidupnya akan dikelilingi perkara-perkara positif tersebut. Jika ia berkecenderungan negatif, ia akan dikelilingi dengan perkara negatif pula.

Konsep ini diperluaskan tidak terhad kepada ‘positif’ dan ‘negatif’ sahaja.

Perhatikan, setiap kali kita kongsi pemikiran kita di facebook, siapa yang like status kita? Mereka adalah orang yang dari awal lagi sudah selari dengan pemikiran kita. Orang yang tidak selari atau ‘tidak suka’ dengan pemikiran kita pula akan ‘menjauhi’ kita. Akhirnya, kita lupakan mereka dan mereka lupakan kita.  Perhatikan siapa yang kita set “see first” dan siapa pula kita set “unfollow”. Semua newsfeed yang kita baca di Facebook sebenarnya bersifat selektif. Kita terlebih dahulu telah menapisnya dengan memilih news yang selari dengan pemikiran kita sahaja.

Begitulah yang terjadi antara PAS dan Parti Amanah Negara. Seorang ahli PAS akan dikelilingi oleh hujah-hujah dan pihak yang menyokong PAS, manakala ahli Parti Amanah Negara akan dikelilingi oleh hujah-hujah dan pihak yang menyokong Parti Amanah Negara. Masing-masing sudah berada dalam ‘circle’ masing-masing.

2.  “You saw what you wanted to see”.

Suatu masa dulu, saya  pernah bercadang untuk membeli kereta Perodua Kelisa.  Berdasarkan, “The Law of Attraction”, saya sudah ‘menarik’ Perodua Kelisa dalam pemikiran saya. Kesannya, ketika memandu di jalanraya, saya mula perasan rupa-rupanya ada banyak kereta Perodua Kelisa di jalanraya. Bilangannya dirasakan lebih banyak dari biasa.

Mengapa jadi begitu? Adakah kereta Perodua Kelisa bertambah mendadak?

 Sebenarnya, bilangan Perodua Kelisa tidak bertambah mendadak. Cuma, perhatian atau tarikan saya terhadap kereta tersebut yang bertambah. Ini menjadikan saya hanya “nampak apa yang saya mahu lihat”. Hakikatnya, ada terlalu banyak kereta dari pelbagai jenama di jalanraya. Akal tidak mampu memproses semua maklumat tersebut. Oleh itu, ia perlu bersifat selektif.   Sebab itulah akal (dan hati) hanya memfokuskan jenama kereta yang “bermakna” kepada saya pada waktu itu, iaitu Perodua Kelisa.

Dalam isu RUU355 misalnya, sudah berbuih mulut ustaz-ustaz PAS dan luar PAS tentang kewajipan menyokong RUU355.  Namun, masih ada rakan-rakan saya yang muslim, yang pernah berusrah bersama, tetap memandang sinis dengan mengatakan “PAS sudah kena game dengan UMNO!”

Mengapa jadi begitu? Ini kerana “You saw what you wanted to see”.  (Saya sudah ulas perkara ini dalam entri berikut: http://basridk.blogspot.my/2017/04/pas-kena-tipu-dalam-isu-ruu355-kita.html )

3.  Lingkaran antara maklumat dan kesimpulan

Ramai yang menyangka manusia membuat kesimpulan berdasarkan maklumat. Maklumat dikumpul, kemudian dari maklumat tersebut barulah dibuat kesimpulan. Realitinya, ramai yang tidak sedar bahawa akal manusia juga sebenarnya memilih maklumat berdasarkan  kesimpulan. Bermakna, kesimpulan telah dibuat terlebih dahulu, kemudian barulah maklumat dipilih dan di’tarik’ untuk menguatkan kesimpulan tersebut.  Hubungan antara maklumat dan kesimpulan sebenarnya bersifat lingkaran (loop). Semakin lama, ia semakin menguatkan antara satu sama lain.

(Lingkaran maklumat dan kesimpulan)



Sebagai contoh:

Si A mulakan dengan ‘sangka buruk’ terhadap Si B. Si A akan ‘attract’ semua pemikiran yang mengatakan “Si B jahat”. Antara ciri pemikiran manusia adalah ia mahukan consistency. Ia mahu percaya apa yang ia percaya. Oleh itu, segala perbuatan baik si B akan dilihat kecil dan remeh walaupun realitinya ia besar dan penting. Manakala segala keburukan si B pula akan dilihat besar dan penting walaupun realitinya ia kecil dan remeh. Segala pandangan yang kontra iaitu pandangan yang mengatakan si B baik akan diberi justifikasi agar ia ditolak. Mungkin Si A berkata, “si B  buat baik ni sebab nak berlakon je…”.  Kemudian, Si A akan menarik dan ditarik oleh orang lain yang mempunyai sangka buruk terhadap B.  Oleh itu, si A akan dikelilingi serta selesa berkawan dengan orang yang mengatakan “Si B jahat”. Akibatnya, semakin hari si A semakin percaya “si B jahat” dan semakin ramai orang yang mempunyai sangkaan yang sama mengelilinginya.  Kepercayaan bahawa “si B jahat”  ini jika sudah tertanam puluhan tahun, maka ia menjadi semakin kukuh dan begitu sukar untuk diganggu-gugat. 

Baru-baru ini (10 April 2017) telah diadakan ceramah sempena kejayaan pembentangan RUU355. Dalam majlis tersebut, TGHA telah memberi ucapan ringkas selama kira-kira 30 minit. (Link video: https://www.youtube.com/watch?v=kVs2ueACy50) Ucapan ringkas tersebut sarat dengan penjelasan yang bersifat “pro-PAS” dan “pro-RUU355”.  Saya benar-benar berharap rakan-rakan saya yang “anti-PAS” dapat menyelami ucapan TGHA tersebut.  Bagi saya, butiran hujahan TGHA adalah penting untuk mereka telaah dan kaji sedalamnya.  Namun, saya begitu ‘terkesima’ melihat reaksi mereka. Dalam ucapan selama 30 minit itu, nampaknya mereka begitu tertarik dengan perkataan “anak butir tahi” yang diucapkan oleh TGHA. Habis ‘gegak-gempita’ newsfeed saya di Facebook dengan ulasan dan kritikan mereka. Sedangkan, perkataan itu diucapkan tidak sampai pun 5 saat!

‘Hujah’ 5 saat dapat menenggelamkan  hujah 30 minit yang lebih penting!

Lihatlah, betapa ‘selektif’nya manusia dalam memilih maklumat.

Perkara ini bukan menimpa golongan “anti-PAS” sahaja. Ia boleh menimpa sesiapa sahaja termasuk diri saya sendiri.

(Makna 'anak butir tahi')
Segalanya bermula dengan kecenderungan

Dalam entri ini, saya telah menjawab persoalan bagaimana perbezaan pendapat yang asalnya kecil dan ‘biasa-biasa’ boleh merebak menjadi pertembungan yang besar. 

Saya telah mengulasnya dari perspektif “kecenderungan” yang melibatkan 3 aspek berikut;

1.  The Law of Attraction
2. You Saw what you wanted to see
3. Lingkaran antara maklumat dan kesimpulan.

Inilah yang menyebabkan mereka yang cenderung kepada PAS akan ditarik oleh individu dan hujah-hujah yang menyokong PAS. Manakala, mereka yang cenderung kepada Parti Amanah Negara, akan ditarik oleh individu dan hujah-hujah yang menyokong Parti Amanah Negara. Hujah yang kontra dengan kepercayaan masing-masing akan dipandang remeh dan diberi justifikasi. Akhirnya perbezaan pendapat yang kecil menjadi pertembungan politik yang besar yang saling menjatuhkan antara satu sama lain.

Jadi, apa solusinya?

Jawapan ringkas: sama-sama kembali kepada kecenderungan yang paling asas yang disepakati bersama iaitu takwa. Takwa yang sebenar-benar takwa!

Jawapan yang mudah diungkap tetapi tersangat susah untuk dilaksanakan.

Akhirnya, pertolongan dan hidayah Allah jualah yang kita amat dambakan di saat ini.


Basri DK
15 April 2017
19 Rejab 1438




No comments:

Post a Comment